Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 4 Mac 2025

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Kalau saya nak katakan sesebuah motosikal itu cukup baik sememangnya agak sukar kerana ia bergantung pada banyak faktor tetapi, selepas satu per satu saya senaraikan beberapa hal kesukaan... ia sebenarnya mudah. Ini termasuklah prestasi enjin, pengendalian, jimat petrol, hantaran kuasa dan lain-lain.

Saya pula jenis yang tidak begitu cerewet apabila berbicara tentang pecutan sesebuah motosikal, lebih-lebih lagi jentera kembara. Asalnya ada power nak memotong...senang nak control... tak sakit pinggang... yakin untuk berada di mana saja..itu dah cukup!

Ketika Boon Siew Honda (BSH) melancarkan 4 model hebat tahun lalu, saya memang terpikat dengan model Transalp ini. Ini kerana beberapa tahun dulu, saya pernah menunggang Transalp model lama. Apabila saya kongsikan beberapa gambar di media sosial, ramai yang 'menyakat' tanya motor itu abad ke berapa? Betul kata mereka, dari segi design, ia tidaklah begitu hebat tetapi dari segi hantaran kuasa dan keselesaannya memang sangat saya suka.

Bila tengok model baru ini, warnanya mengigatkan saya pada model lama itu. Warna asas putih...ada corak biru/merah dan rimnya pula warna emas. Harganya pula tidak terlalu mahal, sekitar RM57,000. Terdapat tiga warna yang ditawarkan iaitu Matt Iridium Metallic, Mat Ballistic Black Metallic dan Ross White - model yang diuji ini.

Lampu utamanya (LED) sama seperti model CB750 Hornet. Wind screen tak boleh dilaras tetapi masih dapat menghalang kita daripada ditampar angin ketika memecut. Ia tidaklah sebaik Africa Twin tetapi...boleh tahanlah! Kalau saya sebagai pemiliknya, berkemungkinan besar saya akan cari aksesori yang lebih besar.

Ya, panel meternya jenis TFT berwarna penuh yang boleh kita set kepada 3 paparan berbeza. Ketiga-tiganya cantik dan tersusun rapi. Menerusi panel meter ini, kami dapat melihat segala info penting dan membuat talaan untuk pelbagai sistem elektronik yang dilengkapkan padanya.

Duduk sahaja di atas pelananya bagaikan 'mengajak' kita untuk mengembara kerana pelananya cukup selesa.Tingginya 855mm,cukup luas dan empuk! Posisi menunggangnya yang menegak dan ketinggian bar hendalnya yang dah sempurna buat saya. Walaupun ia seberat 208kg, menolak atau menggerakkan Honda ini memang senang sekali.

Hidup sahaja 'jantungnya', memang automatik kita tersenyum. Enjin 755cc, kembar-parallel dengan engkol 270° engkol menyajikan bunyi yang 'lazat berkrim'. Bunyinya 'sebiji..sebiji..' sedap betul. Honda Transalp ini menawarkan hantaran kuasa setinggi 67.5kW pada 9,500rpm dan tork 75Nm pada 7,250rpm. Hasilnya, kita boleh memecut dalam gear apa sekali pun tanpa masalah.

Lima mod tunggangang menanti para pemiliknya, terdiri daripada Sport, Standard, Rain, User dan Gravel – khusus buat kaki offroad. Setiap mod tunggangan itu memberikan tahap brek enjin yang berbeza serta bersesuaian.

Paling mantap tentulah mod Sport kerana kita dapat menikmati potensi enjinnya secara total. Untuk mencapai kelajuan lebih daripada 180km/j juga cepat. Apa pun, dalam kelajuan tinggi, jentera ini tidak ada rasa 'terhoyong-hayang', Honda ini memang tegap. Saya dapat menikmati kestabilan Transalp ini tidak kira menunggang solo atau berdua.

Mod Rain paling 'jinak', bagus ketika menunggang di dalam hujan kerana hantaran kuasanya cukup lembut. Apa yang saya suka, setiap pemilihan mod ini dapat kita lakukan semasa pergerakan. Teringat suatu ketika dulu (model apa tak ingat), kita perlu berhenti terlebih dahulu setiap kali nak tukar mod tunggangan – agak menyusahkan.

Sistem Slipper & Clutch menyumbang kepada pergerakan dengan lancar, penghantaran kuasa boleh diramal dan respons pendikit yang menyeronokkan. Kalau lah model yang sedang diuji ini hadir dengan sistem Quick Shifter, memang lebih menakjubkan.

Proses kemasukan gear (naik/turun) cukup lancar, bukan terlalu memuji tetapi itulah yang saya rasakan sepanjang tempoh tunggang uji ini. Transalp ini sesuai benar untuk ditunggang ke kawasan tinggi yang jalannya berselekoh. Jangan kata menunggang solo, naik berdua pun sangat meyakinkan.

Tayar hadapan bersaiz 90/90-21, belakang 150/70-18 telah dipadankan dengan sepasang brek cakera jenis hidraulik 310mm (depan)/cakera 256mm belakang, sistem ABS, sistem Engine Brake (3 tahap) dan Honda Selected Torque Control (HSTC) yang kesemuanya menambah keyakinan kita untuk memacu jentera ini pada bila-bila masa.

Bila sudah lama di atas lebuhraya (dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang), baru teringat tentang adanya sistem HondaSync pada model ini. Muat turun sahaja aplikasi Honda RoadSync dan nikmati dunia hubungan-moden menerusi sistem bluetooth yang ada pada telefon pintar kita. Dengan RoadSync, penunggang boleh membuat/menerima panggilan telefon, pesanan, notifikasi, sistem navigasi dan mendengar alunan muzik.

Saya akui, saya 'rider' yang agak berat tetapi ia tidak menghalang saya daripada mengasah tayar-tayar Honda ini di jalanan berselekoh dengan selesa. Betul..sistem penyera[ hentak yang ada pada Transalp ini cukup baik sekali. Fork hadapannya sangat responsif di sudut, dan memberikan anda lebih keyakinan untuk menurunkan jentera ini tanpa rasa risau. Saya tidak berkesempatan masuk ke jalan-jalan lasak dengan Transalp ini tetapi untuk laluan tanah merah, jalan-jalan kampung langsung tidak ada masalah.

Sebagai sebuah jentera kembara, sudah pasti kita akan cuba sedaya upaya untuk cari masa mengembar kerana Transalp ini memang jawapannya. Dengan satu isian penuh tangki bersaiz 16.6 liter, saya dapatlah bertemu dengan ramai rakan dan taulan di bandaraya Pulau Pinang, Taiping, Kuala Kangsar yang jaraknya lebih daripada 200 kilometer.

Maka, jika anda ingin memulakan segmen jentera pengembaraan, atau mungkin ingin menaik taraf kepada yang terbaharu daripada Honda, Transalp ini sepatutnya berada di bahagian atas senarai motosikal anda untuk dipertimbangkan.

Kuasa hebat, selesa yang memastikan anda menunggang mampu selama berjam-jam, dan semuanya ini adalah produk pengeluaran nama yang kita sudah kenal dan kita percayai sejak lama dulu, Honda. RR

Popular

  • Model Baru

    BMW Motorrad Malaysia Unum Harga Rasmi R 12 Baru - RM119,500

  • Warta Roda

    Nahas Dua Motosikal Dirempuh Kereta, Seorang Lagi Mangsa Meninggal Dunia

  • Model Baru

    VOGE DS800 Rally - Prestasi dan spesifikasi menarik perhatian!

  • Dari Litar

    Pirelli Jadi Pembekal Utama Tayar MotoGP Menjelang 2027

  • Warta Roda

    Penunggang motosikal maut terbabas ke dalam parit

Artikel berkaitan

Bajaj Freedom 125 CNG: Bukti Bahan Api 'Gas' Lebih Praktikal

MODENAS Z250 ABS – Senang, Selesa, Sempoi!

Honda NX500: Lebih Padu... Lebih Syok...

Kemunculan Semula Moto Morini Cukup Mantap Dengan Calibro & Calibro Bagger 700

KYMCO AK550: Mewah, Elegan & Praktikal

MV Agusta Enduro Veloce 2024

Suzuki Gixxer SF250 - Tampak Gah di Jalanan

Suzuki Burgman Street 125EX - Santai, Mudah & Selesa

Disyorkan untuk anda
Model Baru

VOGE DS800 Rally - Prestasi dan spesifikasi menarik perhatian!

LONCIN Motor Co., Ltd merupakan pengeluar motosikal yang diasaskan pada tahun 1993 dan VOGE merupakan jenama premium mereka. Selain dua roda, Loncin juga mengeluarkan kereta elektrik, generator, mesin rumput, jentera perindustrian dan helikopter drone. VOGE memberi tumpuan dalam penjualan motosikal dan pelbagai jenis komponen motosikal yang berkualiti tinggi.

Warta Roda

Dua Maut, Motosikal Dirempuh Kereta Langgar Lampu Isyarat Merah

Dua orang maut manakala tiga yang lain cedera parah selepas dua motosikal dirempuh sebuah kereta.

Model Baru

VOGE DS900X Masuki Pasaran Negara. Harga bermula dari RM49,998

Pasaran motosikal adventure di Malaysia kini dihadiri sebuah model terbaru yang penuh dengan ciri-ciri inovatif dan berprestasi tinggi dari jenama VOGE iaitu model DS900X. Jentera lasak ini diperkenalkan oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd., dan ditawarkan pada harga RM49,998.

Model Baru

Honda Eropah Lancarkan GL1800 Gold Wing & Gold Wing Tour

Bersempena dengan ulang tahun ke-50 jentera kembara terulung yang dikenali dengan nama Gold Wing, Honda telah melancarkan model terbaru siri ini untuk pasaran 2025. Hadir dalam dua varian iaitu standard dan tour.