Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 18 Februari 2025

Bajaj Freedom 125 CNG: Bukti Bahan Api 'Gas' Lebih Praktikal

Dalam usaha mencari cara alternatif untuk mengurangkan pelepasan emisi selain kenderaan elektrik yang kini timbul pula dengan isu penyimpanan dan penghantarannya telah membuka 'ruang' untuk penghasilkan enjin dengan kuasa gas iaitu hidrogen dan .

Bercerita mengenai sumber GAS, ia boleh disimpan dan diangkut ke tempat yang sesuai untuk pelanggan membuat pengisian dengan kadar masa yang secepat dan mudah seperti mana proses dengan petrol atau diesel.

Toyota dan BMW telah menggabungkan kuasa dalam perjanjian yang diumumkan September lalu untuk bersama-sama membangunkan kenderaan berkuasa hidrogen, ini menunjukkan kepentingan strategi dan fokus terhadap sumber kuasa ini.

En. Rakesh Sharma 'kiri' dan Sir Alan Cathcart.
En. Rakesh Sharma 'kiri' dan Sir Alan Cathcart.

Malah, BMW telah mengumumkan rancangan untuk melancarkan kenderaan elektrik sel bahan api pengeluaran siri bahan api-hidrogen (FCEV) pada tahun 2028, yang akan menawarkan pelanggan pilihan kepada rangkaian elektrik dengan sifar pelepasan emisi. Mereka sudah pun menguji kenderaan ini jalan raya dengan nama X-Series yang diubah suai. Tetapi sebenarnya BMW agak lewat kerana kereta sedan dengan kuasa hidrogen FCEV milik Toyota iaitu Mirai, telah masuk tahun ke-10 pengeluarannya, bermula pada 2015.

Info: Toyota Mirai merupakan kendera Fuel Cell Vehicle (FCV) pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran dan dijual secara komersial. Menurut statistik yang direkod pada November 2022, sebanyak 21,475 unit Toyota Mirai telah terjual di peringkat global. Amerika Syarikat 11,368 unit, Jepun 7,435 dan seluruh dunia dengan 2,622 unit.

Penggunaan gas hidrogen merupakan cara lebih mudah dan praktikal tanpa perlu sebarang sistem pendawaian kuasa atau pengecas untuk menjana elektrik atau mengecas bateri yang masih digunakan sebagai sumber kuasa untuk menggerakkan sesebuah kenderaan.

Ini menjadi matlamat usaha sama yang diumumkan pada Mei 2023 antara keempat-empat pengeluar motosikal Jepun. Usaha mereka adalah untuk membangunkan enjin bahan api hidrogen untuk pelepasan sifar emisi (selain air) di masa hadapan. Malah, motosikal pertama seumpama itu telah pun diperkenalkan oleh Kawasaki di Suzuka 8-Hours pada 20 Julai tahun lalu. Ia hadir dalam bentuk motosikal (bahan api hidrogen) yang berasaskan Ninja H2 superchargednya itu.

Ya...kawan-kawan semua, H2 berkuasa H2! Hebat!

Enjin empat silinder 998ccnya telah diubah suai untuk membolehkan sistem suntikan bahan api hidrogen cecair terus ke dalam silinder, sama seperti sistem pembakaran petrol. Casis motosikal direka untuk menampung kanister bahan api hidrogen yang menyediakan sistem bekalan di setiap masa.

TETAPI...Kanister itu sangat besar, berat dan tidak sedap dipandang. Kelemahan utama kuasa hidrogen ialah penyimpanan gas hidrogen yang memerlukan banyak ruang. Ini kerana hidrogen cecair mengandungi hanya satu perempat tenaga setiap isipadu berbanding petrol, jadi jika motosikal seperti Ninja H2 mempunyai tangki petrol 20 liter, ia akan memerlukan sel 80 liter untuk membawa jumlah tenaga yang sama dalam bentuk hidrogen cecair. Hmmm…. Tak praktikal pula.

Bagaimanapun, tepat 15 hari sebelum Kawasaki menunjukkan prototaip bahan api hidrogennya di Suzuka, Bajaj Freedom 125 yang menggunakan CNG/Gas Asli Mampat telah diperkenalkan di India. Penghantaran fasa pertama Bajaj Freedom 125 kepada pemiliknya yang berminat berlangsung di Pune pada pada 16 Julai, tempat motosikal itu dibangunkan.

Sehingga 10 Januari 2025 tidak kurang daripada 40,206 unit telah dihantar kepada pelanggan di 350 bandar di seluruh India di mana CNG boleh didapati. Bajaj meningkatkan pengeluaran model itu kepada 40,000 unit sebulan mulai Januari dan seterusnya.

Oleh itu, sementara empat 'brand' besar dari Jepun sedang mengusahakan projek untuk membangunkan motosikal bahan api hidrogen, Bajaj India sebaliknya menumpukan pada gas yang berbeza, dan mengalahkan mereka untuk siri produksi besar-besaran menerusi model Freedom 125 yang dijana oleh CNG.

Bajaj dikenali hingga ke luar negara kerana kolaborasinya dengan KTM yang sedang bermasalah, dan berkemungkinan besar merupakan calon paling layak untuk membiayai semula atau mengambil sebahagian besar kepentingan saham KTM. Sehingga kini memiliki 37% pelaburannya dalam syarikat induk KTM AG, Pierer Mobility.

Bajaj Auto kini merupakan pengeluar PTW (Powered two-wheelers' kedua terbesar di India, dengan 3,598,829 jentera dikeluarkan pada tahun 2024 menerusi lima kilangnya yang beroperasi di India. Selain KTM, ia juga dalam fasa usaha sama dengan Triumph Motorcycles, dan Bajaj melaporkan bahawa ia telah menjual lebih 40,000 Triumph 400s di India pada 2024 (daripada 80,000 motosikal sedemikian dikeluarkan secara keseluruhan), dan 64,886 motosikal KTM.

Itu adalah daripada sejumlah 2,121,491 unit jualan Bajaj di India pada tahun 2024, dan model yang semakin meningkat ialah Freedom 125 dengan kuasa CNG, yang menawarkan pengurangan besar dalam kos operasi dan pelepasan emisi berbanding motosikal berkuasa petrol.

Model ini ditawarkan dalam tujuh skema warna berbeza dengan tiga varian berasingan: Freedom 125 Drum, Freedom 125 Drum LED dan Freedom 125 Disc LED. Varian asas menampilkan brek jenis gelendong pada kedua-dua tayar, manakala model mewah pula didatangkan dengan brek cakera di hadapan berserta lampu depan jeis LED. Harga bermula pada RS.95,000 (RM4,900) dan RS.110,000 (RM5,667) untuk versi LED/Cakera 125.

'Waiting List' untuk Freedom 125 adalah tiga bulan selepas membuat pesanan, yang mana ia adalah satu peningkatan mendadak dalam pengeluaran di kilang Aurangabad yang terletak kira-kira 200 kilometer (Timur Laut) dari Pune. Harga permulaan Rs.95,000 untuk Freedom 125 itu adalah sama dengan versi paling mahal bagi Bajaj Pulsar 125, (model teras Bajaj dengan enjin petrol).

Menurut Rakesh Sharma, Pengarah Eksekutif Bajaj Auto atau orang kanan Pengerusinya Rajiv Bajaj, model Freedom 125 disasarkan untuk semua jenis pengguna yang merupakan pembeli/pemilik motosikal paling ramai di India.

En. Rakesh Sharma.
En. Rakesh Sharma.

Freedom 125 menawarkan pengurangan kos berbanding model 'abangnya' yang berenjin petrol tetapi pada masa yang sama sentiasa mengutamakan keselesaan dan praktikal. Jadi, untuk menghilangkan sebarang kebimbangan dan keraguan (penggunaan CNG), Bajaj telah menjadikannya model dwi-bahan api petrol sebagai sandaran.

Dari segi penggayaan, ruang pelana lebih besar dan lebih panjang untuk memudahkan pengendalian. Ia juga hadir dengan port pengecasan USB dan panel meter digital yang kini bersambungan sistem Bluetooth untuk membuat panggilan dan mesej.

Freedom 125 disempurnakan dengan enjin 125cc SOHC, silinder tunggal, 4 lejang, sistem penyejuk udara yang menghasilkan 9.5bhp pada 8,000 rpm dan tork 9.7Nm pada 5,000rpm,

Terdapat silinder bahan api bersaiz 12.5lt/2kg yang diletakkan di bawah pelana dan model ini juga menampilkan tangki petrol tambahan yang boleh diisi 2.0 liter bahan api untuk memastikan penunggang tidak terkandas di kawasan yang tidak ada CNG. Syarikat itu mendakwa dapat perjalanan sejauh 67km seliter untuk Freedom 125. Dengan jarak keseluruhan yang didakwa 102 km/kg, ini bermakna, gabungan jarak di antara dua sumber bahan api itu adalah sejauh 338km.

Tetapi 'selling point' utama untuk sebuah jentera dwi-bahan api hibrid sebenar ini ialah kecekapan dan penjimatan bahan api model. Ya itu isu No.1 untuk sebahagian besar penunggang motosikal di India. Harga untuk bahan api CNG lebih rendah dan membolehkan Bajaj mendakwa Freedom 125 ini menawarkan kos pengendalian sehingga 50% lebih rendah.

Cukai petrol persekutuan di India terdiri daripada 55% daripada harga runcit bahan api, ditambah cukai jualan dan Value-Added Tax (VAT) yang dikenakan pada kadar yang berbeza-beza oleh Kerajaan Pusat. Jadi di negeri asal Bajaj Auto iaitu di Maharashtra, 25% VAT dan kadar rata RS 5.12/liter cukai bahan api, menghasilkan satu liter petrol oktana 91 pada masa ini berharga Rs.103.5.

Sebaliknya, CNG hanya berharga Rs.77.00 sekilo, termasuk 14% duti eksais kerajaan persekutuan. Kos yang jauh lebih rendah ini menjelaskan mengapa peningkatan bilangan Beca Roda Tiga yang dikenali sebagai Tuk-Tuks kepada ramai pelancong Barat yang dikuasakan oleh CNG di India.

Di sana, lebih 691,000 kenderaan roda tiga telah dijual pada tahun 2024, meningkat 42% berbanding tahun sebelumnya, dan 348,885 daripada unit tersebut, mencakupi 50.5% daripada jumlah jualan itu merupakan jentera kuasa CNG. Bajaj Auto ialah peneraju pasaran global yang jelas dalam segmen ini, dengan 67% bahagian pasaran tiga roda India pada 2024, meningkat daripada 61% pada 2023.

Pusat R&D Bajaj Auto yang terletak di Akurdi.
Pusat R&D Bajaj Auto yang terletak di Akurdi.

Memandangkan majoriti kenderaan roda tiga ini terdiri daripada teksi atau kenderaan penghantaran, maka pada masa yang sama, ia menjana pengembangan pesat rangkaian mengisi tenaga kuasa CNG. Tetapi sementara CNG boleh digunakan oleh motor ICE bahan api petrol melalui beberapa pengubahsuaian, Bajaj telah membangunkan Freedom 125.

Ketika menikmati lawatan ke Pusat R&D Bajaj Auto yang terletak di Akurdi (tepat di luar Pune), dan berpeluang mendekati versi prototaip dengan acuan plastik. Model ini memiliki tangki bahan api sebebar dua liter terletak di bahagian hadapan kanan silinder gas, manakala peti udara dimuatkan di bahagian depan kiri. Petrol itu menambah lagi jarak 134km kepada 204km dari dengan muatan CNG 12.5 liter/2kg.

Gas ini dimampatkan kepada tekanan 200bar/2,000psi dan disimpan dalam silinder berkelebaran sekitar 160mm kira-kira bentuk dan saiz yang sama seperti tangki selam skuba. Kerangkanya jenis trellis yang dipadankan dengan penyerap hentak tunggal terletak di bawah pelananya yang direka lebih panjang iaitu 785mm.

Pada ketinggian 825mm, Freedom lebih tinggi berbanding model berenjin petrol dan pelananya yang panjang adalah salah satu ciri popular di India. Walaupun terdapat hanya dua set tempat pemijak, saiz pelananya cukup besar untuk tiga orang penunggang dewasa. Ya.. undang-undang melarang lebih daripada dua orang tetapi adalah perkara biasa untuk melihat sebuah motosikal dinaiki lebih daripada itu.

CNG terutamanya terdiri daripada gas metana, dan boleh diperoleh dengan mudah sama ada sebagai bahan api fosil dari tanah, atau dihasilkan sebagai biogas daripada sisa. Walaupun dibakar dalam bentuk bahan api fosil, ia menghasilkan CO2 yang jauh lebih baik daripada petrol. Ia juga lebih mudah diperoleh dan lebih mudah disimpan.

Saya peroleh dua peluang untuk merasai pengalaman menunggang Freedom 125. Yang pertama datang di Mumbai pada bulan Ogos lalu apabila saya meminjam salah unit 'testride' pertama yang disediakan daripada rakan sekerja India saya di majalah Motoring World.

Selepas setengah jam sekeliling bangunan-bangunan Kolonial di pusat bandar, saya cukup kagum ingin mengetahui lebih lanjut mengenai reka bentuk motosikal yang luar biasa ini.

Maka, pada tahun ini dalam lawatan ke Ibu Pejabat Chakan Bajaj Auto, saya dapat menghabiskan masa yang lebih lama bersama Freedom 125 pada waktu sibuk pagi di bandar Pune. Percayalah, anda semua perlu merasainya sendiri, tiada apa yang setanding dengan keadaan jalan raya di bandar-bandar negara dari segi tekanan, risiko dan kekecohan. Semua orang sepatutnya memakai topi keledar, tetapi hampir tiada siapa yang melakukannya. Anda hampir tidak akan dapat melihat pengguna jalan raya di sana berbual menggunakan I-telefon.

Caranya lebih mudah, kepitkan telefon pada bahu, sambil menavigasi perjalanan yang sempit dan pada masa yang sama berkongsi lebuh raya dengan pengguna jalan raya lain. Bayangkan dalam kekalutan ini, hujan pula turun.

Pelana Freedom setinggi 825mm yang direka luas dan selesa walaupun untuk penunggang setinggi 180cm/5'10". Bar hendal 'ditarik' ke belakang yang memberikan posisi menunggang yang santai. Pengendalian cukup mudah...ringan dan ini pastinya datang dari tayar hadapan 90/80-17 dipadankan dengan belakang 120/70-16 yang mencengkam dengan baik. Tayar-tayar ini dikawal oleh brek cakera 240mm di depan manakala brek di belakang adalah jenis gelendong 130mm – kurang efektif.

Pada saiz tapak roda 1340mm, pengendaliannya tidak membuatkan kita tertekan atau gementar walaupun di atas permukaan jalan licin yang ditinggalkan air hujan di waktu pagi. Sistem brek yang dipadankan pada model ini juga membantu pergerakan lebih lancar.

Motosikal 125cc kecil itu bersemangat tetapi senyap, menyala dengan mudah melalui sistem penghidup elektrik dan terdapat getaran minimum, dengan anggapan ia mempunyai sistem pengimbang (counterbalance) yang dipasangkan pada model ini.

Panel meter digital memaparkan segala informasi dengan jelas khususnya untuk bacaan bahan api. Untuk menukar sistem pembakaran di antara petrol dan CNG juga mudah, hanya dengan 'menjentik' suis yang terletak pada bar hendal sebelah kiri. Apa pun, saya rasa tiada perbezaan yang boleh dilihat di antara dua bahan api tersebut.

Tetapi bila tiba masanya untuk mengisi minyak, bersiaplah untuk sedikit kerumitan, sambil anda menunggang melewati barisan panjang penunggang beca automatik yang sedang menunggu giliran di pam CNG. Kita mungkin akan dihalau oleh kakitangan stesen dan cuba mengarahkan kita ke pam petrol. Dalam hal ini, cara untuk menjelaskan segalanya ialah, buka tempat duduk untuk menunjukkan silinder gas kepada mereka. Syok! Tapi seram juga.

Apabila saya menunjukkan silinder gas itu, maka penunggang beca tadi datang beramai-ramai untuk melihat dan ternganga melihat teknologi pintar yang menggerakkan kenderaan tiga roda mereka, selama ini. Saya risau juga kerana tidak pandai berbahasa Hindi, jadi saya tidak dapat menjawab sebarang soalan mereka. Reaksi seorang lelaki mengatakan semuanya, bagaimanapun, selepas dia melihat lencana Bajaj Auto di sisi motor. “Bajaj sangat pandai!” katanya sambil mengetuk tepi kepalanya. Memang begitu!

Untuk meredakan sebarang kebimbangan para pelanggan yang akan meletakkan kaki dan diri mereka di atas sel bahan api tekanan tinggi yang berpotensi meletup, Bajaj telah memberi perhatian yang besar untuk melindungi tangki CNG. Rangka trellis keluli tiub Freedom direka untuk mencipta sangkar yang teguh di sekeliling silinder. Bajaj telah menjalankan sebelas ujian kemalangan yang didokumentasikan dengan baik yang tersedia di YouTube https://www.youtube.com/watch?v=nB1VkNC8baI termasuk ujian jatuh dan impak CNG di hadapan dan sisinya. Hasilnya, tangki ini kekal selamat..

Setiap ujian menunjukkan bahawa kedudukan tangki CNG dalam rangka trellis memang kuat dan utuh daripada semua impak. Tidak ada juga sebarang perubahan dari segi tekanan atau kebocoran yang melanggar Sijil Keselamatan CNG yang diwajibkan untuk setiap kenderaan.

Ujian keselamatan ini juga termasuk melanggar/menggilis Freedom 125 menggunalan lori 10 tan. Hasilnya? Motosikal leper...dibengkokkan di seluruh bahagian, tetapi tiada kesan calar atau kemek pada tangki CNG, dan lebih-lebih lagi tiada kebocoran dan tiada letupan. Tolok tekanan menunjukkan memang masih ada gas di dalamnya!

Tetapi selepas semua itu - jadi apa? Adakah Freedom 125 hanyalah satu cara yang bijak untuk berhadapan dengan cukai 'byzantine' di India dalam menyediakan pengangkutan harian pada kos yang lebih rendah untuk pelanggan Bajaj Auto? Atau adakah ia menunjukkan alternatif sebenar kepada teknologi dan bahan api lain dalam mengurangkan pelepasan emisi peringkat global?

Adakah CNG bahan api hanya sesuai untuk kegunaan bandar berprestasi rendah, atau bolehkah ia digunakan untuk menggerakkan motor ICE berkapasiti lebih besar pada jarak yang lebih jauh daripada hanya sebagai alat pengangkutan ke tempat kerja?

Magnolia Special Roadster.
Magnolia Special Roadster.

Nah, bukti untuk penggunaan jentera seperti ini telah pun diperlihatkan pada Oktober 2011, apabila pereka motosikal terkenal J.T. Nesbitt, pencipta peranti dua roda yang inovatif seperti yang terdapat pada model Confederate Wraith, Bienville Legacy dan Curtiss One. Pada masa itu juga Nesbitt mencipta Magnolia Special Roadster, dikuasakan oleh enjin ICE 4.2 liter Jaguar XK sebaris enam 12.5:1 yang kemudiannya dipadankan dengan bahan api CNG. Nesbitt membina kereta itu antara 2009 dan 2011, dan sebaik sahaja ia siap, dia memandu dari New York ke Los Angeles bersama rakannya Maxwell Materne - perjalanan sejauh 2,800 batu/4,500km yang mengambil masa 89 jam.

Magnolia Special Roadster.
Magnolia Special Roadster.

Kereta itu dipaparkan di Garage Jay Leno pada tahun 2012 selepas tiba di LA, dan Jay jelas kagum dengannya - lihat https://bienvillestudios.com/press/magnolia-special/ Ini jelas menunjukkan bahawa CNG ialah bahan api yang praktikal setiap hari - penemuan yang disokong oleh kejayaan komersial besar Bajaj Freedom 125.

Sesungguhnya, penciptaan Bajaj Freedom 125 menunjukkan bahawa CNG jelas merupakan bahan api alternatif yang berdaya maju untuk semua kenderaan berkuasa ICE, dan boleh dikatakan penyelesaian yang lebih praktikal daripada kenderaan berkuasa hidrogen atau kenderaan elektrik, terutamanya jika bio-CNG digunakan sebagai bahan api. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit foto: Kaizad Darukhanawala (Mumbai) & Lightroom (Pune).

Spesifikasi

Kuasa maksimum9.5ps pada 8,000rpm
Tork maksimum9.7Nm pada 5,000rpm
Gerek x lejang54 x 54.4mm
Tayar hadapan90/80 x 17
Tayar belakang120/70 x 16
Isi tangki (CNC & Petrol)12.5 liter/2kg & 2 liter
Tapak roda1,340mm
Berat149kg
Tinggi pelana825mm
Kelegaan tanah170mm

Popular

  • Model Baru

    Kawasaki Z650RS 2025 Dilancarkan – RM37,200

  • Warta Roda

    Kawasaki Puncak Alam Dirasmikan

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda Terima Dua Anugerah Motosikal Terbaik

  • Dari Litar

    WorldSBK: Semoga Md. Zaqhwan Success!

  • Warta Roda

    Suzuki GSX-R150 Tampil Dengan Warna Baru - Harga Asas RM13,888

Artikel berkaitan

MODENAS Z250 ABS – Senang, Selesa, Sempoi!

Honda NX500: Lebih Padu... Lebih Syok...

Kemunculan Semula Moto Morini Cukup Mantap Dengan Calibro & Calibro Bagger 700

KYMCO AK550: Mewah, Elegan & Praktikal

MV Agusta Enduro Veloce 2024

Suzuki Gixxer SF250 - Tampak Gah di Jalanan

Suzuki Burgman Street 125EX - Santai, Mudah & Selesa

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Kawasaki Puncak Alam Dirasmikan

Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) telah merasmikan pembukaan flagship store Kawasaki di Puncak Alam

Warta Roda

Abang putus tangan, adik putus kaki terlibat kemalangan menuju ke sekolah

Pulau Pinang - Dua beradik cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di susur masuk ke Jalan Besar Sungai Bakap-Jalan Pengkalan di sini pada Selasa.

Warta Roda

3 Kedai Terbakar, 40 Motosikal dan Kereta Musnah

Tiga buah buah kedai dan 41 kenderaan dilaporkan musnah dalam kebakaran di Sentul, pada Rabu lalu.

Dari Litar

Yamaha Lancarkan 2 pasukan MotoGP, 1 pasukan Moto2 Di Malaysia

Bertempat di sebuah hotel terkemuka di ibukota Kuala Lumpur, Yamaha dengan rasminya melancarkan 2 pasukan MotoGP dan 1 pasukan Moto2 yang bakal bersaing musim 2025 ini.