Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 22 Januari 2025

Honda NX500: Lebih Padu... Lebih Syok...

Bagi para peminat motosikal khususnya segmen kembara, setuju atau tidak jika saya katakan Honda CB500X merupakan antara jentera yang cukup berbaloi untuk dimiliki. Saya sendiri mempunyai ramai kenalan yang menunggang model ini dan semuanya katakan hal yang sama. CB500X miliki keselesaan, jimat petrol, tahan lasak dan mudah diselenggara.

Tahun lalu, Honda melancarkan pula NX500 untuk menggantikan 'abangnya' CB500X. 'N' bererti 'New' dan 'X' adalah untuk crossover. Dari segi luarannya, nampak sama tapi memang 'confirm' tak serupa. Model baru ini ternyata lebih ranggi, lasak dan bertenaga.

Bahagian hadapan NX500 direka kemas, disempurnakan dengan lampu-lampu LED, dipadankan dengan ruang kemasukan udara yang direka lebih cantik dan bijak. NX500 tidak lagi mengekalkan 'paruh' kecil seperti mana model CB500X.

Lebih praktikal jika cermin pengadang angin model ini boleh dilaras seperti model CB500X dulu kerana ada ketikanya, penunggang mahu juga nak rasa angin sejuk dari depan. Lebih-lebih lagi di dalam bandar.

Model ini hadir ke pasaran negara pada harga asas RM37,099 dengan tiga warna menarik iaitu Pearl Horizon White, Grand Prix Red dan Mat Gun Powder Black Metallic.

Pelananya setinggi 830mm dan hanya seberat 196kg (3kg lebih ringan daripada CB500X) menjadikan motor sangat sesuai untuk semua jenis penunggang, tidak kira lelaki atau perempuan, tinggi atau rendah. Duduk sahaja atas pelananya, letak tangan pada bar hendal, yes... kita akan rasa NX500 ini cukup mudah untuk dikendalikan. Bagi saya (tinggi 178cm), dapat meletakkan kedua tapak kaki atas permukaan tanah dengan sempurna.

Enjinnya bersesaran 471cc, 8 injap, dua silinder parallel, DOHC yang menawarkan hantaran kuasa setinggi 49hp pada 8,500rpm dan tork 45Nm pada 6,500rpm. Proses memecut memang menyeronokkan terutama sekali dalam gear-gear pertengahan.

Dari segi pecutan, model ini memang bukan direka untuk bergerak laju. Macam naik CB500X dulu pun kita selalu kembara. Tapi jangan pula pandang rendah, dalam gear tertinggi, Honda ini tak ada masalah untuk mencapai kelajuan 170km/j. Namun begitu, kelajuan paling ideal dan paling selesa ialah sekitar 110km/j hingga 130km/j.

NX500 hadir dengan panel meter TFT 5” berwarna penuh yang menyajikan pelbagai info penting buat kita sebagai pengguna. Suis-suis (Toggle) yang dipadankan pada bar hendal NX500 ini comel dan mudah digunakan. Tolak ke kiri/kanan sahaja untuk buat talaan.

Antara info penting yang dilengkapkan ialah penunjuk kelajuan, tahap putaran rpm, tahap kelajuan, posisi gear, jam, jarak perjalanan, suhu enjin dan trip. Paling utama, melalui paparan inilah kita dapat membuat penyambungan bersama telefon pintar iaitu Honda RoadSync. Muat turun (install) aplikasi RoadSync di Apple Store atau Play Store pada telefon pintar anda.

Sesuai dengan penambahbaikan dari segi sistem elektronik, jentera kembara ini dilengkapi dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC) atau lebih mudah, sistem Traction Control yang membantu pergerakan jentera ini lebih stabil khususnya di permukaan jalan yang licin. Honda juga melengkapkan sistem transmisi NX500 ini dengan sistem Slipper Clutch dan sistem ABS.

Pengendalian di laluan-laluan berselekoh dijamin memuaskan hati. Kami telah nikmatinya sepanjang hampir 500 kilometer dari Selatan ke Utara. Sistem saspensi model ini terdiri daripada fork hadapan jenis USD, 41mm dengan Separate Function Front Fork Big Piston (SFF-BP) yang menyerap segala hentakan dengan cemerlang.

Penyerap hentak tunggal (pra beban - 5 pelarasan) dirasakan lembut sedikit, tetapi tidaklah mengganggu tunggangan. Mungkin penunggang kena 'diet' rasanya!

Untuk bergerak lancar di laluan lasak khususnya, model baru ini hadir dengan tayar-tayar jagung bersaiz 110/80-19M/C di hadapan dan 160/60-17M/C di belakang yang boleh dipercayai untuk menangani laluan sukar tetapi bukan off road sebenar! Tapi kalau anda dah memang rider 'oprod' kental... silakan 'Brap! Brap!' ke mana sahaja kerana jarak kelegaan tanahnya agak okaylah (180mm).

Tayar hadapan dikawal oleh sepasang brek cakera bersaiz 296mm (+ ABS) manakala di belakang menggunakan brek cakera tunggal bersaiz 240mm juga beserta ABS.

Menyempurnakan sistem keselamatan NX500 ini ialah lampu belakangnya yang disertakan dengan Emergency Stop Signal (ESS) yang akan berfungsi/berkelip apabila kita menarik brek dengan keras ketika kecemasan.

Tubuh badan kita tegak, ruang kaki luas (mudah untuk digerakkan), jarak di antara pelana dan bar hendal yang sempurna menjadikan perjalanan jauh menjadi dekat. Selepas 160 kilometer, saya bertanya kepada rakan pembonceng adakah dia masih selesa. 'Thumbs up!”- cukup untuk lulus!

Puas hati. Honda NX500 menambah lagi nikmat sebuah jentera kembara bersaiz sederhana. Sebagai pengganti CB500X, sememangnya model ini memiliki keupayaan lebih jauh baik dari segi rekabentuk, sistem elektronik, keselesaan, prestasi enjin, penjimatan bahan api.

Bandingkan dengan CB500X yang dahulunya berharga sekitar RM36,200 dengan segala ciri-ciri baru yang lebih moden yang ada pada model ini dengan perbezaan harga hanya RM1,000. Memang berbaloi! RR

Popular

  • Warta Roda

    Jentera 'Backhoe' Tukar Haluan, Pembonceng Motosikal Maut

  • Dari Litar

    Pasukan Aprilia Racing 2025: Martin dan Bezzecchi Sedia Menggempur...

  • Dari Litar

    Ducati Lenovo Team: Bagnaia & Marcquez, Gabungan Terbaik?

  • Model Baru

    Modenas Kriss 125 Fi Diperkenalkan - Harga Bermula RM5,620

  • Dari Litar

    MotoGP: Gresini Racing Lancar Liveri 2025 & Perkenalkan Barisan Pelumbanya

Artikel berkaitan

Kemunculan Semula Moto Morini Cukup Mantap Dengan Calibro & Calibro Bagger 700

KYMCO AK550: Mewah, Elegan & Praktikal

MV Agusta Enduro Veloce 2024

Suzuki Gixxer SF250 - Tampak Gah di Jalanan

Suzuki Burgman Street 125EX - Santai, Mudah & Selesa

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

MotoGP: Gresini Racing Lancar Liveri 2025 & Perkenalkan Barisan Pelumbanya

Gresini Racing telah melancarkan pasukan mereka dan liveri MotoGP untuk musim 2025 di Litar Antarabangsa Imola.

Model Baru

AVETA lancarkan skuter 'Adventure' terbaru, Vanguard 250 (Standard & SE)

Aveta Global Marketing Sdn Bhd hari ini telah memperkenalkan skuter 'Adventure' terbaru iaitu Vanguard 250 yang hadir Aveta dalam dua varian iaitu Standard (SE) dan Special Edition (SE).

Model Baru

Zontes 368G Adventure Dilancarkan. Harga Bermula Dari RM28,800

Zontes Malaysia telah memperkenalkan model terbaru yang merupakan pencabar baru motosikal skuter adventure di Malaysia iaitu Zontes 368G Adventure.

Warta Roda

Polis Tahan Wanita Bakar Motosikal

Taiping: Polis menahan seorang wanita susulan video tular membakar sebuah motosikal di Jalan Masjid Pokok Assam di sini.