Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 9 Januari 2025

Kemunculan Semula Moto Morini Cukup Mantap Dengan Calibro & Calibro Bagger 700

Tahun 2025 menyaksikan jenama Moto Morini akan lebih menonjol...akan lebih agresif dengan pelbagai model-model terkini yang cukup menarik. Ya..kemunculan semula Moto Morini disaksikan dunia selepas pemerolehannya pada bulan Oktober 2018 oleh pengeluar dari China, Zhongneng.

Model pertama memasuki pasaran di bawah pemilikan baharu iaitu X-Cape 650, sebuah model Adventure dengan enjin berkembar selari dan ia mendapat 'hit' yang sangat positif di seluruh dunia. Model tersebut masuk fasa pengeluaran pada lewat tahun 2021 di kilang Zhongneng yang beroperasi di Taizhou, 400km dari Shanghai. Namun begitu, ia dibangunkan sepenuhnya di Ibu Pejabat Moto Morini di Trivolzio, selatan bandar Milan.

Pada tahun 2023, bilangan pengedar Moto Morini semakin meningkat, melebihi 340 di Eropah dengan menawarkan dua model baharu pada platform yang sama iaitu duo Seiemmezzo STR/Street dan SCR/Scrambler 650. Untuk tahun 2025, Moto Morini telah memperkenalkan sepasang Cruiser, model Calibro 700 Naked dan Calibro Bagger 700 Batwing' yang lengkap dengan pannier berkembar yang boleh dikunci menawarkan saiz gabungan yang cukup luas iaitu 38 liter.

Kedua-dua versi disempurnakan dengan enjin 693cc, kembar-parallel yang berkuasa 68 bhp pada 8,500 rpm dan tork 54Nm pada 7,000rpm. Harga jualan untuk Calibro di Itali termasuk cukai lokal sebanyak 22% ialah €7,090 (dua pilihan warna iaitu Fire Red dan Shark Gray)  manakala versi Bagger €8,190 (ada hadir dengan warna Hitam). Harga jualan asas untuk Calibro Bagger di Malaysia ialah RM35,888.

Saya berpeluang menunggang uji kedua-dua versi di Lembah Sungai Ticino di selatan Milan dan kesempatan itu digunakan sebaiknya untuk melihat dan menilai keupayaan ciptaan 'baru' Moto Morini. Kedua-duanya menawarkan kapasiti dan talaan enjin yang sama, tidak ada sistem ride-by-wire yang memberi erti tidak adalah Mod Tunggangan atau Pemetaan Enjin yang berbeza.

Kerangka dari tiub keluli yang bertegaran tinggi. Pengendalian disokong oleh fork hadapan konvensional 41mm (tak boleh laras) yang dipadankan dengan lengan ayun aluminium bertempa di belakang beserta sepasang penyerap hentak. Tapak roda untuk kedua-dua model sama iaitu 1,490mm. Tayar hadapan bersaiz 18-inci manakala di belakang 16-inci. Untuk versi Calibro, tayar yang digunakan ialah dari jenis Timsun tetapi untuk versi Bagger, ia menggunakan tayar jenis Pirelli Night Dragons. Saya menguji Bagger (bertukar-tukar dengan 'test rider Morini, Gabriele Manzi.

Tidak seperti model-model Moto Morini lain yang hadir dengan sepasang brek cakera, Calibro dilengkapi hanya dengan brek cakera tunggal di depan bersaiz 320mm jenis J.Juan manakala brek cakera di belakang bersaiz 255mm. Untuk prestasi lebih mantap, sistem ABS dua-saluran Bosch 10.0MB dipasangkan pada model ini.

Berat kering dikatakan sekitar 200kg. Berat keseluruhan dengan tangki bahan api 15 liter 90% penuh ialah 214kg untuk Calibo manakala Bagger pula seberat 228kg. Ini termasuklah fairing batwing, penutup tempat duduk penumpang dan beg keras berkembar. Ini secara kebetulan pannier ini tidak boleh ditanggalkan dan tidak ada pula 'beg dalaman' atau sebarang pelapik yang boleh ditarik keluar untuk anda menyimpan pakaian. Kalau kembara dan bermalam di hotel, ia sememangnya satu lagi kemestian yang perlu ditambah.

Tahap kualiti binaan yang ada pada Calibro kini setanding dengan apa sahaja yang dibuat di Jepun. Kesesuaian dan kemasan adalah sangat baik, daripada cat berkilat hinggalah kepada grafik yang kelihatan bergaya. Kualiti kimpalan pada bahagian kerangka juga berkualiti tinggi, fork gaiters dan tempat duduk berlapis elok dan semua ini ditawarkan oleh sebuah motosikal pada nilai yang berbaloi untuk dimiliki.

Ciri-ciri standard termasuklah lampu-lampu LED dengan rekabentuk lingkaran bulat yang tampak mewah. Panel meter terdiri daripada penunjuk rpm jenis analog yang besar. Agak pelik kerana pemilik sebuah Cruiser lebih berminat untuk melihat jarak perjalanan dan masa berbanding berapa kuat rpm yang ditarik! Paparan jam 'hilang' manakala data lain yang kesemuanya dihimpit ke suku kanan di bahagian bawah. Ini termasuklah meter kelajuan digital yang dirasakan perlu lebih besar. Ya... bacaan pilihan gear juga perlu dibesarkan.

Ada soket USB, tetapi selain kekurangan jam, tiada tetapan Distance to empty (DTE) sangat perlu untuk sesebuah model Cruiser dan model ini juga tiada sambungan Bluetooth. Memandangkan tiga model Morini 650cc sebelumnya mempunyai semua ciri-ciri ini, ketiadaannya dari kedua-dua Calibro agak membingungkan. Begitu juga keputusan meletakkan suis pemberi isyarat pada bar hendal kiri dan kanan (seperti Harley-Davidson) akan mengelirukan khususnya penunggang baru yang sememangnya dalam sasaran penjualan Moto Morini ini. Jarum berwarna hijau pada paparan meter ini juga sukar untuk dilihat, lebih-lebih lagi jika 'visor' topi keledar yang gelap.

Menunggang versi Calibro 'Naked', pertama sekali tentulah pada tempat duduk setinggi 780mm yang empuk dan betapa besarnya motosikal itu – jangan salah sangka, ia tidak menyusahkan tetapi sekadar saiznya  yang memang besar. Tempat letak kaki agak jauh ke hadapan dan ditetapkan agak tinggi. Ini bermakna pada ketinggian 180cm/5’10” kaki, saya hanya dibengkokkan sedikit kaki ke atas.

Cermin pengadang angin yang kelihatan sangat jelas bebas daripada getaran, dan memberikan pandangan ke belakang yang baik. Calibro memberi inspirasi kepada keyakinan khususnya buat mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan dunia cruiser berkuasa tinggi.

Walaupun model-model 650cc sebelumnya akan 'hidup' bila pendikit terbuka lebar sepenuhnya (gear keenam) daripada 2,200 rpm dengan transmisi sifar tetapi pada Calibro ini anda perlu memastikan enjin berputar melebihi 3,000rpm untuk mencapai tahap 'galak' seperti siri 650cc. Tetapi mujurlah kotak gear Moto Morini ini betul-betul sempurna, setiap kali kita menambah/menurun gear dapat dilakukan dengan lancar. Tuas klac model ini juga ringan dan lembut, tangan kiri anda tidak letih ketika menunggang jentera ini dalam kesesakan.

Moto Morini melahirkan sebuah cruiser yang mesra pengguna baru dan menyeronokkan penunggang lama. Ketika di atas jalan, tiada kesan kuasa muncul secara tiba-tiba daripada pendikit - ia bertindak balas yang lancar dan lembut yang menawarkan kebolehkawalan buat semua jenis penunggang.

Terima kasih kepada 'gear-driven counterbalancer', enjin Morini ini bebas getaran sepenuhnya pada sebarang putaran rpm. Terutamanya tiada rasa kebas atau kesemutan pada tempat letak kaki atau tempat duduk ketika perjalanan jarak jauh.

Dengan tork memuncak pada 6,500 rpm yang sudah cukup memuaskan hati dan tidak ada gunanya kita meningkatkan tenaganya sehingga 10,500 rpm kerana enjin agak bising (secara mekanikal) sebaik sahaja enjin melebihi 8,000 rpm. Laju maksimum yang saya dapati untuk kedua-dua model ialah 170km/j. Rekabentuk fairing 'batwing' memang sangat membantu khususnya dalam kelajuan tinggi - memang bagus ciptaan ini.

Kualiti penyerapan di bahagian belakang agak keras terutama sekali di laluan berbonggol atau menyusuri jalan yang tidak sempurna tetapi mujurlah pelapik tempat duduk itu mewah dan empuk. Proses membrek dengan pakej brek-crek cakera yang terdapat pada model ini tidak mengecewakan - bersesuaian pada harganya. Namun begitu, varian 650 yang lain tawarkan pakej  yang lebih efisien.

Apa yang telah dihasilkan oleh Moto Morini di sini ialah sepasang model Cruiser kelas menengah berharga 'super mampu'. Varian Bagger terutamanya adalah menonjol, baik dari segi keunikan dalam pasaran bersaiz sederhana dan nilai untuk wangnya. Oh...tak lupa juga, Bagger nampak lebih garang...ada attitude! RR

Laporan: Sir Alan Cathcart
Kredit Foto: KelEdge

Popular

  • Warta Roda

    Jentera 'Backhoe' Tukar Haluan, Pembonceng Motosikal Maut

  • Pandu Uji

    Honda NX500: Lebih Padu... Lebih Syok...

  • Dari Litar

    Pasukan Aprilia Racing 2025: Martin dan Bezzecchi Sedia Menggempur...

  • Dari Litar

    Ducati Lenovo Team: Bagnaia & Marcquez, Gabungan Terbaik?

  • Model Baru

    Modenas Kriss 125 Fi Diperkenalkan - Harga Bermula RM5,620

Artikel berkaitan

Honda NX500: Lebih Padu... Lebih Syok...

KYMCO AK550: Mewah, Elegan & Praktikal

MV Agusta Enduro Veloce 2024

Suzuki Gixxer SF250 - Tampak Gah di Jalanan

Suzuki Burgman Street 125EX - Santai, Mudah & Selesa

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

VOGE Bekerjasama Dengan AS25 Racing Team Untuk Bersaing Dalam CubPrix & ARRC

VOGE Malaysia telah mengumumkan kerjasama mereka dengan pasukan yang diketuai oleh pelumba lagenda negara, Azlan Shah Kamaruzaman iaitu AS25 Racing Team.

Warta Roda

Aksesori Motosikal Bernilai Lebih RM400,000 Dilupuskan di Kedah

Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melupuskan 1,235 barangan kes bernilai lebih RM400,000 membabitkan pelbagai aksesori motosikal yang dirampas sepanjang tahun ini.

Model Baru

KOVE 350RR - Jentera sportbike baru yang bakal mencabar pasaran global.

KOVE telah melancarkan model sport terbaru untuk pasaran tahun 2025 nanti. Ia adalah 350RR yang hadir dengan enjin serba baru, 344cc lebih tinggi berbanding model sebelum ini.

Warta Roda

Seorang Maut, Seorang Parah Akibat motosikal Terbabas Elak Anjing

Seorang wanita maut manakala suaminya parah selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai terbabas ketika mengelak anjing di Lebuhraya Tun Razak.