Suzuki Burgman Street 125EX - Santai, Mudah & Selesa
Sebelum borak lebih-lebih, saya cerita dulu pengalaman pertama melihat skuter yang namanya Burgman. Ketika itu saya dan Allahyarham MYB (Boss) dalam perjalanan ke pameran antarabangsa Intermot 2005 menggunakan laluan lebuh raya dari Frankfurt menuju ke Cologne.
Dalam perjalanan tersebut kami berhenti beberapa kali di 'R&R' dan di situlah saya dapat melihat banyak kumpulan motosikal yang juga menuju ke Intermot. Ada yang naik motor chopper, sport touring, superbike, dual-purpose dan sudah pasti skuter-skuter maksi.
Haa... masa tulah saya melihat Suzuki Burgman 650 buat pertama kali...cukup-cukup kagum dan membuatkan hati saya teruja. Skuter 650cc dan penuh dengan barang-barang kembara... memang padu betul.
Oleh kerana tidak banyak pemilik skuter maksi di Malaysia ketika itu, detik itu memang sukar untuk dilupakan. ‘Rider-rider’ pengembara skuter tampak segak dengan riding jaket, topi keledar full face, sarung tangan dan apabila memecut laju di atas lebuhraya, nampak gah betul! Memang jatuh cinta dan secara peribadi, saya masih menyimpan hasrat/impian untuk mengembara dengan sebuah skuter maksi suatu hari nanti.
Pada tahun 2018, RR mendapat peluang menikmati ribuan kilometer perjalanan dengan Suzuki Burgman 400 diikuti model lebih baru, lebih mantap pada tahun 2021. Walaupun bukanlah model 650 seperti yang dilihat di Eropah dulu tetapi dari segi rekabentuk, kedua-duanya masih memiliki banyak persamaan.
Itu semua 'big cc' punya skuter. Untuk tahun ini, Suzuki Malaysia telah memperkenalkan Burgman Street 125 EX yang turut menampilkan rekabentuk yang cantik dan menawan. Mungkin model ini tidaklah sesuai untuk pengembaraan jauh tetapi dari segi keselesaannya, Burgman kecil ini tetap menyeronokkan.
Posisi menunggangnya yang tegak serta ruang bahagian kaki yang luas merupakan faktor penting untuk tujuan keselesaan serta pengendalian yang mudah. Kaki saya yang panjang dan besar pun dapat diletakkan dengan sempurna. Best! Saya dapat mengubah posisi kaki sesuka hati, ruang lantai pemijaknya cukup besar. Yes... ciri-ciri terbaik Burgman dari dulu hingga kini.
Bentuk luarannya nampak moden dan mewah dengan kemasan lampu-lampu LED di depan, tepi dan belakang serta ruang kokpit yang ringkas tetapi mantap. Lampu hadapan Burgman ini memang ramai yang minat, dapat komen-komen yang cukup positif mengenai tahap pencahayaan dan rekabentuknya.
Berdepan dengan kita, terdapat dua ruang simpanan barang bersaiz sederhana yang boleh memuatkan barang-barang kecil manakala ruang sebelah kiri turut didatangkan dengan soket USB. Memudahkan kita untuk tambah power telefon pada bila-bila masa.
Ruang bawah pelana untuk model ini memang luas iaitu 21.5 liter, mudah untuk kita menyimpan barang tetapi sayang sekali, tak muat nak letak topi keledar walau satu pun.
Burgman baru ini hadir dengan enjin 124cc, 4 lejang, silinder tunggal, SOHC yang menawarkan hantaran kuasa 8.7ps pada 6,750rpm dan tork 10Nm pada 7,300rpm – memang sesuai untuk model kecil seperti ini. Kelajuan mudah ditingkatkan dengan setiap perahan pendikit dan kelancaran tenaga dari enjinnya memang memuaskan hati.
Di kawasan urban, kelincahan Suzuki ini langsung tidak mengecewakan, ruang di antara lutut penunggang dan bar hendal yang luas membantu setiap pergerakan dan 'ruang' ini juga sesuai untuk kita letakkan barang atau beg – kepit dengan kaki. Ada juga penyangkut barang, satu depan kaki... satu lagi hujung pelana.
Burgman ini hanya 110kg sahaja dan tinggi pelana pun 780mm je beb! Mudah untuk dikendalikan atau untuk kita alihkan ketika parkir dan sudah pasti mudah untuk dikawal oleh semua jenis penunggang termasuklah penunggang baru dan wanita. Memang praktikal!
Menghidupkan enjin skuter ini pun ‘manyak syiok’ kerana adanya sistem Silent Starter – '0' bunyi, tak ada bunyi 'crank'... tau-tau enjin dah hidup! Panel meter skuter ini jenis digital dengan paparan-paparan informasi yang cukup penting. Paling saya suka ialah paparan tahap kelajuannya yang besar dan terang.
Suzuki juga telah melengkapkan skuter ini dengan sistem Engine Auto Stop-Start di mana enjin akan 'dimatikan' secara automatik apabila berada dalam keadaan melahu. Namun begitu, sebaik sahaja kita memulas pendikit, enjin akan hidup semula dan sedia untuk meneruskan perjalanan. Kalau tak mau guna Engine Auto Stop-Start ini pun boleh, tekan suis di bar hendalnya untuk mematikan sistem.
Selain itu, ada lagi teknologi baru pada Burgman ini iaitu Suzuki Eco Performance Alpha (SEP-a) yang akan menala tahap penggunaan bahan api yang paling jimat pada kelajuan tertentu.
Kita dapat melihat tanda ECO berwarna hijau apabila meluncur pada kelajuan yang ideal. Dua sistem yang dipadankan pada model ini iaitu Engine Auto Stop-Start dan Suzuki Eco Performance Alpha direka khusus untuk penjimatan bahan api.
Ya... tayar model ini nampak kecil dan memang kecil pun. Ia bersaiz 90/90-12 54J di depan dan 100/80-12 56J di bahagian belakang tetapi jujurnya, kecekapannya 'menggigit' permukaan jalan mengujakan saya dan rakan setugas. Naik solo atau berdua, memang sedap je layan jalan-jalan yang ada 'corner'. Cuma apabila nak keluar selekoh atau tiba di laluan berbukit, rasa lembab juga lah skuter ini nak pecut laju!
Suzuki ini hadir dengan fork hadapan jenis teleskopik yang menyerap dengan baik setiap hentakan. Begitu juga dengan penyerap hentak belakang, walaupun jenis tunggal (sebelah kiri), berada di laluan-laluan kurang sempurna atau di jalan berbonggol dirasakan masih lagi selesa.
Dengan isian penuh tangki bersaiz 5.5 liter, saya dapat menikmati perjalanan yang lincah dan selesa lebih kurang 100-110 kilometer. Jimat juga kalau nak dikira dengan saiz penunggang dan gaya tunggangan yang suka memecut ni!
Jika ditanya adakah Suzuki Burgman 125 Street EX ini berbaloi untuk dimiliki? Ya… saya rasakan mengapa tak berbaloi pula? Pada harga RM7,500, anda boleh miliki sebuah skuter SUZUKI yang hadir dengan enjin padu, tahan lasak, jimat dan moden. Sistem saspensi dan sistem brek terbukti mampu mengujakan penunggang 'sebesar' saya manakala penggayaannya mendapat riaksi yang sangat positif. RR
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, 4 lejang, sistem penyejuk minyak |
Isipadu | 124cc |
Kuasa maksimum | 8.7PS pada 6,750rpm |
Tork maksimum | 10Nm pada 7,300rpm |
Brek | cakera (depan) & gelendong (belakang) |
Tayar | 90/90-12 (depan) & 100/80-12 (belakang) |
Berat | 110kg |
P x L x T | 1,880mm x 715mm x 1,140mm |
Tinggi pelana | 780mm |
Pengeluar | Suzuki Malaysia Sdn bhd |
Popular