Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu
Pada bulan Ogos 2023 yang lalu, Suzuki Malaysia telah mempertontonkan tiga buah model 250cc untuk pasaran Negara yang merangkumi segmen Sportbike, Naked dan Adventure di Kuala Lumpur Bike Show’23. Antara model-model yang diperkatakan itu adalah Suzuki Gixxer SF250, Gixxer 250 dan V-Strom 250SX.
Sepanjang empat hari pameran motosikal di KLBS 2023 tersebut, ruang pameran Suzuki sentiasa dipenuhi para pengunjung yang melihat model-model serba baru dari Suzuki. Sudah semestinya model 250 yang paling menarik perhatian buat peminat dua roda di Malaysia. Suzuki Gixxer mula memasuki pasaran Negara pada bulan November 2023.
Suzuki Gixxer diperkenalkan dalam dua varian iaitu Sportbike – berfairing penuh dan Naked – motosikal ‘telanjang’. Model ini ternyata mempunyai kepopularitinya yang tersendiri dan mempunyai reputasi cukup baik di beberapa Negara ASEAN termasuklah India. Terima kasih buat pihak Suzuki Malaysia yang menawarkan peluang kepada kami (RR) untuk menguji naked mereka, Gixxer 250.
Bagi yang berminat dengan motosikal naked, Gixxer 250 antara jentera yang boleh dimasukkan dalam senarai mereka yang ingin upgrade ke cc lebih besar tetapi hanya memiliki lesen B2 sahaja. Harganya bukan sahaja mampu milik tetapi dari segi rupa mampu menawan hati mereka yang melihatnya.
Suzuki Gixxer 250 ditawarkan pada harga asas RM14,500 (tanpa pendaftaran, insurans dan cukai jalan). Hadir dalam dua pilihan warna iaitu Metallic Met Stellar Blue dan Metallic Matte Black No. 2. Rekabentuk Suzuki Gixxer 250 menggabungkan elemen sporty dan aerodinamik yang boleh kita lihat menerusi gaya garisan pada jentera tersebut. Penampilannya memang cukup menarik sekali, ia mencerminkan prestasi dan estetika moden.
Model ini memiliki panjang 2010mm, tinggi 1035mm dan lebar 805mm yang kita boleh anggap ia sebuah jentera 650cc apabila melihatnya dari jauh. Tetapi Gixxer adalah jentera dengan enjin berkapasiti 250cc atau lebih tepatnya 249cc.
Menerusi pandangan hadapan, Gixxer 250 diperkemaskan dengan lampu utama yang berbentuk lonjong sedikit. Lampu ini menawarkan pencahayaan jenis LED, cukup terang untuk tunggangan pada waktu malam. Rekabentuk di bahagian belakang pula sama seperti model SF250 yang mengetengahkan ciri-ciri sebuah jentera sport. Lampu belakang adalah jenis LED juga.
Sama seperti model-model berkuasa tinggi Suzuki, Gixxer turut disempurnakan dengan teknologi seperti Suzuki Easy Start System. Ciri ini bertujuan bagi memudahkan enjin motosikal dapat dihidupkan dengan mudah. Hanya sekali tekan sahaja dalam jangka masa tidak sampai satu saat enjin akan hidup. Satu kelebihan yang amat menarik sekali bagi jentera Suzuki.
Paparan meter jenis LED melengkapkan lagi ciri moden pada jentera ini. Lampu latar belakang berwarna biru gelap memudahkan maklumat yang terpapar dapat disampaikan kepada penunggang pada waktu siang mahupun malam. Antara info-info penting yang ada seperti tahap kelajuan, tahap putaran rpm, kedudukan gear, masa, bahan api dan jarak perjalanan.
Model ini menampilkan pelana yang berasingan buat penunggang dan penumpang. Tempat duduk setinggi 800mm cukup empuk sekali. Pada pandangan kami Gixxer 250 bukan sahaja sesuai untuk tunggangan di dalam bandar mahupun luar bandar, untuk jarak perjalanan jauh juga tidak jadi masalah.
Posisi tunggangan amat selesa dan tidak memenatkan kerana posisi badan yang menegak memudahkan kami memacu jentera ini ke mana sahaja. Kelebaran bar hendalnya juga turut menyumbang dari segi keselesaan. Untuk membelok sangat mudah. Walaupun ia berenjin 250cc, gegaran yang kami rasakan pada hendal tidak terlalu kuat. Sama seperti membawa jentera berkapasiti kecil. Tangan tidak cepat lenguh untuk tunggangan dekat dan jauh.
Prestasi enjin memang memuaskan hati kami, model ini didatangkan dengan enjin satu silinder SOHC yang menawarkan kuasa maksimum 26.5PS pada 9,300rpm dan tork 22.2Nm pada 7,300rpm. Bestnya enjin ini menawarkan bunyi yang mantap. Semakin galak kita memulas pendikit semakin terserlah garangnya yang keluar melalui sistem ekzos dua corong.
Daya pecutan yang dihasilkan bagi kami cukup padu pada jentera ini. Gixxer 250 memecut ke hadapan terlebih dahulu berbanding jentera-jentera lain selepas lampu isyarat bertukar dari merah ke hijau. Kami menguji jentera ini di lebuhraya, tahap kelajuan yang dapat dicapai adalah sekitar 135km/j – 140km/j (posisi tunggangan menunduk sedikit) dengan berat badan penunggang dalam 80 kilogram.
Antara teknologi utama yang ditekankan pada jentera ini adalah Suzuki Oil Cooling System (SOCS) yang mana minyak enjin motosikal itu sendiri sebagai sistem penyejuk untuk enjin. Kelebihannya sudah tentulah lebih cekap berbanding penyejuk udara. Apa yang paling penting adalah dapat menjimatkan wang pemilik kerana mudah dijaga dan hanya perlu menukar minyak enjin sahaja.
Gixxer 250 mempunyai casis yang teguh. Menunggang laju dan mengambil laluan-laluan berselekoh memang stabil. Beratnya 156kg, mudah untuk kita larikan jentera ini ke kiri dan kanan. Kelebaran saiz tayar hadapan 110/70 – 17 dan belakang 150/60 – 17 menyempurnakan lagi ketangkasan Gixxer di jalan-jalan berselekoh.
Turut memberi sumbangan adalah saspensi hadapan jenis fork teleskopik yang berkerja dengan baik sekali. Proses hentakannya tidak terlalu kuat ketika membrek, cukup lembut. Saspensi belakang jenis penyerap hentak tunggal pula memberi keselesaan kepada penunggang dan pembonceng.
Sistem ABS dua saluran meningkatkan lagi ciri keselamatan yang ada pada Gixxer 250 terutama ketika membrek di permukaan yang basah. Penggunaan brek-brek cakera adalah amat penting bagi sesebuah motosikal agar penunggang dapat memberhentikan jentera dengan lebih selamat dan tepat.
Dari segi penggunaan bahan apinya, amat menjimatkan. Sebab itulah pihak Suzuki melengkapkan model ini dengan teknologi Suzuki Eco Performance (SEP). Dengan isian penuh tangki 12 liter, kami dapat menyusuri perjalanan sekitar 350 kilometer. Namun, penggunaan bahan api yang menjimatkan adalah bergantung dengan cara kita menunggang motosikal itu.
Bagi kami, Suzuki Gixxer 250 merupakan sebuah motosikal yang amat berbaloi untuk dimiliki. Walaupun ianya bukanlah jentera yang dibina untuk tujuan kelajuan tetapi cukuplah untuk bersantai-santai dan bergaya bersamanya ke mana sahaja yang kita mahukan.
Untuk melihatnya dengan lebih dekat sila kunjungi pengedar sah Suzuki Big Bike World, Suzuki Station Plus, Suzuki Station yang berdekatan dengan anda. Manalah tahu berkenan di hati bolehlah angkat satu. RR
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, empat lejang, SOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 249cc |
Kuasa maksimum | 26.5ps pada 9,300rpm |
Tork maksimum | 22.2Nm pada 7,300rpm |
Brek | cakera, ABS |
Tayar | 110/70R17M/C 54S (depan) & 150/60R17M/C 66S (belakang) |
Tinggi pelana | 800mm |
P x L x T | 1020mm x 805mm x 1035mm |
Isi tangki | 12 liter |
Pengeluar | Suzuki Malaysia Sdn bhd |
Popular