Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Februari 2018

Yamaha Super Tenere: Gagah, Selesa & Mengujakan

Tenere merupakan rantau padang pasir yang terletak di Selatan Tengah Sahara. Ia terdiri daripada dataran pasir yang merentasi dari timur laut Niger dan arah selatan Chad yang merangkumi kawasan lebih daripada 400,000 kilometer persegi. Sempadan Tenere ini dikatakan berada di Pergunungan Air di selatan, Pergunungan Hoggar di utara, Dataran Tinggi Djado di timur laut, Pergunungan Tibesti di Timur dan Tasik Chad di selatan.

Melalui fakta geografi tersebut, 'Tenere' juga mencerminkan sifat-sifatnya yang besar, gagah dan lasak. Ya... sama seperti apa yang diterjemahkan oleh Yamaha menerusi jentera Super Tenerenya. Its big! Ucapan yang boleh kami kata 'wajib' akan keluar dari mulut setiap orang yang melihat Super Tenere ini ialah BESAR, TINGGI, MANTAP..... dan memang betul pun.

Rasanya tidak melampau jika kami katakan, Super Tenere ini bukanlah sebuah jentera 'mainan' untuk mereka yang baru ingin melangkah kaki ke dalam dunia pengembaraan motosikal. Ini kerana kita perlu memiliki pengalaman untuk bersama dengannya kerana Yamaha ini dilengkapi dengan enjin bersesaran 1199cc, empat lejang, DOHC, yang menawarkan kuasa maksimum setinggi 112hp pada 7,250rpm dan tork 117Nm pada 6,000rpm yang benar-benar cukup mantap.

Enjin besar dan bertenaga ini berada di dalam tubuh badan jentera berkerangka jenis keluli yang ringan tetapi bertegaran tinggi. Dua buah lampu utamanya diapit oleh corong kemasukan udara manakala untuk keselesaan penunggangnya, cermin pengadang udaranya boleh dilaraskan kepada beberapa ketinggian. Mudah dan cepat.

Fairing separa yang dibentukkan selari dengan tangkinya yang bersaiz 22.7 liter direka agar tampak sasa manakala pelana-pelana empuk Super Tenere ini adalah 'bekalan' hebat untuk kita menambah angka pada meter perjalanan setiap hari.

Bercerita mengenai jarak perjalanan, panel meter Yamaha ini moden dan ringkas. Senang dibaca! Terdapat dua paparan digital... satu besar dan satu kecil. Ruangan besar memaparkan tahap kelajuan, putaran rpm, tahap bahan api, sistem Traction Control (TC), mod tunggangan (Sport: S dan Touring: T), masa dan penunjuk ECO. Paparan digital yang lebih kecil pula menunjukkan posisi gear, kadar purata penggunaan minyak, perjalanan, trip, penunjuk pemanas pendikit dan beberapa talaan lain. Semuanya  ini boleh ditala dan dipilih menggunakan suis yang dipasang dengan kemas pada bahagian bar hendal sebelah kiri.

Dengan ketinggiannya, kita berasa bagaikan mampu menakluk setiap inci perjalanan. Penunggang mudah melihat terus ke hadapan melepasi bumbung-bumbung kereta. Manakala cermin sisinya lebih tinggi daripada cermin sisi kereta. Kelangsingan yang dimilikinya juga membolehkan kita menunggang di dalam kesibukan kota dengan mudah lebih-lebih lagi buat mereka yang berkaki panjang.

Pengendalian yang benar-benar mudah... adalah kelebihan utama yang dimiliki oleh Super Tenere ini. Walaupun ia adalah sebuah jentera yang berat (262.2kg), pusat gravitinya yang rendah dan sempurna membolehkannya bergerak tanpa masalah walaupun dalam ruang yang agak terhad. Cuma mungkin pada mulanya kita agak risau dek kerana saiz Super Tenere ini yang besar dan tinggi. Bak bahasa pasar orang kampung..... 'Besar Ragam.'

Dengan adanya mod tunggangan, kami memulakan perjalanan di awal pagi dengan memilih mod T yang menjanjikan hantaran kuasa lebih santai dan lebih lembut. Respon di antara pendikit dan enjin masih tepat dan lancar cuma dirasakan hantaran kuasanya tidak terlalu garang walau serancak mana pendikit itu digunakan. Untuk mod ini, TC1 dirasakan lebih sesuai kerana putaran tayar dapat dikawal dengan lebih tepat – sesuai untuk memulakan perjalanan atau pun ketika berada di laluan licin.

Kami terus menggunakan mod ini apabila tiba di jalan offroad kerana lebih meyakinkan. Keseimbangan dan penyerapan hentakan sempurna yang dimiliki oleh jentera ini banyak membantu perjalanan menjadi lebih selamat. Yamaha turut melengkapkan jentera ini dengan pelindung enjin yang amat-amat berguna agar enjin tidak terdedah dengan sebarang bahaya seperti batu, kayu dan lain-lain.

Perjalanan sejauh mana sekali pun pasti tidak terasa dengan Yamaha ini... terima kasih buat sistem elektronik Cruise Controlnya yang memang cukup best! Cara menggunakannya juga mudah. Tekan butang bulat (ada lambang cruise control) dan pastikan lampu penunjuknya menyala. Selepas memilih kelajuan yang diinginkan, tekan SET. Kita juga boleh menambah kelajuan atau mengurangkan kelajuan dengan menekan sahaja suis +/-. Untuk menyahaktifkan sistem ini, penunggang hanya perlu menggunakan tuas klac atau brek. Untuk aktif semula, tekan suis RES iaitu Resume.

Sebaik sahaja kita menukar talaan kepada mod Sport, serta merta karaktornya bertukar menjadi lebih garang dan lebih agresif. Kita dapat merasakan sistem elektronik Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) menjadikan proses pecutan dan kawalan pendikit berada di tahap optimum. Dalam pemetaan ini, kita masih boleh menggunakan TC1 tetapi untuk tunggangan lebih lincah di laluan offroad, TC2 adalah pilihan terbaik. TC2 membenarkan tayar belakang berputar sedikit walaupun ketika di permukaan yang berpasir. Bagi penunggang expert, anda boleh offkan terus sistem traction control ini.

Super Tenere dilengkapi dengan fork teleskopik 43mm dan penyerap hentak tunggal di belakang yang membantu kita terus kekal di dalam laluan dengan tepat. Tidak kiralah di laluan offroad atau di dalam miringan di jalan-jalan seperti di Ulu Yam... Yamaha ini memang tidak mengecewakan. Hilang 100% tumpuan pada sudut selekoh boleh menyebabkan miringan kita melebar dan tersasar dari laluannya. Jika berlaku dengan Super Tenere ini, jangan risau...beri lebih tekanan pada bar hendal mengikut arah miringan, betulkan posisi badan dan gunakan brek belakang untuk menetapkan kedudukan jentera ini dengan selamat.

Sebaik sahaja berjumpa kembali dengan laluan lurus, pendikit dikoyak semula. Apa yang cukup mengujakan selain menjadi perhatian bagaikan 'bintang' di jalanan ialah tubuh badannya yang besar ini membolehkan kita memecut dan mengekalkan tunggangan dalam kelajuan tinggi dengan lancar, tegap dan selesa. Cermin pengadang udaranya juga boleh dilaras mengikut kesesuaian pemiliknya dan perahlah ia sehingga 220km/j sekali pun.

Super Tenere ini terus tegap di laluannya dengan penuh gagah. Tayartayar yang dilengkapkan pada jentera ini bersaiz 110/80 R19 (depan) dan 150/70 R17 (belakang) dan prestasinya telah disempurnakan dengan sepasang brek cakera jenis hidraulik, sistem ABS dan sistem UBS iaitu Unified Braking System. Menerusi sistem UBS ini, sebaik sahaja kita menggunakan brek hadapan, secara automatik brek belakang juga akan digunakan pada kekuatan yang terkawal. Jika tidak mahu sistem ini beroperasi, penunggang hanya perlu menekan/menggunakan brek belakang terlebih dahulu dan barulah sistem brek biasa boleh diguna.

Model yang diuji ini telah dilengkapkan dengan kotak baru yang tegap, cantik, kalis air dan luas. Kita boleh meletakkan banyak barang keperluan.... Tangkinya yang besar membolehkan kita bergerak kira-kira 300 kilometer dengan pelbagai corak tunggangan, permukaan jalan, kelajuan dan penggunaan gear. Ia subjektif tetapi apa yang pasti, Super Tenere ini memang cukup jimat dan ia adalah hasil daripada kecekapan sistem suntikan bahan apinya.

Secara keseluruhannya, tidak kiralah ke mana sahaja ingin kita kunjungi, Yamaha Tenere mungkin boleh menjadi teman. Ia berkuasa tinggi, mudah dikawal, cukup selesa dan pantas. Super Tenere juga memberikan nikmat jentera yang menggunakan pacuan akhir jenis Shaft yang memiliki kemampuan sama hebat seperti jentera yang menggunakan rantai. Model ini ditawarkan pada harga sekitar RM135,000 dan sudah pasti ribuan kilometer tidak lagi menyukarkan sebaik sahaja kita melabuhkan punggung ke atasnya. RR

Isu Pada

Februari 2018

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 2 silinder, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu1199 cc
Gerek x Lejang98.0 x 79.5 mm
Nisbah mampatan11.0:1
Kuasa maksimum81.8kW pada 7,500 rpm
Tork maksimum117Nm pada 6,000 rpm
Tinggi pelana871 mm
Isi Tangki22.7 liter
Berat262.2 kg
PengedarHong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.

Model Baru

CFMOTO 675SR-R Dilancarkan Pada Harga Asas RM37,888

Bersempena dengan majlis perasmian CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model sport terbaru iaitu CFMOTO 675SR-R.

Warta Roda

LCR Honda Fan Enduro Day!

Berbeza dengan sebelum ini, pihak GIVI telah mengadakan LCR Honda Fan Enduro Day bertempat di KEV Enduro Park, Gamuda Gardens, Rawang.