Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023
Ia boleh dikatakan perlumbaan jalan raya yang paling hebat, persaingan paling rapat, paling menghiburkan selain MotoGP, World Superbike atau British Superbike. Itulah siri kejuaraan King of the Baggers MotoAmerica, yang telah membina momentum selama empat tahun yang lalu di Amerika Syarikat. Pada tahun 2023, ia telah menguasai imaginasi para peminat tidak seperti sebelum ini. Selain itu, perlumbaan ini akan dieksport ke Britain pada tahun 2024.
Permusuhan di litar lumba berabad-abad antara jentera Indian dan Harley-Davidson dalam kelas perlumbaan jalan raya, King of the Baggers telah menarik perhatian peminat motosikal di Amerika sejak sekian lama dan kini berkembang pesat. Dengan kalendar baru 16 perlumbaan - lapan pusingan lanjutan untuk 2024, KoB kini merupakan perlumbaan penting kejuaraan Superbike AS MotoAmerica.
Tahun 2023 adalah detik masa yang Harley-Davidson dan Indian benar-benar melakukannya, konfrontasi mendebarkan yang bagaikan tidak berkesudahan antara dua jenama motosikal paling bersejarah di Amerika. Perlumbaan ini berjaya dianjurkan sebanyak tujuh kali tahun lalu. Ini bermakna perlumbaan Bagger menjadi satu pakej perlumbaan unggul MotoAmerica.
Jentera-jentera dipecut pada kelajuan 180 mph atau 290kmh melalui laluan 'speed trap' litar Daytona. Para pelumba akan 'meletupkan' enjin dalam usaha untuk cuba mengatasi satu sama lain, sanggup terhempas untuk menewaskan pencabar, atau bertarung sehingga kehabisan cengkaman sisi pada tayar belakang bersaiz 200 ketika melakukan miringan pada sudut 61° yang luar biasa dan dicapai oleh jentera besar seperti ini. Perlumbaan ini juga memperlihatkan kita dengan jentera berkotak/beg sisi dan ekzos yang menyentuh jalan.
Fuh! Para peminat pun tidak pasti siapa yang akan menang, perlumbaan mendebarkan tidak dapat dielakkan lagi. Walaupun dengan perlumbaan yang singkat seperti lima lap sebelum enjin terlalu panas dan jangka hayat tayar sentiasa menjadi isu. Konsistensi yang penting – dan itulah resepi kemenangan pasukan Harley persendirian, Vance & Hines (VH) Racing yang merangkul gelaran KoB 2023.
Dua pelumba V&H yang menjadi juara iaitu Hayden Gillim dan rakan sepasukan, James Rispoli menamatkan saingan di tempat 1-2 dalam perlumbaan akhir. Setiap daripada mereka mempunyai rekod penamat perlumbaan 100%. Betul – pasukan Vance & Hines langsung tidak sekali pun gagal menamatkan perlumbaan walaupun satu DNF sepanjang musim. Ini adalah bukti kemahiran pelumba, persiapan rapi yang dilakukan oleh pasukan kecil, diketuai oleh Ketua Krew, Steve Polk.
Ketika mendapat jemputan oleh pemilik pasukan, Terry Vance untuk menjejaki ujian juara KoB 2023 Hayden Gillim, saya terlebih dahulu ke ibu pejabat V&H Racing di Indianapolis untuk melihat hasil kerja teknikal Steve Polk.
Model saingan 2023 dilengkapkan dengan enjin Milwaukee Eight 131ci (2152cc) OHV pushrod 8 injap 45° V-kembar, sistem penyejuk udara/minyak yang tersedia untuk pemasangan. H-D Road Glide milik V&H Bagger menghasilkan kuasa 121 bhp pada 5,620 rpm - peningkatan yang besar daripada enjin ori 114ci yang berkuasa 93bhp pada 5,250 rpm. Tetapi Hayden Gillim memiliki enjin yang berkuasa 200 bhp pada 7,000 rpm yang digunakannya musim lalu dan itu adalah hasil dedikasi Steve Polk.
Polk merupakan seorang pakar talaan untuk perlumbaan motocross sebelum menyertai pasukan Vance & Hines. Beliau membangunkan dan menyelenggara V&H Harley-Davidson XG750R di mana Jesse Janisch telah meraih gelaran Juara Trek Rata Kebangsaan AFT Production Twins 2022 selepas muncul juara sebanyak tujuh kali daripada 17 perlumbaan. Apabila bossnya Terry Vance membuat keputusan untuk menutup operasi landasan rata syarikat itu, Polk dan krewnya kini berlumba di jalan raya - bersama Baggers!
“Secara peribadi, asalnya saya fikir ia hanya satu jenaka yang besar. Adakah kita benar-benar akan bina enjin pushrod, sebuah motor vintaj dengan enjin sejukan udara untuk tujuan berlumba? Terry memberitahu saya untuk sempurnakan motor itu, jadi itulah yang kami lakukan,” kata Polk.
"Kami telah bekerjasama dengan sebuah syarikat pembekal yang telah membantu memenangi gelaran perlumbaan drag NHRA Pro Stock pada tahun 2023. Kemenangan menerusi pelumba bernama Gaige Herrera yang memenangi 11 perlumbaan dan memecahkan rekod menggunakan Suzuki Hayabusa Vance & Hines.
Kedua-dua pelumba V&H musim lalu mempunyai sejumlah sepuluh enjin yang tersedia untuk mereka berdua. “Jadi, acara pertama hujung minggu, dikira bersama sesi latihan tambahan, jentera kami bergerak kira-kira 75 hingga 80 minit satu hari termasuk Perlumbaan 1. Enjin itu kemudiannya akan dikeluarkan,” kata Polk.
“Kami masukkan enjin yang baru pada hari Ahad, yang kemudiannya mendapat kira-kira 25 hingga 30 minit penggunaan dalam Perlumbaan 2 termasuk sesi Warm Up. Enjin ini akan dibina semula apabila kami kembali ke Indianapolis. Jentera ini ditala untuk menjadi jauh lebih berkuasa daripada yang pernah dibayangkan, jadi kita perlu kekal membuat penyelenggaraan. Itulah cara terbaik untuk mengurangkan DNF.”
Terdapat satu komponen utama yang masih berpotensi untuk menjadi masalah iaitu transmisi enam kelajuannya. Menurut peraturan KoB, sistem ini mestilah yang original. Setelah ditukar kepada pemacu akhir rantai dari stok talisawat Gates, ia menghantar 70% lebih kuasa kuda (hp) – tetapi lebih tepat ialah tork tambahan yang ditala Polk iaitu 230 Nm pada 5,200 rpm ke atas. Kekuatan 90% lebih daripada enjin asal iaitu 162 Nm pada 4,200rpm.
"Kami melakukan kemasan secara terperinci hingga ke tahap mikro. Kami tidak menggunakan gear keenam sama sekali. Tetapi sekali lagi, menyimpan nota jarak pergerakan bagi memastikan waktu paling perlu pemasangan transmisi baru adalah penting.”
Tanpa bantuan sistem elektronik yang dibenarkan di bawah peraturan KoB, ini bermakna tiada TC pada jentera yang memiliki kuasa tork lebih 200Nm! - seperti model Indian, VH menggunakan Ecu Sport jenama MaxxECU buatan Sweden dengan sistem 'powershifter' dua hala.
Sistem ekzos 2-1 V&H dipasang dengan baik, malah panjangnya kelihatan separuh di sebelah kanan motosikal! Keluli tiub komposit asal model Road Glide dan casis mesti dikekalkan di bawah peraturan KoB, tetapi Vance & Hines telah menambah sub-kerangka jenis chrome-moly yang dibuat khas untuk pelana. Anda juga tidak dibenarkan mengubah suai kepala stereng asal yang bersudut 26.3°.
Model perlumbaan ini dilengkapkan dengan fork hadapan 48mm jenis Öhlins FGR253 boleh laras sepenuhnya. Steve Polk berkata dengan penggunaan lengan ayun aluminium, ia telah berjaya mempertingkatkan pengendalian. Bahagian belakang turut dipasangkan dengan sistem penyerap hentak berkembar jenis Öhlins STX36 untuk respon lebih mantap.
Berat minimum yang dibenarkan (di bawah peraturan KoB) ialah 620lb/281kg termasuk minyak, air dan sebarang bahan api yang tinggal dalam tangki gas original yang akan diperiksa selepas setiap sesi kelayakan atau perlumbaan.
V&H Harley 625lb/284kg separuh kering, oleh itu mereka tidak memerlukan sebarang pengikat titanium atau kit penjimatan berat yang harganya cukup mahal. Rim aluminium tempaan CORE MOTO bersaiz 17 inci ‘memegang’ erat tayar Dunlop Sportmax Slick 200/65. Trio brek cakera keluli tahan karat jenis Brembo 320mm dipilih bagi memperlahankan dan menghentikan jentera dengan cemerlang. Bahagian hadapan menggunakan Brembo Stylema Monoblock.
Jarak roda untuk jentera ini ialah 1650mm - mengikut piawaian perlumbaan jalan raya. Saya berpeluang menunggangnya pada salah satu kejutan terbaik yang saya alami tahun lepas.
Lokasinya di NCM Motorsports Park berjarak 3.15bt/5.07km yang terletak di Bowling Green, Kentucky (Ky). Lokasinya betul-betul bersebelahan dengan Muzium Corvette Negara dan berdekatan dengan kilang Chevrolet Corvettes. Litar gaya Eropah ini sangat menyeronokkan untuk ditunggangi dengan banyak ‘blind apex’ dan selekoh yang agak sukar, tetapi ia juga merupakan trek ujian berbukit yang hebat.
Litar ini juga hanya empat jam perjalanan atau 400km di selatan ibu pejabat Vance & Hines Racing. Itulah sebabnya juara KoB, Hayden Gillim sanggup memandu dari rumahnya di Owensboro, Ky yang terletak kira-kira 90 minit perjalanan agar dapat memberi saya beberapa petua tentang cara menunggang motosikalnya itu.
Ketika saya menunggang jentera pencabarnya, Indian yang memenangi gelaran keseluruhan 2022 di Litar Lumba Chuckwalla, Selatan Gurun California, saya hanya dihadkan kepada lima lap - hampir tidak cukup lama untuk mengujinya kerana pada masa yang sama perlu mengenali litar tersebut.
Namun begitu, dalam masa yang singkat itu telah memberi pengalaman unik menunggang RennBagger yang mungkin termasuk dalam senarai motosikal yang paling tidak selesa dan paling tidak meyakinkan. Walaupun kerusi itu ditetapkan agak rendah, jentera Indian itu terasa sangat besar. Tempat meletak kaki kiri pula sangat tinggi, menyebabkan saya adakalanya terpaksa bergelut.
Sebarang kebimbangan tentang keupayaan jentera perlumbaan Harley Vance & Hines telah hilang walaupun baru pertama kali saya menaikinya. Tinggi pelananya 925mm dan menyebabkan saya hampir tidak boleh menyentuh tanah dengan kedua-dua hujung but menunggang.
Saya menunggang jentera ini sebanyak 40 lap dan ini baru ujian yang betul - dan ya, motosikal itu masih elok dan dapat bergerak selepas sesi ujian itu, cukup bagus untuk Hayden dan J.D.Beach, pelumba paling serba boleh di dunia hari ini. Beliau memenangi perlumbaan ‘flat-track’ AFT SuperTwin dan MotoAmerica Superbike.
Posisi menunggang Harley terasa jauh lebih rasional daripada Indian, dengan tangki bahan api yang agak sempit dan dipasang lebih rendah ke bawah. Ia juga mudah untuk dimiringkan ketika di selekoh berbanding Indian. Jentera Indian yang saya tunggang sebelum ini juga bagaikan lebih mengawal penunggang daripada dikawal. Dengan Harley ini, ia sebaliknya… rasa lebih mesra penunggang walaupun dengan enjin yang cukup berkuasa.
Sesi pertama saya dijalankan ketika litar licin dan mencabar. Saya tidak tahu di mana tompok lembap selepas hujan semalaman tetapi ia menyeronokkan. Terima kasih kepada sebuah motosikal berkuasa 200 bhp yang boleh dikawal dengan mudah sekali.
Saya juga mula menghargai betapa pantasnya V&H Harley ini. Apabila litar sudah kering, saya mula mengeksploitasi tenaga mega tork yang hebat itu ketika keluar dari selekoh. Selepas itu, dengan berhati-hati saya menarik Bagger setegak mungkin meluncurkannya dari putaran 3,500rpm ke atas. Cara ia menghamburkan kuasa untuk keluar dari selekoh adalah keseronokan yang muktamad.
Menjelang sesi keenam atau ketujuh saya merasakan roda hadapan melambai di udara - tidak setinggi Hayden tetapi sudah cukup tinggi untuk saya merasai kenikmatan.
Saya melihat lampu penukaran gear yang berwarna biru berkelip pada 6,400 rpm - menyuruh saya menukar gear pada tuas gear corak perlumbaan. Tanpa sedar, saya dapati diri sedang merapati sebuah jentera Yamaha R6 yang diikuti selama beberapa lap. Padu betul!
Harley ini adalah bukti bahawa Baggers boleh dibuat sebagai jentera lumba yang mampu dikendalikan. Ia benar-benar mengagumkan betapa bagusnya V&H Harley menukar arah - bar hendal yang lebar dan rata itu sangat berguna untuk menggerakkannya melalui laluan chicane NCM yang perlahan. Tetapi di laluan lain ia benar-benar tepat pengendaliannya.
Brek Brembo menunjukkan prestasi seperti yang diharapkan, merentap Harley menurunkan kelajuan dengan pantas ketika kita membrek dengan keras dalam kedudukan gear kelima untuk masuk ke chicane. Tak ada langsung terasa sebarang gangguan, memang mantap betul sistem breknya.
Satu-satunya masalah yang ada pada V&H Harley ini ialah dari segi penukaran gear. Walaupun ada powershifter dua hala yang berfungsi, tapi 'OK' sahaja lah. Apa pun, proses penukaran gear sentiasa agak berat dan menjadi kasar jika saya tidak menggunakan klac. Ini berlaku lebih-lebih lagi ketika menurunkan gear.
Saya juga mendapati lebih baik menggunakan anjakan klac kembali dari gear kelima ke gear dua untuk masuk ke selekoh. Steve Polk telah melakukan yang terbaik dengannya dan telah pun terbukti dengan kejayaan yang dikecapi. Mesin ini bagaikan satu 'logam' moden yang mendebarkan tetapi sangat memuaskan hati pada bila-bila masa.
Terkini sudah tentulah model Harley-Davidson Vance & Hines di mana Hayden Gillim berjaya mengembalikan 'maruah' pasukannya dengan memenangi semula kejuaraan musim lalu. Jadi... apakah ia akan berlaku pada tahun 2024 ini? RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Oli Tennent
Spesifikasi
Enjin | sistem penyejuk udara/minyak, OHV V-kembar, 4 lejang, 4 injap |
Isipadu | 2,152cc (131 ci) |
Kuasa maksimum | melebihi 200bhp pada 7,000rpm |
Tork maksimum | lebih 230Nm pada 5,200rpm |
Brek | cakera berkembar (depan) & cakera tunggal (belakang) |
Tayar | 120/75-17 (depan) & 200/65-17 (belakang) |
Tinggi pelana | 925mm |
Berat | 285kg (minyak & air, tanpa petrol) |
Laju maksimum | 285 km/h (Daytona 2023) |
Pemilik | Vance & Hines Racing |
Popular