Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 5 Januari 2024

Moto Guzzi V100 Mandello - Unik, Dinamik & Selesa

Perjalanan beberapa hari dengan jarak sekitar 800 kilometer dengan Moto Guzzi V100 Mandello cukup menyeronokkan. Bila sebut saja jenama ini, ramai yang akan kaitkannya dengan model-model retro dan sememangnya kenyataan itu benar belaka. Di negara kita khususnya, jenama dari Itali ini tidaklah begitu dikenali berbanding model-model lain yang datangnya dari negara yang sama.

Moto Guzzi merupakan antara jenama motosikal tertua di dunia. Ia mula diperkenalkan di Mandello del Lario, Itali pada tahun 1921 yang menggunakan 'Burung Helang' sebagai lambang rasminya. Pada tahun itu, motosikal pertama yang dikeluarkan ialah GP 500 dan pada tahun 1925, syarikat ini telah memiliki seramai 300 orang pekerja yang berjaya mengeluarkan kira-kira 1200 unit.

Sejarah syarikat ini memang cukup menarik untuk dibaca. Pelbagai usaha, kejayaan dalam perlumbaan, halangan dan ujian telah mereka tempuhi demi mempertahankan 'Sang Helang' ini. Sempena dengan 100 tahun penubuhannya, maka lahirnya sebuah model baru yang membuka 'pintu' buat syarikat ini mencipta kecemerlangan masa depan iaitu V100 Mandello. Selain model ini, Moto Guzzi V85 TT dan V7 juga popular di kalangan peminat.

Moto Guzzi V100 Mandello merupakan satu contoh terbaik betapa perlunya cetusan perubahan minda dan keberanian oleh semua 'ahli keluarga' syarikat itu demi penjenamaan semula atau peningkatan nilai penjualan. Berada selesa di posisi yang sama dan 'syok' sendiri adalah satu sikap utama 'Si Pemalas'.

V100 Mandello langsung tidak mendatangkan nostalgia lama, ia benar-benar idea inovatif baru. Lihat sahaja dari segi rekabentuk dan banding dengan ciptaan sebelum ini. Memang jauh berbeza. Model ini diperkenalkan dalam dua versi iaitu Mandello Standard (RM99,900) dan Mandello S (RM117,900). Kedua-dua varian ini dibezakan menerusi sistem saspensi iaitu V100 Mandello S menggunakan Öhlins.

Terdapat empat warna yang ditawarkan iaitu Bianco Polare (varian standard), Rosso Magma (varian standard), Verde 2121 (Mandello S), dan Grigio Avanguardia (Mandello S). Kami menunggang model biasa yang berwarna merah.

Dari depan, model ini tampak garang, sasa dan cukup langsing. Mandello dilengkapkan dengan lampu-lampu LED beserta lampu Daytime Running Light (DRL) yang berbentuk seperti sayap burung. Di bawah lampu ini terletaknya corong kemasukan udara yang direka cukup kemas sekali. Cermin pengadang anginnya pula boleh dilaras secara automatik – mantap!

Pastinya rekabentuk enjin merupakan peranan penting kepada rekabentuk keseluruhan. Mandello disepadukan dengan enjin 1,042cc, Euro 5, V-kembar 90° melintang yang nampak padat, kompak dan bertenaga. Memang 'design' padu enjin Mandello ini paling ketara, baru tengok dah rasa kagum! Mungkin bagi sesetengah orang, Mandello ini nampak biasa tetapi bagi pasukan Moto Guzzi sendiri, ia tetap satu langkah ke hadapan yang berani.

Lengan ayun sisi-tunggal diletakkan di sebelah kiri yang nampak cukup seimbang dengan ekzosnya (sebelah kanan) yang mantap. Menurut Moto Guzzi, posisi aci transmisi terletak jauh rendah agar bersesuaian dengan lengan ayun tunggalnya yang direka panjang melintang. Rekaan ini mengawal respon pergerakan lengan ayun jenteranya ketika pendikit dibuka.

Bentuk tangkinya direka selari dan bersepadanan dengan enjinnya yang berotot. Maklumat yang diberikan kepada pihak media bahawa panel sisi di bawah tempat duduk model ini 'diperolehi' daripada rekabentuk jentera lagenda Le Mans 1976 manakala fairing hadapannya pula, ia merupakan penghormatan kepada jentera Le Mans 850 III 1981. Rekaan ini dicipta bersesuaian dengan abad ke-21 bertujuan meningkatkan watak dan ketulenan Moto Guzzi. Terdiam juga seketika memikirkan begitu telitinya pemikiran penciptanya? Kita pula tengok macam biasa je.

Pelananya setinggi 815mm, mudah dinaiki oleh penunggang dan pembonceng. Posisi menunggang cukup relaks, sesuai benar buat peminat kembara atau kawan yang nak jaga pinggang. Biar tak penat, biar tak lenguh walaupun 'ride' jauh beribu batu. Jangan lupa ya, bawah pelana ini ada menawarkan soket USB. Saya juga rasa ketinggian bar hendalnya yang sempurna menyumbang kepada keselesaan dan pengendalian yang mudah.

Enjin Mandello ini 'bergetar' sebaik sahaja ia dihidupkan. Aduhai... best betul lah. Sistem elektroniknya menawarkan penggunaan Ride-by-Wire yang memberikan kita kepada 4 mod tunggangan iaitu Travel, Sport, Rain dan Road.

Setiap satu mod ini pula memiliki 3 lagi pemetaan enjin berbeza, 4 tahap traction control, 3 tahap brek enjin yang berinteraksi secara automatik dengan sistem saspensi Semi-Active Ohlins Smart EC 2.0. Memang betul-betul bersedia untuk membantu kita bergerak dengan selamat dalam apa juga cuaca dan keadaan jalan.

Kami tinggalkan Kuala Lumpur untuk menikmati prestasi jentera ini dan pada masa yang sama ingin menghilangkan tekanan dengan menuju ke utara. Singgah di Sungai Buloh kemudian terus ke Sekinchan dengan V100 Mandello ini.

Dengan kekuatan enjin setinggi 115hp pada 8,700rpm dan tork 105Nm pada 6,750rpm, memecut laju melebihi 200km/j bukanlah isu yang penting untuk dikongsikan tetapi kewibawaan kerangka dan sistem saspensinya mengimbangi setiap pergerakan dengan kestabilan itu terkawal. Sistem quick-shifter juga cukup menarik sekali dan sangat lancar. Dalam mod Sport dan Travel, kekuatan torknya bagaikan mahu untuk terus berlari. Fuh...

Moto Guzzi V100 Mandello memperkenalkan teknologi pertama di dunia iaitu Adaptive Aerodynamics System yang akan menggerakkan fairing 'deflector' di kiri dan kanan tangki secara automatik, macam 'transformer' rasanya! 'Deflector' ini bergerak secara automatik mengikut pilihan Mod Tunggangan atau Tahap Kelajuan yang telah ditetapkan.

Menurut Moto Guzzi, penggunaan 'deflector; aerodinamik ini mengurangkan tekanan dari udara kepada penunggang sebanyak 22% dan kesannya lebih mantap apabila cermin pengadang angin turut dinaikkan. Secara peribadi, posisi cermin itu memang membantu tetapi sistem 'transformer' itu tidaklah diperlukan kerana rasa sama sahaja. Mungkin rider yang lebih sensitif dapat menilainya dengan lebih baik. Pada saya, tak ada bezanya.

Menerusi panel meter TFT bersaiz 5 inci, kita dipaparkan dengan pelbagai maklumat penting dengan jelas. Menerusi paparan ini, kita boleh melihat pilihan Mod Tunggangan, tahap kelajuan, purata kelajuan, laju maksimum, tahap putaran rpm, purata penggunaan bahan api, posisi gear, lampu tinggi/rendah, pilihan talaan, jam, suhu, tongkat tengah dan penyambungan telefon pintar.

Dari Sekinchan, Mandello diarahkan ke Teluk Intan dan kemudiannya ke Lumut, Perak. Tekan sistem Cruise Control, kita kawal sahaja pergerakannya. Sebagai jentera kembara, kemampuan memberi keselesaan untuk dua orang adalah faktor yang sangat penting. Pembonceng mengharapkan pelana yang empuk, ruang tengah yang luas, tempat pemijak yang ideal dan tempat pemegang. Cantik... moden saja belum cukup, yang penting tak memenatkan.

Sistem saspensi yang dipadankan pada Moto Guzzi ini terdiri daripada fork hadapan USD 41mm boleh laras yang bekerjasama cukup cemerlang dengan penyerap hentak tunggal + pra-beban boleh laras. Solo atau berpasangan, kembara dengannya tidak mengecewakan.

Mandello dilengkapi dengan tayar-tayar bersaiz 120/70 – R17 (hadapan) dan 190/55 – R17 di belakang yang menggigit permukaan jalan dengan baik sekali. Pergerakan tayar ini juga dibantu dengan cukup efisien oleh sepasang brek cakera 320mm di depan dan 280mm (belakang) yang kedua-duanya dengan angkup Brembo. Model ini juga dipermantapkan dengan sistem Cornering ABS yang banyak kali membantu kami untuk kekal stabil ketika menurunkan kelajuan di waktu hujan.

Bila melihat senyuman daripada pembonceng selepas 400 kilometer perjalanan, itu tanda 'Lulus' buat motosikal yang kami uji kali ini. Lepas bermalam di Perak, V100 Mandello dihidupkan untuk membawa kami pulang ke Kuala Lumpur semula. RR

Isu Pada

Januari 2024

Spesifikasi

EnjinV-kembar 90 darjah melintang, 4 injap, sistem penyejuk cecair, sistem Ride by Wire
Isipadu1,042cc
Kuasa maksimum115bhp pada 8,700rpm
Tork maksimum105Nm pada 6,750rpm
Tayar120/70 - R17 (depan) & 190/55 - R17 (belakang)
Saspensifork USD 41mm boleh laras (depan) & lengan ayun sisi tunggal, penyerap hentak tunggal dengan pra-beban boleh laras (belakang)
Brekbrek cakera berkembar (depan) & cakera tunggal (belakang)
Berat basah233kg
PiawaianEuro 5
Isi Tangki17 liter

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.

Model Baru

Yamaha Europe Perkenalkan Tracer 9, Tracer 9 GT & Tracer 9 GT+ 2025

Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan rangkaian Sport Touring mereka bagi tahun 2025 iaitu Yamaha Tracer 9, Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+ Y-AMT.

Model Baru

Honda CB1000 Hornet & CB1000 Hornet SP 2025 Dilancarkan Untuk Pasaran Eropah

Honda Eropah kembali dalam segmen Hypernaked dengan melancarkan model terbaru iaitu Honda CB1000 Hornet 2025.