Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 3 Julai 2024

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Lima tahun lalu (Mei 2018) apabila Markus Schramm mengambil alih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif BMW Motorrad, salah satu tindakan beliau adalah untuk membatalkan proses mengemas kini model jualan terbesar syarikat, R1250 GS sebaliknya memerintahkan juruteranya untuk memulakan semula pembikinan model baru secara total.

“Ia terlalu besar dan tidak cukup inovatif berbanding dengan apa yang kami lakukan sejak sedekad yang lalu atau lebih. Saya mahukan langkah yang jauh lebih besar daripada apa yang mereka rancangkan,” katanya kepada saya sebelum hari persaraannya baru-baru ini.

Hasilnya... lahirlah satu 'bintang' serba baru (direka dengan bijak), R 1300 GS 2024 yang dilancarkan pada 28 September 2023 lalu. Ia adalah hari yang sama BMW meraikan ulang tahun ke-100 motosikal pengeluaran pertamanya, R32.

Dr. Schramm berpuas hati dengan ciptaan ini selepas lima tahun menghabiskan banyak waktu untuk mencipta semula BMW Motorrad sebagai jentera pengilang elektrik dan ICE.

Terima kasih kepada keputusan pengurangan EU yang membenarkan jentera pembakaran bahan api dan elektronik pada kedua-dua segmen (roda dua dan empat untuk terus dijual selepas 2035. Ini termasuk masa depan derivatif model GS baru ini.

“Walaupun saya yakin bahawa akan ada peningkatan ramai orang yang meminta untuk memiliki E-mobiliti lebih-lebih lagi untuk motosikal. Namun begitu, hakikatnya masih ada banyak tempat di mana jentera elektrik langsung tidak sesuai berbanding jentera biasa dan.... Adventure Touring adalah salah satu daripadanya,” kata Dr. Schramm.

Dalam sejarah model GS yang telah berada di pasaran sejak 43 tahun yang lalu iaitu dari tarikh pengenalannya pada tahun 1980 menerusi model R80 G/S. Ia adalah satu evolusi jentera pengembaraan yang cukup penting. Dari ciptaan itu, kita bandingkan pula dengan model terbaru ini dan serta merta kita akan lihat bukti perubahan yang dilakukan.

GS ‘24 memiliki wajah yang benar-benar baru, dengan lampu LED matriks dibentuk dengan format 'X'. R 1300 GS juga lebih kompak dan lebih mudah diakses. Tangki bahan api yang lebih rendah dan bahagian ekor yang lebih pendek, bertujuan untuk menjadikannya selesa buat penunggang tanpa mengira soal ketinggian. Semuanya dapat menikmati BMW ini untuk pengembaraan jarak jauh di jalan raya mahu pun di laluan lasak.

Terdapat lebih daripada 60 jenis aksesori, termasuk tempat duduk tujuh ketinggian di antara 800mm hingga 890mm. Model ini juga dikatakan sebagai motosikal AI pertama yang dapat 'berfikir sendiri'. Contohnya pelarasan ketinggian tunggangan elektronik, sistem saspensi elektronik Semi-Active dan peranti brek automatik yang dapat menyelamat nyawa penunggang.

Model ini dilengkapi dengan pemanas pendikit (3 tahap), sistem kunci pintar, sistem Cruise Control dengan Penggera Amaran Perlanggaran, Pemantauan Tekanan Tayar, penunjuk LED (handguard), sistem ABS Pro, Hill Start Control, panel meter TFT 6.5 inci, mod tunggangan (Rain, Road, Eco & Enduro) dan bateri lithium ringan.

Terdapat juga sistem Dynamic Traction Control (DTC), Dynamic Brake Control (DBC), Engine Drag Torque Control MSR, ruang pengecasan telefon pintar di hadapan lengkap dengan port pengecasan USB dan soket kuasa 12V. GS baru ini juga dipasangkan dengan tongkat tengah. Paling menyenangkan ialah model baru ini 12kg lebih ringan daripada sebelumnya. Ia seberat 237kg termasuk isian penuh di tangki bahan api aluminium bersaiz 19 liter.

Objektif dalam rekaan yang ditetapkan oleh Schramm adalah untuk menjadikan R1300 GS lebih ringan, lebih kompak, lebih berkuasa, dan lebih berkebolehan daripada pendahulunya tetapi semuanya itu perlu dilakukan tanpa perlu mengubah konfigurasi enjin berkembar 'flat-twin'nya.

Oleh itu, enjin Boxer 8 injap DOHC yang baru ini merupakan enjin jentera jalanan yang paling berkuasa yang dibina BMW. Kapasiti meningkat daripada 1,254cc kepada 1,300cc tepat menerusi saiz gerek 106.5mm yang lebih besar (naik daripada 102.5mm) dan lejang 73mm yang lebih pendek (76mm). Hantaran kuasa maksimum juga meningkat sebanyak 9bhp kepada 145bhp/107kW pada 7,750 rpm, dan tork tertinggi dari 142Nm/105lb-ft (model terdahulu) kepada 149Nm/110lb-ft pada 6,500 rpm.

Enjin 'flat-twin' ini juga lebih pendek yang diperolehi menerusi sistem kotak gear enam kelajuan yang kini terletak di bawah enjin dan bukan di belakangnya. Sistem transmisi model ini juga 6.9kg lebih ringan daripada GS lama.

BMW berjaya mendapatkan lebih ruang yang tercipta apabila fizikal yang lebih kecil tetapi dengan enjin berkapasiti lebih besar. Ini juga membolehkan BMW meletakkan sistem ekzos penyenyap bersaiz besar (mematuhi Euro 5) dan pemangkin di belakang enjin, menyebabkan hujung ekzos lebih kemas dan boleh dipasang di bahagian bawah sebelah kanan. Saiz tapak roda masih sama iaitu 1,518mm dan ini disebabkan lengan ayun untuk GS baru ini 5mm lebih panjang daripada sebelumnya.

Rangka GS dihasil menggunakan keluli - proses penekanan, kimpalan-laser yang menggunakan enjin sebagai struktur komponen. BMW menyatakan, casis baru lebih padat dan lebih tegar. Sub-kerangka belakang pula dari aluminium tetuang yang juga lebih kuat dan ringan.

Menurut Ketua Projek GS baru, Christian Hahn-Wörle, kerangka baru ini meningkatkan kestabilan dan dinamik tunggangan kerana ia direka dengan baik untuk menampung berat penunggang, pembonceng, dan bebanan bagasi. Model ini juga hadir dengan sistem saspensi belakang jenis EVO-Paralever yang lebih padu bersama kemampuan melentur.

Rim hadapan bersaiz 19 inci masih dikekalkan (dengan bahagian belakang 17 inci dan kedua-duanya jenis aluminium tuang), ini menghasilkan sebuah motosikal yang intuitif dalam pengendalian khususnya di selekoh-selekoh yang tajam seperti yang saya temui di laluan selatan Sepanyol pada sessi Press Launch yang diadakan di Malaga.

Anda boleh menyusuri laluan berselekoh tajam dalam kelajuan tinggi dengan mudah walaupun dengan sebuah motosikal yang bersaiz besar ini. Saya turut memainkan peranan dalam pembangunan sistem penyerap hentak telelever 30 tahun yang lalu – dalam perlumbaan Saxon Triumph. Sistem penyerap hentak bahagian hadapan BMW Saxtrak tidak dipatenkan, ini membolehkan BMW meraih idea untuk mencipta Telelever yang terus digunakan hingga ke hari ini.

Dengan 'tercetus'nya tork tambahan pada enjin baru ini, pecutan sememangnya yang lebih baik dan kita juga akan sentiasa menggunakan satu gear lebih tinggi berbanding corak penggunaan gear pada model sebelum ini. R1300 GS lebih 'torquier' dan lebih mengujakan untuk kita menikmati kekuatan julat putaran kuasanya berbanding sebelum ini. Siapa sangka peningkatan yang hanya 50cc akan membuat perubahan sedemikian!

Kita sudah pasti akan mengurangkan penggunaan gear – gear ketiga terutamanya memiliki nisbah cukup baik yang membolehkan kita meratah satu belokan demi belokan dengan mudah dan tanpa ragu-ragu. Menerusi sistem Single Gear-Driven Counterbalancer, ia akan menarik tenaga enjin dengan bersih pada gear atas dari hanya 1,500 rpm tanpa gangguan transmisi. Panel meter TFT 6.5-inci akan berkelip-kelip pada 7,000 rpm yang menyuruh kita untuk menukar gear dengan sangat lembut sekali.

Sayangnya GS ini tidak boleh diberikan markah 10 per 10 disebabkan penetapan sistem transmisinya 'super' sensitif. Kita mungkin akan menukar gear secara tidak sengaja, hanya kerana meletakkan kaki di atas ruas gear. Maaf.... ia model kembara yang tidak perlu langsung dipadankan dengan sistem sebuah jentera sportbike.

Tubuh badan yang kompak dan pelana setinggi 850mm memberikan banyak ruang walaupun untuk penunggang setinggi 180cm seperti saya. Pelananya cukup empuk, mewah dan saya boleh meletakkan kedua-dua kaki rata di atas tanah.

BMW baharu terasa lebih lincah dan lebih mudah dikawal berbanding para pencabarnya seperti Honda, KTM atau Triumph. Terima kasih kepada geometri stereng yang agak konservatif, BMW lebih ringan daripada nama-nama saingannya.

Untuk menambah keselesaan tunggangan, BMW melengkapkan model ini dengan cermin pengadang angin boleh laras (manual) dan terdapat juga cermin ini dengan versi talaan automatik (pertama untuk model GS). Cermin atau skrin pelindung angin ini sangat diperlukan terutamanya ketika kita memerah pendikit pada kelajuan 160 km/j dan ke atas. Tak ada masalah ketidakstabilan walaupun apabila skrin itu ditala pada ketinggian maksimum.

Hantaran kuasa dan kejituan sistem transmisinya adalah sangat baik. BMW menyatakan pecutan dari 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 3.40 saat sahaja. Kemerduan enjin Boxer ini berputar dalam keadaan melahu memang asyik untuk didengar. Pilih mana-mana mod tunggangan, dan bersedia untuk menikmati prestasi enjin yang sedia membawa anda ke mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

Kebanyakan perjalanan saya di Malaga menggunakan model asas R1300 GS, tetapi saya sempat merasakan versi GS Trophy (varian 'offroad') untuk jarak sekitar 80km termasuk 'offroad' pendek sepanjang 10km di Taman Enduro berhampiran pantai.

Antara pembezaan paling ketara pada tayar - Metzeler Karoo 4 (berharga £830 lebih) dalam UK, pelana Rally 870mm yang lebih tinggi, pelindung Grill Radiator dan rim jenis jejari. Turut ditawarkan ialah Pakej Dynamic bernilai £1,600 dengan Mod Tunggangan Tambahan, Pek Enduro £600 (bar pelindung enjin, bar hendal, tempat letak kaki & tuas boleh laras) dan penambahan lampu depan bernilai £460 lagi.

Tidak perlu menggunakan tuas klac untuk bergerak dengan cepat. Anda hanya perlu pulas pendikit – dan pergi. Apabila kita menggunakan mod Enduro, kita rasai pecutan yang lancar dengan sistem TC dimatikan. Puas hati!

R 1300 GS boleh didapati dalam beberapa varian lain selain model Asas iaitu Triple Black, GS Trofi, dan 719 Tramuntana (Pilihan). Vergi 'Triple Black' memang cukup mengujakan. Model ini serba serbi berwarna hitam dan lengkap dengan ciri-ciri bagasi pembawa, skrin boleh laras elektrik, dan tempat duduk yang lebih mewah. Trofi GS pula merupakan versi jalan lasak atau 'offroad' yang hadir dengan warna Racing Blue Metallic dan hadir dengan pelindung radiator serta aksesori lain.

Pilihan terakhir ialah 710 Tramuntana yang kelihatan elegan menampilkan roda jenis 'wayar' berjejari emas, komponen berwarna hitam yang dipadankan dengan kemasan cat berkualiti tinggi.

Saya telah menaiki dan menguji keluarga BMW GS sejak tahun 1980, menerusi R80 G/S. Kali ini ternyata banyak perubahan, peningkatan yang ketara berbanding apa yang berlaku sebelum ini. Kedua-dua versi kelihatan lebih langsing dan lebih kompak daripada sebelumnya. Ini menjadikannya lebih mudah dan lebih intuitif untuk ditunggangi.

Berbanding dengan trend semasa – pengeluaran jentera kembara (Adventure) yang lebih besar dan lebih berat, saya percaya BMW telah membuka pemikiran baru buat bakal pelanggannya. Semasa menikmati matahari terbenam di Aegean, Markus Schramm mesti berpuas hati dengan keputusannya dan berjaya memberikan satu produk buat BMW yang kini menetapkan piawaian 'tinggi' untuk pesaingnya. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: BMW Motorrad/Markus Jahn, Daniel Kraus dan Jörg Künstle

Isu Pada

Januari 2024

Spesifikasi

EnjinBoxer 8 injap DOHC, 4 lejang, sistem penyejuk cecair/udara
Isipadu1,300cc
Kuasa maksimum145bhp pada 7,750rpm
Tork maksimum149Nm pada 6,500rpm
Tayar120/70 R19 (depan) & 170/60 R17 (belakang)
SaspensiEVO Telelever (depan) & lengan ayu sisi-tunggal aluminium tetuang dengan BMW Motorrad EVO Paralever II (belakang)
Brekcakera berkembar (depan) & cakera tunggal (belakang)
P x L2,212mm x 1,000mm (dengan pelindung tangan)
Tinggi pelana850mm
Isi Tangki19 liter

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Nikmati Gaya & Keseronokan Royal Alloy GP250S Youth Edition

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Warta Roda

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Sekalung tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di atas pencapaian pengeluaran motosikal mereka yang ke- 6,000,000 unit. Bersempena dengan hari bersejarah itu, pihak HLYM telah merasmikan muzium motosikal pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Space Y.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.