Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Januari 2024

Suzuki GSX-8S: Memang Senang... Memang Seronok!

Kalau bercerita pasal model jalanan keluaran Suzuki, RR dah uji pelbagai model sejak dari dulu lagi. Paling awal antara GSX 1100, Suzuki Bandit termasuklah siri-siri baru seperti SFV650 Gladius, SV650, Katana, GSX-S1000, GSX-750, GSX-R150 dan terbaru ialah GSX-8S. Model ini boleh kami katakanlah yang paling menyeronokkan.

Keseronokan yang saya maksudkan adalah melibatkan beberapa aspek seperti kelincahannya di dalam kotaraya, mudah untuk dikendalikan, pecutan pantas di lebuhraya dan kemantapannya di laluan berselekoh.

Ketinggian bar hendal dan sudut putarnya yang luas adalah satu kelebihan yang ada pada model ini. Dengan GSX-8S, menunggangnya di kawasan yang agak terhad lagi menjengkelkan – ada beberapa model yang kita perlukan lebih tenaga dan masa hanya untuk keluar dari suatu ruangan yang sempit, dengan Suzuki baru ini tidak lagi menjadi masalah besar.

GSX-8S juga cukup ringan. Ia hanya 202kg dan menjadi faktor utama juga mengapa pengendaliannya cukup mudah dan tidak memenatkan. Bandingkan dengan Katana yang seberat 215kg, GSX-S1000 (209kg) atau GSX-S750 (211kg) yang kesemuanya agak berat. SFV650 Gladius sahaja yang sama berat iaitu 202kg.

Spesifikasi enjin model jalanan 2023 ini juga menyumbang kepada penurunan nilai berat keseluruhannya. GSX-8S disempurnakan dengan enjin kembar parallel 776cc DOHC, 4 lejang, sistem penyejuk cecair yang direka dengan dimensi yang lebih kompak dan ramping. Menerusi rekabentuk enjin baru ini, geometri casis juga telah direka untuk respon serta pergerakan yang efektif.

Seperti yang kita tahu, enjin kembar-parallel dicipta dalam berbagai konfigurasi (270°, 360°, 180° atau 275°) dan enjin sebegini memang perlukan bantuan atau penambahan pengimbang kedua/bantuan. Suzuki juga memperkenalkan ‘alat bantuan’ moden mereka iaitu Suzuki Cross Balancer. Ia adalah pengimbang dwipaksi yang diletakkan pada aci engkol bertujuan untuk
menahan getaran pada bahagian enjin seterusnya membantu menjadikan rekabentuk enjin lebih kecil. Setelah diujinya dalam pelbagai sudut (kelajuan laluan lurus dan keluar selekoh), model 8S memang masih ada getarannya tetapi sangat kecil.

Dengan adanya sistem elektronik moden, GSX-8S hadir dengan tiga mod tunggangan iaitu A, B dan C. Jujurnya saya tidak menyangka hantaran kuasa enjinnya cukup bertenaga dalam semua kedudukan gear, lebih-lebih lagi dalam pilihan mod A.

Ketika berada di dalam bandar atau bermain selekoh-selekoh kecil dan tajam, mod B bagi saya sudah cukup ‘power’. Kuasa yang disalurkan daripada enjin ke pendikit yang cukup tepat memudahkan kita mengawal pergerakan jentera ini dengan mudah sekali. Pilih gear sesuai, faham sudut selekoh dan baringkannya tanpa ragu-ragu. Suzuki ini meluncur dengan cukup bergaya.

Sebaik sahaja kita berada di selekoh-selekoh yang lebih besar atau berada di lebuhraya, nikmati kuasa 82hp dan 72Nm tork sepenuhnya dengan menggunakan mod A. Tenaga maksima yang dihamburkan oleh enjin 8S ini sebaik sahaja putaran enjin mencecah 7,000rpm (dan ke atas) memang cukup menggiurkan.

Kerangka utama model ini tidak begitu berbeza dengan V-Strom 800 baru tetapi pastinya sub-kerangka model jalanan ini berlainan. Ia bertegaran tinggi dan direka dengan
baik untuk pergerakan yang stabil walaupun ditunggang oleh penunggang baru. Sesiapa sahaja akan dapati 8S ini mudah sekali untuk dijadikan kawan.

Walaupun 8S ini didatangkan dengan sistem Suzuki Clutch Assist (SCAS) dan sistem Quick Shifter, sayang sekali… saya tidak dapat menikmatinya seperti mana yang diharapkan. Tuas klac tak lembut, naik/turun gear pun tak lancar. Aduhai, bab ini memang sedih sikit lah.

Ketika menguji V-Strom 800 tempohari, sistem ini memang sangat disukai tetapi kurang saya gemari dengan 8S ini. Tidak ada konsistensi pada dua model yang diuji dan mungkin masalah ini hanya untuk unit ujian bagi pihak media sahaja dan tidak timbul sama sekali pada model-model yang dipasarkan.

Pelananya yang setinggi 810mm ‘super selesa’ dan paling disukai ialah pelana pemboncengnya yang nampak macam kecil tapi sebenarnya memang selesa. Lengan ayun model ini dihasil menggunakan aluminium yang dipasangkan dengan sistem saspensi belakang jenis boleh laras yang terbukti sangat membantu dari segi penambahan keyakinan sewaktu menunggang solo atau berdua. Suzuki juga menampilkan model 8S dengan tapak roda lebih panjang (1,465mm) yang menawarkan kestabilan tinggi. Ya… 8S ini sememangnya direka untuk kesesuaian semua.

Dalam hujan, sudah tentu saya memilih Mod C yang menawarkan hantaran kuasa lebih rendah disamping pemilihan sistem Suzuki Traction Control yang mengawal pergerakan jentera dengan baik. Segala pemilihan sistem elektronik dapat kita lakukan menerusi suis mudah di sebelah kiri bar hendal manakala paparan TFT berwarna penuh model ini juga terang, jelas dan sangat mudah untuk digunakan.

Pastinya rekabentuk serba baru yang ditawarkan oleh para jurutera Suzuki menerusi GSX-8S ini membuka lembaran baru produk-produk mereka. Bahagian hadapan ‘tajam’, unik dan lebih hardcore, dipadankan dengan lampu-lampu LED dua lapisan yang memberikan pencahayaan cukup tajam dan tepat. Suluhannya cukup cemerlang di dalam kawasan gelap dan memudahkan tahap visual kita dalam semua keadaan.

Tangki dwi warna bersaiz 14 liter GSX ini tampak kemas dengan adanya fairing kecik sisi dengan corak ‘8S’ dan rekabentuknya cukup ‘sedap’ untuk dikepit ketika memecut atau berada di dalam selekoh. Sistem ekzos 2-1 ini berbentuk pendek, disempurnakan dengan Catalytic-Converter 2 tahap untuk pelepasan piawaian Euro 5 dan pada masa yang sama menghasilkan ‘suara’ yang sangat padu – sesuai benar dengan enjin kembar-parallel.

Memecut sebuah jentera yang datangnya dengan casis yang tegar, enjin kompak dan pengendalian padu memang memuaskan hati. Tenaga hadir dengan sangat tepat dan lancar dari kedudukan gear pertama. Seperti yang dikatakan tadi, jika tidak ada sebarang isu dengan tuas klac dan sistem transmisi, 8S memang sempurna sekali. Pergerakan cukup tegap, tak ada goyang-goyang walaupun kelajuan melebihi 180km/j. Memang ia boleh laju lagi tetapi ketiadaan cermin pengadang angin menghadkan pecutan. Laju-laju sangat pun nak ke mana kan?

Menunggang jentera naked Suzuki di dalam bandar memang menarik perhatian ramai. Pakej lampu LED + bentuk unik + suara merdu yang ditawarkan oleh Suzuki mendapat pujian ramai. Sistem Low RPM Assist melancarkan pergerakan khusus dalam kelajuan rendah dan sistem ini aktif sebaik sahaja kita mengangkat tongkat sisi.

Rekaan yang paling banyak mendapat komen ialah pada bahagian lampu belakang dan lampu isyarat (belakang) yang disepadukan pada bahagian madgad. Kami menerima pelbagai riaksi, ada yang okay…ada yang mengerutkan dahi dan ramai yang tersenyum. Anda bagaimana?

Untuk diserasikan dengan prestasi mantapnya, 8S telah menerima sepasang brek cakera jenis Nissin di bahagian hadapan bersaiz 310mm dan belakang 240mm berserta ABS. Tahniah, brek-brek Suzuki ini memang boleh diharap mengawa dan cukup efisien untuk menurunkan kelajuan dengan pantas.

Secara keseluruhannya, ia memang antara model paling sesuai untuk pelbagai tujuan termasuk di kotaraya atau pun di laluan-laluan berliku. Suzuki GSX-8S hadir ke pasaran pada harga RM51,000 dengan dua pilihan warna iaitu Pearl Cosmic Blue/Pearl Tech White dan Metallic Matt No.2/Glass Sparkle Black. RR

Isu Pada

Januari 2024

Spesifikasi

Enjinenjin berkembar parallel, DOHC, 4 lejang, sistem penyejuk cecair
Isipadu776cc
Kuasa maksimum82hp pada 8,500rpm
Tork maksimum78Nm pada 6,800rpm
saspensifork teleskopik USD (depan) & penyerap hentak berspring (belakang)
Tayar120/70-17 (depan) & 180/55-17 (belakang)
Brekcakera berkembar (depan) & cakera tunggal
Berat202kg
Tinggi pelana810mm
PengeluarSuzuki Malaysia Sdn bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Warta Roda

SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900

Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.

Model Baru

Honda CB1000 Hornet & CB1000 Hornet SP 2025 Dilancarkan Untuk Pasaran Eropah

Honda Eropah kembali dalam segmen Hypernaked dengan melancarkan model terbaru iaitu Honda CB1000 Hornet 2025.