Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 2 Oktober 2020

Suzuki F50 SuperStepthru Pemangkin Kejayaan Suzuki Di Australia

Bayangkan anda sedang berada di litar perlumbaan lebih kurang 45 tahun yang lalu, menunggang sebuah jentera lumba 125cc. Ketika sedang mengorak langkah untuk mencapai kemenangan, tiba-tiba anda dipintas oleh sebuah motosikal merah yang cukup pantas dan lincah. Itulah dia… Suzuki Stepthru dan kemudian digelar SuperStepthru apabila jagoan motosikal, Graeme Laing berjaya menala jentera Suzuki tersebut menjadi motosikal Sang Juara yang berjaya beberapa kali menewaskan ramai pencabarnya.


Dalam dunia perlumbaan, keberanian amat diperlukan untuk jadi berbeza kerana ia akan sentiasa diingati tetapi apabila anda mampu untuk berada di hadapan atas usaha sendiri menjadikan jentera lumba itu hebat…. Ia jauh lebih baik dan lebih cemerlang. Inilah sebabnya Graeme Laing yang berasal dari Australia bersungguh-sungguh mengedarkan dan memperkenalkan jentera Suzuki pada tahun 1970 dan dia kini merupakan pengasas dan CEO sebuah syarikat pengeluar motosikal di Melbourne.

Untuk tujuan pemasaran, beliau turut berlumba dan membuktikan kemantapan jenama Suzuki yang ketika itu kurang diminati dan agak ketinggalan berbanding Honda dan Yamaha. Sebelum kemunculan model T500 berenjin kembar parallel dengan sistem penyejuk cecair pada tahun 1968, Suzuki tidak pernah menghasilkan jentera untuk para pelanggannya yang lebih besar daripada model T20. T20 bersesaran 250cc dan secara ringkasnya, prestasi jentera ini di dunia perlumbaan juga tidaklah begitu memberangsangkan.

Pada tahun 1969, Laing memasukkan Peter Jones dalam perlumbaan Australia TT yang berlangsung di Surfers Paradise. Jones merupakan seorang pakar pemasangan motosikal dan pada masa yang sama, seorang mekanik yang benarbenar berbakat. Keupayaan pelumba ini begitu hebat apabila meraih kemenangan hatrik dalam kemunculan pertamanya.

Jones menjuarai kelas 250cc, 350cc dan 500cc di perlumbaan TT dengan menunggang sebuah jentera 250cc, dua lejang dan kemudiannya meraih tempat ketiga dalam perlumbaan terbuka yang turut disertai oleh motosikalmotosikal lumba yang dua kali lebih besar daripadanya. Selepas mendapat kepercayaan daripada para pelanggannya mengenai kemantapan jentera Suzuki, Laing akhirnya membuat keputusan untuk turut berlumba dalam kelas 125cc dengan menala jentera F50 Stepthru yang dilengkapkan dengan kit perlumbaan dari kilang.


Peter Jones bercerita, “Kali pertama saya bertemu dengan Graeme ialah ketika menyertai Sandringham Motorcycle pada tahun 1960 dan kami terus bersahabat. Pada tahun 1965, beliau menubuhkan Melbourne Motorcycle Company (MMC) dengan kemudiannya mengambil saya bekerja sebagai pemasang jentera Suzuki yang buat kali pertamanya tiba di Victoria 1965-1966. Saya dapat melakukan tugasan dan arahan dengan baik dan ini membuatkannya Laing berminat untuk mengambil saya bekerja sepenuh masa.

“Ini detik permulaan kerjasama baik di antara kami berdua di MMC. Kami bertahan cukup lama sehinggalah Suzuki Australia mengambil alih pada tahun 1982. Saya bersama seorang lagi kakitangan sangat bertuah kerana berpeluang bekerja di dalam suasana dunia perlumbaan yang sangat menarik dan menyeronokkan. Kami mencapai banyak kemenangan dengan TR250, kemudiannya TR500 GP Racer dan yang terakhir dengan mesin RG500.

Kurus, ramping, tinggi dan ringan. Itulah ‘spesifikasi’ Graeme Laing dan sebenarnya, dia juga sudah lama bergelar pelumba iaitu sejak tahun 1958 lagi dengan menggunakan jentera BSA Bantam. Oleh itu…. Selepas penubuhan MMC, dia kembali berlumba dengan mesin Suzuki A100 di waktu lapang dengan harapan dapat mempromosi dan meningatkan kadar penjualan Suzuki di Australia.

Untuk tujuan perlumbaan, jenteranya dikemaskan dengan kit perlumbaan yang asalnya dibuat dan dibangunkan untuk jentera-jentera lumba motorcross. Pastinya ketika itu, tiada siapa yang menyangka seorang pelumba dapat bersaing dengan sangat hebat menggunakan jentera A100… walaupun untuk separuh perlumbaan.

Model ini dilengkapi dengan injap-rotari yang berharga cukup mampu milik serta sangat popular pada tahun 1966 hinggalah 1976. Kit perlumbaannya memang mempertingkatkan prestasi jentera ini yang mungkin didapati daripada jentera GP Racer Suzuki 50/125cc yang telah menobatkan Hugh Anderson sebagai juara dunia sebanyak empat kali. Teknologi ini dicipta oleh pelumba MZ, Ernst Degner yang kemudiannya berpindah ke Jepun bersama-sama rahsia teknikal tersebut.

A100 disempurnakan dengan enjin 98cc, silinder tunggal dan menurut US Technical Bulletin yang disiarkan pada 1hb Ogos 1969 lalu, kit perlumbaan yang dipasang pada model ini mampu meningkatkan kuasa maksimumnya sehingga 17bhp, dua kali ganda lebih tinggi daripada siri produksi biasa iaitu 9.5bhp.

Pot ekzos model ini berbentuk T, silinder yang diubahsuai semula, karburetor Mikuni 20mm lebih besar, omboh yang dipertingkatkan, sistem nyalaan CDI, ekzos lebih lancar, nisbah lebih rapat untuk transmisi empat kelajuan dan tangki minyak enjin kecil berasingan.

Menurut Peter Jones, dia masih ingat Graeme Laing pernah menelefon kilang Suzuki pada tahun 1967 untuk bertanyakan sama ada enjin A100 (98cc) boleh ditingkatkan kepada 125cc dan jawapan yang mereka dapati; “Ia tidak direka untuk sebarang pengubahsuaian dan penukaran kepada mesin perlumbaan 125cc sejak dari mula lagi.” – Jadi… memang hebatlah kalau berupaya melakukannya.

Apa pun, pada tahun 1969, sekali lagi Graeme Laing meminta bantuan Suzuki untuk mendapatkan cara terbaik menambah kuasa jentera Suzuki tersebut. Ini jawapan yang diterima…
“Kami telah pun menguji dan mencuba untuk tambah kapasitinya beberapa kali tetapi disebabkan silinder ini tidak begitu tebal, banyak kerosakan berlaku pada bahagian omboh. Untuk atasinya, kita perlu membuat silinder lebih istimewa dengan ketebalan bahagian silinder ini ditinmgkatkan tetapi piston Wiseco pula tidak dapat dimuatkan.”

Suzuki turut mencadangkan cara untuk mendapatkan pengendalian yang lebih baik iaitu dengan melakukan sedikit pengubahsuaian pada bahagian lengan ayun. Fork hadapannya diganti dengan Ceriani Forks manakala penyerap hentak belakang disempurnakan dengan penyerap hentak Girling. Graeme turut dimaklumkan bahawa, pengedar mereka di Venezuela turut menjaya mendapatkan cara untuk memperbaiki tahap pengendalian. Ini bererti, bukan Graeme seorang sahaja yang sedang mengubahsuai A100.

Graeme lebih mengutamakan prestasi enjin dan berjaya mendapatkan hampir apa sahaja yang dihajati dan akhirnya mampu memperoleh keputusan yang membanggakan. Pada tahun 1970, Laing berjaya menewaskan Len Atlee untuk menang di Hume Weir dan kemudian menamatkan saingan di Isle Of Man Classic di tempat kedua.

Pada tahun 1971, Laing bertukar selera untuk berlumba dengan menggunakan jentera Suzuki F50 Stepthru 125cc. Sebuah model yang lebih berkuasa dan diperhebatkan dengan enjin A100-2 talaan  semula. Ternyata kemampuan Graeme membuat talaan pada jentera tersebut telah menjadikannya cukup popular. “Kalau tidak mampu untuk menang, biarlah penyertaan itu sesuatu yang hebat dan membanggakan.” – Graeme buktikan bahawa dia mampu menang dengan hebat sekaligus dengan jentera Suzuki tersebut.

Graeme kemudiannya berlumba di Philip Island pada tahun 1971 dan untuk menarik perhatian ramai, dia mengenakan pakaian golongan atasan – siap bertali leher yang dikemaskan di atas sut perlumbaan. Ramai penonton yang terhibur dan sukakannya. Dari situ, dia dan jentera SuperStepthru berkunjung pula ke McNamara yang terletak di Selatan Australia dan Graeme masih mengekalkan cara persembahannya. Bagaimana pun, dia tidak dibenarkan berlumba dan terus disenaraihitamkan. Menurut pihak yang bertanggung jawab dalam keputusan tersebut, mereka menerima aduan daripada para penonton mengenai seorang pelumba yang tidak memakai sut perlumbaan dengan betul.

Walaupun begitu, SuperStepthru menjadi pilihan dan kegemaran para penonton tidak kira di mana sahaja bersaing. Graeme juga semakin selesa untuk mengendalikan mesin ini kerana kerangkanya yang tegar serta sifat semulajadi jentera ini yang lincah. Ini membolehkannya sentiasa berada di antara lima pelumba terbaik di setiap perlumbaan. Graeme gagal menamatkan perlumbaan sebanyak dua kali dan kedua-duanya di Calder. Yang pertama, dia terbabas dalam hujan manakala insiden kedua terjadi apabila pelumba di hadapannya terjatuh dan dia tidak sempat untuk mengelak.

Tidak lama kemudian, lokasi dan litar perlumbaan bertukar dan adakalanya memerlukan pengendalian lebih jitu. Jentera Suzuki ini mempunyai tapak roda yang sangat pendek iaitu 1,040mm sahaja – agak menggangu jika berada di laluan tidak rata. Untuk mengatasi masalah ini, Graeme berniat untuk mengubahsuai lengan ayun Suzukinya menjadi lebih panjang tetapi masa tidak menyebelahinya kerana…..


Jangan lupa, dia juga seorang ahli perniagaan dan memiliki banyak motosikal lain untuk tujuan perlumbaan termasuklah jentera terbaru ketika itu, GT750 Triple dengan sistem penyejuk cecair. Akhirnya dia terpaksa menjual jentera. SuperStepthru berenjin A100 kepada ahli kelab Melbourne University Club, Rod Ward yang kemudiannya menjual pula motosikal tersebut kepada seorang pelumba tempatan, Duncan Simons.

Duncan memacu jentera ini agak lama sehinggalah ia perlu diperbaiki. Dia menghantar jentera ini ke sebuah bengkel milik Peter White. “Saya memang pencinta Stepthru. Kali pertama melihat jentera ini pada usia 14 tahun dan terus jatuh cinta. Saya memiliki Honda C90 dan benarbenar menyanjungi Graeme Laing ketika menunggang jentera ini di Calder. Ketika membaikinya untuk Duncan, saya telah pun katakan padanya bahawa saya ingin membeli motosikal ini jika dia berhajat.” Pada tahun 1993, Suzuki Stepthru ini telah berjaya berpindah milik sekali lagi.

Karier Peter dalam dunia perlumbaan tergendala selepas terlibat dalam kemalangan motosikal. Tulang belakangnya patah dan tidak dapat menunggang apa pun selama 10 tahun, katanya. Pada tahun 2005, Peter lebih bersemangat dan jauh semakin kuat untuk menunggang semula. Kesemuanya ini kerana dia sudah melihat SuperStepthru telah diperbaiki dan dicantikkan semula. Peter menyertai Australia Historic Championship yang diadakan di Symmons Plains, Tasmania. “Ini merupakan kali keempat saya menunggang motosikal ini. Tiga persaingan sebelum ini di Bradford dan berjaya berada di posisi pole setiap kali menyertainya,” tambah Peter yang menang tempat keempat di Tasmania.

“Ia masih menggunakan sistem saspensi dan brek asal. Tokok kelajuan dan kesemua kabel juga berfungsi dengan sempurna sekali. Tubuh luaran jentera ini juga masih yang asli… memang hebat. Saya cuma menggantikan madgad belakang dengan nacelle yang terdapat dalam kit perlumbaan. Kotak gear bernisbah rapat juga masih saya simpan – ia sepantas model T125. Cuma gear pertama agak panjang sedikit. Ia hanya 67kg… sangat ringan dan mudah untuk dikendalikan,” kata Peter lagi.

Ia memang cukup ringan dan saya dapat rasakan ketika berpeluang menguji jentera ini – benar-benar menghargai Peter yang membenarkan saya menunggang jentera lagenda ini. Saya diberi kesempatan selama 15 lap di litar Bradford yang sepanjang 2.16km sempena acara tahunan Bike Bonanza. Saya akui…. Saya hanya ketawa dengan sekuat-kuatnya dalam beberapa lap terawal kerana terasa begitu asing, janggal dan sangat berbeza. Saya yakin ia adalah sebuah jentera yang sememangnya dicipta bukan untuk perlumbaan tetapi ya…. Suzuki SuperStepthru ini memang mampu berlumbalah!

Dengan jentera ini, saya dapat memintas sebuah Max Norton 350cc di laluan lurus dengan mudah sekali dan ia membuktikan kekuatan 17bhp yang dimiliki oleh jentera kecil molek ini. Jentera yang saya tunggang kali ini tidak dilengkapi dengan takometer tetapi anda akan dapat merasakan bilakah waktu terbaik untuk menambah gear – saya anggar dalam 8,000rpm. Tuas gear sangat mudah untuk digunakan dan ia sangat lancar.

Gear pertamanya agak jauh… perlu bijak guna klac untuk mengekalkan kuasa jentera ini bergerak dengan lancar dan tetap. Satu-satunya instrument yang terdapat pada Suzuki ini ialah meter kelajuan dan kelajuan yang dapat saya lihat hampir di sepanjang masa ialah 100km/j.

Suzuki ini juga sangat rendah dan ramping. Pelindung lutut ini agak mengganggu bagi pelumba atau penunggang tinggi lampai. Pelananya yang luas membolehkan para pelumba mendapatkan posisi menunggang yang sesuai ketika memecut dan bergerak semula tubuh ke hadapan apabila tiba di laluan berselekoh.

Model ini dilengkapkan dengan brek jenis gelendong bersaiz 120mm yang memerlukan tenaga yang banyak untuk mendapatkan kelajuan yang tepat sebelum masuk ke selekoh. Jentera ini memang cukup lincah dan sedap sekali ketika dikerahkan ke kawasan berbukit – terutamanya ketika menggunakan geargear terawal. Memang kuasa pecutan seperti ini membolehkan SuperStepthru meninggalkan lawannya dengan mudah.

Apa pun, tiada perkataan yang boleh menggambarkan pengendaliannya – saya cukup gementar sekali terutamanya ketika mengawalnya dari laluan lurus masuk ke selekoh tajam. Ia bergegar kuat dan saya sukar untuk menyesuaikan diri pada lap-lap awal di litar ini. Mujurlah jentera ini ringan dan kecil, jadi kita masih boleh cuba bermacam cara untuk cepat belajar.
Kenangan paling indah buat Peter ialah ketika memenangi perlumbaan menggunakan Suzuki SuperStepthru ini dengan gaya dan pakaian seperti Graeme Laing – kemas, tuxedo, bertali leher… dipakai di atas sut perlumbaan yang benar-benar nampak hebat di litar. Suzuki ini memang jentera lagenda yang dibangunkan atas kecintaan dan keyakinan seorang pelumba dan ahli perniagaan. RR

Laporan: Alan Cathcart

Kredit Foto: Stephen Piper

Isu Pada

Januari 2018

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Warta Roda

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.

Warta Roda

LCR Honda Fan Enduro Day!

Berbeza dengan sebelum ini, pihak GIVI telah mengadakan LCR Honda Fan Enduro Day bertempat di KEV Enduro Park, Gamuda Gardens, Rawang.