Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 7 Januari 2021

Royal Enfield Interceptor 650 Roadster Retro Pilihan Hati

Orang utara kata: Merelit... Merelap... yang bermaksud berkilat dan berkilau. Itulah yang terdetik dalam minda kita sebaik sahaja melihat jentera berkonsep retro, Royal Enfield Interceptor 650. Enjinnya besar... mantap... berkilat dan dikemaskan dengan dua buah ekzos krom yang memang cukup cantik sekali. Lampu utama, cermin sisi dan panel meternya berbentuk bulat – memang cukup sesuai dengan keseluruhan rekabentuknya.

Interceptor didatangkan dalam tiga varian iaitu Standard, Custom, Special yang ditawarkan dalam harga yang berbeza. Model yang diuji ini adalah dari varian Special yang didatangkan dalam warna Glitter Dust pada harga atas jalan RM45,870. Kali pertama kami melihat jentera ini beraksi ialah ketika menyertai konvoi RE ke Cameron Highlands yang turut disertai oleh Pengarah Urusan Chear Motor Sdn Bhd, Dato’ Chear Kin Keong. Beliau yang ketika itu memacu model Interceptor ini cukup mantap merentasi ratusan kilometer di pelbagai jenis jalan dengan lancar dan cukup pantas.

Antara laluan mencabar yang para peserta konvoi perlu lalui ialah ketika menuju Mossy Forest. Laluan ke sana bukan sahaja berliku tetapi jalannya juga tidak sempurna. Lubang sana sini... tetapi Dato' Chear bersama Interceptornya dengan 'selamber' je tinggalkan lain-lain peserta. Pantas, power dan nampak cukup senang ia dikendalikan.

RE Interceptor didatangkan dengan enjin kembarparallel berisipadu 648cc yang menawarkan kuasa 47hp pada 7,250rpm dan tork 52Nm pada 5,250rpm. Oleh kerana hantaran kuasanya cukup mantap disamping memiliki pengendalian yang mudah, Interceptor memang teman baik kita untuk ke mana sahaja... pada bila-bila masa.

Posisi menunggangnya natural dan tidak kiralah penunggang bersaiz apa sekali pun, RE ini memang sesuai sekali. Kami amat sukakan panel meter retronya yang berbentuk bulat – sesuai dengan konsep keseluruhan model ini. Walaupun ringkas, panel meter Interceptor cukup lengkap. Meter analog memaparkan tahap kelajuan (km/j & bsj) dan rpm manakala meter digital pula memberi maklumat tentang jarak perjalanan, tahap bahan api dan trip.

Cuaca baik... lebuh raya pun tidak sesibuk biasa... ini adalah waktu paling sesuai untuk bermotor. Yes... RE Interceptor berkilat di depan mata. Enjin Interceptor memang cukup sedap didengar lebih-lebih lagi apabila kita memulas pendikitnya pada rpm yang agak tinggi. Sekali tekan suis penghidup, derumannya mengajak kita menikmati kesegaran dan kebebasan bermotosikal. Ekzos krom di kiri dan kanan bukan sahaja menawarkan bunyi yang mantap tetapi juga menyumbang kepada keseimbangan rupabentuk jentera ini jika dilihat dari sudut mana sekali pun.

Sistem transmisi enam kelajuan yang dimilikinya cukup lancar. Kita dapat merasakan kekuatan tork jentera ini apabila mula berentap enjinnya pada putaran 2,500rpm dan ke atas. Kuasa torknya tidaklah hadir dengan pantas dan mengejutkan tetapi ia sudah cukup untuk kita mendapatkan kelajuan yang diingini dengan pantas. Dengan penggunaan sistem suntikan bahan api dan counterbalance bersudut 270 darjah pada engkolnya, jentera ini benar-benar tangkas dan cukup mantap. Puas hati!

Owh... kelembutan pendikitnya membuatkan kita meluncur dengan lancar. Pada kelajuan sekitar 80-100km/j, penunggang akan berasa cukup tenang – buka cermin topi keledar sekejap membiarkan pipi ditampar angin pagi yang mendamaikan. Bila rasa selamat, pendikit mula direntap. Sebagai jentera berkuasa sederhana, ia sudah memberikan keterujaan apabila jarum meternya berjaya mencecah 170km/j tanpa rasa bergoyang dari mana-mana bahagian cuma ketiadaan cermin pengadang udara sedikit mengganggu bila 'dah' laju. Kelajuan paling ideal untuk terus selesa memacu motosikal ini ialah sekitar 130km/j. Memang ummph!

Sambil ditiup angin, kami begitu teruja melihat hasil buatannya yang cukup kemas dan teliti. Cermin sisi yang besar membantu para penunggang melihat pergerakan trafik di belakang dengan jelas. Tanpa ragu-ragu, Royal Enfield sentiasa memastikan pelanggannya berada selesa dan berpuas hati dengan apa yang ditawarkan. Model ini tidak terkecuali. Ia pantas, selesa dan amat mudah dikendalikan. Sistem brek jenis Bybre yang bersaiz 320mm (depan) dan 240mm di belakang siap dengan ABS yang bertindak cukup cemerlang untuk menurunkan kelajuan. Selepas beberapa lama dengannya, barulah sekarang kami faham bagaimana jentera ini begitu dipercayai oleh si pemiliknya.

Dengan tubuh badan yang cukup lawa dan bunyi yang menggiurkan, RE ini memang menarik minat ramai tidak kira di mana sahaja ia diletakkan. Enjin krom berkilat dan terdedah memang cukup seksi. Dengan sudut stereng 37.5 darjah, jentera ini memang mudah untuk kita tunggangan dalam kelajuan rendah dengan penuh gaya. Bila pulas sahaja pendikit... dengan pantas Interceptor ini mencari destinasi berikutnya.

Kami meninggalkan lebuhraya untuk masuk ke Seremban 2. Niat di hati untuk singgah dan mengambil gambar di IJM Hill Park Seremban 2 Heights. Memang tempat ini cukup cantik dan sesuai untuk beriadah, menikmati pemandangan indah dan berehat bersama keluarga. Paling best apabila berada di Zon 2 yang terdapat beberapa spesis patung dinosaur seperti Giganotosaurus, Baryonyx, Triceratop, Brachiosaurus dan Stegosaurus. Terima kasih buat IJM Hill Park Seremban 2 Heights kerana membenarkan kami bergambar di sini buat tatapan pembaca RR.

Jentera ini dilengkapi dengan tayar- tayar Pirelli Phantom bersaiz 100/90-18 di depan 130/70-18 di belakang yang menggigit permukaan dengan cemerlang. Tidak kiralah menunggang berseorangan atau berdua, belokan dalam laluan berselekoh terus jitu dan tepat – ini memang seronok!

Kerangka keluli tubular, bar hendal yang lebar dan sistem saspensi yang mantap merupakan pakej terbaik bagi memastikan pemiliknya dapat menikmati apa juga jenis jalan tanpa perlu mengeluh sakit pinggang, lenguh tapak tangan dan sebagainya. 200km? 300km? RE ini mampu ditunggangan solo mahupun berdua dengan selesa. Kami (penunggang dan pembonceng) dah duduk berjam-jam di atasnya memang terbukti selesa. Pelana Interceptor ini cukup empuk... cukup lebar manakala tempat pemijak juga rendah. Kaki tidak tergantung. Bila pembonceng langsung tak komplen, ia sudah cukup bagus!

Menunggang dalam kesesakan juga tidak mengganggu. Pada mulanya kami beranggapan enjin yang terdedah dan sistem ekzos panjang di kiri dan kanannya akan mengundang panas tetapi rupa-rupanya ia tidak berlaku. Tiada pula haba panas terasa di bahagian kaki penunggang dan pembonceng. Terbaik.

Secara keseluruhannya, Royal Enfield Interceptor adalah pilihan yang cukup ideal buat mereka yang sukakan dunia retro. Ia mudah... sangat cantik dan jimat petrol. Tidak kira ke mana sahaja, bentuk dan bunyinya membuat setiap pemilik jentera ini akan berbangga dengan apa yang berada di tangannya. Tahniah RE atas sebuah jentera yang hebat ini. RR


https://www.royalenfieldmalaysia.com/

Isu Pada

Disember 2019

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Dari Litar

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

Qabil Irfan menutup musim Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Moto4 dengan podium berganda di pusingan akhir yang berlangsung di Circuito de Jerez, Sepanyol.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.