CMC Daytona 250 Cafe Racer - Menunggang Santai Dengan Penuh Gaya
Café Racer secara aslinya merupakan salah satu jenis motosikal kustom yang diubahsuai agar menampakkan ia lebih unik. Sememangnya segmen ini amat digilai buat para peminatnya tersendiri. Cafe Racer sangat popular di negara barat, tetapi tidak kurang hebat juga sambutannya di Malaysia.
Nama Café Racer ini bukanlah satu perkara yang baru, tetapi ia mula tercetus di England pada era 1950an. Pada zaman sekarang, bila sebut sahaja tentang Café Racer mesti akan terbayang motosikal model lama dengan gaya ala-ala jentera perlumbaan ataupun motosikal baru yang direka berkonsepkan jentera lama.
Bagi mereka yang berminat dengan jentera Café Racer, tidak perlu membeli motosikal dan kustomnya sendiri. Kini terdapat ramai pengeluar motosikal telah menghasilkan jentera dengan konsep Café Racer, salah satunya kami memperkenalkan CMC Daytona 250 Café Racer. Terima kasih buat Chear Global Sdn Bhd kerana memberi peluang kepada kami (RR) untuk menguji jentera ini.
Model Café Racer ini sememangnya dapat menarik perhatian orang sekeliling terutama menerusi bentuknya. Rupabentuk hadapan dimantapkan dengan sepasang lampu utama berbentuk bulat yang tetap mengekalkan ciri-ciri klasik pada mesin ini. Rekaan bahagian belakang Daytona ini agak ringkas dengan lampu belakang dan lampu isyarat. Jentera ini memang sesuai dengan gaya retronya menerusi tangki bahan api yang panjang, pelana kulit serta dua sistem ekzos dengan kemasan krom. Mantap sekali!
Pelananya yang berwarna coklat yang dijahit dengan cukup kemas amat empuk sekali apabila diduduk. Ketinggian pelana sangat mudah dipanjat, tidak kira lah anda seorang lelaki mahupun wanita. Kedua-dua tapak tangan kami mula menggenggam bar. Posisi menunggangnya sedikit menunduk tetapi tidak terlalu membongkok sangat.
Uniknya, suis kunci penghidup yang berwarna krom terletak pada bahagian sisi kanan sebelah bawah bar hendal. Putar sahaja (tanpa perlu masukkan kunci) untuk menghidupkan enjin motosikal ini. Kita juga boleh mengunci suis tersebut menggunakan kunci untuk tujuan keselamatan semasa hendak meninggalkan motosikal. Jika tidak menguncinya, mudah-mudah je orang lain dapat menghidupkan jentera tersebut.
Pada bahagian kokpitnya cukup kemas dan tidak serabut. Walaupun rekaan meter yang berbentuk bulat menampilkan ciri klasik, elemen moden turut dimasukkan agar jentera tampak mewah. Paparan meter pada mesin ini adalah jenis LCD. Lampu latar belakang berwarna gelap memudahkan kami melihat segala info penting terutama pada waktu panas terik.
Kami mula menghidupkan enjin yang bersesaran 249cc, dua silinder dengan sistem penyejuk cecair. Bunyi yang keluar dari sistem ekzos berkembarnya amat lembut sekali. Tetapi kalau kuat sikit pasti lebih garang! Enjinnya berputar dengan cukup lancar. Kami dapat rasakan kuasa tork cukup padu semasa bergerak.
Lebuhraya adalah laluan untuk kami merasa tahap kelajuan motosikal yang diuji ini. Semakin galak kami memulas pendikit, semakin kuat deruman enjin berbunyi. Setiap kedudukan gear dapat ditukar dengan lancar. Penukaran gear yang betul dan tepat mengelakkan jentera daripada kehilangan kuasa ketika memecut. Dengan berat badan kami dalam 80kg, jentera dapat dipecut pada 135km/j. Melihat pada meternya, kami yakin Daytona Café Racer ini dapat mencapai tahap kelajuan yang lebih tinggi lagi.
Gegaran pada enjin kami dapat rasa hingga ke bar hendal pada kelajuan sekitar 90km/j – 120km/j. Pada waktu itu, tangan kami cepat lenguh dan kebas. Namun, gegaran tersebut tidak dirasai sangat pada kelajuan di bawah 90km/j dan di atas 120km/j. Menunggang dengan laju memang menyeronokkan sekali. Pastikan kita berada pada tahap kelajuan yang ditetapkan untuk mengelakkan sebarang kecelakaan yang bakal berlaku.
Sistem saspensinya telah bekerja dengan keras sekali. Saspensi hadapan jenis fork teleskopik menawarkan hentakan yang amat selesa buat penunggang semasa melalui di jalan-jalan yang tidak rata. Penyerap hentak belakang berkembar pula membantu kami mengambil laluan-laluan berselekoh tanpa membuai.
Memang sangat seronok menunggang jentera ini di laluan berselekoh. Untuk memiringkan Daytona ini juga tidak merisaukan kami. Pihak CMC telah melengkapkan model ini dengan tayar bersaiz 90/90-18 (depan) dan 130/90-15 (belakang). Tayar-tayar ini menggigit permukaan jalan dengan baik sekali. Kami dapat mengambil selekoh dengan begitu yakin. Terutama pada suhu jalan yang tinggi, lagilah melekat.
Dari segi keselamatan, Daytona 250 Café Racer menggunakan brek-brek jenis cakera di bahagian hapadan (260mm) dan belakang (240mm). Penggunaan brek cakera memudahkan kita untuk memberhentikan motosikal dengan lebih selamat. Kami dapat memperlahankan jentera pada jarak yang tepat . Sayangnya untuk model Cafer Racer ini masih belum disempurnakan dengan sistem ABS.
Bagaimana dengan penggunaan bahan api? Walaupun unit pandu uji ini masih menggunakan sistem bahan api jenis karburetor, kami dapat menyusuri perjalanan sekitar 256 kilometer dengan sekali isian sahaja. Tangki bahan api seluas 10 liter.
Secara jujurnya, menunggang Daytona 250 Café Racer sangat mengasyikkan. 'Pekena' dengan baju kemeja, spek mata hitam, seluar jean dan kasut kulit memang tampak lebih bergaya apabila berada di atas jentera ini. Model ini sesuai untuk kegunaan harian, ke tempat kerja mahupun berkonvoi bersama rakan-rakan pada hujung minggu.
Walaupun jentera Café Racer direka bukan untuk tujuan kelajuan, bersiar-siar secara santai dengannya sudah cukup memadai. CMC Daytona 250 Café Racer didatangkan dalam dua warna pilihan menarik iaitu Gloss Black dan Matte Black. Model ini ditawarkan pada harga atas jalan RM 17,495 (tanpa insurans). RR
Spesifikasi
Enjin | du silinder, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 249cc |
Transmisi | 5 tahap kelajuan |
Penghidup | elektrik |
Tayar | 90/90 -18 (depan) & 130/90-15 (belakang) |
Saspensi | fork teleskopik (depan) & penyerap hentak berkembar (belakang) |
Brek | cakera (depan & belakang) |
Berat | 165kg |
Isi tangki | 10 liter |
Pengeluar | Chear Global Sdn Bhd |
Popular