Yamaha Xmax 250 2023 - Lebih Cantik... Lebih Praktikal...
Kali pertama saya menunggang model Yamaha XMax ialah ketika menghadiri pelancaran global tayar skuter yang diadakan di Taichung, Taiwan sekitar enam tahun yang lalu. Walaupun ia model 300cc tetapi secara keseluruhannya memang sama dengan XMax 250 yang kemudiannya masuk ke pasaran negara setahun kemudian (2018).
Sejak dari pengenalan itu, skuter maksi dari Yamaha ini terus popular. Ramai yang meminatinya kerana saiznya yang sasa, prestasi enjin yang memuaskan, posisi selesa dan ruang bawah pelana yang luas. Ya... faktor-faktor utama ini ada pada XMax 250.
Kita dapat lihat jumlah 'kawan-kawan' yang menggunakan skuter ini untuk tujuan kembara, menerokai pelbagai destinasi pun semakin bertambah. Hadirkan diri anda ke tempat-tempat popular di hujung-hujung minggu, pasti akan terserempak dengan ramai pemilik skuter ini yang ada ketikanya berwarna serta beraksesori cukup menarik. Ya... Kaki leper pun ramai! Ini adalah bukti bahawa penggunaan skuter maksi yang semakin meluas, tidak lagi hanya sebagai alat perhubungan di kawasan urban.
Namun kini, segmen skuter maksi lebih meriah dan saingan juga semakin rancak. Makin 'ramai' pengeluar menawarkan produk mereka dengan spesifikasi lebih moden tetapi pada harga yang mampu milik. Jika kita senaraikan, terdapat sekurang-kurangnya sembilan model skuter berkuasa 250cc-300cc di pasaran yang ditawarkan pada harga dari RM14,000.
Penggayaan lampu-lampu LED, sistem kunci pintar, ABS dan panel meter TFT tidak lagi sesuatu yang luar biasa seperti suatu ketika dulu. Populariti tidak lagi begitu penting, tambahan pula dengan keadaan ekonomi sekarang ini. Maka, setiap pengeluar kenalah ambil tahu apa yang pengguna mahukan? Paling penting tentulah dari segi daya tahan, servis lepasan
jualan dan alat ganti yang mudah dapat. Kalau terpaksa menunggu berbulan-bulan, haru jadinya!
Selepas agak lama menunggu, Yamaha akhirnya melancarkan XMax terbaru pada bulan Julai yang lalu. Skuter ini hadir dengan dua warna iaitu Icon Blue dan Max Silver yang ditawarkan pada harga asas RM23,998 tapi jujurnya harga ini memang akan berbeza berbanding di kedai. Namun begitu, bila mendengar 'waiting list' untuk XMax ini agak lama, ia memberi khabaran bahawa, skuter ini memang laku!
Dari segi posisi menunggang, saya rasakan memang tidak ada beza di antara XMax V1 dan V2 ini. Saya boleh dikategorikan sebagai penunggang yang tidaklah terlalu rendah. Kalau pakai but, cecah juga 179/180cm tetapi duduk atas XMax memang tak ada masalah, memang selesalah!
Pelana XMax direka lebih ramping tetapi cukup empuk, sedap untuk kita menunggang solo dan berdua. Paling padu sudah tentu ruang barangnya yang boleh menyimpan dua buah topi keledar, dua pasang baju hujan dan beg toiletry. Kalau nak jalan jauh, baju seluar untuk 3-4 hari pun lepas!
Perbezaan paling ketara yang ada pada model baru ini adalah pada bahagian hadapan dan panel meter. Lampu depannya jenis LED yang direka berbentuk 'X' – sesuai la dengan nama model ini 'X'.... Max dan berjaya menjadikan skuter ini tampak lebih sporty. Tapi ada juga komen yang katakan lampu model lama lebih garang! Tak salah komen itu kerana masing-masing dengan citarasa tersendiri.
Panel meter XMax terbaru memang menarik, rasa macam skuter mewah! Panel meter TFT 4.2 inci ini ada banyak ciri-ciri menarik. Ada dua bahagian. Atas menunjukkan tahap kelajuan, tahap bahan api dan jarak perjalanan manakala paparan di bawah pula menunjukkan tahap rpm, jam dan suhu. Penunjuk rpm ini juga boleh diubah kepada tiga jenis paparan (style) berbeza mengikut kesukaan anda.
Paparan ini juga cukup jelas untuk kita lihat dan boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi aplikasi Yamaha Y-Connect. Lebih menarik lagi, pemilik Yamaha XMAX baru ini boleh menggunakan sistem navigasi Garmin (diberikan secara percuma) melalui aplikasi StreetCross. Ya percuma, tidak seperti abangnya TMax yang memerlukan bayaran untuk pengaktifan sistem navigasi.
Sistem Y-Connect yang dilengkapkan pada model ini best...mantap. Dengan adanya sistem ini, para penunggang akan sentiasa peka dengan sebarang notifikasi mengenai tarikh servis, jadual penyelenggaraan, pemberitahuan kerosakan, penggunaan bahan api, paras bateri, purata penggunaan petrol dan lokasi tempat parkir terakhir, panggilan masuk, 'missed call' dan notifikasi mesej.
Nampak macam sama tetapi sebenarnya berbeza. Itulah yang kami rasa apabila melihat rekaan lampu belakangnya. Nasib baik ada unit baru di ibu pejabat HLYM, kami letak dua-dua sebelah menyebelah... ya 'confirm' beza!
Dari segi prestasi enjin, tidak banyak bezanya atau memang tak ada beza sama sekali kerana masih kekal dengan enjin yang serupa iaitu 249cc, silinder tunggal, 4 lejang, SOHC yang menghasilkan kuasa maksimum 16.8kW pada 7,000rpm dan tork 24.3Nm pada 5,500rpm. Tapi... disebabkan ada banyak ciri-ciri moden yang digabungkan pada model 2023 ini, sel-sel dalam otak memberikan rasa lebih mantap setiap kali kita memerah tenaganya.
Bila berada di bandar, kuasa hantaran skuter berkuasa 250cc memang cukup terasa. Kita pulas sahaja pendikit, ia meluru ke hadapan dengan pantas – agak mustahil dapat dikejar oleh skuter 150cc atau 'geng' supermoped. Brek cakera jenis hidraulik beserta sistem ABS membuatkan kita seronok mengawal sebuah skuter yang agak besar ini dan teknologi ABS sangatlah berguna ketika kami berdepan dengan hujan lebat yang melanda Kuala Lumpur dan Selangor pada bulan Oktober yang lalu.
Seperti V1, model 2023 turut dilengkapkan dengan sistem Traction Control (TCS) yang akan menghalang tayar belakang daripada kehilangan daya tarikan pada permukaan jalan dengan cara mengurangkan pergerakan roda apabila sensor elektronik pada skuter ini mengesan sebarang gelinciran. Terdapat pilihan untuk mematikan sistem ini yang dirasakan tak ada sebab untuk kita berbuat sedemikian. Tapi sekali lagi, ini adalah pilihan masing-masingkan?
Pernah ketika bersantai dengan moped ke Genting Highlands, saya melihat beberapa buah XMax yang sudah 'bikin' meratah selekoh-selekoh dengan cukup padu. Memang tak dapat nak follow lah masa tu. Bila ada peluang sebegini, kami tak lepaskannya! Ubah sedikit posisi badan untuk dapatkan kestabilan dan kami memberikan kepercayaan kepada set tayar-tayar (standard) untuk 'menggigit' permukaan jalan. Prestasinya? Boleh tahan juga lah tapi tak boleh terlalu laju melainkan tukar dengan tayar-tayar yang berprestasi tinggi.
Laju maksimum yang saya peroleh dengan XMax ini adalah sekitar 137km/j tetapi ia masih boleh dipecut sedikit lagi. Sayangnya cermin pengadang angin XMax tidak dapat dilaras dengan mudah – kena pakai Allen Key. Selepas 280 kilometer perjalanan, tangkinya yang sebesar 13 liter ini masih ada isi. Badan juga masih gagah, tidak ada rasa lagi lenguh pada mana-mana bahagian... so far, so good.
Ada dua ruang barang di bahagian depan kita yang boleh diisi dengan sarung tangan, cermin mata hitam, sikat/rayban untuk kawan yang rajin bergaya dan makanan ringan buat kaki kembara. Ruang sebelah kanan boleh buka tanpa kunci tetapi ruang sebelah kiri hanya boleh dibuka jika kunci utama dipusingkan ke sudut tertentu. Ini adalah kerana terdapat soket kuasa dalam ruang sebelah kiri – untuk kita mengecas telefon. Maka, lebih selamat jika dikunci.
Bila difikirkan semula, skuter sememangnya 'kawan' yang boleh membahagiakan kita untuk semua perjalanan. Ia cukup praktikal, selesa dan sangat mudah. Saya katakan ini kerana sudah pernah menunggang Yamaha NMax untuk jarak lebih daripada 1,000 kilometer dan walaupun ia tidak sehebat XMax tetapi saya cukup berpuas hati.
Kalau kembara 1,000 kilometer naik XMax 250 mestilah lebih mantap... kan? RR
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, 4 lejang, sistem penyejuk cecair, SOHC |
Isipadu | 249.8cc |
Kuasa maksimum | 16.8kW pada 7,000rpm |
Tork maksimum | 24.3Nm pada 5,500rpm |
Tayar | 120/70-15 (depan) & 140/70-14 (belakang) |
Saspensi | fork teleskopik (depan) & lengan ayun (belakang) |
Brek | cakera hidraulik (depan & belakang) |
Berat basah | 181kg |
Isi tangki | 13 liter |
Pengeluar | Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) |
Popular