KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan
Sudah agak lama juga saya tidak menunggang jentera KTM di litar lumba. Kali terakhir pada tahun 2011 dan jentera RC8R 1200cc V-kembar Factory tajaan Red Bull tunggangan oleh Martin Bauer yang telah meraih Kejuaraan Superbike Jerman IDM. Lebih membanggakan apabila kemenangan yang dicapai itu diraikan bersama rakan sepasukannya Stefan Nebel yang berada di tempat ketiga.
Itu antara detik yang cukup penting dan indah buat sebuah pengeluar motosikal yang merupakan 'Pakar' dirtbike dari Austria menaiki tangga ke status yang sama tinggi dengan Honda dan Ducati khususnya dalam dunia perlumbaan jalan raya. Ini juga membuktikan bahawa jentera berwarna oren tidak wajar lagi dipandang rendah sama ada untuk pertarungan di jalanan biasa, litar dan laluan lasak.
Tahun demi tahun, prestasi dan ketekunan mereka dalam penghasilan enjin yang berkualiti tinggi terbukti – paling jelas tentunya penyertaan KTM dalam perlumbaan MotoGP. Selepas enam musim, kita telah menyaksikan motosikal tajaan Red Bull ini sering kali mampu memberikan posisi di hadapan dengan konsisten. Lihat saja prestasi Brad Binder dan rakan sepasukan dari Australia, Jack Miller yang semakin serasi untuk memberi cabaran para pelumba di kelompok paling depan.
Pada tahun 2021, pihak pengurusan KTM memutuskan untuk bekerjasama dengan bekas pekerjanya yang kini terkenal sebagai perekacipta jentera perlumbaan iaitu Markus Krämer untuk membangunkan sebuah motosikal 'Track Day' edisi terhad dan mewah yang dikuasakan oleh enjin LC8C berkembar selari 889cc. Ini memberi peluang buat kakitangan KTM menyampaikan hasil kepakaran mereka kepada segelintir pelanggan yang bernasib baik.
Apabila model RC 8C buatan tangan (untuk kegunaan litar sahaja) diperkenalkan pada Julai 2021, kesemua 100 unit yang ditawarkan habis dijual (menerusi talian) dalam masa 4 minit 32 saat sahaja. Harganya ialah €35,395 (di Jerman, termasuk 19% cukai tempatan). Model yang habis dijual itu kemudiannya dihantar kepada para pelanggan pada akhir 2022.
Setahun kemudian, pengeluar Austria harus mencipta model Gen.2 untuk penjualan tahun 2023, dan pengeluarannya telah digandakan kepada 200 unit. Apabila ini mula dijual (sekali lagi, secara eksklusif dalam talian) pada 27 Oktober tahun lepas, KTM akhirnya menjual dua kali lebih banyak motosikal dalam masa – 2 minit. 38 saat dan pada harga yang lebih tinggi iaitu €39,900 (termasuk cukai 19% di Jerman).
Seramai 30 daripada 200 pemilik baharu itu telah dijemput untuk menerima jentera pembelian mereka pada majlis penyerahan khas yang diadakan di litar GP Valencia pada April yang lalu. Di sana, mereka telah menghabiskan masa seharian menunggang jentera baru milik mereka itu bersama bekas pelumba MotoGP, Jeremy McWilliams dan Mika Kallio. Kedua-dua bekas jaguh ini bersedia menawarkan latihan pelumba kepada sesiapa sahaja yang inginkan sepanjang 6 sesi berdurasi 20 minit setiap satu.
Mika, bertugas 'memandu' 30 individu untuk tiga lap litar 4.01km dengan menunggang KTM RC 16 GP. Tujuh daripada 30 peserta bertuah itu datangnya dari Amerika Syarikat, ditambah tiga peserta setiap satu dari Kanada, Perancis dan Jerman, dua lagi dari Switzerland dan seorang setiap negara iaitu Itali dan Austria. Agak mengejutkan apabila tiada peserta dari UK.
Mungkin bayaran €5,000 untuk keseluruhan pakej terlalu mahal ditambah pula setiap pelanggan terpaksa menggandakan kos dengan juga membeli kit perlumbaan berasingan KTM RC 8C bernilai €5,000 daripada set tambahan rim Dymag untuk tayar hujan (percuma), set tambahan brek depan dan belakang, tempat duduk di paddock depan dan belakang, satu set pemanas tayar dan permaidani KTM Race.
Saya mendapat peluang menjadi salah satu daripada dua wartawan bertuah yang dijemput untuk bersama-sama dengan 30 pemilik istimewa KTM RC 8C Versi 2.0 menunggang di litar GP Valencia. Jujurnya, para pemilik KTM ini telah membayar sejumlah wang yang banyak - enam bulan lebih awal untuk tujuan ini.
Ini juga saat terbaik untuk saya sempurnakan satu pusingan lengkap menunggang jentera keluaran Krämer Motorcycles selepas melawat bengkel mereka 12 tahun yang lalu – ketika itu hanya merupakan sebuah kandang yang diubahsuai menjadi tempat pengubahsuai dan projek R&D jentera Supermono, Saya belum pernah menerima jemputan untuk menunggang uji salah satu daripada produk ciptaannya sehinggalah hari ini. Adakah ia berbaloi saya tunggu selama ini? Ya... memang berbaloi!
Sebelum mencuba kepelbagaian karaktor dan prestasi jentera ini di litar Valencia yang dijadualkan selama 20 minit, saya panjat dulu pelananya dan.... ia memang kurang sesuai! Saya minta anak tangga, ya untuk memanjat motosikal ini kerana pelananya itu sangat tinggi. Walaupun saya sudah biasa menunggang jentera perlumbaan GP yang agak ekstrim, tetapi ini nampaknya melampaui batas.
Tempat pemijak dan bar hendal boleh dilaras agar dapat mengimbangi masalah '(tinggi) pelananya. Selepas itu barulah jentera ini dirasa selesa untuk ditunggang walaupun buat saya yang berketinggian 180cm - ia seolah-olah dibuat khusus untuk saya.
Sebaik sahaja enjin dihidupkan, bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos Akrapovicnya pun ‘meletop’ bagaikan guruh. Oleh kerana sudut ‘crankpin’nya yang berbeza, enjin kembar parallel ini menghasilkan bunyi seperti V-twin. Mendengar bungi ini, ia mengingatkan saya dengan Yamaha TRiXi yang saya gunakan dalam perlumbaan di Eropah 25 tahun dulu. Jentera itu juga mengeluarkan bunyi yang semantap atau segarang ini.
Enjin kembar parallel kompak yang digunakan oleh jentera memberikan pengendalian yang sangat baik berbanding jentera Ducati dengan enjin L-kembar yang kurang seimbang dari segi pengagihan berat. KTM RC 8C dihasilkan dengan pengagihan berat sekitar 54/46% - sangat berguna khususnya ketika meningkatkan kelajuan di dalam selekoh-selekoh litar Valencia. Walaupun begitu, saya harus memastikan bahawa tayar hadapan Pirelli betul-betul sedia untuk beraksi.
Kombinasi Selekoh 4 dan Selekoh 5 memang agak bahaya. Ramai telah terhempas kerana tidak sabar. Nasib baik, tayar Itali dipasang pada motosikal Austria itu cepat panas jika dibandingkan dengan mana-mana pengeluar tayar lain.
Jentera ini disempurnakan dengan enjin 889cc yang memiliki kuasa tork cukup mantap iaitu 98Nm [72lb-ft] pada 8,250 rpm dan ketika kita merentap tenaganya, tiada sebarang gegaran yang tidak wajar berlaku pada mana-mana bahagian.
Tenaga maksimumnya ialah 135 bhp yang ditawarkan oleh KTM pada 11,000 rpm. Terdapat lampu penunjuk gear pada panel meter TFTnya yang berkelip-kelip ke arah anda secara menggila untuk mendapatkan gear yang lebih tinggi. Membuat pecutan dengan KTM ini memang sangat mengujakan – hantaran kuasanya hadir bagaikan tanpa batas.
Saya kemudian turunkan kelajuan menggunakan gear kedua di Selekoh 2 (Valentino Rossi pernah jatuh di selekoh ini yang menyebabkan dia hilang takhta Juara Dunia MotoGP pada tahun 2006).
Putaran enjin dapat direndahkan sehingga 5,000 rpm dan enjin KTM ini bergerak dengan sangat lancar – tanpa sebarang sentapan. Ketika putaran enjin berada di atas 7,000rpm kita akan menikmati bagaimana KTM ini ‘hidup’ untuk terus membuat pecutan. Anda juga boleh melakukan short-shift dengan baik seperti mana yang saya lakukan pada sesi pertama di litar ini. Saya benar-benar seronok kerana ini merupakan kali pertama saya ke litar ini sejak era pra-Covid.
Jeremy McWilliams memberitahu saya dia boleh berseronok dan berwheelie dengan jentera ini. Saya lebih fokus untuk merasakan tahap pengendalian dan kelancaran enjin ini ketika tenaganya diperah. Ya… model ini dilengkapkan dengan program anti-wheelie yang dipasang pada ECU Bosch.
Sistem ini bekerja dengan cukup baik untuk mengekalkan bahagian hadapan melekat di permukaan jalan. Namun begitu, kita masih perlu memastikan peredam stereng WP diketatkan sedikit untuk mengekalkan bahagian hadapan roda daripada bergoyang lebih-lebih lagi ketika memecut keluar dari selekoh akhir litar Valencia.
Anda boleh tahu bahawa Markus Krämer memang bijak merekebentuk sebuah jentera. Walaupun dengan beberapa dozen kilo tambahan untuk berat keseluruhannya, RC 8C mempunyai pengendalian tangkas yang sama hebat seperti jentera silinder tunggal era moden yang saya gunakan dalam dunia perlumbaan.
Karaktor sebegini turut mengembalikan memori saya dengan MZ Renn Skorpion yang saya gunakan dalam perlumbaan Daytona dulu. Jentera daripada pasukan factory itu dapat dimiringkan dengan cukup meyakinkan dan inilah yang dirasakan setiap kali berada di selekoh – kita dapat melayarkan jentera ini ke kiri dan ke kanan dengan sangat baik.
Sepasang brek bersaiz 290mm di depan beroperasi dengan sangat efisien untuk memberhentikan RC 8C. Ya, anda akan dapati diameter brek ini agak kecil jika dibandingkan dengan saiz brek cakera yang biasanya digunakan pada kebanyakan motosikal iaitu 320mm. Namun begitu, setelah dipadankan dengan sistem saspensi depan dan belakang yang mantap – KTM ini memberikan respon yang sangat pantas.
RC 8C benar-benar cemerlang jika kita bincangkan soal pengendalian. Lihat sahaja kemampuannya untuk membuat pecutan di Champi Herreros atau Selekoh 12 untuk menuju keluar ke selekoh akhir litar Valencia. Saya akan mengakui bahawa saya memerlukan beberapa lap untuk melakukan ini dalam gear keempat seperti yang Jeremy McWilliams tunjukkan. Walaupun pada mulanya saya tidak ada sebarang keyakinan tetapi akhirnya tetap berjaya juga.
Dengan sudut geometri yang tepat dan sistem fork hadapan cukup padu, jentera ini mampu bertukar arah dengan baik sekali, bagaikan ada sistem autopilot.
Dengan prestasi keseluruhan jentera ini yang mantap, saya pasti ramai pemiliknya akan mengambil kesempatan untuk meningkatkan keupayaan agar dapat 'bekerjasama' dengan kemampuan KTM ini. Saya yakin kebanyakan pemilik jentera ini akan menjadi peserta 'track day' dan tidak gunakan jentera ini untuk berlumba. Apa pun, itu tidak bermakna mereka tidak akan belajar untuk memecut lebih pantas daripada yang pernah mereka tunggangi sebelum ini.
Hmmmm... Jika Jeremy McWilliams pun mahu memilikinya, ia telah membuktikan bahawa KTM ini sangat bagus dan mungkin lebih baik saya mula menabung untuk menawarkan TRiXi kepada mana-mana syarikat yang berminat. Adakah KTM akan mempunyai versi Gen 3.0 dalam masa terdekat? Sama-sama kita nantikan. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: KTM/ Marco Campelli
Spesifikasi
Enjin | 2 silinder, 4 lejang, DOHC, kembar parallel, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 889cc |
Kuasa maksimum | 135hp pada 11,000rpm |
Tork maksimum | 98Nm pada 8,250rpm |
Tayar | 120/70 - R17 (depan) & 180/60 - R17 (belakang) |
Saspensi | WP XACT PRO 7543 (depan) & WP APEX PRO 7746 (belakang) |
Brek | brek cakera berkembar 290mm (depan) & cakera 230mm (belakang) |
Kerangka | keluli Cro-Mo |
Isi tangki | sekitar 16 liter |
Tinggi pelana | 820mm |
Popular