Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 29 Mac 2020

Triumph Rocket 3 R & GT 2020 Cukup Memukau

Pada tahun 2004 lalu, Triumph telah memperkenalkan sebuah jentera layak bergelar Maxi-Motorcycle melalui model Rocket III berisipadu 2,294cc dan ia adalah antara pengeluaran terbaik dengan jumlah 28,389 unit pelbagai varian dijual di seluruh dunia. Jentera besar ini kemudiannya dikeluarkan daripada senarai penjualan Triumph di Eropah kerana tidak ingin berbelanja lebih untuk menaikkan tarafnya kepada Euro4. Walaupun begitu, ia tetap dipasarkan di Amerika Utara dan mendapat sambutan yang sangat hebat. Ia digemari kerana memiliki pakej yang cukup sesuai untuk semua pencinta pengembaraan dengan penuh gaya.

Kini Triumph melangkah penuh bergaya di pasaran global menerusi model terkini 2020 Rocket 3 yang didatangkan dalam dua pilihan hebat iaitu R dan GT. Selain koil nyalaan dan saiz panjang engkolnya yang masih sama dengan model lama, R dan GT menawarkan segalanya yang serba baru. Wajar dikatakan ia adalah sebuah pembangunan dan jentera yang 100% baru. Ahli keluarga terkini ini dikuasakan oleh enjin 2,458cc, tiga silinder dengan engkol bersudut 120 darjah. Triumph berusaha untuk menambat hati para pelanggan baru dan semestinya buat mereka sudah lama menyintai Rocket III.

Bagi pasaran UK, model R dijual pada harga £19,500 termasuk cukai 20% dan powercruiser ini sama hebat jika dibandingkan dengan Harley-Davidson Fat Boy atau Ducati Diavel. Dari segi harga pula, Triumph ini lebih menarik sedangkan pencabarnya seperti Harley Road King atau Indian Cheiftain ditawarkan pada harga sekitar £20,200. Rocket 3 ini juga memiliki aksesori yang cukup banyak, lihatlah pada katalog lepasan jualannya…. memang mantap sekali.

Berbalik kepada model R dan GT, sesungguhnya kedua-dua mempunyai platform yang sama sehinggakan komponen kedua-duanya boleh ditukar bersama. Apa pun, R dan GT tetap dua jentera yang berlainan sama ada dari rekabentuknya atau pun pengalaman menunggang. R merupakan model roadster yang dilengkapkan dengan pelana 773mm, berat 291kg, bar hendal rata, tempat pemijak boleh laras dan posisi pelana yang agresif, sesuai untuk mereka yang berjiwa pantas.

GT pula seberat 294kg, tempat pemijak yang rendah, pelana setinggi 705mm, lengkap dengan cermin pengadang udara dan bar hendal jenis pulled-back untuk tunggangan lebih santai dan bergaya. Untuk jadikan lebih sesuai sebagai jentera pelbagai jenis jalanan, terdapat tempat bersandar untuk pembonceng yang boleh dilaraskan. Kedua-dua varian ini juga didatangkan dengan kadar ergo yang boleh laras – bertujuan untuk mengembara lebih selesa.

Rocket baru ini disempurnakan dengan enjin 2,458cc berdimensi 110.2mm x 85.9mm dan ia menepati piawaian Euro 5. Ini membolehkan pasukan R&D yang diketuai oleh Stuart Wood untuk menggunakan konrod lebih pendek bagi merendahkan enjin. Dengan itu, pada putaran 7,000rpm, ia sudah mencecah garisan merah. Enjin ini juga memiliki kuasa hantaran setinggi 165bhp pada 6,000rpm – peningkatan 14% berbanding yang terdahulu. Stuart memang orang yang sangat kenal dengan Rocket, dia sendiri memiliki Rocket III yang ditunggang setiap hari dari rumah ke pejabat.

Kemantapan jentera ini juga disebabkan enjin barunya kini 18kg lebih ringan berbanding model lama. Paling berjaya ialah perubahan yang dilakukan pada aci engkol yang kini dihasilkan sendiri oleh Triumph. Ketika membangunkan Rocket III, syarikat ini tidak mampu untuk menghasilkan aci engkol sendiri tetapi segalanya telah berubah. Walaupun tork maksimum antara model baru dan lama masih di tahap 221Nm, tetapi banjaran kuasa dari enjin baru ini lebih luas.

“Di antara 2,500 dan 5,500rpm, kami mempunyai lebih 200Nm untuk digunakan. Rocket terbaru ini tawarkan 70% lebih tork berbanding para pencabar terdekat. Matlamat kami ialah untuk mengeluarkan power unit lebih sempurna dan lebih efisien,” kata Stuart.

Saya peroleh peluang untuk menguji kedua-dua model ini di Tenerife sejauh 200 kilometer yang memiliki laluan cukup menarik. Ketika menunggang Rocket III dulu, kuasanya dirasakan galak apabila enjin berada di atas 3000rpm tetapi enjin versi baru ini mampu menarik berat badan pada mana-mana tahap putaran enjin dan serta merta menjadikan Triumph ini amat seronok ditunggang. Kelancaran enjin dan sistem transmisinya juga amat mengagumkan. Dalam gear tertinggi, saya dapat menurunkan kelajuan mencecah 1,500rpm dan mengoyak kembali pendikit tanpa sebarang sentapan atau gangguan.

Dengan adanya Torque Assist Hydraulic, klacnya dapat digunakan dengan cukup lembut – mudah untuk kita bermain gear khususnya di laluan berliku. Namun begitu, kotak gear enam kelajuan dirasakan tidak begitu diperlukan untuk model ini walaupun untuk tujuan pemasaran. Kotak gear lima kelajuan sudah cukup banyak untuk Rocket III dan oleh kerana lebih kuasa atau lebih tork, ia tidak menentukan nisbah gear tambahan.

Pasangan Rocket 3 baru ini bukanlah sebuah jentera yang benar-benar direka untuk memecut pantas ke hadapan seperti sebuah roket sebaliknya memiliki momentum yang mantap dan terkawal. Terdapat dua-hala powershifter yang ditawarkan untuk model ini dan ia adalah pilihan tambahan. Walaupun begitu, saya rasakan ia adalah satu kemestian untuk dimiliki agar tunggangan lebih mudah dan menyeronokkan. Karaktor hantaran kuasa Triumph ini dapat kita nikmati menerusi empat pilihan mod tunggangannya (Road, Sport, Rain dan Rider-configurated). Model ini juga telah dilengkapkan dengan Speed-Limiter yang menentukan kelajuan tertinggi sekitar 221km/j atau 138bsj.

Sistem ekzos 3-1-3 yang dipotong sungguh kemas jadikannya tampak seksi tidak kira dari sudut mana kita lihat sekalipun. Ekzos ini juga 'menyanyi' dengan merdu dan garang sekali - tidak kira ketika memecut atau pun bersantai dalam kelajuan rendah. Walaupun bunyinya cukup padu, ia tidak bermakna jentera ini bergetar... tidak sama sekali, Triumph terus santai... terus tenang tanpa sebarangan gangguan atau gegaran pada bahagian bar hendal.

Menunggang GT dalam kelajuaan 160km/j dengan hanya di tahap 3,800rpm memang cukup relaks. Sekali lagi, ia besar tetapi amat mudah dikendalikan dan cukup stabil dalam apa jua sudut laluan yang dipilih. Kita tak perlu jadi sekuat Schwarzenegger untuk melayan Rocket 3 di selekoh-selekoh tajam yang terdapat di Tenefire.

Model R seberat 291kg (40kg lebih ringan berbanding yang lama) dan saya cukup mudah mengendalikannya apabila berada di lebuhraya kerana jentera ini dilengkapkan dengan penyerap hentak Showa jenis terbalik (depan) dan lengan ayun tunggal dengan penyerap hentak Showa di belakang. Walaupun ia tegap dan sasa ketika meluncur penuh bangga di lebuhraya, kita tetap perlu berhati-hati ketika mengendali-kan jentera ini di laluan kecil dalam kelajuan rendah. Kalau silap gaya, boleh terbalik.

Untuk disesuaikan dengan saiz jentera ini yang benar-benar besar dan mantap, Rocket 3 disempurnakan dengan tayar hadapan bersaiz 150/80-17 dan 240/50-18 di belakang. Tayar jenis Avon Cobra Chrome pula memang dibangunkan khusus buat Rocket baru ini. Ia tawarkan kadar cengkaman yang kuat agar setiap miringan dapat dinikmati oleh penunggangnya.

GT tampak lebih besar dan lebih berat berbanding R tetapi kelincahannya memiringkan diri ke kiri dan ke kanan memang mengejutkan saya. Biasanya saya kurang minat dengan jentera yang menggunakan bar hendal jenis pulled-back tetapi dengan Triumph ini perasaan cukup berbeza. Saya dapati ia memang sebuah jentera yang direka dengan bijak.

Cukup? Masih belum puaskan? Pergerakan mesin yang gah ini dikawal oleh sepasang brek Brembo Stylema bersaiz 320mm (depan) seperti mana yang dipasang pada Ducati Panigale V4 R manakala di belakang pula Triumph ini telah disempurnakan dengan brek Brembo M4 beserta Cornering ABS yang terbukti cemerlang. Selain sistem ABS, jentera ini turut lengkap dengan adanya sistem TC boleh dilaras.

Model ini juga memperkenalkan electronically variable linked braking pada Rocket 3. Apabila seseorang penunggang itu menarik tuas brek hadapan, ECU akan membuat keputusan kadar kuasa brek yang perlu digunakan di bahagian belakang. Ini ditentukan menerusi kadar kelajuan, pemindahan bebanan dan sudut. Penunggang juga boleh menambah kuasa brek (di belakang) dengan menggunakan tuas brek belakang seperti biasa.

Jujurnya... saya dapat rasa brek belakang sedang beroperasi menggunakan sistem elektronik itu dan ia amat diperlukan ketika berada di jalan-jalan berselekoh. Walaupun ianya bertubuh badan besar, Rocket 3 ini jauh lebih cemerlang berbanding model Rocket III sebelum ini.

Antara ciri-ciri moden yang menarik minat para pencinta jatuh hati pada jentera ini ialah kunci pintar, panel meter TFT, lampu-lampu LED, pot USB, Hill-hold Control, Turn-by-turn navigation (dikuasakan oleh Google), sistem bluetooth dan pemanas pendikit (standard untuk model GT / pilihan untuk model R). Saya juga sukakan tempat pemijak untuk pembonceng yang boleh dilipat dengan kemas.

Setiap pemiliknya akan berpuas hati dengan kemasan akhir jentera ini yang benar-benar berkualiti tinggi walaupun ia dibina 100% di Thailand. Lihat sahaja kemasan double-skinned hydroformed di bahagian kepala ekzos jentera ini. Memang gorgeous! Saya sempat melawat kilang tersebut dan cukup kagum dengan kecekapan dan ketelitian bahagian QC yang terdiri daripada kakitangan warga British dan Thailand.

Tangki Rocket baru ini tidak lagi sebesar model lama. Terbaru, ia hanya sebesar 18 liter berbanding 24 liter dulu! Motosikal ini pula rajin 'dahaga' kerana kemantapan enjinnya membuatkan kita sentiasa ingin memerah pendikit dan mencari destinasi menarik. Lampu amaran bahan api saya mula menyala pada jarak sekitar 160 kilometer dan mungkin kerana suka sangat memerah pendikit.

Dengan pengenalan kepada Rocket serba baru ini, Triumph pastinya lebih gagah untuk berada di pasaran kerana kedudukan model R dan GT kini agak sukar untuk digugat. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kingdom Creative

Isu Pada

Mac 2020

Spesifikasi

Enjin: 3 silinder sebaris, sistem penyejuk cecair, DOHC
Isi padu: 2,458cc
Gerek x lejang: 110.2 mm x 85.9 mm
Kuasa maksimum: 167p / 165 bhp (123kW) pada 6,000rpm
Tork maksimum: 221Nm pada 4,000rpm
Kotak gear: 6-kelajuan
Tinggi pelana: 773mm (R) 750mm (GT)
Berat kering: 291kg (R) 294kg (GT)
Isi tangki: 18 liter
Emisi: Piawaian EURO 5

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Warta Roda

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Sekalung tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di atas pencapaian pengeluaran motosikal mereka yang ke- 6,000,000 unit. Bersempena dengan hari bersejarah itu, pihak HLYM telah merasmikan muzium motosikal pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Space Y.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.