Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 21 Disember 2023

Royal Enfield Super Meteor 650

Lima tahun selepas pelancarannya tahun 2018 lalu, model silinder berkembar pertama dari Royal Enfield (RE) iaitu Interceptor 650 dan Continental GT 650 yang dibuat di India telah berjaya dijual lebih 400,000 unit di peringkat global. Royal Enfield kini menambah siri terbaru yang memang dinanti-nantikan.

Perkenalkan RE Super Meteor 650 yang dilancarkan pada Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA di Milan November lalu yang kini sudah pun berada dalam siri pengeluaran di kilang mereka yang beroperasi di Chennai. Dijangkakan penghantaran peringkat Global akan dimulakan pada bulan Mac 2023 dan model ini tersedia dalam dua versi yang cukup dinamik dan menarik.

Nama untuk model ini diambil daripada model ‘100mph’ pertama Royal Enfield tahun 1955 yang mampu memecut cecah 160km/j. Model tersebut bersesaran 700cc yang dipasarkan sebagai jentera go-anywhere yang disempurnakan dengan enjin berkembar selari, lapan injap 648cc dengan sistem penyejukan udara/minyak, SOHC, pacuan rantai sepertimana model Interceptor dan Continental GT.

Dibangunkan di Pusat Teknologi UK Royal Enfield di Bruntingthorpe, enjin silinder berkembar itu menghasilkan kuasa maksimum setinggi 34.6 kW atau 46.33 bhp pada 7,250 rpm dan ia menepati lesen A2 di Eropah. Tork maksimumnya 52.3Nm pada 5,650 rpm – 400 rpm lebih tinggi daripada siri kembar 650cc sebelum ini.

Bagaimanapun, Ketua Jurutera RE, Paolo Brovedani menyatakan bahawa tiada perubahan mekanikal pada enjin dalam model baru ini, cuma kotak udara dan ekzos Super Meteor yang direka serba baharu, ditambah dengan pemetaan yang disemak oleh ECU dan memberikan penyebaran tork dengan 80% daripada tahap tertinggi tersedia pada hanya 2,500 rpm.

Transmisi enam kelajuan tidak berubah - mempunyai slip/assist clutch dengan pedal penukar tumit dan kaki sebagai ciri standard pada kedua-dua varian Super Meteor.

Kerangkanya adalah jenis dupleks keluli komposit serba baru yang dibangunkan di Pusat Teknologi UK bersempena dengan anak syarikat RE Harris Performance, dan menggabungkan pelekap kepala silinder baharu untuk kekuatan tambahan. Showa kini telah menggantikan Gabriel sebagai pembekal penggantungan untuk kembar Royal Enfield, dan Super Meteor didatangkan dengan fork hadapan jenis terbalik untuk kali pertama pada mana-mana model RE.

Di bahagian belakang, lengan ayun keluli extruded dilengkapkan dengan penyerap hentak berkembar jenis Showa dengan prabeban boleh laras. RE ini disempurnakan dengan rim hadapan aluminium 19-inci dan belakang 16-inci yang bekerjasama dengan pembekal tayar India, CEAT untuk menggunakan tayar tanpa tiub, Zoom Cruz yang dicipta khas untuk Super Meteor.

Brovedani berkata pasukan R&Dnya yang diketuai oleh bekas pelumba 500GP Australia, Paul Young telah menempuh/ menguji jentera ini lebih satu juta kilometer di landasan ujian, laluan berbatu di Belgium, jalan raya, lebuh raya, jalan bandar, jalan kampung termasuk di tengah-tengah pusat bandar India, UK dan Sepanyol. Ini adalah untuk mencatatkan jarak perjalanan, ujian perbatuan yang serius dan paling ketat.

Proses membrek pada Super Meteor dimantapkan dengan cakera hadapan 320mm tunggal yang sama seperti pada 650 model sebelumnya, tetapi cakera brek belakang 300mm lebih besar (dari 240mm). Kedua-duanya dipadankan dengan angkup omboh berkembar daripada anak syarikat Brembo di India, ByBre. Untuk lebih cemerlang, sistem brek jentera ini dipasangkan dengan sistem ABS Bosch dwi saluran. Hasilnya, jentera RE ini adalah berpiawaian Euro 5.

Versi Standard Super Meteor didakwa mempunyai berat 241kg dengan minyak dan tangki bahan api 15.7 liter 90% penuh, bersamaan dengan kira-kira 230 kg dengan minyak/tiada bahan api. Ini lebih berat sedikit daripada Interceptor yang hanya seberat 230kg. Namun begitu tidak ada berat yang disahkan tersedia untuk varian Super Meteor 650 Tourer.

Varian 'tourer' dilengkapi dengan terowong angin- cermin depan yang lebih baik, lampu penunjuk LED di hadapan dan belakang dan pelana yang lebih besar dan empuk untuk penunggang serta pembonceng. Pelananya 740mm untuk kedua-dua model, memastikan hampir para penunggang boleh meletakkan kedua-dua kaki rata pada tanah dengan selesa.

Tempat pemijak sedikit ke hadapan manakala bar hendal gaya touring yang tinggi dan menampilkan klac boleh laras dan tuas brek. Terdapat panel meter berbentuk bulat menggabungkan speedo analog dengan panel digital LCD yang menunjukkan gear yang dipilih, aras bahan api, masa, odo dan jarak perjalanan, dan soket USB yang terletak di bawah panel sebelah kiri.

Siddhartha Lal
Siddhartha Lal

Royal Enfield ini hadir dengan pod navigasi Turn-by-Turn Tripper dibangunkan dengan kerjasama Google dan diperkenalkan dua tahun lalu pada Meteor 350. Maaf, tetapi tiada pemegang untuk telefon anda – anda mesti membeli satu daripada banyak pilihan aksesori Super Meteor yang ditawarkan.

Ada juga yang walaupun kelihatan sedikit hambar iaitu ketiadaan sebarang sistem elektronik selain EFI dan ABS. Oleh itu tak adalah butang dan suis teknologi RBW/ride by wire. Lampu depan LED adalah yang pertama untuk Royal Enfield, dipadankan dengan lampu belakang yang juga jenis LED. Kualiti binaan sangat baik dengan perhatian yang jelas diberikan oleh para jurutera terhadap perincian.

Bagaimana pula dengan prestasinya? Untuk mengetahuinya, saya diminta menyertai 40 kumpulan media dari seluruh dunia menikmati pengalaman dua hari di India. Tempat yang dituju ialah Rajasthan, yang terletak di bahagian barat negara itu. Saya diberi peluang untuk menunggang kedua-dua model lebih daripada 600km di pelbagai jenis keadaan jalan yang mungkin.

Ini terdiri daripada pusat bandar yang ada banyak bonggol di kawasan yang curam dan tidak bertanda. Bonggol-bonggol ini menyebabkan kita yang menaiki kereta, van, trak, motosikal termasuk haiwan rasa seperti tercekik apabila tiba di kawasan itu. Dari situ, kami pergi pula ke jalan luar bandar di mana jalan raya di sini sepi tetapi dibuat dengan indah. Ia boleh dibandingkan dengan baik apa yang dibina di Amerika Syarikat atau Eropah.

Perjalanan hari kedua sejauh 446km ke timur dari Jaisalmer ke Kubu Khimsar abad ke-16 www.khimsar.com berhampiran Jodhpur yang telah bertukar menjadi hotel mewah dengan 68 buah katil. Kami menunggang melalui 'The Great Thar Desert' dengan kelajuan sehingga 100mph/160 km/j. Kami juga sempat melewati hanya 4km dari Pokhran, tempat India 'menyertai' kelab senjata nuklear pada tahun 1998, yang kemudiannya diikuti oleh Pakistan dua minggu kemudian.

Kecemerlangan Super Meteor telah dibuktikan sepenuhnya ketika kami menyusuri laluan ini dari barat ke timur pada pagi musim sejuk. Tetapi saya berharap jentera ujian kami mempunyai pemanas pendikit yang sangat saya perlukan ketika menunggang di waktu subuh dengan suhu 8°C. Saya tidak ada sarung tangan untuk melindungi jari-jemari kemudian terasa beku. Itulah yang terseksa sebelum matahari semakin tinggi dan suhu di padang pasir yang semakin meningkat!

RE ini adalah motosikal super-stabil yang akan memberikan kegembiraan jika kita memecut dalam kelajuan tinggi sepanjang hari di Autobahn, Jerman dan seumpamanya. Versi Tourer yang dipasang dengan skrin depan memang sangat berkesan. Paolo Brovedani mengesahkan ujian terowong angin dilakukan untuk mendapatkan kestabilan versi Tourer sewaktu kelajuan mencecah 130 km/j.

Pada ketinggian 180cm/5’10” saya mendapati diri saya terlindung sepenuhnya daripada sebarang tamparan angin, tak ada angin yang memukul topi keledar dan juga tiada bunyi yang menakutkan. Itu mungkin berlaku sebahagiannya kerana tempat duduk Tourer agak berbeza daripada basikal Standard. Brovedani berkata tempat duduk versi Tourer memang lebih mewah.

Tetapi saya telah menghabiskan hari sebelumnya pada kelajuan yang jauh lebih rendah ketika menaiki model Standard. Saya berkesempatan meneroka kawasan pendalaman Rajasthan, menyusuri kampung 'berhantu' Kuldhara yang penduduknya melarikan diri hanya dalam semalaman pada tahun 1828. Ini adalah tanda protes terhadap cukai sangat tinggi yang dikenakan ke atas mereka oleh penguasa Jaisalmer yang rakus.

Terdapat binaan rumah batu yang terbiar dan kini sering digunakan sebagai latar belakang filem Bollywood. Untuk ke sana, kami mengembara dari Barat Daya Jaisalmer, pergi sedekat mungkin ke sempadan Pakistan tetapi tidaklah sampai masuk 'ladang' periuk api yang menunggu di sempadan.

Paolo Brovedani
Paolo Brovedani

Jalan yang bergelombang memberikan ujian yang sangat baik terhadap sistem saspensi jenis Showa pada Super Meteor ini. Saspensi belakang 'bekerja' dengan baik. Sejujurnya saya dapat merasakan bahawa roda belakang mengikut rupabentuk permukaan dengan cemerlang.

Kedudukan menunggang jentera versi Standard mempunyai bar hendal yang agak ke belakang manakala versi Tourer pula menjadikan penunggang bagaikan bertenggek di atas dan bukannya berada di dalamnya. Ruang pembonceng juga dirasakan kurang luas. Saya ingin mencuba jika ada versi RE ini yang dipasangkan dengan tempat letak kaki yang berada 100mm ke belakang.

Seperti model-model 650 sedia ada, enjin silinder berkembar Super Meteor pastinya menjadi perkara pokok dari segi kepuasan menunggang. Enjin ini dibangunkan dengan bijak dan mudah untuk dikendalikan - supaya mereka yang kurang berpengalaman juga boleh menunggang di sekitar bandar sepanjang hari menggunakan gear keempat, dan enjin hiper-fleksibel akan membenarkan para penunggang RE untuk berbuat demikian tanpa sebarang gangguan khususnya dari segi transmisi.

Hantaran kuasa jentera ini sangat sesuai dengan rekaan bentuknya. Ia hanya 650cc, tidaklah mempunyai kekuatan tork seperti jentera 900cc atau 750cc. Itu tidak mengapa kerana RE sentiasa mengajak semuanya bekerja keras jika ingin mencipta kelajuan luar biasa dan inilah yang membuatkan Super Meteor baharu sangat menyeronokkan untuk ditunggangi pada bila-bila masa.

Aset utama enjin ialah pemetaan hebat ECU Bosch yang berjalan dengan sangat licin, tanpa ragu-ragu. Kemantapannya dapat dirasakan dengan jelas sewaktu kita membrek dengan keras untuk masuk ke selekoh tetapi pada masa yang sama bersedia untuk memerah tenaganya kembali sewaktu keluar dari selekoh.

Corak hantaran kuasa RE ini sangat mengagumkan walaupun buat motor bersaiz sederhana, ditambah dengan tork yang banyak, sesuai yang dirasakan ‘merebak’ ke seluruh julat putaran rpm, memberikan lonjakan pecutan yang boleh diramal dan dikawal sebaik sahaja anda memulas pendikit untuk keluar dari selekoh. Untuk segmen motosikal jalanan berkuasa 650cc, ini adalah antara model yang sangat mesra dengan laluan luas atau lebuhraya seperti di autobahn.

Pengendalian sistem brek cakera 320mm cukup baik dan dengan adanya sistem ABS, kita lebih yakin untuk menunggang di permukaan jalan berdebu di India. Brek belakang 300mm yang besar membantu untuk memberhentikan motosikal dengan cepat dan selamat. Tetapi disebabkan Super Meteor ini lebih berat, anda mesti menggunakan kedua-dua brek dengan kuat untuk berhenti.

Siddhartha Lal berkata ketika pelancaran model ini, “Model kembar baru ini bakal meneruskan dan menyambung legasi Royal Enfield abad ke-21. Walaupun pada dasarnya mereka mengekalkan rekabentuk lama, perwatakan atau karaktor yang kemudiannya disempurnakan dengan semua ‘sifat’ moden yang menjadikan model ini sangat seronok dijadikan teman menunggang.”

Enjin telah direka bentuk untuk menawarkan keseimbangan yang tepat dan pada masa yang sama kebolehgunaan. Ini adalah untuk memastikan ia memberikan pengalaman menunggang yang lancar dan tidak menakutkan. Ia memang sebuah jentera yang direka dengan penuhi keinginan buat para pencinta motosikal di seluruh dunia. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Royal Enfield/Jason Critchell dan Chippy Wood

Isu Pada

Julai 2023

Spesifikasi

EnjinSistem penyejuk udara/minyak, SOHC kembar-parallel, 4 lejang, 4 injap
Isipadu648cc
Kuasa maksimum46.33bhp pada 7,250rpm
Tork maksimum52.3Nm pada 5,650rpm
Tayar100/90-19 (depan) & 150/80-16 (belakang)
Saspensifok teleskopik Showa Big Piston 120mm (depan) & lengan ayun keluli dengan 2 penyerap hentak Showa pra-beban boleh laras 5 tahap (belakang)
Brekcakera 320mm, ABS (depan) & cakera 300mm, ABS (belakang)
Berat241kg dengan pelincirdan 90% bahan api
Isi tangki15.7 liter
Tinggi pelana740mm

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pe­ngangkut sampah dan me­lakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.

Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Model Baru

Honda CB1000 Hornet & CB1000 Hornet SP 2025 Dilancarkan Untuk Pasaran Eropah

Honda Eropah kembali dalam segmen Hypernaked dengan melancarkan model terbaru iaitu Honda CB1000 Hornet 2025.