Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 3 Disember 2023

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Ke mana sahaja ia dibawa…. dijamin 100% model ini akan mendapat perhatian ramai. Pakej keseluruhannya baik dari rekabentuk hinggalah ke prestasi enjin sememangnya mengagumkan. Mantap kan? Ya… itu lah dia Ducati Street Fighter 950 V2. Belum pun bergerak dah nampak laju!

Dari segi warna dan rekacorak, Street Fighter ini memang cukup simple tetapi sangat garang. Gabungan warna merah dan hitam sememangnya sangat sesuai sekali. Memang dari segi aura gayanya, model ini nampak seiras dengan Panigale V2 cuma ia hadir tanpa fairing seperti mana kakitangan Ducati Malaysia menjelaskan pada kami, “It’s a Panigale but without fairing.” Antara perbezaan yang paling ketara ialah pada saiz pelananya yang lebih lebar, lengan ayun lebih panjang dan posisi menunggang yang lebih santai.

Ke‘seksi’an Street Fighter ini datangnya dari lampu utama jenis LED beserta DRL yang tampak cukup moden, melihat pula pada rekaan lampu belakangnya yang boleh saya katakan antara yang paling cantik setakat ini. Ducati telah melengkapkan jentera ini dengan penggunaan panel meter TFT 4.3” yang cukup jelas untuk kita lihat segala informasi atau membuat talaan tidak kira sama ada siang atau malam.

Enjin 955cc Superquadro V yang menghasilkan hantaran kuasa 153hp dan 101Nm (tork) ini memang sudah cukup bertenaga jika dibandingkan dengan 200hp yang terdapat pada model Street Fighter V4. Enjin V2 ini pun dah mampu membawa kita meluncur dengan sangat pantas. Menghidupkan jentera ini memang sesuatu yang mengujakan. Deruman yang terhasil daripada muncung ekzosnya pasti menggetarkan jiwa.

Terdapat tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain yang memiliki pemetaan serta parameter enjin yang berlainan. Pemilik Ducati ini juga mempunyai akses untuk membuat talaan mengikut tahap pengalaman dan kemahiran sendiri. Sistem elektronik yang dikawal oleh IMU 6 paksi ini akan membuat pengiraan dan pengukuran pada posisi serta pergerakan jentera selanjutnya menghantar informasi tersebut pada unit kawalan yang menguruskan kesemua sistem elektronik untuk mengimbangkan tahap hantaran kuasa dengan tepat dan selamat.

Dengan posisi yang cukup selesa dan meyakinkan, kita akan dapat mengendalikan Street Fighter ini dengan mudah dalam semua keadaan, tidak kira ketika memecut laju atau bergerak santai. Dalam mod Sport, kita dapat nikmati tenaga sepenuhnya enjin V2 ini – memang sesuai untuk tunggangan di laluan terbuka mahupun di litar. Dalam mod ini, sistem ABS ditala secara automatik untuk berada di Tahap 2.

Dalam mod Road pula, hantaran kuasa masih lagi berada di tahap sepenuhnya tetapi sistem Rear Wheel-Lift Control diaktifkan ketika membrek manakala sistem Cornering ABS Evo juga diaktifkan untuk menyempurnakan prestasi kita di laluan-laluan berselekoh.

Kami juga dapat menggunakan mod Rain (beberapa kali terperangkap dalam hujan yang lebat). Mod ini dibangunkan untuk menambah kecekapan cengkaman dengan peningkatan tahap tertinggi sistem Traction Control dan Wheelie Control agar lebih stabil. Namun begitu, pergerakan di atas permukaan yang licin tidak harus kita ‘percayakan’ bulat-bulat pada sistem elektronik sebaliknya kita sendiri perlu bijak membuat penilaian agar tidak terlibat dalam sebarang kecelakaan.

Bila berceritakan mengenai sistem elektronik, lebih elok kami kongsikan apakah ciri-ciri moden lain yang ditawarkan oleh Ducati menerusi model hypernaked ini. Antara pakej elektronik + keselamatan Ducati Street Fighter ialah Ducati ABS Cornering EVO, Ducati Traction Control EVO 2, Ducati Wheelie Control EVO, Ducati Quick Shift Up/Down, Engine Braking Control dan Ducati Launch Control.

Seperti yang dikatakan tadi, dengan posisi yang baik serta tempat pemijaknya yang sesuai, kita dapat mengendalikan jentera ini dengan mudah yang membuatkan perjalanan lebih seronok. Ini amat penting khususnya bagi mereka yang berhasrat untuk memiliki jentera ini. Paling tak best jika kita menunggang sebuah motosikal di dalam bandar khususnya yang memiliki hantaran kuasa yang terlalu tinggi dan posisi menunggang yang kurang selesa. Stress dibuatnya, tapi dengan Street Fighter ini memang tak ada masalah. Itu pandangan peribadilah ye.

Dengan hanya 178kg dan pengagihannya yang sempurna membuatkan jentera ini bergerak dengan cukup lincah dan tangkas. Mengendalikan jentera ini di dalam kesibukan kota Kuala Lumpur tidak mengecewakan lebih-lebih lagi tidak pula terasa bahang panas lampau yang mengganggu tunggangan. Bukan tak ada, tapi tidak begitu panas.

Fork hadapan jenis Showa BFF 43mm yang dipadankan dengan penyerap hentak belakang jenis Sachs boleh laras bekerja dengan cemerlang sekali untuk menyerap segala bebanan dan pergerakan di laluan yang tidak rata. Ya, memang seronok membaringkan jentera ini di laluan berliku, ya… memang itulah nikmatnya dengan Ducati ini tetapi jika jentera tunggangan tidak stabil, ‘melompat-lompat,’ hilang semua keseronokan.

Sistem Ducati Quick Shift yang dimiliki oleh Ducati ini cukup lancar. Setiap proses menambah dan menurunkan gear dapat dilakukan dengan cukup licin – tanpa sebarang sentapan dan ‘miss gear’ khususnya di awal perjalanan. Dari 60km/j ke 180km/j dapat kita lakukan dengan mudah dan pantas. Tau-tau dah sampai!

Dengan sifatnya yang garang, tenaganya yang gagah serta tubuh badan yang tegap, enjin V2 ini bagaikan ‘memanggil-manggil’ untuk kita terus memulas pendikit. Laju maksimum untuk Street Fighter ini dikatakan melebihi 260kmj tetapi untuk sesi kami, hanya 200km/j dapat dicatatkan berikut keadaan trafik dan cuaca yang tidak begitu sempurna. Jujurnya, ia memang padu untuk ditunggang laju.

Untuk disesuaikan dengan kemantapan hantaran kuasanya, Ducati Street Fighter hadir dengan brek hadapan jenis Brembo M4-32 monoblock 320mm (sama seperti Panigale V2) dan brek cakera 245mm di belakang yang kedua-duanya dilengkapi dengan Bosch Cornering ABS Evo. Turut membantu pergerakan di selekoh agar lebih stabil dan bergerak dengan padu di laluan lurus ialah pada ketegaran kerangka aluminium monocoque, direka oleh para jurutera Ducati yang berpengalaman.

‘Pendekar Jalanan’ ini didatangkan dengan tangki bersaiz 17 liter. Nampak je macam kecil tetapi besar juga kan! Ya… untuk sepadan dengan prestasi enjin V2 ini yang cukup mantap serta berkemampuan untuk dijadikan teman kembara. Kami mencatatkan perjalanan sekitar 200 kilometer dengan sekali isi dan pada pandangan anda semua, jimat tak?

Pelananya setinggi 845mm, sesuai untuk semua jenis penunggang kerana Ducati ini ramping dan agak ringan. Tak susah pun nak bawa cuma perlu hati-hati ketika membuat pusingan ‘U’ kerana sudut belokannya agak kecil. Untuk menunggang berdua mungkin tidak sesuai kerana pelana pembonceng kecil dan tinggi. Street Fighter adalah untuk pencinta kelajuan… peminat jalanan berselekoh dan abang-abang otai yang sering ke litar.

Ducati Street Fighter V2 ditawarkan dengan warna Ducati Red (dengan rim hitam) pada harga atas jalan RM113,865. Setiap pembelian akan menerima waranti selama 2 tahun (tanpa had perjalanan). RR

Isu Pada

Jun 2023

Spesifikasi

EnjinSuperquadro V2, 4 injap, Desmodromic, sistem penyejuk cecair
Isipadu955cc
Kuasa maksimum153bhp pada 10,750rpm
Tork maksimum101.4Nm pada 9,000rpm
Tayar120/70 ZR17M (depan) & 180/60 ZR17M (belakang)
Saspensifork hadapan jenis Showa BPF 43mm boleh laras & lengan ayun aluminium tunggal Sachs boleh laras (belakang)
Brekcakera berkembar 320mm dengan angkup Brembo M4.32+ Cornering ABS Evo (depan) & cakera245mm dengan Cornering ABS Evo (belakang)
Berat178kg (kering)
Isi tangki17 liter
PengeluarDucati Malaysia

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.

Warta Roda

SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900

Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900.

Berita Kelab

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.