Brough Superior Nefud - Jentera Dual-Purpose 'Desert Storm'
Tahun ini genap sepuluh tahun sejak model baru pertama jenama Brough Superior yang dilahirkan semula. Terbaru, ia hadir dengan gaya moden berasaskan model lagenda SS100 yang diperkenalkan 100 tahun lalu. Model baru itu diperkenalkan kepada umum di Pameran EICMA Milan 2013 dan telah diiktiraf sebagai Superbike ‘sah’ jalanan biasa yang pertama di dunia.
Sejak dari saat itu, syarikat yang berpangkalan di Perancis telah mewujudkan reputasi tinggi yang dicemburui oleh ramai pihak khususnya dalam kecemerlangan ciptaan rekabentuk, kejuruteraan dan kualiti pembuatan. Usaha ini membolehkan mereka (Brough Superior) meraih kepercayaan dan usaha sama dengan jenama British yang ikonik iaitu Aston Martin.
Kerjasama itu telah berjaya melahirkan 100 unit jentera pengecas turbo, AMB 001 yang memiliki gaya Aston Martin yang direka serta dibina oleh Brough Superior. Model tersebut telah habis dijual hanya dalam masa beberapa minggu walaupun pada harga €108,000.
Pihak Brough juga telah memperoleh jumlah pelanggan yang semakin ramai sehingga dilaporkan senarai menunggu untuk memiliki jentera itu agak panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Brough Superior, Thierry Henriette dan rakan sekerjanya Albert Castaigne, merupakan individu yang bertanggungjawab untuk pengurusan syarikat yang kini memiliki 25 kakitangan sepenuh masa yang berkhidmat di kilang mereka di Toulouse yang bersaiz 2,000m² dengan fasiliti yang ultra-moden.
Henriette dan Castiagne berjaya melancarkan semula Brough Superior sebagai jentera berprestasi tinggi, berkualiti tinggi tetapi sayangnya ia terpaksa dijual pada harga yang agak tinggi. Walaupun dihasilkan dengan gaya retro, ia dipadatkan dengan teknologi canggih dan kemasan akhir yang benar-benar berkualiti.
Rangkaian model Brough Superior V-twin yang dihasilkan di Perancis sejak 2013 kini berkembang lagi dengan pengenalan buat pertama kalinya model dual-purpose yang memiliki keupayaan untuk tunggangan jalanan lasak. Perkenalkan Nefud sebuah ‘street scrambler’ yang dipadankan dengan tayar Michelin Anakee Wild.
Model ini diinspirasikan daripada Lawrence, sebuah model roadster dua tempat duduk yang diperkenalkan pada 2021. Model tersebut telah menjadi unit istimewa Brough Superior yang paling popular. Nefud kini telah memasuki operasi pengeluaran di kilang Brough yang beroperasi di Toulouse dan ditawarkan pada harga €68,800 termasuk 20% cukai di Perancis.
“Walau bagaimanapun, kita boleh menganggap penciptaan ini sebagai versi dua roda Range Rover, satu lagi kereta mewah British yang mampu beraksi di laluan lasak tetapi pemiliknya memang jarang membuatkan tayarnya berlumpur. Nefud ini mampu untuk tunggangan offroad – ia didatangkan dengan pakej tayar dan sistem saspensi yang betul”, kata Thierry Henriette.
“Tetapi sama seperti pengeluar lain yang mengeluarkan model dual-purpose atau scrambler yang berprestasi tinggi + tayar knobby, 95% daripada pemilik tersebut akan menunggangnya secara santai dan bergaya terutamanya di boulevards. Sebenarnya, mereka boleh menggunakannya untuk 'bermain' di laluan-laluan lasak tetapi sangat sedikit daripada mereka yang akan berbuat demikian."
Brough Superior baru ini dinamakan sempena padang pasir bernama An Nefud yang kini dikenali sebagai Utara Arab Saudi. Tempat ini dimiliki oleh orang arab pada tahun 1917 yang ketika itu datangnya dari pelabuhan Laut Merah Aqaba atau kini, Jordan.
Ini adalah kemenangan terbesar dalam Pemberontakan Arab dalam Perang Dunia Pertama (WW1) ketika menentang Empayar Uthmaniyyah dari Turki, dan ia didalangi oleh fanatik jentera Brough Superior (dia memiliki tujuh model Superior berturut-turut!) iaitu T.E. Lawrence - lebih dikenali kepada peminat filem di seluruh dunia sebagai Lawrence of Arabia. “Kami dalam proses mewujudkan tiga siri motosikal yang berbeza, semuanya 100% dibina di kilang kami sendiri,” katanya.
“Satu daripadanya adalah model pengecas turbo berprestasi ultra tinggi, yang pada masa ini semuanya melambangkan gaya Aston Martins. Model kedua merupakan jentera berprestasi tinggi dengan penggayaan retro serta menggunakan platform SS100, seperti Pendine Sand Racer dan Anniversary. Yang ketiga ialah siri generasi baru dengan penampilan moden berbanding SS100 tetapi tidaklah se'ekstrem' AMB 001 tetapi masih memberikan prestasi yang memuaskan.”
“Model itu mempunyai tempat duduk yang lebih rendah dan terdapat ruang untuk pembonceng, brek jenis Beringer yang kurang ekstrem dan lain-lain. Banyak tempahan kami terima untuk Lawrence sejak melancarkannya dua tahun lalu dan ia mengesahkan kami bahawa keputusan menghasilkan model tersebut memang betul. Nefud ialah siri tambahan kepada siri generasi baru Brough Superior ini.”
Walaupun Nefud ialah model Brough Superior yang pertama dipasang tayar laluan lasak tetapi sebenarnya ia bukanlah model pertama disasarkan untuk digunakan bagi tujuan itu. Pada tahun 1925, selepas dua tahun pengeluaran, model SS100 asal telah berkembang menjadi versi 'serba boleh' yang dinamakan Alpine Grand Sports. Model ini dilengkapi dengan enjin longer-stroke roller-bearing 995cc JAP.
Nama model ini diperolehi selepas George Brough sendiri dan F.P. Dickson menunggang dua prototaip di saingan Alpine Austria Trail yang berlangsung selama lapan hari yang cukup meletihkan. Mereka berdua telah memenangi acara ini. Model tersebut dilengkapkan dengan beg 'pannier' Rexine yang besar untuk tinggal semalaman, dua beg alat selenggara/baikpulih, ditala untuk persaingan lasak dan meter kelajuan Bonniksen.
Model itu juga meraih kemenangan di saingan trail London-to-Edinburgh 1925 dan di perlumbaan Victory Cup Trial pada bulan Mac 1926. Selepas itu jentera tersebut dijualnya kepada seorang putera India. Sementara itu, replika Alpine Grand Sports memasuki siri pengeluaran dan pada tahun 1928, syarikat itu mengeluarkan model baru yang didatangkan dengan saspensi belakang, rangka belakang berbentuk segi tiga dan pelana berspring di bahagian bawah.
Nefud dikuasakan oleh enjin penyejuk cecair 88º V-twin lapan injap. Berat enjin ini adalah 71kg dan ia sama dengan model SS100, Lawrence dan Pendine Sand Racer. Enjin Nefud bersesaran 997cc dan mampu menghasilkan kuasa 102 bhp/75 kW pada 9,600 rpm dan tork 87 Nm/64 lb-ft pada 7,300 rpm. Kotak gearnya adalah dari jenis kaset yang dibuat oleh CIMA di Itali.
Enjin ini dicipta khas untuk Brough oleh Akira Engineering di Bayonne, Perancis yang juga kilang penghasilan enjin Kawasaki ZX-10R yang memberi kuasa buat Jonathan Rea kepada enam gelaran Juara Superbike Dunia berturut-turut. Pemasangan lengkap setiap enjin dijalankan di kilang Brough Superior yang terletak di Toulouse. Henriette mengesahkan bahawa semua motosikal Brough dikeluarkan di kilangnya sendiri.
Penghantaran model Brough Superior 'generasi baru' kepada para pelanggan bermula pada tahun 2021 dengan Lawrence sebagai model pertama yang menawarkan ruang untuk pembonceng. Nefud kelihatan seperti jentera penunggang solo dan ini kerana pad pembonceng tersembunyi di bawah penutup aluminium.
Seperti semua Brough Superior generasi baharu, Nefud berjaya mengatasi beberapa penyelesaian kejuruteraan termaju dan komponen berteknologi tinggi. Paling menarik perhatian pada penciptaan saspensi hadapan, yang menggabungkan penampilan retro dengan reka bentuk ultra-moden. Ini berdasarkan fork hadapan jenis wishbone - Fior Design yang dicipta oleh jurutera Perancis, Claude Fior.
Sistem yang sama beliau menggunakannya pada jentera Fior 500GP empat silinder tajaan Marlboro pada lewat 1980-an. Rekaan ini kemudiannya ditiru oleh BMW dalam mencipta fork Duolever yang melengkapkan model siri K.
Mereka bebas untuk melakukan ini, kerana Fior yang memfokuskan perlumbaan telah meninggalkan paten reka bentuk selepas menciptanya semula pada akhir 1970-an, beberapa tahun sebelum reka bentuk fork Hossack yang serupa.
Dia sendiri berlumba dengan jentera yang dipasang fork sama dalam beberapa perlumbaan Endurance utama, meraih tempat ketiga dalam kejuaraan FIM 1000km Austria pada tahun 1980 dengan memacu jentera Fior-Honda. Fior kemudiannya membuat rekaan beberapa model jalanan untuk syarikat Reka Bentuk Boxer milik Thierry Henriette.
Fork hadapan Nefud ini dihasil menggunakan aluminium solid yang padankan dengan penyerap hentak tunggal ciptaan khas untuk Brough Superior oleh Donerre, pengeluar sistem saspensi Perancis yang berkualiti tinggi. Di belakang pula, jentera ini menggunakan lengan ayun aluminium dibentuk oleh mesin-CNC yang juga boleh dilaras sepenuhnya.
Brek hadapan Beringer 320mm di depan dimantapkan dengan sistem Continental ABS dwi-saluran dan brek cakera 230mm juga jenis Beringer mengawal pergerakan tayar di belakang. Nefud dilengkapkan dengan brek hadapan bersaiz 120/70R19 dan belakang 200/55R17 yang sesuai untuk jalanan biasa dan sudah pasti untuk laluan lasak.
Tangkinya sebesar 17 liter, gentian karbon (sama seperti model Lawrence) yang dicatkan dengan warna merah untuk mengaitkannya dengan padang pasir. Panel meter berbentuk bulat yang memberikan gaya retro. Info-info yang terdapat pada panel meter digital agak kecil, mungkin perlu pakai kanta untuk baca maklumat seperti tahap rpm, jarak perjalanan, trip dan suhu air dengan tepat. Akhirnya sekali, dua suis besi di kiri kanan bar hendal untuk lampu signal, lampu utama dan suis penghidup. Apa yang agak menjengkelkan ialah saiz suis-suis itu terlampau kecil – susah juga nak guna bila kita sudah pakai sarung tangan.
Saya mempunyai dua peluang untuk menguji Nefud ini. Yang pertama ialah di Goodwood Festival of Speed tahun lepas dan ketika bersama pelumba uji Brough Superior, Simon Pitelet dengan menunggang prototaip Nefud dan Aston Martin AMB 001 mendaki bukit di hadapan 100,000 penonton.
Peluang untuk menunggang jauh tiba apabila diberi peruntukkan masa menikmati perjalanan di selatan England pada tahun itu. Jentera tersebut sekali lagi dibawa melawat UK dan memberi saya kesempatan untuk mengenalinya dengan lebih baik walaupun bukan laluan offroad! Ini disebabkan jentera ini perlu berada perhimpunan eksklusif itu dengan harapan akan ada beberapa bakal pelanggan.
Pelananya dua inci/50mm lebih rendah daripada model SS100 (780mm), dengan hasil yang membuatkan anda merasa seolah-olah lebih banyak duduk daripada bertenggek di atasnya. Walaupun begitu, potensi offroad tidak memberikan sebarang masalah khususnya untuk penunggang tinggi 180cm/5'10" – saya dapat meletakkan kedua-dua kaki di atas tanah dengan sempurna.
Nefud ini memang selesa dan cukup mudah dikendalikan walaupun ketika berada di dalam bandar – ini adalah kerana tayar hadapannya 19 inci yang turut membantu kawalan menjadi lebih menyeronokkan. Tidak dinafikan, ia adalah model Brough Superior yang agak memuaskan hati setakat ini kecuali pendikitnya jenis besi yang akan menjadi licin – adakah ini bukti berlakunya 'Overdesigned' yang perlu segera diatasi.
Jentera ini bergerak dengan cukup lancar pada kelajuan sekitar 160km/j – relaks dan terasa kegagahannya di atas lebuhraya. Deruman yang terhasil sebaik sahaja kita menghidupkan enjinnya cukup merdu sekali. Penalaan enjin telah dikawal secara halus berbanding dengan SS100 dan paling penting, ia masih mempunyai cukup kuasa memberi keterujaan. Sistem slipper clutch Adler yang dimilikinya juga cukup lancar dan menjadikan jentera ini ideal untuk ditunggang.
Model ini masih menggunakan sistem 'cable throttle' yang lama, bermakna Nefud tidak mempunyai sebarang mod tunggangan tetapi itu semua tidak penting, jentera ini menawarkan tunggangan sebenar tanpa ada 'gangguan' daripada sebarang sistem elektronik moden. Panel meternya tidak dilengkapkan dengan meter bahan api – hanya ada lampu amaran.
Terdapat beberapa kelebihan dilihat pada reka bentuk fork wishbone jenis Fior. Ini termasuk pengasingan fungsi pengemudi dan penyerap hentak supaya fork hadapan tidak 'membeku' apabila anda membelok ke selekoh, pada sudut-sudut tertentu. Ini amat penting bagi memastikan perjalanan seronok dan selamat. Pengalaman menunggang Nefud memang menarik. Kita dapat membrek dengan lambat sebelum masuk ke selekoh tanpa takut fork membeku/tidak menyerap dengan baik. Semua akan berjalan dengan lancar.
Pemasangan roda hadapan bersaiz 19-inci (lebih besar berbanding dengan 18-inci SS100), menyumbang kepada pengendalian yang tepat berbanding model SS100. Penyerap monoshock belakang bertindak dengan cemerlang dalam pelbagai keadaan dan muka bumi. Kualiti tunggangan langsung tidak mengecewakan saya dan Nefud ini sudah tentu membuktikan karya dari Brough Superior sentiasa dan akan terus istimewa dan unik. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Oli Tennen
Spesifikasi
Enjin | Sistem sejukan cecair, DOHC, 88 darjah |
Isipadu | 997cc |
Kuasa maksimum | 102bhp/75kW pada 9,600rpm |
Tork maksimum | 87Nm/64lb-ft pada 7,300rpm |
Tayar | 120/70R19 - Michelin Anakee Wild (depan) & 170/60R17 - Michelin Anakee Wild (belakang) |
Saspensi | Fork fior-type billet aluminium (depan) & lengan ayun aluminium, mesin CNC dengan penyerap hentak Donerre boleh laras (belakang) |
Brek | Cakera berkembar 320mm, ABS (depan) & cakera 230mm, ABS (belakang) |
Berat | 200kg (kering) |
Isi tangki | 17 liter |
Pengeluar | Brough Superior Motorcycles SAS, Toulouse, France |
Popular