Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Disember 2019

BMW R 1250 GS ADVENTURE Kuasa Mutlak Jentera Pengembaraan

Bagi peminat sukan motor lasak atau dunia pengembaraan dua roda, model BMW GS tidak perlu lagi diperkenalkan. Ia adalah pilihan jutaan penunggang motosikal di seluruh dunia dan untuk disesuaikan dengan pelbagai ragam. Tidak dinafikan, GS merupakan antara jentera pengembaraan paling popular dan paling mendapat sambutan di dalam pasaran dunia. Dengan memberi tumpuan kepada kemampuan pengendalian, saiz penunggang dan kedalaman poket seseorang itu, GS ini telah dicipta dalam pelbagai versi dan saiz enjin dari 310cc hinggalah yang paling besar, 1250cc.

Terima kasih BMW Motorrad yang telah memberi kami peluang menutup sesi pengembaraan dengan siri hebat ini menerusi model terulung R 1250 GS Adventure atau GSA. Apabila sudah berada di depan mata, hanya ada satu perkara yang bermain di fikiran. “Mana destinasi menarik untuk aku nikmati bersama GSA ini?”

Sebelum itu, eloklah kami nyatakan serba ringkas tentang spesifikasi enjin jentera ini. Betul... ia menggunakan enjin boxer yang bersesaran 1,254cc, kuasa sehingga 136hp pada 7,750 rpm dan tork 143Nm pada 6,250 rpm, sistem kunci pintar, kepelbagaian sistem elektronik dan antara pembaharuan yang paling utama serta paling kami nantinantikan ialah sistem BMW ShiftCam Technology yang dicipta khas untuk memberikan pecutan yang mantap disamping mengekalkan tahap kelancarannya.

Jika menilainya hanya menerusi pandangan mata kasar, model R 1250 GSA ini dirasakan agak sukar untuk ditunggangan. Tengok sahaja tangki GSA ini yang sebesar 30 liter – dari segi saiz, memang berbeza dengan model GS (20 liter). Pelananya sahaja sudah setinggi 890mm tetapi apabila kita melabuhkan punggung ke atasnya, perasaan risau dan was-was itu hilang sekelip mata.

Posisi menunggang sangat selesa, ia benar-benar seimbang dan mudah benar untuk dikendalikan. Pujian harus diberikan buat pasukan jurutera yang menghasilkan model ini kerana bukan mudah untuk menambahbaik sebuah motosikal yang diiktiraf antara produk dua roda terbaik pernah berada di jalanraya. Hebat! Penambahbaikan prestasi kepada sesebuah motosikal bukan sahaja terletak pada peningkatan saiz enjin dan kelajuan semata-mata, ia perlu dilakukan secara menyeluruh.

Ruang kokpitnya cukup mantap, membuktikan tahap kecanggihan yang terus dipadatkan oleh BMW pada setiap produknya. GSA ini tidak terkecuali. Ini selaras dengan kemajuan teknologi yang sedang rancak diperkenalkan oleh setiap pengeluar motosikal. Panel meter TFT bersaiz 6.5 inci yang dipadankan padajentera ini cukup jelas dan mudah untuk kita membuat pilihan. Kalau nak cerita info yang boleh kita dapati daripada paparan panel meter ini memang banyaklah. Secara asasnya, semua ada!

Terdapat mod tunggangan iaitu Road, Rain, Dynamic, Enduro dan Pro Enduro yang menawarkan hantaran kuasa serta karaktor yang berbeza. Kami juga cukup suka dengan Hill Start Control (HSC) yang amat sesuai ketika berada di kawasan berbukit dan untuk penunggang bersaiz sederhana. Dengan penggunaan HSC, brek belakang akan diaktifkan apabila kita menarik/menekan brek depan atau belakang dengan keras sehingga lampu penunjuk menyala.

Aduhai... hantaran kuasanya hadir dengan cepat dalam semua kedudukan gear. Bunyi enjin boxernya? Jangan ceritalah... punyalah sedap! Dengan tubuh badan yang besar, menunggang laju tidak terasa. Sekali pulas sahaja BMW ini dapat dipecut mencapai 150km/j tanpa kita sedari. Ketinggian cermin pengadang udaranya boleh kita laraskan mengikut keselesaan – pusing sahaja tombol yang terdapat di atas panel meter. Mudahkan?

Berada di atas R 1250 GSA ini bukan sahaja sangat selesa tetapi mewah. Macam naik pesawat A380 kelas pertama! Dengan adanya Automatic Stability (ASC) dan sistem saspensi yang cemerlang, kami dapat menunggang dalam kelajuan tinggi hampir di sepanjang jalan dengan selesa. Ruang pelananya yang besar dan empuk pula memberikan keselesaan buat penunggang dan pembonceng. Tidak hairanlah model ini turut menerima respons yang cukup positif di negara barat dan Eropah. Badan 'depa' lagi besar... perlu ruang yang luas. Terima kasih BMW. Bila penunggang happy... pembonceng happy... pasti BMW pun happy.

Sebagai sebuah jentera pengembaraan yang pastinya akan meluncur bebas di lebuhraya, BMW ini turut didatangkan dengan sistem auto cruise yang boleh ditala menerusi suis yang terdapat pada bar hendal sebelah kiri. Selepas ditala pada kelajuan yang dikehendaki, kita hanya perlu menarik tuas klac atau brek bagi mematikan penggunaan sistem ini. Mudah sekali.

ASC berfungsi dengan membuat redaman secara automatik mengikut situasi laluan yang digunakan, corak tunggangan dan bebanan yang sedang ditanggung. Dengan itu, kadar kestabilan dan keselesaan tidak terganggu walaupun kita berada di laluan yang tidak sempurna. Pemilihan untuk menyempurnakan jentera ini dengan lampu-lampu LED berserta lampu posisi yang cukup cerah amat membantu agar kehadiran kita dapat dilihat oleh kenderaan di hadapan. Susuk tubuhnya sasa dan ini menarik perhatian setiap mata yang memandang tepat ke arah BMW ini.

Enjin yang menjanakan kuasa setinggi 136hp ini dapat menarik sebuah mesin seberat 268kg dengan mudah dan kami sendiri berupaya untuk melarikan GSA ini mencapai kelajuan 200km/j dengan cukup lancar. Hantaran kuasa tanpa batas menyebabkan kami dapat kekal dalam gear-gear pertengahan untuk suatu jangka masa yang lama. Sistem transmisi yang dilengkapi dengan Shift Assistant Pro membolehkan proses kemasukan gear dapat dilakukan tanpa perlu menggunakan klac.

Lebih lama dengan BMW ini, lebih seronok. Lebuhraya kami tinggalkan, masuk pula ke jalan luar bandar menuju ke Jugra. Suasana pagi di dalam kampung cukup tenang sekali. Sekali lagi, saiz GSA dan deruman enjin boxernya menarik minat ramai. Satu perkara yang perlu diingat oleh setiap pengembara yang menunggang ke kawasan baru (tidak kiralah di Malaysia atau di luar negara) , tingkatkan tumpuan agar setiap pergerakan penduduk setempat dapat kita baca dengan pantas kerana mereka sudah biasa dengan keadaan trafik yang lengang – mungkin 'selamber' je keluar/masuk simpang. Jika kita leka, boleh berlaku kecelakaan.

Sistem 'pertahanan' pada jentera ini memang cemerlang. Ini adalah untuk melindungi pemiliknya yang sanggup mengeluarkan RM125,500 untuk sebuah GSA ini. Selain sistem traction control dan ABS, model ini memiliki Dynamic Brake Control (DBC) yang memberikan pelindungan lebih mantap sewaktu membrek.

Pastinya kita pernah berhadapan dengan situasi membrek keras tanpa menyedari pendikit masih dibuka/digunakan. Ini bermakna, jentera tidak 100% berhenti malah masih bergerak berikutan enjin terus berputar – cukup bahaya. Menerusi sistem DBC ini, putaran enjin akan diturunkan secara automatik sebaik sahaja kita membrek. Ini membolehkan jentera terus stabil, elakkannya daripada pecutan secara tidak sengaja dan mampu memendekkan jarak untuk berhenti.

Laluan mendaki ke Bukit Jugra agak kecil dan curam. Risau juga pada mulanya! Tetapi yesss... pengendalian R 1250 GSA di ruang yang kecil dan terhad sekali lagi mengagumkan kami. Sudut belokan yang luas serta keseimbangannya membuatkan segala pergerakan begitu mudah. Tayar-tayar Michelin Anakee Adventure bersaiz 120/70 R19 di depan dan 170/60 R17 di belakang mengigit permukaan jalan dengan baik walaupun di laluan yang basah. Motor dah padu... tayar pula mantap... memang pakej yang dinanti-nantikan.

Untuk memudahkan penunggang khususnya di Eropah (motosikal perlu membayar tol di lebuhraya), BMW telah menyediakan ruang kecil berkunci di bahagian depan tangki yang boleh disimpan syling, duit kertas atau kad tol. Buat kita penunggang di Malaysia, ruang tersebut bolehlah letak duit. Nanti senang bila singgah mana-mana gerai di tepi jalan. Memang cute tetapi cukup praktikal.

Bercerita tentang mengembara, jentera ini turut dilengkapi dengan BMW Motorrad Connectivity (aksesori pilihan) yang menawarkan penunggangnya menikmati setiap kilometer perjalanan dengan lebih menyeronokkan. Menerusi sistem ini, kita akan dapat menggunakan sistem navigasi, mendengar muzik dan membuat/menerima panggilan telefon menerusi sistem Bluetooth terus ke telefon pintar dan topi keledar.

GSA ini kemudiannya dibawa ke kawasan offroad  yang tidaklah begitu sukar. Kami gunakan mod Enduro – cukup menyeronokkan kerana mudah sehingga terlupa ia sebuah jentera seberat 268kg. Berbanding dengan GS, GSA ini didatangkan dengan pelindung enjin yang memang penting di kawasan begini. Sistem ABS boleh dimatikan dan kami benar-benar sukakan setiap saat sistem saspensi hadapan (BMW Motorrad Telelever) dan penyerap hentak BMW Motorrad Paralever di belakang yang berfungsi dengan cemerlang.

BMW’s Dynamic Electronic Suspension Adjustment (ESA) Next Generation turut membantu melancarkan pergerakan dalam apa jua keadaan. Sistem ini akan membuat pelarasan mengikut keberatan (solo atau dengan pembonceng) dan beserta bebanan atau tidak. Selepas 500 kilometer perjalanan, apa yang dapat kami simpulkan ialah dengan BMW R 1250 GSA ini, ia adalah saat pengembaraan yang merehatkan minda dan merehatkan badan.

Tidak ragu-ragu menyatakan BMW R 1250 GSA ini di antara model pengembaraan terbaik pernah dirasakan. Ia besar tetapi amat mudah untuk dikendalikan dan segala kepesatan teknologi yang dipadatkan padanya menjadikan setiap perjalanan bagaikan impian pencinta motosikal. RR

https://www.bmw-motorrad.com.my

Isu Pada

Disember 2019

Spesifikasi

EnjinEmpat Lejang,Boxer,sistem penyejuk cecair/udara,BMW shiftcam
Gerek x Lejang102.5mm x 76mm
Isipadu1254 cc
Kuasa Maksimum100kW (136PS) pada 7,750 rpm
Tork Maksima 143 nm pada 6,250 rpm
Nisbah mampatan12.5:1
KlacBasah
Kotak Gear6 Kelajuan
Saspensi hadapanBMW Telelever 37cm
Saspensi belakangLengan ayun tunggang aluminium dengan BMW Paralever

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.