Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 29 April 2023

Honda ADV160 - Semakin Seronok!

Seperti yang kita tahu Honda X-ADV 750 mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di seluruh dunia. Oleh itu, Honda telah menghasilkan sebuah jentera skuter Adventure yang mampu milik bagi memenuhi permintaan pengguna dua roda terutama di negara-negara Asia iaitu Honda ADV150. Sejak pelancaran model ini di Malaysia pada tahun 2021, skuter ADV ini ternyata cukup diminati oleh pengguna-pengguna dua roda di tanahair.

Keistimewaan pada jentera ini sudah tentu pada rupabentuknya yang memang lain daripada skuter-skuter biasa. Model ini dibina dengan berkonsepkan sebuah skuter adventure berbeza dengan skuter-skuter kategori 150cc lain yang lebih membawa gaya sporty. Namun, ada juga beberapa jenama motosikal yang lain turut menghasilkan skuter adventure untuk bersaing di pasaran.

Untuk terus berdaya saing di dalam pasaran motosikal, Boon Siew Honda (BSH) telah memperkenalkan Honda ADV160 sebagai model bagi tahun 2023 yang hadir dengan ciri-ciri baharu. Antara perubahan paling utama yang dapat kita lihat dengan mudah sudah tentu dari segi enjinnya yang telah dinaik taraf daripada 150cc kepada 160cc.

Menerusi rekabentuk luaran Honda ADV160, gayanya sama seperti ADV150. Walaupun nampak sama, model ini mempunyai rekabentuk badan yang serba baru dan terdapat sedikit perubahan pada bahagian casisnya. Dari segi fizikalnya, kami dapati saiz ADV160 lebih besar sedikit berbanding dengan ADV150. Manakala bentuk lampu hadapan dan belakang nampak sama dengan pencahayaan lampu-lampu LED.

Setelah duduk di atas skuter ini, kami dapat rasakan posisi tunggangan ADV160 lebih selesa daripada model sebelum ini. Kami sangat sukakannya! Ketinggian pelana kini lebih rendah dengan 780mm berbanding 795mm pada ADV150. Terdapat penurunan sebanyak 15mm. Semasa menunggangnya pun kami tidak terasa janggal seperti yang kami rasa pada jentera ADV150. Pelananya juga tidak terasa keras, sangat selesa untuk tunggangan jauh.

Kami mula menghidupkan skuter ADV160 ini. Bunyi enjinnya cukup lembut selepas dihidupkan. Enjinnya berputar dengan lancar sekali. Mata kami melihat paparan meter digitalnya, lampu latar belakang pada meter tersebut telah memaparkan info-info untuk penunggang dengan lebih jelas walaupun dilihat pada waktu siang. Kalau malam lagi lah jelas!

Bahagian enjin merupakan perubahan paling utama pada skuter ini. Honda ADV160 telah dinaiktaraf dengan enjin baharu yang bersesaran 156.9cc dengan teknologi enhanced Smart Power Plus (eSP+), silinder tunggal dan sistem penyejuk cecair. Oleh itu, sekali gus menghasilkan kuasa maksimum 15.8hp (11.8kW) pada 8,500rpm dan tork 14.7Nm pada 6,500rpm.

Secara jujur, torknya kami dapat rasakan lebih berkuasa. Dengan mudah sahaja kami berupaya meninggalkan kenderaan lain di belakang. Kami mula memacu jentera ini di kawasan lebuh raya. Pendikit semakin galak kami pulas untuk mencapai pada kelajuan maksimum. Dengan berat badan penunggang sekitar 80 kilogram, kami dapat mencapai kelajuan sehingga 120km/j. Itu adalah kelajuan yang dapat dicapai pada jentera ini. Tunduklah macam mana pun tidak akan melebihi kelajuan tersebut.

Bagi kami had laju paling ideal untuk jentera ini adalah sekitar 100 – 110km/j sahaja semasa menunggang di lebuhraya. Hal ini kerana, ADV160 terasa sedikit bergoyang-goyang apabila kelajuan pada paparan meter melepasi 110km/j. Ditambah pula dengan angin-angin dari kenderaan berat yang memintas kita amat berbahaya dan boleh mendatangkan kecelakaan apabila hilang kawalan. Apa pun kita mestilah menunggang dengan lebih berhati-hati. Masalah seperti ini tidak terasa apabila menunggang bersama pembonceng.

Beralih pula di dalam bandar. Menunggang ADV160 amat menyeronokkan terutama semasa menyusuri jalan-jalan yang sesak dengan kenderaan. Oleh kerana ianya sebuah model skuter, pulas sahaja pendikit untuk ke destinasi yang dituju. Dengan berbekalkan berat 133kg, memudahkan lagi untuk kami mengawal jentera ini mencelah di antara kenderaan. Mencelah tu celah juga… keselamatan pun perlulah diutamakan, jangan sampai terlanggar kenderaan lain. Nanti tidak pasal-pasal kena bayar ganti rugi.

Selain keseronokan memacu jentera ini di lebuhraya dan bandar. Ciri-ciri yang terdapat pada jentera ini juga sangat memuaskan. Antaranya adalah ruang simpanan bawah pelana yang bersaiz 30 liter, lebih besar daripada ADV150. Mudah untuk kita meletakkan barang-barang sebelum memulakan perjalanan. Cuma, untuk menutup pelana susah sedikit kerana kita perlu tekan dengan kuat. Di bahagian hadapan pula mempunyai kotak simpanan kecil yang boleh memuatkan telefon pintar. Ada juga soket pengecas USB serba baru untuk mengecas telefon dengan kuasa 5V 2.1A.

Honda ADV160 juga dilengkapi dengan cermin penghadang angin boleh laras dengan dua posisi ketinggian iaitu rendah dan tinggi. Untuk mengubah tahap ketinggiannya atau rendahkan perlu dibuat secara manual dengan menarik bahagian yang berbentuk bulat sambil menolak cermin tersebut ke atas atau bawah mengikut keselesaan.

Selain menawarkan kehebatannya di jalan-jalan berselekoh, skuter kembara ini tidak kurang hebatnya menyusuri laluan offroad. Honda ADV160 dilengkapkan dengan tayar-tayar jenis dual purpose yang bersaiz 110/80 -14 (depan) dan 130/70-13 (belakang).

Tambahan pula sistem saspensinya memang mantap. Fork teleskopik di bahagian hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang dengan subtank menyerap setiap hentakan dengan baik sekali. Sekadar hendak layan offroad ringan-ringan tu apa salahnya. Janganlah pula kita melenjan skuter 160cc ini seperti menunggang X-ADV 750.

Menariknya, skuter ini dilengkapi dengan teknologi terkini iaitu Honda Selectable Torque yang biasanya terdapat pada motosikal Honda 250cc ke atas. Sistem ini berfungsi mengawal kuasa enjin bagi mengurangkan tork di roda belakang supaya tidak mudah tergelincir terutama di permukaan licin, berpasir atau laluan offroad.

Dari segi keselamatan pula, ADV160 menggunakan brek-brek jenis cakera di bahagian hadapan dan belakang. Penggunaan brek cakera ini memudahkan lagi kita memberhentikan jentera dengan jarak selamat. Tambahan pula, roda hadapan skuter ini telah dipadankan dengan sistem ABS untuk meningkatkan lagi kawalan dan keyakinan semasa membrek.

Sistem kunci pintar pula bukanlah sesuatu perkara yang baru. Tetapi penggunaan teknologi ini memudahkan pengguna untuk menghidupkan jentera tanpa menggunakan kunci. Sistem ini juga mempunyai ciri-ciri pengera Anti-kecurian dan sistem panggil balik.

Motosikal keluaran Honda sememangnya sebuah jentera yang menjimatkan. Sistem suntikan bahan api PGM-Fi telah mengoptimumkan kadar penggunaan bahan api lebih menjimatkan. Pakej elektronik seperti Idling Stop System (ISS) juga turut membantu dalam faktor penggunaan petrol. Kami dapat menyusuri perjalanan sehingga 300 kilometer dengan sekali isi ke dalam tangki 8.1 liter.

Bagi mereka yang memang berminat dengan sebuah jentera kembara tetapi hanya memiliki lesen B2, Honda ADV160 antara pilihannya. Model ini bukan sahaja tahan lasak malah rekabentuk keseluruhannya juga cukup menarik sekali. Memang kena dengan jiwa golongan muda. Skuter ini didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Mat Charcoal Gray Metallic danVivacity. Harga asasnya ialah RM12,999 (tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran). Berminat? Lawati bilik pameran Honda Impian X atau pusat pengedar Honda yang berdekatan. RR

Isu Pada

April 2023

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, eSP+, sistem penyejuk cecair
Isipadu156.9cc
Kuasa maksimum15.8hp pada 8,500rpm
Tork maksimum14.7Nm pada 6,500rpm
Tayar110/80-14 M/C (depan) & 130/70 - 13 M/C (belakang)
Saspensifork teleskopik (depan) & penyerap hentak berkembar dengan subtank (belakang)
Brekcakera, ABS (depan) & cakera (belakang)
P x L x T1,950mm x 763mm x 1,196mm
Isi tangki8.1 liter
PengeluarBoon Siew Honda (BSH)

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Warta Roda

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Warta Roda

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.