MFR Ducati Mutant Powerchopper
Ducati melebarkan sayapnya ke dalam segmen baru dunia dua roda yang belum lagi pernah mereka ceburi. Dikatakan ia akan diumumkan tidak lama lagi apabila Ducati telah menyatakan rancangan mereka untuk menyertai perlumbaan offroad MX1/MX2. Ini adalah sebahagian daripada program membangunkan rangkaian jentera dirtbike 250-450cc untuk Enduro dan Motocross.
Walau bagaimanapun, ada satu segmen yang belum pernah lagi diberi perhatian untuk benar-benar mengkaji iaitu Custom Powerchopper. Ducati Diavel diperkenalkan pada 2011 merupakan sebuah powercruiser dengan gaya yang kurang ekstrim jika dinilai dari segi penggayaan segmen chopper.
Tetapi pada tahun 2005 pengedar tertua Ducati di Afrika Selatan telah menghasilkan sebuah jentera seperti yang kita katakan dan fikirkan. Model itu ialah MFR Ducati Mutant. Penjualan 'model-model' ini hanya dalam bentuk 'kit' kepada pelanggan yang berada di sekitar dunia. Saya dikira amat bernasib baik dapat menaiki Mutant dalam lawatan ke Afrika Selatan 15 tahun yang lalu.
Untuk MFR (Moto Frisoli Racing) Ducati Mutant powerchopper ialah gabungan istimewa beberapa elemen rekabentuk dan tanda dagangan untuk Ducati. Ini termasuk rangka trellis yang 'menyimpan enjin desmo v-kembar 90°, sistem sejukkan udara, lengan ayun tunggal, kemasan gentian karbon dan sistem saspensi Ohlins. Dengan adanya ciri-ciri ini, Kapten America akan bersetuju untuk menunggangnya dari L.A. ke 'Noo'Ahlins' seperti mana yang ditontonkan dalam filem itu.
Terdapat dua pilihan model ini untuk dijualkan dan ia berada di pusat pentadbiran MFR. Satu, anda boleh milikinya satu unit mengikut warna pilihan anda (seperti jentera prototaip milik Dave Frisoli) dan kedua ialah sebagai kit kerangka yang membolehkan para pemiliknya mengubahsuai menjadi sebuah model kustom. Tapi, jangan sekali-kali berfikir semuanya ini murah ya, yuran keahlian 'kelab' ini sahaja bernilai 600,000 (ketika itu) manakala harga untuk satu unit bermula dari US$80,000 dan ke atas.
Model yang 'siap' itu lengkap dengan kerangka, lengan ayun, ekzos, sistem penyenyap, bar hendal dan kesemua 11 bahagian dari gentian karbon dan termasuk tangki bahan api. Tidak lupa juga pakej brek cakera jenis Brembo, lampu halogen 8-inci, fork jenis Öhlins, kamera TV elektronik, lampu sisi LED serta bolt dan nat khas yang semuanya termasuk dalam harga kit itu. Lebih menarik, sekitar 52 komponen lain dihasil daripada aluminium menggunakan mesin CNC.
Walaupun penggayaan model ini cukup ekstrim, ia benar-benar memberi kejutan buat saya ketika mengujinya dulu. Saya 'berluncur' dengannya di Lebuhraya High Weldt di utara Jo'burg dalam cahaya matahari musim sejuk yang terik. Perjalanan saya dengannya mendedahkan bahawa Mutant adalah gabungan di antara praktikal dengan gaya. Dapat kita lihat dengan sangat jelas menerusi pemakaian tayarnya bersaiz gemuk yang dipadankan dengan enjin Ducati berprestasi tinggi.
Teka teki mengenai cara untuk memasuki segmen jentera cruiser kustom ini memang sukar kerana Ducati perlu mengekalkan warisan penting iaitu 'sport' dan 'persaingan'. Hal ini telah membingungkan pihak pengurusan Ducati sudah puluhan tahun atau sejak Gianfranco Castiglioni yang menugaskan perekacipta jentera kustom di US untuk membina sebuah model prototaip DB900 sebaik sahaja beliau mengambil alih Ducati pada tahun 1985. Sayangnya projek itu terpaksa dihentikan berikutan kos pembinaan enjin yang terlalu tinggi.
Ayah kepada Frisoli, Riccardo telah meninggal dunia baru-baru ini. Beliau merupakan seorang imigran dari Itali ke Africa Selatan pada tahun 1960an telah membawa masuk Ducati ke negara itu dan beliaulah pengasas Moto Frisoli Racing (MFR) – pengedar Ducati paling lama di sana.
MFR juga telah meraih terlalu banyak kemenangan di peringkat tempatan pada tahun-tahun 1960an dan berikutnya dengan memacu pelbagai model seperti enjin tunggal 350cc hinggalah jentera v-kembar yang ditunggang oleh adik beradik Pietersen iaitu Keith, Dave dan Robbie dalam saingan Produksi pada tahun 1970 hingga 80an.
Keluarga Frisoli terus memberi tumpuan pada prestasi, dengan Dave sebagai ketua juruteknik firma dan turut mencipta kira-kira sedozen jentera Ducati Streetfighter yang unik untuk diri sendiri dan pelanggannya. Selepas itu, beliau turut menghasilkan jentera dirtbike gaya Paris-Dakar.
“Selepas menghasilkan beberapa unit Streetfighter berbeza, saya mahu lakukan sesuatu yang berbeza. Saya suka semua jenis motosikal tapi apa yang tidak mampu saya gabungkan ialah enjin Ducati dengan model cruiser. Jadi pada tahun 2005, saya membuat keputusan untuk mencipta sesuatu dengan model Multistrada sebagai asas,” kata Dave yang kini bertugas sebagai Pengurus Servis di UK.
Oleh kerana Dave lebih cenderung kepada kejuruteraan berbanding dunia komputer, beliau membina terus jentera itu hanya mengikut apa yang berada di dalam fikirannya. “Saya tidak ada sebarang lakaran lukisan atau skematik untuk digunakan.”
“Saya tidak cukup artistik untuk meletakkannya di atas kertas, jadi saya terpaksa membuat motosikal itu secara fizikal untuk menunjukkan kepada semua apa yang saya mahu.
Taklimat asas sebelum kami membuat pengubahsuai ini ialah dengan memberi tumpuan kepada pembinaan sebuah jentera cruiser gaya-Ducati. Untuk itu, kami perlu menggunakan sebanyak mungkin komponen dan tema penggayaan diperoleh daripada model Ducati sedia ada. Pada dasarnya, jentera itu dibuat dengan gaya bebas dan membinanya mengikut kehendak sendiri, termasuk rekabentuk badan, posisi menunggang seperti mana para pemilik jentera cruiser. Saya tidak gunakan kerangka cradle kerana ia tidak sesuai dengan enjin Ducati.
“Saya cipta komponen atau bahagian pada jentera itu dan pergi ke bengkel jurutera untuk proses seterusnya dengan pereka CAD sebelum rekaan itu dipotong menggunakan mesin CNC. Memang ciptaan ini agak 'over-engineered' – ia hanya seberat 215kg tanpa bahan api, purata di antara 80-100 kg lebih ringan berbanding model-model cruiser yang berada di pasaran yang semuanya berkuasa sekitar 80hp dan tork 100Nm.”
Untuk Mutant, enjin asalnya ialah milik Multistrada 1100DS berkuasa 110bhp pada 7,900rpm atau lebih yang menyamai 95bhp di roda belakang pada Dynojet, dengan tork 115Nm pada 4,800 rpm. Jadi dari segi nisbah kuasa kepada berat, jentera 'special' ini jauh lebih baik. Apa pun, ia masih kekal sebagai sebuah chopper v-kembar. Antara komponen-komponen daripada Multistrada ialah bolt pemasangan enjin, pelindung karbon camblet, badan pendikit, kotak angin, silinder utama, hub eccentric, lengan ayun, pad brek, angkup, penyerap hentak belakang Ohlins dan panel meter yang juga telah diubahsuai. Turut dilengkapkan pada panel meter tersebut ialah kamera bahagian belakang.
Frisoli merekacipta dan membuat sendiri lengan ayun tunggal jentera ini dengan mengekalkan ciri-ciri tradisi Ducati. Tapak rodanya bersaiz 1980mm yang dipadankan dengan fork hadapan Ohlins 48mm dan rim lima jejari yang memang tampak menarik. Syarikat miliknya juga telah mencipta rim aluminium untuk kegunaan sebuah kereta yang berjaya mencipta rekod 'land-speed' pada kelajuan 450km/j. Jadi.... memang tak perlu dipertikaikan lagi lah.
Fork Ohlins yang dipasangkan pada Mutant asalnya dibuat untuk KTM Paris-Dakar 990 Rally tetapi telah diubahsuai sedikit agar lebih sesuai untuk digunakan di jalan raya biasa. Untuk menggayakan bahagian tayar hadapan, Frisoli hanya meletakkan satu angkup brek di sebelah kiri tetapi ia jenis Brembo, bersaiz 300mm dan telah ditala sebaiknya agar memiliki respons yang cemerlang.
Saya dapat posisi menunggangnya cukup selesa, satu rekaan menarik yang mampu menyaingi model-model cruiser di pasaran. Posisi tempat pemijaknya tidak terlalu jauh ke hadapan manakala bar-bar hendalnya yang lebar nampak cantik dan memberikan pengendalian yang mudah. Model yang direka ini juga tidak diletakkan cermin sisi.
“Ketika membuat motor ini, kami amat bertuah kerana dapat menunggang uji setiap model cruiser yang berada di pasaran dan didapati hampir setiap satu daripadanya mempunyai masalah dari segi ergonomik. Kami dapati tempat pemijak mesti terletak di atas 150mm dan kami juga telah cuba lima bar hendal berbeza dengan sudut kecondongan sehinggalah benar-benar berpuas hati dengan hasilnya,” kata Frisoli.
Dave Frisoli membuktikan kata-katanya itu dengan menguji tahap keselesaan ciptaannya pada jarak lebih 10,000 kilometer termasuk 1,300 kilometer perjalanan dari Jo’burg ke Durban melalui jalan-jalan berliku di 'Valley of a Thousand Hill' di bahagian Selatan Natal. Model prototaip ini lah yang telah saya tunggang dulu Walaupun agak susah untuk saya gunakan tuas gear dengan but, tapi sebenarnya proses penukaran gear lancar dan lembut. Oleh kerana tapak rodanya panjang, radius untuk membelok atau membuat pusingan dengan Mutant memang besar – nak buat macam mana, itu sebahagian daripada gaya rekaannya.
Tidak lupa juga pada nisbah gearnya yang kurang sempurna. Kita perlu meningkatkan kelajuan sehingga 150km/j untuk dapatkan gear teratas dengan lancar, tepat dan tanpa rasakan sentapan. Patutnya nisbah begini tidak diperlukan untuk sebuah jentera cruiser. Namun begitu, tayar-tayar kustom yang gemuk bersaiz 200/50-18 di depan dan 300/35-18 di belakang bekerja dengan bagus sekali – ini satu kejutan baik yang dapat saya nikmati.
“Kriteria pertama ketika untuk membina sebuah Powercruiser gaya-Ducati, kedua ialah ia perlu benar-benar selesa dan mudah ditunggang. Saya perlu elak daripada berlakunya masalah seperti mana model cruiser lain. Walaupun kami menggunakan tayar besar, segala pengiraan telah dinilai dan dibuat dengan tepat. Sebab itulah jentera ini mudah ditunggang dan memiliki karaktor seperti sebuah model sportbike pada masa yang sama” kata Frisoli.
Saya setuju, Mutant ini dapat dimiringkan dengan cukup stabil ketika meratah selekoh-selekoh tajam di sepanjang jalan. Pengendalian memang best walaupun tayar depannya besar malah tak ada pula tangki untuk kita kepit dengan lutut. Kalau tadi saya katakan tapak rodanya yang besar memberi sedikit kesukaran untuk bergerak di ruang yang terhad (perlu lebih ruang) tapi bila berada di laluan berselekoh besar, ia memang cukup sedap!
Mutant diperanggunkan dengan warna jingga 'tanggerine' berinspirasi Marlboro sama seperti model Desmosedici RR. Model ini dilengkapkan dengan tangki bahan api 30 liter yang diperbuat daripada gentian karbon. Lampu halogen saiz 8 inci dan berbentuk bulat – datang dari Australia. Lampu-lampu LED diletakkan bersepadu dengan bahagian belakang yang boleh ditanggalkan pada bila-bila masa. Turut dipasangkan pada model ialah hon angin 'trumpet' yang cukup kuat.
Mungkin ciri-ciri Mutant yang paling penting ialah tahan kualiti penghasilannya. Ia memang mengagumkan, pakej asli yang direka dengan sangat indah, dan sangat halus. Ia bukan sekadar sebuah chopper dengan tayar belakang gemuk yang kebetulan mempunyai enjin Ducati, tetapi merupakan sebuah motosikal yang meletakkan jenama desmo dalam sektor pasaran yang tidak pernah dimilikinya selama ini.
“Dalam penciptaan Mutant ini, kami ingin kekalkan gaya motosikal cruiser dengan gaya 'chopper' dan ia benar-benar menyeronokkan. Saya tahu ia adalah satu pilihan yang sesuai untuk pemilik Ducati yang mahukan sesuatu berbeza daripada yang sedia ada tetapi masih mengekalkan tradisi, kualiti dan gaya Ducati,” kata Frisoli.
Setuju – dan pujian terbaik yang boleh saya berikan kepada Dave Frisoli ialah desmonya ini memiliki kualiti produk sebaik keluaran kilang, dan bukannya sekadar buatan tangan sesuka hati. Mungkin selepas Diavel, Ducati sepatutnya mempertimbangkan untuk membuat Deviant….. maaf ye, bukan Mutant! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Jay Groat
Spesifikasi
Enjin | empat lejang, sistem sejukan udara, SOHC Desmodromik |
Isipadu | 1,078cc |
Kuasa maksimum | 110bhp pada 7,900rpm |
Tork maksimum | 115Nm pada 4,800rpm |
Tayar | 200/50-18 (depan) & 300/35-18 (belakang) |
Saspensi | fork teleskopik Ohlins 48mm (depan) & penyerap hentak Ohlins (belakang) |
Brek | cekera 330mm dengan angkup jenis Brembo (depan) & cakera 220mm Brembo |
Berat | 215kg dengan pelincir, tanpa petrol |
Isi tangki | 30 liter |
Laju maksimum | 221km/j |
Popular