KTN GP125 Classic Baru!
Apabila menunggang sebuah mesin retro, kepantasan sudah pasti bukan sesuatu yang dicari tetapi lebih kepada pendekatan emosi, kebebasan menunggang dan imbauan kisah dunia permotoran dahulu kala. Itulah pengalaman kami ketika bersama KTN GP125 Classic – sebuah mesin retro berkuasa 125cc, empat lejang dengan sistem penyejuk udara. Sejak ia dilancarkan pada bulan Januari lalu, lebih kurang 100 unit telah berjaya dijual – memang hebat!
Ya… memang rekabentuk retronya menjadi daya penarik utama. Bahagian hadapan dihiasi dengan lampu utama dan panel meter krom berbentuk bulat. Meter ini mempunyai penunjuk analog untuk bacaan jarak perjalanan, tahap kelajuan dan jangan terkejut! – GP125 ini dilengkapi dengan penunjuk kedudukan gear jenis digital yang amat diperlukan ketika tunggangan mendaki, jalanan berselekoh mahu pun ketika berada di kesesakan lalu lintas.
Pelananya cukup empuk dan selesa. Memang inilah yang menjadi faktor utama mengapa model-model lama akan terus digilai hingga ke hari ini. Bahagian sisi cantik dengan adanya sistem ekzos klasik dan saspensi belakang jenis krom. Lampu belakang dan lampu isyarat dikekalkan dalam bentuk bulat, ia memang cukup terang dan mudah dilihat dari jarak yang agak jauh. Apa yang boleh difikirkan semula oleh KTN ialah bahagian tayar yang tidak perlu dipasangkan dengan sportrim sebaliknya mengekalkan penggunaan rim jejari yang lebih sesuai dengan tema motosikal klasik.
Rekabentuk tangkinya memang simple memudahkan kita mengisi petrol dan memegang bar hendal dengan kemas. Pelana GP125 panjang, tidak dibahagikan antara penunggang dan pembonceng walaupun dari segi ketinggian tetapi jika ingin menunggang solo, pasangkan ‘ekor’ atau pelindung pelana yang berbentuk ala café racer yang didatang bersama ketika membelinya. * Kalau nak menunggang berdua, hanya tanggalkan pelindung ini dengan membuka dua buah skru di sisi kiri dan kanan aksesori itu.
Terdapat dua cara untuk menghidupkan GP125 ini iaitu kaedah tendang – macam motosikal dahulu kala atau pun menggunakan sistem elektrik seperti mesin-mesin terkini. Rasanya lebih seronok kita gunakan cara lama, baru ‘kena’ dengan motosikal yang sedang kita pacu ini. Sebaik sahaja enjin dihidupkan, kita akan dapati bunyi yang terhasil cukup lembut, segar dan senyap. Apabila direntap sedikit pendikit, barulah kedengaran bunyi garang melalui corong sistem ekzos kromnya.
Sebaik sahaja ia bergerak, mulut kami umpama telah di‘set’ untuk menyanyi lagu-lagu zaman kegemilangan ‘geng motosikal’ tahun 80’an seperti yang dinyanyi zaman filem Azura dan Gila-Gila Remaja. Riaksi dan gaya tunggangan serta merta bertukar sebaik sahaja kita menunggang motor klasik ini, tidak lalu terburu-buru, kecoh sana sini tetapi terus tenang menyusuri perjalanan dengan megahnya. Seolah-olah seorang raja yang sedang menikmati kehebatan empayarnya.
Terfikir juga seketika mengenai komuniti peminat-peminat motosikal retro yang tidak pernah pupus malah semakin meningkat sejak kebelakangan ini – memang pasaran motosikal sebegini cukup luas, tidak hanya tertumpu kepada mereka yang ‘otai-otai’ sahaja. Ia bebas untuk dimiliki oleh sesiapa sahaja tidak kira di peringkat umur mana sekali pun.
Enjin satu silinder ini mempunyai 8.3kW (11.12hp) pada 10,000rpm dan tork 9.0Nm pada 7,500rpm ternyata memberi kejutan ketika berada di peringkat pertengahan. Walaupun nampak retro, dalam gear kedua, ketiga dan keempat memang cukup-cukup best, kita dapat memecut dengan pantas. Tindak balas antara pendikit dan kuasa enjin tepat manakala pengendalian yang mudah menjadikan proses tunggangan di tengah-tengah bandaraya lebih meyakinkan.
Selepas beberapa lama dengan GP ini, keselesaannya memang wajar diberi pujian. Penunggang tidak mudah lenguh sama ada di bahagian pinggang atau kaki dan ini adalah untuk semua jenis penunggang termasuk yang mempunyai ketinggian 5’10” atau 5’11”. Kena naik sendiri kalau tidak percaya. Kelansingan tubuh badannya menyebabkan kita mudah menyelit dan meletakkan motosikal ini hampir di mana sahaja cuma perlu berhati-hati dan pilih lokasi yang bijak sebelum meninggalkan motosikal anda.
Pakaian yang harus dikenakan ketika menunggang GP125 Classic ini ialah jaket kulit, baju-t berwarna putih, seluar jeans, bandana, topi keledar lama jenis open face dan lebih menarik jika lengkap dengan riding goggle. Ah… apabila lengkap berpakaian, panjat atas motor, memang sesuai dan bergaya.
Lihat akan rupanya, ramai yang pasti tidak menyangka ia mampu memecut laju. GP125 Classic ini dapat dipacu pada kelajuan maksimum 110km/j pada kedudukan gear kelima (gear tertinggi). Untuk lebih selesa dan tampak anggun, kita boleh memasang cermin pengadang udara di depan serta menukar bar hendal asal kepada jenis ‘clip-on’. Walaupun ia sebuah motosikal klasik, KTN tidak pernah berkompromi dalam aspek keselamatan dengan melengkapkan dengan brek-brek cakera di hadapan dan belakang.
Kekurangan yang perlu dipertingkatkan pada GP125 ialah pada bahagian saspensi hadapan yang agak mengecewakan terutamanya ketika membrek dengan keras – ia bergegar. Hal yang jauh berbeza dengan keadaan saspensi belakang yang menyerap segala hentakan dengan berkesan sekali. Tunggangan menjadi lebih meyakinkan tambahan pula ketika kita membawa pembonceng, GP125 Classic ini tenang memasuki selekoh demi selekoh dengan tepat.
Menunggang sebuah motosikal ramping, hendal bar agak tinggi, tayar-tayar bersaiz sederhana dan hanya seberat 115kg ini memang mengasyikkan. Kita tidak perlu terburu-buru sebaliknya bijak merancang perjalanan dengan tepat agak lebih selamat. Prestasi enjin memang mengejutkan (bagus) tetapi ia tidaklah sehebat penjimatan bahan api yang ditawarkan oleh mesin KTN ini. Tangki sebesar sembilan liter ini mampu membawa kita menyusuri perjalanan sejauh 200 kilometer dengan mudah.
KTN GP125 Classic ini dijual pada harga asas RM5,950 dengan dua pilihan warna iaitu hitam dan jingga. RR
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang, sistem penyejuk udara, satu silinder |
Isipadu | 125cc |
Gerek & Lejang | |
Nisbah Mampatan | |
Kuasa Maksimum | 11.23hp pada 10,000rpm |
Tork Maksimum | 9.0Nm pada 7,500rpm |
Tinggi Pelana | |
Isi Tangki | 9 liter |
Berat | 115kg |
Pengeluar | KTN Holdings Sdn Bhd |
Popular