Honda Vario 160 Kini Lebih Garang
Selain kenderaan empat roda, jentera dua roda juga merupakan alternatif yang sangat sesuai serta memudahkan urusan kita untuk sampai ke destinasi yang dituju dengan mudah dan cepat. Dengan rekabentuk yang kecil, kita dapat menangani kesesakan lalu lintas di jalan raya, di bandar mahupun di luar bandar terutamanya apabila tiba pada waktu puncak.
Pasaran motosikal di Malaysia kini meluas dengan adanya pelbagai jenis segmen seperti moped, skuter, Adventure, Touring, sportbike dan pelbagai lagi. Jika hendak dilihat, di negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam majoriti penunggangnya ramai yang memilih untuk menggunakan motosikal jenis automatik. Berbanding di Malaysia lebih kepada segmen moped.
Walaubagaimanapun, skuter juga merupakan sebuah jentera yang turut diminati oleh para pencinta dua roda di tanah air. Hal ini disebabkan, menunggang jentera skuter lebih mudah kerana tidak memerlukan sebarang klac dan gear. Bukan itu sahaja, rupabentuknya juga semakin garang dan kuasa enjin kini lebih padu.
Untuk pandu uji pada kali ini, kami telah diberikan sebuah jentera skuter terbaru daripada Honda iaitu Vario 160. Terima kasih kepada Boon Siew Honda (BSH) kerana memberi kepercayaan kepada kami (RR) untuk menguji kemantapan yang ada pada jentera ini.
Kami diberikan unit jentera berwarna Sword Silver Metallic, memang cukup menarik sekali. Selain itu, pihak Honda juga turut menawarkan tiga warna lain untuk pasaran iaitu Vivacity Red dan Pear Nightfall Blue pada harga asas RM9,998. Manakala untuk warna Mat Charcoal Grey Metallic pula boleh dimiliki pada harga asas RM10,298.
Honda Vario mula diperkenalkan ke dalam pasaran negara pada tahun 2018. Namun, untuk tahun 2023 pihak BSH telah menaiktaraf enjin skuter Honda Vario daripada 150cc kepada 160cc. Bukan itu sahaja, Honda Vario 160 2023 juga diperanggunkan lagi dengan perubahan yang banyak.
Kita mulakan dengan rekabentuknya. Secara jujur kami mudah jatuh hati setelah melihat rupabentuk Vario ini yang tampak lebih anggun dan menarik. Rupabentuk keseluruhan skuter ini cukup baru dan segar. Rekaan fairing hadapannya pula lebih gemuk, sporty dan aerodinamik berbanding dengan Vario 150. Memang kenalah dengan kapasiti enjin 160cc. Tidak terlihat seperti skuter bawah 125cc.
Pandangan dari bahagian hadapan sememangnya sangat garang dengan berbekalkan sepasang rekabentuk lampu utamanya jenis LED yang serba baru. Sudah pasti lampu utama sangat membantu untuk tunggangan pada waktu malam. Manakala lampu nyalaan siang (DRL) menampakkan skuter Vario lebih moden. Lampu belakang dan lampu isyarat juga adalah jenis LED. Rekabentuk lampu belakangnya ternyata lebih mantap!
Honda Vario cukup sesuai untuk semua jenis penunggang. Ketinggian pelananya tidak terlalu tinggi… tidak terlalu rendah… iaitu 778mm. Untuk memanjat ke atasnya tidaklah begitu sukar. Manakala ruang antara bar hendal dan penunggang cukup luas supaya kita dapat mengubah posisi serta mengambil selekoh dengan mudah sekali.
Untuk mencegah motosikal ini daripada kecurian, Honda telah sempurnakan Vario 160 dengan sistem kunci pintar. Terdapat ciri-ciri keselamatan serba canggih dengan adanya sistem pengera anti-kecurian di mana alarm pada jentera akan mudah berbunyi apabila motosikal digerakkan setelah kita menekan butang yang terdapat pada remote. Manakala fungsi jawap kembali memudahkan kita untuk mencari motosikal di kawasan parkir.
Perubahan yang paling ketara pada jentera ini adalah di bahagian enjinnya. Honda Vario 160 disempurnakan dengan enjin bersesaran 160cc atau lebih tepat 156.9cc dengan teknologi enhanced Smart Power Plus (eSP+) untuk kecekapan bahan api ketika menunggangnya.
Menghidupkan Vario 160 ini sangatlah mudah. Putar sahaja kunci utamanya, naikkan tongkat sisi kemudian tarik tuas brek dan tekan suis penghidup elektrik di panel bar hendal sebelah kanan. Kami dapat rasakan putaran enjin silinder tunggal, SOHC dengan sistem penyejuk cecair sangat lancar sekali.
Mata kami kemudian terus tertumpu pada paparan meter jenis digitalnya. Sangat mudah untuk melihat segala informasi penting. Lampu latar belakang yang berwarna gelap menimbulkan lagi maklumat pada meter untuk kita melihatnya di bawah cahaya matahari terik.
Dengan berat 119kg, Vario 160 menawarkan pengendalian yang cukup mudah terutama apabila menunggang skuter ini di dalam kawasan Bandar. Kami perlu mencelah kenderaan lain sewaktu trafik tengah perlahan. Ya! Sangat ringan sekali kerana kerangka pada jentera ini disempurnakan dengan teknologi enhanced Smart Architecture Frame (eSAF). Jentera terasa lebih lincah untuk mengawalnya ke kiri dan kanan.
Sayangnya pelana pada Honda Vario 160 ini rasa sedikit keras. Pinggul kami terasa mudah kebas apabila menunggang jauh. Harap pihak Boon Siew Honda dapat menangani isu ini pada masa akan datang.
Memang best bila dapat menunggang Vario 160cc ini. Kuasa hantarannya cukup padu. Dengan kelincahan yang dimilikinya, kami menggunakan kuasa torknya 13.8Nm pada 7,000rpm untuk meluru ke hadapan dengan meninggalkan kenderaan lain di belakang. Kuasa torknya juga membantu mencelah kenderaan-kenderaan yang sedang bersesak-sesak di tengah kota. Dengan berbekalkan kuasa maksimum 11.3kW pada 8,500rpm, Vario ini dapat memecut pada kelajuan tertinggi sekitar 135 – 140km/j dengan berat badan kami dalam 80 kilogram.
Seronok ke memacu jentera ini di jalan-jalan berselekoh? Jawapan kami adalah ya! Honda telah melengkapkan tayar-tayar Vario 160 dengan saiz yang lebih lebar berbanding Vario 150. Dengan rekabentuk roda baru dan saiz tayar yang lebar, tunggang menjadi lebih meyakinkan. Skuter ini menggunakan roda bersaiz 14 inci yang disaluti tayar bersaiz 100/80 -14M/C 48P (depan) dan 120/70 – 14M/C 61P (belakang).
Pengambilan selekoh sempurna turut dibantu oleh saspensi-saspensi yang telah bekerja dengan keras sekali. Honda Vario 160 menggunakan saspensi hadapan jenis fork teleskopik manakala belakang lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal yang sentiasa mengekalkan jentera di dalam laluan yang betul dan selamat.
Tidak sempurnalah sesebuah motosikal itu tanpa sistem brek yang selamat. Skuter Vario didatangkan dengan brek-brek jenis cakera di bahagian hadapan dan belakang. Brek-brek ini telah memberikan kerjasama yang baik sekali supaya kami dapat memberhentikan jentera dengan selamat. Sistem ABS yang terdapat di depan meningkatkan lagi kawalan dan keyakinan ketika membrek terutama di atas permukaan yang mudah tergelincir.
Walaupun memiliki kapasiti enjin 160cc, Vario ini juga kita boleh memacunya untuk mengembara jauh. Kita boleh menyimpan barang-barang di dalam ruang simpan bawah pelana yang seluas 18 liter. Helmet biasa pun boleh kita sumbat! Di bahagian hadapan pula terdapat dua ruangan kecil di mana salah satunya boleh ditutup. Ruangan ini boleh kita letakkan barangan kecil seperti telefon bimbit, glove, sapu tangan, power bank dan lain-lain. Ada juga soket pengecas di ruangan kecil sebelah kiri untuk kita mengecas telefon bimbit ketika menunggang.
Penggunaan bahan apinya amat menjimatkan sekali. Dengan sekali isian penuh di dalam tangki minyak 5.5 liter, kami dapat menunggang skuter ini sejauh 200km/j. Sistem Idling Stop pada jentera ini juga turut memberi sumbangan dari segi penjimatan petrol. Sistem ini kita boleh hidupkan/matikan di suis yang terdapat di panel bar hendal sebelah kanan.
Secara keseluruhannya, bagi kami untuk memiliki Honda Vario 160 sangat berbaloi sekali. Sudahlah cantik, kuasa enjinnya juga cukup padu. Selain untuk tunggangan harian, jentera ini juga sesuai digunakan untuk membuat perkhidmatan delivery. Mudah, pantas dan jimat! Pulas sahaja pendikit tanpa perlu menggunakan gear dan klac. Bagi mereka yang berminat, jangan lupa melawat bilik pameran Honda Impian X atau pusat pengedar sah Honda yang berdekatan dengan anda. Anda tidak akan kecewa! RR
Spesifikasi
Enjin | silinder tunggal, 4 lejang, SOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 156.9cc |
Kuasa maksimum | 11.3kW pada 8,500rpm |
Tork maksimum | 13.8Nm pada 7,000rpm |
Tayar | 100/80 - 14M/C 48P (depan) & 120/70 - 14M/C 61P (belakang) |
Saspensi | fork teleskopik (depan) & penyerap hentak tunggal (belakang) |
Brek | cakera, ABS (depan) & cakera (belakang) |
Berat | 119kg |
Tinggi pelana | 778mm |
Pengeluar | Boon Siew Honda Sdn Bhd |
Popular