Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 26 September 2023

Curtiss One 2023 - Ciptaan Yang Penuh Kelainan

Sebuah syarikat dari Amerika, Curtiss Motorcycle Co. yang berpusat di Leeds, Alabama akhirnya telah memulakan produksi model Curtiss One. Ia adalah sebuah jentera elektrik mewah yang diperkenalkan kira-kira dua tahun yang lalu dan merupakan satu ciptaan yang mendorong kepada dunia motosikal elektrik alaf baru.

Seperti yang kita tahu, motosikal keluaran Curtiss merupakan satu hasil seni yang unik, lain daripada yang lain dan ‘One’ tidak terkecuali. Ia tetap sebuah jentera beroda dua tetapi tidak seperti mana yang kita ketahui selama ini. Harga untuk memiliki ‘One’ ialah $120,000, hadir dalam empat warna pilihan untuk panel yang dipasangkan pada kerangka monocoque jenis keluli. Pemiliknya bakal menerima pelana tunggal dan pelana ‘tandem’ (beserta tempat pemijak) yang boleh ditukar dengan mudah pada bila-bila masa.

Tawaran pembelian termasuklah sebiji bateri yang dipertingkatkan, pakej servis penuh selama tujuh tahun dan ini adalah manfaat buat pemilik ‘One’ ekoran daripada kepantasan EVolusi elektrik yang kini semakin maju. Curtiss turut menawarkan (sebagai aksesori pilihan) Future Proof Package iaitu pemberian bateri yang dipertingkatkan setiap lima tahun.

Curtiss Motorcycle membuat kejutan apabila mengumumkan penjenamaan semula syarikat mereka pada tahun 2018 sebagai pengeluar motosikal elektrik mewah. Ia jauh berbeza dengan apa yang mereka lakukan dulu iaitu pengeluar motosikal berinspirasikan pesawat pejuang – Hellcat, Fighter dan Bomber ICE.

Sepanjang 25 tahun berada di bawah label Confederate Motors, Curtiss telah mengeluarkan sejumlah 1,300 unit jentera unik dengan enjin v-kembar yang mendapat perhatian ramai termasuklah para pelanggan di kalangan selebriti Hollywood. Pilihan untuk berubah arah dari enjin v-kembar kepada enjin elektrik adalah satu keputusan yang besar tetapi ia adalah pandangan jauh oleh boss Confederate iaitu Matt Chamber yang memperoleh hak ke atas jenama Curtiss pada tahun 2011 lalu.

Sejak dari itu, para jurutera Curtiss bertungkus lumus untuk menghasilkan jentera ‘E’ yang tidak pernah dilihat lagi di pasaran. Walaupun mereka telah mengeluarkan model prototaip, impaknya terhadap penerimaan orang ramai khususnya bakal pelanggan tidak sehebat dulu.

Kini, produksi telah bermula dengan pengenalan kepada model ‘One’ dan penghantaran awal dibuat kepada beberapa ‘ahli’ senarai pemilik v-kembar yang menerima tawaran untuk memiliki salah satu motosikal elektrik yang lain daripada apa yang terhidang di pasaran dunia sekarang ini. Curtiss kini sedang menerima tempahan dari pelanggan baru yang dijangka akan menerima unit ‘One’ mereka pada Disember 2023 ini. Ini adalah model terbaru keluaran Curtiss dalam masa 115 tahun sejak pengasas jenama ini Glenn H. Curtiss membina motosikal pertamanya pada tahun 1902.

“Kami amat bertuah kerana para pelanggan turut menyokong untuk ‘ride’ bersama-sama dengan haluan baru yang kami ciptakan ini. Ia memberi semangat dan keyakinan buat kami untuk terus berkarya. Kami akan menghantar unit E pertama kepada pemiliknya pada 6 Mei nanti di Perhimpunan Quail Motorcycle yang akan berlangsung di Carmel, California,” kata Presiden/CEO Curtiss, Matt Chamber.

Projek Curtiss One ini disempurnakan oleh Pereka Motosikal di Lousiana, J.T. Nesbitt di studionya yang terletak di New Orleans. Melihat kepada rekabentuknya, tidak ada lagi pengeluar lain yang mampu melakukannya. Fork girder dan bentuk keseluruhan jentera ini memperkenalkan kita dengan hasil rekaan pada model-model sebelum ini.

Nesbitt atau JT, berumur 51 tahun merupakan graduan kesenian dari Lousiana dan pernah memasang motosikal di Fakulti Kesenian di Lousiana Tech, Lousiana. Dia nyaris diberhentikan daripada pusat pengajian itu kerana menunggang motosikalnya di tingkat dua bangunan itu. “Saya perlu menguji dulu motor ini sebelum proses mengecat!” Alasan yang dia berikan.

Kemudian, dia mula merekacipta motosikal unik selepas Matt Chambers membawa seorang rakan yang boleh membantunya mempromosikan ‘Confederate Art of Rebellion’ menerusi jentera cruiser berenjin v-kembar. Model Hellcat memang unik, ekzosnya yang terkeluar dari tiub lengan ayun manakala model Wraith pula merupakan ciptaan gabungan model ‘trackker’ vintaj dengan jentera lumba Itali. Hasilnya cukup menakjubkan sehingga mendapat permintaan daripada pelakon A-list di Hollywood seperti Brad Pitt, Tom Cruise, Nicholas Cage dan idola muzik rock, Bruce Springsteen.

Tiba-tiba mereka diuji dengan malapetakan Taufan Katrina yang menghancurkan New Orleans termasuklah pusat pengeluaran dan kilang Confederate Motors pada tahun 2005. JT tidak mengikut Chambers berpindah ke Alabama sebaliknya kekal di bandar itu dan bangun semula sedikit demi sedikit. Dia menubuhkan Bienville Studios sebagai pereka ‘freelance’ yang menghasilkan pelbagai jenis produk seperti pisau ‘ornate’, senjata api dan Magnolia Special, sebuah kereta sport buatan tangan tahun 1930an.

Magnolia Special dikuasakan oleh Compressed Natural Gas (CNG). JT dan rakannya, Maxwell Materne telah memandu dari New York ke Los Angeles selama 89 jam untuk membuktikan tahap praktikaliti dan keupayaan kereta tersebut.

Pada tahun 2015, Nesbitt merekacipta Bienville Legacy yang sangat gah dan hebat. Model ini menggunakan enjin V4 keluaran Motus dan dipertontonkan di Goodwood Festival of Speed 2015. Hasil tangannya ini meraih pujian ramai dan pada tahun 2018, Chambers dan Nesbitt bergabung semula untuk mengeluarkan jentera elektrik, One.

One didatangkan dengan enjin AC fluks 399-voltan dengan sistem penyejuk cecair yang dikeluarkan oleh YASA Limited. Enjin YASA ini menghasilkan hantaran kuasa setinggi 75kW (110bhp) tetapi untuk model 2024, mereka merancang untuk mempertingkatkan kuasanya kepada 160kW (215bhp) dengan penggunaan bateri baru yang lebih padu. Kuasa tork setakat ini adalah 199Nm dan akan dinaikkan nanti kepada Nm pada tahun hadapan.

Arus elektrik dibekalkan oleh Curtiss Power Pak (telah dipatenkan) yang menampilkan siri 6000 ‘casing’ aluminium untuk bahagian sirip (fin) dan menempatkan pelbagai sel kuasa yang direndamkan dalam penyejuk tahan panas untuk mengawal suhu yang selamat.

“Motor ini tidak ada kipas dan perumah untuk bateri bertindak sebagai radiator. Ia adalah pek bateri rendaman pertama di dunia. Ia membolehkan jentera ini memecut dengan cemerlang dan dengan pek bateri lebih kecil, ia pasti lebih praktikal dan lebih jimat,” kata JT.

Dengan penggunaan bateri penuh (selepas dicas), Curtiss One dikatakan mampu bergerak sejauh 120 kilometer (ditunggang dalam bandar dan lebuhraya) manakala jika untuk tunggangan bandar sahaja, kuasanya tahan sehingga 193 kilometer.

“Persoalan pertama adakah saya perlu buat tempat bateri ini seperti beg ataupun terus menghasilkan sesuatu yang memiliki rekabentuk unik dan dipadankan dengan bateri modular. Saya akhirnya memilih untuk mencipta sebuah motosikal yang seiring dengan arus masa – isu-isu lain seperti tahap pengecasan contohnya akan difikirkan nanti. Apa pun, kami sememangnya sudah menawarkan beberapa barisan unit mengikut keselesaan dan kegemaran para pelanggan,” kata Nesbitt.

Curtiss turut melengkapkan ‘One’ dengan pengecasan Tahap 2 untuk menampung penggunaan bateri pada Tahap 1 yang tidak boleh disambungkan pada soket biasa di rumah, pelik! Pengecas Tahap 2 berkuasa 6kW didakwa dapat mengecas semula bateri lithium-ion dalam masa dua jam untuk peningkatan kuasa bateri dari 5-85% menggunakan port pengecasan Tahap 2 J1772 yang kini dimiliki di 44,000 stesen di seluruh Amerika. Angka ini semakin berkembang saban hari. Curtiss masih tidak membekalkan Pengecas Tahap 3 (Fast charging) memandangkan 84% daripada pot mengecas masih di Tahap 2.

Curtiss One merupakan model E-Bobber, sebuah cruiser dengan casis Triple Load Path yang diasaskan dari rekaan kapal terbang. Perumah bateri diletakkan di tengah-tengah untuk pusat gravity rendah dan ini menyumbang kepada bentuk keseluruhan badan yang ramping, mudah digerakkan dan ringan. Ya… dengan rekaan unik ini, ‘One’ cukup menonjol ke mana ia pergi.
Model asas ‘One’ didatangkan dengan tayar 19 inci berbentuk klasik yang dipasang pada rim aluminium Kineo dan dikawal oleh sepasang brek cakera Aeronal bersaiz 230mm. Di samping itu, terdapat juga brek penjanaan kuasa yang boleh dilaraskan mengikut kesesuaian penunggang itu.

Curtiss menyatakan bahawa Sistem Brek Beringer 4D itu mempunyai prestasi 20% lebih baik berbanding brek cakera biasa yang bersaiz 320mm.

Berat jentera ini ialah 215kg yang berada di atas sistem saspensi jenis girder aluminium di depan dan penyerap hentak mono RaceTech boleh laras di bahagian belakang. Tempat pemijaknya boleh dilaras sehingga 21 posisi mengikut keselesaan penunggang dan untuk memberikan keseronokan, bar handel ‘One’ juga boleh dilaras.

“Ini merupakan motosikal terbaik pernah kami hasilkan. Kuasa elektrik memberikan kami kelebihan dari segi penciptaan rekabentuk yang sebelum ini ianya agak terhad. Teknologi membolehkan kami melepasi cara pembuatan rekabentuk tradisional dan ini akan membawa Curtiss ke tahap serba baru dalam setiap aspek – dari segi penampilan, kualiti, prestasi, praktikal dan keseronokan,” kata Matt Chambers.

Saya berpeluang menunggang uji ‘One’ pre-produksi yang hadir dalam warna hitam – warna paling popular setakat ini. Model ini juga dilengkapkan dengan perumah bateri berwarna hitam dan ada juga yang berwarna merah. Barisan kumpulan pertama ialah sebanyak 80 unit dan kesemuanya dipasang di Bienville Studios sebelum dihantar ke Leeds.

Pacuan akhir ‘One’ adalah sistem talisawat yang cukup lancar dan senyap. Ia adalah sebuah motosikal yang menarik minat orang ramai di mana sahaja ia dibawa. Saya patut mengenakan bayaran $1.00 untuk setiap gambar yang mereka ambil. Saya dapat menunggang untuk jangka masa 30 minit menuju ke City Park. Saya boleh membeli Muffulettas untuk kru kamera yang mengekori saya.

Motosikal yang diuji ini mempunyai pelana yang empuk – suatu yang tidak dijangka akan difikirkan untuk model ‘One.’ Letak sahaja kaki ke atas tempat pemijak, saya dapati ia telah ditala cukup sesuai dengan citarasa. Jentera ini dirasakan cukup solid dan berkualiti tinggi. Curtiss ini memang mudah untuk dikendalikan dan selesa. Terdapat dua mod tunggangan iaitu Comfort dan mod Sport yang sedang diperhalusi sehingga tibanya bateri baru pada tahun 2024.

Saya kagum dengan tahap kawalan – mudah ditunggang di dalam kawasan terhad dan ketika membuat pusingan ‘U’- kita juga tidak perlu mengawal pergerakan enjin dengan klac yang menjadikannya sebuah cruiser terbaik untuk tunggangan di bandar. Anda tidak perlu menjadi seorang pakar untuk menceritakan bagaimana menikmati Curtiss ini di jalanan. Hantaran kuasa ‘One’ cukup lancar dan tidak tersangkut-sangkut dalam apajua keadaan.

Dari keadaan melahu, ia memecut cukup lancar dan bergerak dengan tenang pada kelajuan 112km/j – sesuai untuk berada di lebuhraya. Terima kasih dengan pusat gravitinya yang tepat, memiringkan jentera ini di laluan berselekoh juga super stabil. Sayangnya saya tidak dapat mencari talaan yang sesuai pada saspensi belakang yang menyebabkan agak melambung-lambung ketika berada di jalan Nola yang berbonggol. Namun begitu, fork girdernya bekerja dengan baik menangani laluan yang tidak rata.

Sistem brek juga perlu diperhalusi lagi kerana talaannya tidak begitu sesuai untuk tunggangan harian. Saya sudah biasa dengan brek Beringer yang telah dipasang pada banyak model-model Brough Superior dan ia memang cukup mantap. Apa yang saya bangkitkan ialah talaannya perlu dikaji semula. Apabila kita menarik keras tuas brek ini, jentera bergerak ke kanan. Tak bagus! Ya… model ini juga masih tidak dilengkapkan dengan sistem ABS.

Tayar berbunga Pseudo-Dirt untuk jalan lasak tidak sesuai apabila dipasang pada ‘One.’ Kualiti tunggangan menjadi kurang sempurna dan ia juga berbunyi bising. Kritikan ini cukup kecil berbanding piawaian mereka dalam penghasilan model ini dan semua masalah ini dapat diatasi dengan mudah nanti. Buat masa ini, pasukan jurutera memberi tumpuan pada sistem dan enjin jentera elektrik ini terlebih dahulu. Masalah kecil akan dipantau dan diperbetulkan dengan segera demi kepuasan para peminat.

Apa yang pasti, Curtiss One adalah sebuah jentera yang mungkin tidak murah tetapi ia pasti siri motosikal E yang paling eksotik, inovatif dan mewah. “Daripada hanya menjadi paksi untuk jentera vintaj unik, matlamat kami ialah untuk mengeluarkan sebuah motosikal yang baru dan relevan dengan konsep intelektual zaman kini, kata J.T. Nesbitt.

“Kami mahu para pemilik Curtiss E ini menikmati pengalaman baru apabila berada di atasnya. Ia cantik, tidak bising, tidak panas, selesa dan boleh ditala mengikut kesesuaian penunggang bila-bila masa sahaja. Ia perlu mudah ditunggang dan pada masa yang sama, ia tetap memberikan keseronokan,” tambahnya.

Curtiss adalah satu ciptaan unik yang menyegarkan dunia motosikal elektrik. Suka atau tidak, motosikal seperti ini akan menjadi sebahagian penting dalam era yang menuju kemodenan. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Jorge Menes/Curtiss Motorcycle Co.

Spesifikasi

Enjinsistem penyejuk udara, 399 voltan
Kuasa maksimum120hp
Tork maksimum199Nm
Saspensi hadapanfork parallelogram dengan girder aluminium
Saspensi belakanglengan ayun boleh laras dengan penyerap hentak mono Race Tech
Tayar hadapan130/80-19
Tayar belakang140/80-19
Berat215kg
Harga jualanbermula dari $120,000 (USD)
PengeluarCurtiss Motorcycle Co, Leeds, Alabama, USA

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan semula pengenalan warna White Trico bersama dengan dua pilihan warna yang baru iaitu Matte Blue dan Sliver.

Warta Roda

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, jam pukul 10.15 pagi semalam.

Model Baru

MODENAS Eliminator dilancarkan di MotoGP Sepang 2024. Harga asas dari RM30,100

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memilih hari cukup sempurna bersempena 'pesta' MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang untuk melancarkan model terbaru, MODENAS Eliminator.

Model Baru

CFMOTO 675SR-R Dilancarkan Pada Harga Asas RM37,888

Bersempena dengan majlis perasmian CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model sport terbaru iaitu CFMOTO 675SR-R.