BMW M 1000 R - Kebijaksaan & Kecemerlangan
Sesungguhnya BMW telah melahirkan sebuah jentera jalanan (naked) yang memiliki keanggunan dari segi rekabentuknya dan kemantapan dari segi prestasi enjinnya. Itulah dia model baru BMW M 1000 R atau dikenali juga sebagai MR.
Itulah kata-kata yang sesuai untuk memperjelaskan sebuah jentera naked yang didatangkan dengan bar hendal tegak, tidak ada cermin pengadang angin dan menawarkan hantaran kuasa padu setinggi 206.5bhp pada 13,750rpm dan tork 113Nm pada 11,000rpm serta kemampuan memecut sehingga 280km/j. MR seberat 199kg yang dikira termasuk isian penuh bahan api dalam tangki sebesar 16.5 liter.
Bayangkan sedekad lalu, jentera yang digunakan oleh pelumba BMW, Troy Corser dan Leon Haslam iaitu S 1000 RR dalam saingan WSBK memiliki hantaran kuasa 216bhp pada 14,900rpm – ini bererti, model naked baru ini adalah satu ciptaan yang cukup mengagumkan sekaligus memberi cabaran sengit buat para pengeluar lagi yang terus menumpukan perhatian dalam pengeluaran jentera untuk segmen ini.
Kejayaan BMW menghasilkan model MR ini datangya dari proses pemindahan bahagian ‘jantung’, sistem elektronik, sistem saspensi, sistem transmisi dan banyak lagi dari model S 1000 RR. Dari situ, proses penalaan semula telah dilakukan agar lebih lancar, licin dan lebih mesra penunggang. Ini bermakna BMW MR ini memiliki tenaga dan ketangkasan sebuah jentera sport tetapi pada masa yang sama menawarkan tahap pengendalian yang cukup mudah serta seronok untuk tunggangan biasa.
Anda akan merasa jentera ini sesuai untuk kita jadikan teman sewaktu berada di kawasan urban dan ia akan ‘transform’ menjadi sebuah ‘roket’ apabila berada di lebuhraya atau laluan terbuka luas. Jentera ini telah saya tunggangi di jalan Tenggara Sepanyol yang cukup menarik diikuti pula pecutan selama empat lap di Litar Americas. Ketangkasan MR membolehkan penunggang yang mahir membuat catatan masa lebih baik berbanding S 1000 RR di litar Americas ini (penuh dengan selekoh tajam). Terus terang saya katakan, kemampuannya menangani pelbagai jenis jalan bakal memberi cabaran buat para pesaingnya.
Rekabentuknya yang garang datangnya dari S 1000 R 2021. MR dilengkapkan dengan kerangka aluminium Flex Frama yang dipadankan dengan enjin 999cc berdimensi (80 x 49.7mm) DOHC 16 injap Euro 5 yang diambil dari model S 1000 RR termasuklah dari segi corak hantaran kuasanya yang kini lebih sesuai untuk pelbagai tujuan manakala dari sudut ketinggian kuasa tork (di peringkat enjin sederhana/rendah), ia mirip dengan S 1000 R. Ertinya, dua motosikal BMW digabungkan ke dalam 1? Hebat….
MR dilengkapkan dengan sistem slipper clutch dan dimantapkan lagi menerusi sistem elektronik Powershifter (dua hala). Nisbah gear juga ditala khas untuk model ini khususnya untuk gear ke-4, ke-5 dan ke-6 untuk lebih cepat memecut. Turut ditawarkan ialah sistem ekzos penuh Akrapovic Titanium sebagai aksesori standard.
Peningkatan utama yang penting ialah dengan penggunaan sayap atau ‘winglet’ di kiri dan kanan jentera ini. Ini bukan direka untuk gaya tetapi bertujuan untuk menurunkan (downforce) bahagian depan jentera BMW ini ketika pendikit dipulas ke tahap maksimum. Ia membantu untuk elakkan kita daripada berwheelie – lebih mantap ketika membuat pecutan. Pada unit ‘M Competition Package,’ terdapat penambahan aksesori Wind Deflector yang membolehkan laluan angin dari depan dapat melalui penunggang dengan lebih efisien.
Ya… harga untuk sebuah MR di Eropah ialah Euro 22,890, Euro 7,000 lebih tinggi berbanding model S 1000 R manakala untuk unit ‘Pakej M’ ia memerlukan penambahan Euro 5,000 yang ‘melayakkan’ pemilik menerima rim jenis karbon, tempat pemijak khas, aksesori gentian karbon dan didatangkan dalam warna hitam.
MR mengingatkan saya dengan Panzel, kereta kebal lagenda keluaran Jerman dalam Perang Dunia Kedua yang memiliki kombinasi sempurna di antara kelajuan, ketangkasan, kekuatan tenaga dan daya tahan enjin – itulah yang dinukilkan oleh para sejarawan.
Sistem elektronik yang dipadatkan pada jentera ini sangat membantu menjadikannya selamat dan menggembirakan. Pakej Ride By Wire (RBW) menawarkan lima mod tunggangan iaitu Rain, Road, Dynamic, Race dan Race Pro yang memiliki tiga tahap respon pendikit dan pilihan brek enjin. Melengkapkan kemodenan jentera ini ialah sistem Cornering ABS Pro, sistem Traction Control pelbagai pilihan, Anti-Wheelie, Launch Control, Cruise Control, Engine Braking Torque Control MSR dan Engine Dynamic Brake Control (DBC) yang membantu kawalan pergerakan lebih baik sewaktu berlakunya kecemasan.
Hadirnya sistem Brake Slide Assist adalah untuk kita kekal dalam posisi slide dengan sempurna ketika masuk ke selekoh dan akan berfungsi sebelum sistem ABS berinteraksi. Ketangkasan kita di selekoh juga datangnya dari fork hadapan jenis Marzocchi 45mm yang turut dipasang dengan Dynamic Damping Control (DDC) yang akan disesuaikan secara automatik dengan setiap pilihan mod tunggangan.
Kesemua talaan dapat kita pilih dan lakukan dengan mudah menerusi panel meter TFT yang cukup jelas dan menarik. Dengan adanya aplikasi BMW Motorrad Connected, sistem navigasi dapat kita gunakan pada bila-bila masa. Sistem sambungan Bluetooth dari telefon terus ke jentera ini juga membolehkan kita nikmati pelbagai kemudahan khususnya dari segi membuat panggilan, penerimaan mesej, audio muzik dan lain-lain.
Empat lap saya di Litar Americas memberikan nikmat jentera BMW ini. Kelajuan dapat diperah mencecah 257km/j – kita perlu menunduk dan meletakkan badan ke atas tangki untuk kurangkan tamparan angin yang kuat dari depan. Di hujung laluan lurus itu, saya membrek dengan keras dalam gear kedua untuk masuk ke selekoh – MR tegap dan sangat stabil. Ketika itulah saya dipintas oleh pelumba Endurance Factory dari BMW yang telah mengekori saya dengan pantas.
Dari litar, saya kembali ke jalan biasa dan ke lebuhraya. Pelananya setinggi 850mm (terdapat pilihan untuk 810mm/850mm) dan bagi saya yang berketinggian 180cm, posisi menunggang memang cukup selesa. Bentuk pelananya juga direka sempurna yang bukan sahaja ‘sedap diduduk’ tapi mudah untuk kita meletakkan kaki ke tanah. Bagi penunggang yang sederhana tinggi, pasti anda juga akan rasai BMW ini memang sesuai sekali.
Lampu-lampu kawalan berfungsi dengan cukup sempurna contohnya lampu untuk Powershifting tetapi kita masih perlu menggunakan klac sewaktu mula-mula ingin bergerak atau pun ketika menunggang dengan perlahan di dalam kawasan bandar. Sistem ShiftCam pula memberikan lebih tenaga di peringkat rendah dengan cepat dan lancar. Kita dapat merasakannya walaupun baru berada dalam lingkungan 5,000rpm dan apabila mencecah 8,000rpm, MR ini menambah lagi rasa keterujaan.
Melakukan brek keras dengan BMW ini memang satu ‘aksi’ yang cukup memberangsangkan. Ia datangnya dari sistem brek cakera Nissin di depan yang bersaiz 320mm dan 220mm di bahagian belakang.
Kelancaran sistem brek depan ini membolehkan kita memperlahankan kelajuan hanya dengan dua jari. Mod tunggangan dan pemetaan enjin juga tidak mengecewakan. Ini menjadikan perjalanan saya di kawasan-kawasan berbukit lebih meyakinkan. Kita dapat gunakan gear ketiga untuk meratah selekoh-selekoh tajam dan kita ada tersilap sikit, sistem elektronik juga bertindak dengan efisien untuk kekalkan kita dalam laluan.
Pengendalian MR ini cukup tepat. Kita dapat membaringkannya ke kiri dan ke kanan tanpa perlu bersusah payah menggunakan tenaga yang kuat. Tayar-tayar bersaiz 120/70 ZR17 (depan) dan 200/55 ZR17 di belakang yang dilengkapkan pada MR ini memberi cengkaman seperti mana saya mahukan. Dari mod Road, saya tukar kepada mod Dynamic yang serta merta memberikan corak kuasa yang sangat berbeza – lebih ummph! Saya juga sempat untuk mencuba respon pendikit menggunakan mod Race – memang padu!
Dari segi kualiti pembikinan, BMW sentiasa memastikan ia berada di tahap tertinggi. Untuk model MR ini, cermin sisi jenis ‘bar end’ telah dibuat menggunakan aluminium bertempa manakala kabel-kabel dan hos juga direka dengan sangat kemas – memberi kebanggaan buat si pembeli jentera ini.
BMW M 1000 RR yang diperkenalkan dua tahun lalu merupakan motosikal pertama daripada pengeluar Jerman yang melengkapkan barisan kereta berprestasi tinggi ikonik mereka yang memiliki Lambang-M. Lambang ‘M’ ini dihasilkan sejak 40 tahun lalu dan orang yang menubuhkan semula bahagian permotoran ‘M Performance’ BMW ini ialah mendiang Karl Heinz Kalbfell pada tahun 1980an dulu. Beliau berkhidmat di BMW dari tahun 1977 hingga tahun 2004 sebelum berpindah ke Itali untuk mengetuai pasukan baru di Alfa Romeo dan Maserati.
Beliau juga merupakan orang penting dalam pengenalan semua kereta MINI dan Rolls-Royce yang berada di bawah pemilikan BMW. Pada masa yang sama, Karl juga adalah pencinta motosikal sejati. Sayangnya beliau meninggal dunia di Brand Hatch pada tahun 2013 ketika berlumba dengan motosikal Matchless G50 miliknya dalam perlumbaan British National Historic Championship. Karl ketika itu berusia 63 tahun.
Saya amat berbesar hati dan berbangga mengenalinya malah kami juga pernah berlumba bersama di Goodwood Revival dan siri perlumbaan lain. Kami sering berbual mengenai inovasi dan penciptaan semula jentera-jentera BMW Motorrad termasuklah ketika mula-mula menghasilkan model S 1000 RR – jentera empat silinder BMW yang ditunggu-tunggu.
Karl ketika itu benar-benar percaya dan yakin, kakitangan selepasnya akan berjaya mengeluarkan Siri-M dan saya pasti beliau amat bangga dengan apa yang dicapai oleh BMW Motorrad sekarang ini. Apabila saya berada di atas M 1000 R ini, ia adalah impian dahulunya yang kini telah menjadi kenyataan.
Selama ini saya menganggap jentera Aprilia Tuono 1100 Factory adalah motosikal jalanan terbaik pada masa ini dan percaya prestasinya sukar untuk dicabar oleh mana-mana pengeluar motosikal lain. Namun begitu, selepas menunggang BMW M 1000 R 2023, saya rasa zaman Tuono telah berakhir. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: BMW Motorrad/Markus Jahn dan Jorg Kunstle.
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 4 silinder, DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 999cc |
Kuasa maksimum | 154kW (210bhp) pada 13,750rpm |
Tork maksimum | 113Nm pada 11,000rpm |
Tayar | 120/70 ZR17 (depan) & 200/55 ZR17 (belakang) |
Saspensi | fork teleskopik USD 45mm (depan) & lengan ayun aluminium (belakang) |
Brek | sepasang brek cakera 320mm (depan) & cakera 220mm(belakang), BMW Motorrad ABS Pro |
P x L | 2,090mm x 812mm (dengan cermin sisi) |
Isi tangki | 16.5 liter |
Laju maksimum | 280 km/j |
Popular