HONDA CBR500R : Kualiti Tinggi, Pecutan Mengagumkan
Sejak pihak Boon Siew Honda melancarkan model ini, sememangnya soalan klise yang akan kita dengar ialah: Berapa harga? Berapa laju maksimum? Selesa atau tidak? Banyak lagilah… ini satu perkara yang sihat kerana sifat ingin tahu itu menunjukkan mesin yang diperkenalkan oleh Honda itu menarik perhatian mereka!
Apa pun soalannya, jawapan hanya boleh diberi selepas ianya diuji. Baru adil! Motosikal yang dimaksudkan ialah Honda CBR500R. Sebuah model sport berkuasa sederhana yang bukan sahaja cantik tetapi juga mempunyai enjin yang berkuasa. Model ini dilancarkan di Malaysia bersama-sama dua lagi ‘saudara’nya iaitu CB500X dan CB500F. Walaupun pada dasarnya ketiga-tiga model ini menggunakan enjin yang hampir sama tetapi rekabentuk luaran digunakan untuk tujuan yang berbeza.
CB500X untuk tujuan pengembaraan, CB500F lebih sesuai untuk jalanan biasa dan CBR500R pula adalah untuk mereka yang sukakan tunggangan agresif dan kelajuan. Model ini didatangkan dalam dua versi iaitu ‘Biasa/std’ atau versi yang lengkap dengan sistem ABS. RR diberi peluang untuk bersama model ABS menghayati keindahan dunia motosikal dan pengembaraan.
Tiada yang lebih membanggakan apabila motosikal yang berada di bawah kita mempunyai tiga huruf yang betul-betul legend iaitu CBR. Cuba ingat kembali. Di Malaysia, motor CBR dahulunya dikaitkan dengan kehebatan sebuah motosikal berkuasa besar walaupun yang dilihat itu bukanlah jentera Honda sekali pun. Betul tak? Nampak kelibat superbike menyusuri jalanan di sebuah kampung, perkataan yang sering disebut selalunya ada dua, “Motor besar” atau “CBR!” Ini mungkin ia amat mudah disebut…C..B..R! Singkatan bagi Cross Beam Racer – sebuah mesin yang menggabungkan inovatif, gaya dan prestasi.
Oleh kerana ianya sebuah mesin atau motosikal yang sangat-sangat dikenali di seluruh dunia, Honda pastinya akan terus mengekalkan kehebatan dan keunggulan model CBR ini di mana sahaja. Okay, CBR500R ini dibuat cukup kemas dengan rekabentuk yang mewah, sporty dan aerodamik. Lampu hadapan model ini dibuat mirip dengan CBR1000RR yang terdiri daripada dua buah lampu besar (kanan: suluhan biasa. Kiri: suluhan tinggi), satu lampu kecil manakala lampu belakangnya ringkas tetapi cantik dan cukup terang.
Sudut rekaan tangkinya juga menarik, kita mudah merebahkan sedikit tubuh untuk memegang bar hendal, cukup selesa. Pelana untuk penunggang dan pembonceng diasingkan, terdapat bar pemegang untuk pembonceng agar tunggangan berpasangan lebih meyakinkan. Cermin sisi CBR ini besar, memudahkan kita melihat keadaan trafik di belakang.
Tinggi pelana CBR500R ini cuma 790mm, mudah dipanjat dan ditunggang, tidak kira lelaki atau perempuan. Sesuai untuk kita semua! Rekabentuk yang ergonomik ini bukan sahaja menjadikan tunggangan lebih mudah ketika berada di tengah-tengah kesibukan kotaraya tetapi juga keselesaan ketika perjalanan jauh.
Sebagai pengeluar motosikal yang bukan sahaja mementingkan kualiti produk-produknya, mesin Honda ini juga dibuat dengan berpaksikan penjagaan keharmonian dan kebersihan alam sekitar. CBR500R dilengkapi dengan sistem AI (air injection) iaitu sensor oksigen dan pemangkin yang dipasang di dalam sistem ekzos demi mempastikan kadar pengeluar emisi sentiasa berada di tahap paling minimum.
Enjin 471cc, dua silinder parallel, DOHC memberikan kejutan yang amat membanggakan. Ia menghamburkan kuasa yang senyap dan lancar dalam semua peringkat. Dalam gear kedua, ia boleh ditarik sehingga ke tahap 80km/j sebelum jarum meter mencecah garisan merah (sekitar 8,500rpm), kita menambah kedudukan gear ketiga (118km/j), keempat (140km/j) seterusnya hinggalah gear keenam dan kelajuan maksimum yang berjaya dicapai ialah sekitar 185km/j.
Dalam kelajuan tinggi, kita masih dapat melihat segala informasi yang dipaparkan oleh meter digital CBR ini dengan jelas. Ia memaparkan penunjuk tahap kelajuan, jam, jarak perjalanan, rpm dan bahan api. Deretan enam lampu kecil di atas meter ini menunjukkan tahap minyak enjin, sistem pancitan bahan api, suhu, kedudukan gear neutral, sistem HISS dan sistem ABS. Sayangnya tiada penunjuk kedudukan gear… memang sayang sekali – ia agak perlu ketika berada di jalan-jalan berselekoh.
Kita akan dapati posisi menunggang model ini sememangnya bercirikan sebuah model sport tetapi tidaklah begitu agresif seperti model 600RR atau 1000RR – kita lebih tenang dan mudah mengawal. Dengan kuasa maksimum 46.9hp pada 8,500rpm dan tork 43Nm pada 7,000rpm kita mampu bergerak pantas tanpa sebarang gangguan ketika berada di lebuhraya. Lampu tinggi CBR500R ini juga cukup terang. Ia adalah lampu halogen H7 55 wat, reflektor multi-facet – amat berguna untuk memberitahu akan kehadiran kita buat para pemandu kenderaan di hadapan.
Masuk sahaja ke bandar, bentuknya menarik minat semua peminat motosikal. Dalam gear-gear pertengahan, bunyi yang terhasil melalui corong ekzos cukup senyap, langsung tidak menggambarkan ketangkasan sebenarnya. Ini memang satu perkara yang menyeronokkan terutamanya jika ada ‘geng’ motosikal yang suka menyakat. Oleh kerana ia cukup senyap, ada juga jentera 135cc, 150cc dan 250cc cuba merapati dan memintas.
Kita pulas sahaja pendikit, sistem Programmed Fuel-Injection (PGM-FI) ini membantu CBR pantas memecut ke hadapan meninggalkan mereka di belakang tambahan pula gerek yang dipasang di model ini mempunyai saiz yang sama dengan model 600RR (67mm). Mungkin kerana kurang percaya… mereka meningkatkan kelajuan untuk mengejar sehinggakan ada kalanya tindakan ini boleh membahayakan diri mereka. Apa boleh buat…CBR ini memang pantas.
Kombinasi antara kekuatan enjin, keselesaan dan pengendalian yang mudah menjadikan CBR ini lebih sesuai untuk kegunaan harian sama ada untuk ke pejabat, ke universiti tidak kira dekat atau jauh perjalanan itu. Untuk menjamin keselamatan kepada para pemilik CBR ini, Honda telah melengkapkannya dengan sistem anti-kecurian iaitu Honda Intelligent Security System (HISS). Terdapat cip pada kunci yang hanya akan beroperasi dengan sistem HISS untuk menghidupkan enjin.
Tidak sempurna jika CBR500R ini tidak diuji di jalan-jalan berselekoh. Kerangka besi tiub, fork hadapan teleskopik 41mm dan saspensi pro-link memberikan kita lebih berkeyakinan sewaktu memasuki selekoh-selekoh tajam. Miringkan mesin, posisikan badan dengan betul dan nikmatilah kehebatan bermotosikal. Dalam sudut mana sekali pun kita berada, CBR ini tetap mampu dimiringkan dengan kemas. Tayar hadapan bersaiz 120/70ZR -17M/C dan 160/60ZR-17M/C di bahagian belakang menggigit setiap permukaan jalan dengan jayanya.
Tidak cukup dengan brek cakera hadapan 320mm dan 240mm di belakang, mesin ini turut didatangkan dengan sistem ABS (aksesori tambahan), membantu kita dapat memperlahankan kelajuan dengan tepat dan selamat. Tayar tidak akan terkunci walaupun brek ditarik dengan keras, ia terus mengawal kita daripada terbabas. Mungkin terlalu meminta… lebih seronok dan meyakinkan kalau ia turut dilengkapi dengan sistem traction control (TC)!
Tangki sebesar 15.7 liter ini boleh membawa kita sejauh 250 kilometer…. cukup-cukup jimat. Ia memang sebuah mesin pertengahan tetapi prestasinya lebih daripada itu, CBR500R berkeupayaan tinggi. Model ini ditawarkan dalam tiga versi warna iaitu Putih Mutiara Himalayas, Hitam Graphite dan Perak Metalik Seal pada dua harga berbeza iaitu RM28,588 (standard) dan RM31,888 (ABS). RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, sistem penyejuk cecair, DOHC, parallel kembar |
Isipadu | 471cc |
Gerek & lejang | 67mm x 66.8mm |
Nisbah Mampatan | 10.7:1 |
Kuasa Maksimum | 35kW pada 8,500rpm |
Tork Maksimum | 43Nm pada 7,000rpm |
Tinggi Pelana | 790mm |
Isi Tangki | 15.7 liter |
Berat | 192kg |
Pengeluar | Boon Siew Honda |
Popular