Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 30 Ogos 2020

BMW C400 X & 400 GT Kembar Tapi Tak Seiras

Jentera yang dinikmati untuk ruangan Bike Test kali ini memang cukup memuaskan hati. Tiap kali berhenti... buka helmet... semua tersenyum sambil 'lontarkan' kata-kata pujian padanya. Oh ya... model yang kami maksudkan ialah jentera automatik BMW C 400 X dan C 400 GT.

Skuter BMW ini diperkenalkan beberapa bulan lalu dan sudah pasti kemunculannya amat ditunggu-tunggu oleh semua pencinta motosikal tidak kiralah yang minat dunia sportbike, pengembaraan atau pemilik moped. Selain ia adalah keluaran jenama terkemuka - BMW, kedua-dua skuter ini mempunyai ciri-ciri luar dan dalam yang sangat menarik dan mengagumkan. Harganya? Kembar tak seiras ini ditawarkan pada harga RM44,500 (model X) dan RM48,500 (model GT). Kalau rasa harganya agak tinggi... kena ingat, ini produk premium yang memiliki nama, kualiti dan kreativiti.

BMW C 400 X direka untuk kegunaan urban, sesuai buat mereka yang ingin bebas ke mana sahaja sambil kelihatan bergaya. Model ini adalah untuk jiwa remaja dan dapat dilihat menerusi rekabentuk luarannya yang kompak dan sporty. Antara yang menarik perhatian kami ialah ciri-ciri siri pengembaraan GS yang telah diterapkan pada skuter ini. Ini cukup jelas dilihat menerusi rekaan lampu utama jenis LED, lampu DRL bentuk-Y, paruh (peak) dan madgad depan – memang macam GS!

Antara komen yang kami dapat sewaktu menunggang jentera ini ialah: -  “Unik lah bentuk skuter ni?” -  “Konsep rekabentuk skuter ni lain dari yang lain..” -  “Elegan... canggih... berapa harga? -  “Pasaran skuter sekarang makin berkembang!”

Pelananya hanya setinggi 775mm. Memang sangat sesuai untuk purata ketinggian penunggang motosikal di Asia termasuklah wanita. Kami dapati posisi menunggangnya tegak - tawarkan pengendalian yang mudah dan natural, cuma ruang kakinya sahaja agak terhad. Bagi yang berkaki panjang, tak dapatlah nak berlunjur ke hadapan. Panel meter skuternya memang direka seperti modelmodel lebih besar. Paparan TFT yang cukup jelas, mudah untuk kita membuat talaan dan model ini juga didatangkan dengan sistem Connectivity terus ke telefon pintar yang memberikan akses kepada perhubungan telefon, navigasi dan hiburan muzik yang menarik.

BMW telah menyempurnakan skuter ini dengan sistem keyless yang cukup disenangi. Untuk menghidupkan enjin skuter ini, kunci pintar mesti berada dekat atau bersama dengan si penunggang. Tekan suis bulat terlebih dahulu. Apabila semuanya sudah bersedia... tekan suis utamanya untuk memulakan perjalanan. Dengan sistem ekzos cukup mantap, kami memang terhibur betul setiap kali merentap tenaga skuter ini.

Sistem transmisi jenis CVT memang 'senjata' hebat tunggangan di dalam kota. Pulas dan pergi.... hantaran kuasanya yang segar membolehkan pergerakan dari 15km/j – 100km/j dapat dicapai dengan sangat mudah. Sistem transmisi CVT skuter ini cukup lancar tanpa sebarang sentapan walaupun kami sering menarik pendikitnya dengan rakus untuk memecut ke hadapan. Dengan saiz tapak roda 1,565mm dan karaktornya yang lincah, C 400 X memang pantas mencilok dan bergerak bebas tanpa sekatan walau di dalam ruang yang kecil. Ya… itulah kelebihan skuter ini.

Untuk jadikan jentera ini sebuah skuter yang cukup praktikal, BMW menawarkan ruang penyimpanan barang yang banyak serta luas. Memang best! Terdapat dua ruang bersaiz sederhana di hadapan penunggang yang boleh memuatkan kita menyimpan barangan kecil seperti beg duit, sarung tangan atau telefon bimbit manakala ruang barang bawah pelana pula cukup besar. Kita boleh masukkan jaket, topi keledar, beg tangan, fail kerja dan banyak lagi. Ruang 'flexcase' ini boleh dikembangkan ke bawah untuk kita dapatkan ruang lebih luas.

Terdapat juga soket 12V dan penyambungan USB yang membolehkan kita mengecas telefon pintar di mana-mana sahaja.

Tidak dinafikan jumlah penunggang wanita kian meningkat lebih-lebih lagi di tengah kotaraya. Oleh itu, jentera yang paling selamat adalah yang mampu tawarkan 'pelindung' terbaik daripada perkara yang tidak diingini berlaku pada pemiliknya. Dengan skuter BMW ini, barangan peribadi tersorok di bawah pelana dengan rapi. Siapa pun tak nampak?

Betul... model X memang lebih sesuai untuk kegunaan di bandar kerana ketiadaan cermin pengadang udara di depan sememangnya sedikit mengganggu sewaktu dalam kelajuan tinggi. Apapun, tubuh badannya yang ringan memudahkan kita untuk membelok dan mengubah laluan dengan cepat. Apabila menunggang ke kawasan tanah tinggi yang memerlukan pendakian, skuter ini memang seronok!

Sebagai jentera yang pantas, tangkas... lincah, BMW telah menyempurnakan model ini dengan enjin 350cc, sistem penyejuk cecair, silinder tunggal yang berkuasa 34hp pada 7,500rpm dan tork 35Nm pada 6,000rpm. Keupayaan enjinnya membekalkan kuasa buat jentera ini memang memberi ketagihan. C 400 X dilengkapkan dengan brekbrek jenis Bybre yang terbukti mewarisi kemantapan brek jenama Brembo. Tidak lupa juga... skuter ini dilengkapi dengan sistem ABS. Dengan pakej yang ditawarkan, kami benar-benar gembira.

BMW C 400 GT adalah sebuah skuter pengembaraan yang mempunyai reputasi cukup tinggi. Tiada yang paling sempurna selain menunggang sebuah jentera yang mudah, pantas, selesa dan praktikal. Dengan BMW ini, semuanya dapat kita miliki. Berbanding model X, tubuh badannya memang lebih besar... lebih mantap... dan paling kami suka tentulah ruang kakinya yang luas. Salah seorang dari kami dapat melunjurkan kakinya dengan selesa.  

Tarikan utamanya datang dari depan. Bentuk lampu utama LED dan DRL (gantian optik) memang cantik sungguh dan unik – belum pernah kami lihat seumpamanya sebelum ini. Sesuai sebagai jentera skuter pengembaraan, BMW telah melengkapkan skuter ini dengan cermin pengadang udara di depan yang tinggi – amat berkesan sekali untuk menahan tamparan angin dari depan. Ini membolehkan kami memecut C 400 GT ini lebih selesa berbanding model X.

Panel meternya jenis TFT – sama seperti model X. Kita boleh melihat pelbagai info penting pada paparan ini dengan mudah. Terdapat beberapa paparan yang boleh dipilih. Jika kita memilih 'My Vehicle', ia memaparkan segala info dengan terperinci seperti kelajuan, jarak perjalanan, penggunaan bahan api, suhu enjin, suhu persekitaran, masa, tahap bahan api dan tahap kuasa bateri. Menerusi paparan 'My Vehicle', kita boleh masuk ke paparan seterus (lebih terperinci) menerusi paparan  On Board Computer, Trip Computer atau Service Requirements.

Paparan 'Urban' lebih ringkas dengan penunjuk rpm, tahap kelajuan, jarak perjalanan, trip, suhu persekitaran dan masa manakala paparan seterusnya ialah Navigator, Media, Telephone yang boleh diguna menggunakan BMW Motorrad Connectivity. Menerusi sistem itu, kita dapat menunggang dengan tenang menuju ke setiap destinasi sambil mendengar lagu kegemaran dan juga boleh berhubung dengan yang tersayang pada bila-bila masa.

Spesifikasi enjin GT sama seperti model X yang menawarkan hantaran kuasa 34hp pada 7,500rpm dan tork 35Nm pada 6,000rpm. Apa yang mengujakan kami ialah kemampuan jentera ini bergerak dengan sangat lancar dalam kelajuan yang rendah mahupun ketika kita mahukan enjinnya bekerja keras untuk meluncur lebih pantas. Dengan memenuhi piawaian Euro 4, BMW membuktikan mereka mampu mencipta sebuah jentera yang jimat bahan api dan menyeronokkan pada masa yang sama.

Dengan saiz tubuh badan yang agak gempal, GT tidak sepantas X ketika mencelah di dalam kesibukan kota tetapi apabila tiba di laluan terbuka, ia lebih selesa untuk kita kendalikan di atas kelajuan purata 130km/j dan pastinya penunggang GT lebih kering apabila ketika menunggang di dalam hujan yang tidak begitu lebat berbanding penunggang X.  Model GT juga didatangkan dengan pemanas pendikit yang sangat membantu agar tapak tangan tidak sejuk ketika menunggang di dalam hujan atau di kawasan bersuhu dingin.

Kedua-dua model (X dan GT) dilengkapi dengan tayar tayar Pirelli Angel Scooter bersaiz 120/70 15 (depan) dan 150/70 14 di belakang yang berprestasi cemerlang. Kami menyusuri perjalanan di kawasan luar bandar yang memiliki selekoh-selekoh tajam dan ianya adalah satu kenikmatan buat sebuah skuter maksi untuk meratah setiap laluan seperti itu. Dengan adanya bantuan dari sistem ABS dan Automatic Stability Control (ASC), hati kami semua cukup tenteram kerana cukup yakin pada sistem keselamatan jentera ini.

Memang kedua-dua jentera ini mendapat perhatian ramai dan kesemuanya lebih teruja apabila melihat jenama dan kecanggihan panel meternya. Itulah kemajuan yang kini sedang dinikmati oleh para pemilik BMW.  Secara keseluruhannya, kedua-dua skuter BMW bukan sahaja menepati segala keinginan dan jangkaan kami malah ia lebih seronok dari apa yang disangkakan.

Lincah..... sangat cantik... berteknologi tinggi dan praktikal. Semuanya dipadatkan pada C 400 X dan C 400 GT. Sekarang tepuk dada tanya selera…. mana lebih syok! Beza harga di antara kedua-duanya tidaklah begitu tinggi, model GT RM4,000 lebih mahal daripada X. Dengan isi tangki 12.8 liter, kami dapat menikmati perjalanan lebih daripada 250 kilometer tanpa rasa lenguh di sana sini. Memang selesa! RR

Isu Pada

November 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair
Isipadu399 cc
Gerek x Lejang80 x 69.6 mm
Kuasa maksimum25kW pada 7,500 rpm
Tork maksimum35Nm pada 6,000 rpm
Nisbah mampatan11.5:1
Tinggi pelana775 mm
Isi Tangki12.8 liter (termasuk 4 liter simpanan)
Berat204 kg /GT: 212 kg
PengedarBMW Malaysia Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Model Baru

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

Seperti biasa, Ducati memilih pameran motosikal antarabangsa EICMA untuk melancarkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 yang memiliki ketangkasan dan kemantapan prestasi untuk tunggangan di jalanan biasa mahupun di litar.

Model Baru

Scrambler Ducati Edisi 10° Anniversario Rizoma

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 jentera Scrambler, Ducati telah berkolaborasi dengan pengeluar aksesori motosikal Rizoma untuk memperkenalkan Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition.

Dari Litar

Pasukan Repsol Honda Tiba Di Buriram. Joan Mir Perlu Buat 'Come Back'!

Selepas gagal menamatkan perlumbaan (DNF) sudah ketiga berturut-turut, Joan Mir perlu kembalikan prestasinya ke tahap terbaik sempena perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Buriram, Thailand minggu ini.