Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 1 Disember 2020

KAWASAKI Z400 SE ABS Mantap & Hebat

Kawasaki siri Z merupakan sebuah model naked yang tidak lagi asing buat pengguna dua roda. Z sangat popular dan mampu menarik minat pengguna motosikal. Sudah tentu para peminat mahukan sebuah jentera yang berkuasa, pantas, mudah dikendalikan dan posisi tunggangan yang selesa. Bagi mereka yang baru memiliki lesen B dan mahu berjinak-jinak dalam dunia permotoran, Kawasaki Z400 SE ABS adalah pilihannya.

Model Z400 mula diperkenalkan di pameran EICMA yang berlangsung di Milan, Itali pada November 2018. Model ini merupakan siri terbaru dalam keluarga Z yang dibangunkan sebagai sebuah mesin supernaked. Z400 tampak lebih agresif  berkonsepkan 'Sugomi' menawarkan kemantapan rekabentuk yang telah dipertingkatkan dengan gabungan Z650 ABS dan Z300 ABS. Pada bulan April 2019, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) telah melancarkan model siri Z iaitu Z250 ABS dan Z400 SE ABS untuk pasaran Malaysia.

Meternya kelihatan sama seperti Z650 ABS. Panel meter berlatar belakangkan lampu berwarna biru gelap memaparkan segala informasi dengan jelas. Antaranya seperti putaran rpm, kadar kelajuan, kedudukan gear, tahap bahan api, suhu, masa dan jarak perjalanan. Manakala lampu-lampu kecil yang dihias pada panel meter adalah lampu isyarat, ABS, lampu tinggi, gear Neutral dan lampu enjin.

Kami mula labuhkan punggung ke atas pelana yang setinggi 785mm. Posisi tunggangannya cukup selesa dan  tidak memenatkan menunggang jauh bersama jentera ini. Z400 sangat sesuai buat golongan muda dalam menikmati keseronokan tunggangan. Jentera ini boleh dihidupkan dengan menggunakan sistem elektrik sahaja. Sebaik mesin ini dihidupkan, putaran enjin empat lejang bergerak dengan lancar sekali. Pulas pendikitnya, deruman yang terhasil dari sistem ekzos sangat galak dan segar.

Enjin ini bersesaran 399cc, DOHC, 8 injap, kembar parallel, sistem penyejuk cecair dengan gerek bersaiz 70mm dan lejang 51.8mm. Memang seronok memacu Z400 kerana respon antara pendikit dengan enjin tepat dan lancar. Posisi bar hendal yang tidak terlalu tinggi dan mendatar memberikan peluang buat kami mengendalikan Z400 dengan cukup senang untuk menukar laluan dan posisi dalam kelajuan tinggi.

Perjalanan dimulakan melalui lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur menghala ke Teluk Intan. Pendikit mula dipulas dengan lebih galak lagi. Dalam gear-gear rendah kami dapat merasakan betapa kemasnya putaran enjin ketika meluru ke hadapan dengan selesa. Kekuatan kuasa torknya 38.0Nm pada 8,000rpm sangat mengagumkan. Z400 merupakan sebuah jentera yang cukup hebat untuk ditunggang. Mesin ini dapat memintas segala kenderaan dengan mudah dan cepat.

Dalam kedudukan gear kelima, Z400 dapat memecut sehingga 150km/j. Semakin dipulas pendikitnya, enjin model ini semakin garang menunjukkan kebolehannya. Enjin semakin mengerang apabila jarum rpm mencecah garisan merah dan memaksa kami menambah gear seterusnya. Enjin berkuasa 33.4kW pada 10,000rpm sangat hebat. Jentera ini dapat memecut pada kelajuan sekitar 190km/j. Dari pandangan kami, jentera ini mampu mencapai sehingga 200km/j mengikut jenis berat, permukaan jalan dan gaya tunggangan.

Dengan rekabentuk tangki yang langsing, bahagian lutut penunggang cukup luas untuk memudahkan kami mengepit tangki ketika memecut atau mengambil posisi terbaik membuat belokan. Berbekalkan kerangka jenis trellis bertegaran tinggi, Z400 sebuah jentera yang amat stabil apabila berada di lebuhraya. Jentera ini juga tidak terhuyung hayang atau bergegar walaupun miringkannya pada kelajuan yang agak tinggi.

Z400 disumbangkan dengan sistem saspensi hadapan jenis fork teleskopik dengan penyerap hentak tunggal di belakang yang cukup efektif. Sistem saspensinya dapat menyerap segala hentakan dengan baik tidak kiralah apa pun jenis permukaan jalan yang dilalui. Mengambil selekoh juga tidak terasa membuai seperti ditiup angin.

Kami meninggalkan lebuhraya dan memasuki perkampungan di Sungai Tengi. Pemandangan di sini cukup tenang dan tidak bising, kenderaan pula kurang. Kami perlu melepasi berapa buah kampung untuk menuju ke Sungai Besar. Cuaca pada hari tersebut sangat baik dengan langitlangit berwarna biru ditambah pula tiupan angin yang sangat menyegarkan.  

Tayar hadapan Z400 bersaiz 110/70R17 M/C 54H dan 150/60R17 M/C 66H (belakang) sememangnya memberi gigitan yang sempurna ketika berada di jalan-jalan berselekoh. Sistem brek yang baik juga amat diperlukan untuk berada di laluan yang tepat. Jentera ini hadir dengan brek jenis cakera 310mm (depan) dengan sistem ABS dan 220mm (belakang). Ia dapat memperlahankan mesin yang kami tunggang dengan selamat. Disumbangkan pula dengan sistem ABS supaya tayar tidak mudah terkunci ketika membrek terutama apabila berada di permukaan licin.

Z400 adalah sebuah jentera yang boleh dipuji. Dengan mempunyai berat 168kg, ia cukup ringan untuk mengubah posisi ke kiri dan kanan, sangat lincah! Kebolehan ini amat berguna ketika berada dalam kawasan bandar untuk mengubah posisi mesin ini apabila kesesakan berlaku. Dengan adanya transmisi 6 kelajuan bersama sistem klac Assist & Slipper, proses penukaran gear dapat dibuat dengan lancar dan mudah serta dapat mempertingkatkan lagi kelajuan terutama apabila menunggang dalam kawasan bandar kerana ia memerlukan proses penukaran gear yang kerap.

Selepas puas bersama Z400, kami mula meninggalkan bandar Teluk Intan untuk pulang ke Kuala Lumpur semula. Sebaik sahaja memasuki lebuhraya, keadaan cuaca seperti tidak mengizinkan. Titik demi titik hujan mula membasahi bumi. Pendikit mula dilepaskan sedikit untuk mengurangkan kelajuan. Hujan yang semakin lebat telah memaksa kami untuk berhenti dan berteduh di tepi bawah jambatan. Selepas hampir sejam, cuaca mula cerah dan perjalanan dimulakan semula. Untuk makluman semua, jika berhenti berteduh tidak kira di lebuhraya ataupun jalan-jalan biasa, elakkan diri berada dekat di bahu jalan. Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Bagi mereka yang gemar menunggang pada waktu malam, Z400 sangat sesuai kerana lampu-lampu jenis LED yang dilengkapi pada model ini sangat terang, terutama lampu utamanya! Lampu belakang yang sama seperti Ninja 400, Ninja ZX-6R 2016 dan Ninja 250 disusun dengan kemas sekali serta pencahayaannya memudahkan kami dilihat dari belakang oleh pengguna jalan raya yang lain.

Pada masa kini, bilangan kenderaan yang ada semakin meningkat. Dengan adanya cermin sisi yang besar dan jelas, kami mampu melihat keadaan trafik di belakang sebelum menukar lorong ke kiri dan kanan. Jangan lupa sertakan sekali lampu isyarat apabila menukar laluan supaya pengguna jalan raya lain dapat melihat kehadiran kita dengan lebih awal.

Z400 mampu membawa kami ke mana sahaja destinasi yang ingin dituju. Model yang dikuasakan dengan sistem suntikan bahan api menawarkan penggunaan bahan api cukup menjimatkan. Z mampu menyusuri perjalanan hampir 270 kilometer dengan sekali isian penuh tangki 14 liter.

Tidak kiralah ke mana sahaja ingin dituju, Z400 boleh menjadi teman. Jika ingin mencari sebuah jentera naked yang mantap dan menawan pastinya Z400. Ia ditawarkan pada harga RM28,755 dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Pearl Storm Grey. Ayuh, tunggu apa lagi! Mari ke pusat pengedar Kawasaki yang berdekatan untuk melihatnya dengan lebih dekat. RR

https://www.kawasaki.com.my

Isu Pada

November 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, DOHC, Parallel twin, sistem penyejuk cecair
Isipadu399 cc
Gerek x Lejang70 x 51.8 mm
Nisbah mampatan11.5:1
Kuasa maksimum33.4kW pada 10,000 rpm
Tork maksimum38.0Nm pada 8,000 rpm
Tinggi pelana785 mm
Isi Tangki14 liter
Berat167 kg
PengedarKawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

Seperti biasa, Ducati memilih pameran motosikal antarabangsa EICMA untuk melancarkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 yang memiliki ketangkasan dan kemantapan prestasi untuk tunggangan di jalanan biasa mahupun di litar.

Model Baru

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA, Fantic Caballero 700 baru telah diiperkenalkan dalam dua edisi khas iaitu Deluxe dan Travel.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Warta Roda

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.