Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Mei 2014

YAMAHA EGO LC 125 Si Kecil Molek Mudah dan Menyeronokkan

Kepada pengguna motosikal yang inginkan tunggangan santai dan mudah - tiada jentera yang lebih sesuai jika hendak dibandingkan dengan menunggang sebuah skuter. Tiada penggunaan gear - kita hanya perlu memulas pendikit untuk ke satu-satu destinasi. Kaki juga selesa berehat, tidak perlu lagi menekan tuas gear dan tuas brek. Dari segi pencemaran bunyi…. motosikal skuter merupakan jentera beroda dua kedua paling senyap selepas motosikal berkuasa elektrik. Oleh itu ia memang cukup sesuai digunakan bukan sahaja buat orang muda tetapi juga untuk penunggang 'lama'.

Sebagai sebuah syarikat yang cukup berpengalaman, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) tidak pernah leka dalam pembinaan sebuah jentera yang bukan sahaja mampu milik tetapi juga mempunyai ciri-ciri menarik yang berjaya mendapat pujian setiap kali diperkenalkan. Antara model terbaru yang diperkenalkan ialah Ego LC generasi kedua yang dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api YMJet-FI. Walaupun saiz badannya yang kecil molek, Ego LC mencuri tumpuan menerusi rekaan bentuk hadapan yang cukup segar dengan idea baru.

Lampu utamanya besar, disepadukan dengan lampu isyarat yang menjanjikan suluhan yang cukup jelas. Paling 'syok' ialah sistem honnya yang dipasang pada bahagian kepala. Dengan bentuk fairing direka sempurna, bunyi yang terhasil memang cukup kuat. Kami rasa, hon superbike pun tidak sekuat ini. Kekuatan bunyi ini bagus terutamanya ketika menunggang di dalam bandar. Kadang-kadang kenderaan lain masuk/keluar simpang sesuka hati, tanpa memikirkan kita sedang menuju ke arahnya. Dengan adanya hon sebegini….. pasti mereka akan lebih peka dengan keadaan trafik daripada terus leka.

Panel meter skuter ini ringkas dan disusun dengan kemas untuk memudahkan kita melihat tahap kelajuan, jarak perjalanan, tahap bahan api, lampu isyarat, lampu tinggi dan lampu sistem FI. Suis penghidup utama disatukan dengan pembuka pelana didatangkan dengan penutup khas untuk mengelakkan kecurian. Semestinya setiap pengeluar kini sedang terus berusaha untuk meningkatkan tahap keselamatan selepas kadar kecurian motosikal memberikan angka yang agak membimbangkan. Mesin automatik ini juga boleh dihidupkan dengan sistem tendang tetapi segala proses 'menghidupkan' enjin ini tidak dapat disempurnakan jika tongkat sisi tidak dinaikkan.

Kelancaran enjin yang menggunakan sistem pancitan bahan api jelas dapat dirasakan sebaik sahaja kita memulas pendikit. Nilai kuasa tork 10.4Nm sudah cukup kuat menarik Ego LC untuk meluncur dengan pantas dan senyap. Respon antara pendikit dan enjin cukup mengagumkan! Kita hanya perlukan jalan dan Ego ini akan menunjukkan kehandalannya.

Dengan ketinggian pelana 760mm, Ego ini mudah dipanjat oleh semua jenis penunggang manakala buat penunggang wanita di Malaysia yang rata-ratanya berketinggian 5’2” hingga 5’4”, mereka dapat menapak dengan sempurna – tanpa perlu berjengket. Ruang kaki yang agak kecil dan terhad sedikit menyukarkan penunggang tinggi dan berkaki besar (saiz 9 dan ke atas). Walaupun begitu, saspensi teleskopik (hadapan), lengan ayun berspring di belakang dan pusat graviti yang rendah berjaya membantu skuter ini bergerak lincah dengan cukup stabil dalam kelajuan apa sekali pun.

Ego ini berisipadu 125cc dengan kuasa tork maksimum 8.3kW pada 9,000rpm - sudah cukup hebat untuk melarikan diri daripada kenderaan lain sewaktu bersesak-sesak di dalam bandar manakala sistem penyejuk jenis cecair lebih cepat menurunkan dan menstabilkan suhu enjin. Ia adalah satu ciri-ciri penting buat sebuah mesin beroda dua jika ianya digunakan di dalam kotaraya. Pulas sahaja pendikit, jarum meter pantas menunjukkan ke paras 80km/j dan kelajuan maksimum yang dapat dicatatkan ialah 110km/j, hebat untuk sebuah mesin yang menggunakan sistem tali sawat V automatik.

Seperti mana-mana mesin skuter yang lain. Ketiadaan brek enjin pada sebuah mesin automatik seperti ini tidaklah mengganggu tunggangan jika kita pandai menggunakan sistem brek dengan baik kerana kerangkanya (jenis underbone) memudahkan kita mengubah posisi dengan baik sama ada dalam kelajuan rendah mahu pun tinggi. Kita cepat mendapatkan keserasian dengan skuter ini kerana ia cukup mesra penunggang dan ringan (101kg).

Bagi penunggang wanita pula, inilah antara calon sesuai untuk dibawa ke tempat kerja kerana ia turut dilengkapi dengan ruang barang bawah pelana bersaiz 12.8 liter yang boleh memuatkan barangan bersaiz sederhana. Masuk beg tangan dan aksesori wanita yang lain ke dalamnya, tutup pelana dan 'zassss' menuju ke tempat kerja.

Memasuki kawasan bandar ketika hari cuti umum atau di waktu perayaan dengan menaiki skuter memang satu langkah yang bijak. Selain tidak perlu merangkak berjam-jam, pemilik motosikal dapat berhenti dan parkir hampir di mana sahaja. Kerampingan tubuh badan Ego menjadikan skuter ini pilihan yang tepat ketika menyusuri jalanan di kota dan dengan adanya sistem penyejuk cecair, suhu enjin terus kekal stabil.

Masih banyak lagi kawasan parkir motosikal di Kuala Lumpur yang dijaga oleh individu tertentu dan diharap dengan adanya mereka, motosikal kita akan lebih selamat daripada dicuri. Sampai sahaja di tempat yang dituju, kita parkir dan terus membeli barangan yang dikehendaki. Simpan barangan itu ke dalam ruang bawah pelana dan teruskan perjalanan. Memang pantas kalau nak dibandingkan dengan kenderaan empat roda. Terpaksa melalui kesesakan lalu lintas, mencari tempat parking di kawasan-kawasan khas, berjalan ke tempat membeli belah kemudian sekali mengulangi proses yang sama jika ke tempat lain.

Terasa begitu kerdil apabila menunggang skuter ini di lebuhraya. Walaupun ia mampu dipecut sehingga 115km/j (laju maksimum), namun saiznya ini sedikit merisaukan terutamanya apabila dipintas oleh ‘gergasi-gergasi’ jalanan seperti bas ekspres dan lori-lori kontena yang memecut dengan gagah. Terasa bagaikan melayang ke tepi laluan setiap kali tamparan angin daripada kenderaan ini sewaktu berada bersebelahan dengan mereka.

Okay…. tidak mahu mengambil risiko terlalu lama di atas lebuhraya, kami meneruskan perjalanan menggunakan jalan bandaran – selamat dan selesa. Kecerahan lampu utama, lampu brek dan lampu isyarat amat penting tidak kira siang mahu pun malam. Banyak kemalangan berlaku terutamanya di simpang-simpang dan sukar untuk kita pastikan siapa yang bersalah sebenarnya. Adakah pemandu kereta itu tidak nampak kelipan lampu isyarat daripada motosikal yang sedang memasuki selekoh atau pun lampu isyarat motosikal itu memang ‘dah’ tak berfungsi lagi. Kecerahan lampu isyarat Ego LC cukup kuat dan mudah dilihat sama ada dari belakang mahu pun depan dalam semua keadaan cuaca.

Kadar prestasi enjin Ego LC terus stabil dan mantap walaupun dalam perjalanan jauh, terima kasih kepada Yamaha yang melengkapkan model ini dengan silinder aluminium yang membantu pengurangan haba dengan cemerlang. Kecekapan Ego ketika menyusuri jalanan berselekoh hadir dalam beberapa faktor penting. Pertama ialah gabungan sistem saspensi hadapan (teleskopik) dan belakang (lengan ayun) yang menyerap segala hentakan dengan baik untuk berbagai jenis permukaan jalan.

Kedua tentulah rim jenis tetuang yang bertegaran tinggi – memberikan keyakinan walaupun di permukaan jalan yang tidak begitu rata. Ketiga ialah sistem breknya yang mantap. Dengan penggunaan brek jenis cakera, kelajuan mesin ini dapat dikurangkan dengan pantas tanpa sebarang gangguan dari segi pengendalian mahu pun pergerakan. Untuk kesan lebih responsif, lebih baik kita gunakan kedua-dua brek, hadapan dan belakang. Walaupun saiz tayarnya tidak begitu besar – 70/90-14M/C 34P (hadapan) dan 90/80-14M/C 49P (belakang), ia sudah cukup sempurna untuk memberi cengkaman di permukaan.

Tangki sebesar 3.8L ini boleh membawa kita menyusuri perjalanan sekitar 100 kilometer (bergantung kepada cara tunggangan, berat penunggang dan jenis perjalanan). Ego ini ditawarkan pada harga RM5,640 dengan tiga varian warna menarik iaitu kuning, hitam dan merah. Gabungan rekabentuk yang menarik dan prestasi enjin yang cemerlang pastinya ia menjadi pilihan buat mereka yang inginkan sebuah mesin auto yang ranggi dan menarik. RR

Isu Pada

Mei 2014

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 2 injap, SOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu125cc
Gerek & Lejang52.3mm x 57.9mm
Nisbah Mampatan10.9:1
Kuasa Maksimum83kW pada 9,000rpm
Tork Maksimum10.4Nm pada 6,500rpm
Tinggi Pelana760mm
Isi Tangki3.8 liter
Berat101kg
PengeluarHong Leong Yamaha Motor

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.

Model Baru

Triumph Trident 660 Baru Diperkenalkan. Harga asas RM46,900

Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia telah melancarkan model terbaru Trident 660 yang akan tersedia dalam pasaran negara tidak lama lagi.