Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 April 2014

KYMCO XCITING 400i : Besar, Tegap, Mantap & Cukup Berkuasa

Segmen skuter berkuasa tinggi semakin mendapat sambutan oleh para peminat motosikal di seluruh dunia, termasuk juga Malaysia. Kymco atau Kwang Yang Motor Co. Ltd kini sudah tidak asing lagi buat pengguna motosikal di negara kita dan dibuktikan dengan adanya kelab-kelab dengan jentera ini yang semakin aktif mengadakan siri konvoi, ekspedisi mahu pun pengembaraan.

Jenama yang sudah berada di pasaran dunia sejak 1963 pastinya telah cukup ‘masak’ dalam pembinaan motosikal pelbagai jenis dan tentulah penghasilan skuter berkuasa tinggi atau skuter maksi adalah kepakaran mereka.

Saban hari, semakin banyak pengeluar motosikal yang memberanikan diri untuk menawarkan skuter maksi ke pasaran dunia. Makin banyak jenama dalam pasaran bererti makin banyak pilihan buat pengguna. Untuk terus kukuh, Kymco telah memperkenalkan model baru Xciting yang berkuasa 400cc dengan sistem pancitan bahan api. Ia besar, tegap, mantap dan cukup berkuasa.

Antara ciri-ciri yang diketengahkan pada model ini ialah faktor keselamatan. Untuk itu Kymco telah berusaha keras untuk membangunkan sebuah kerangka under-bone yang mengurangkan gegaran dan menawarkan kestabilan yang tinggi. Untuk disesuaikan dengan kerangka yang kini lebih tegar, pereka luaran Xciting juga perlu bijak agar rekaan yang dihasilkan itu juga menarik minat semua jenis pengguna motosikal.

Ini penting kerana tidak semua penunggang mesin sport akan terus mengasah lutut, atau penunggang dual purpose pula sudah puas mengembara. Mereka pastinya akan melihat sebuah motosikal yang mudah ditunggang, stabil di laluan berselekoh, praktikal dan berkuasa. Inilah yang ditawarkan oleh Xciting 400i! Sifat gagah mesin 400cc ini diterjemahkan melalui rekabentuk luarannya.

Bahagian hadapan diserikan dengan dua buah lampu utama yang besar dan dilengkapi dengan lampu LED seperti mana yang digunakan pada kereta-kereta mewah. Selain menjadikan Xciting tampak lebih elegan dan eksklusif, skuter ini akan dapat dilihat dengan mudah tidak kira dalam kepekatan malam mahu pun di bawah terik matahari.

Satu tepukan tahniah patut diberikan kepada perekacipta lampu belakang Xciting ini. Jalur-jalur lampu berwarna merah ini disusun rapi dan kemas bagi menampakkan kemewahan skuter ini. Kelebihan menunggang sebuah skuter maksi ini tentulah keluasan ruang untuk penunggang. Ruang kaki cukup luas untuk kita berlunjur bagi menghilangkan lenguh dalam perjalanan jauh. Pelana penunggang dilengkapkan dengan tempat untuk kita rehatkan pinggang dan ia juga memberi keselesaan kepada pembonceng agar tidak mudah bergelunsur ke hadapan jika brek digunakan dengan keras.

Kami cukup sukakan panel meternya! Di meter utama, terdapat satu meter bulat penunjuk tahap rpm manakala paparan digital mempamerkan tahap kelajuan bertulisan besar dan terang. Ruang meter digital kecil di sebelah kanan pula menawarkan bacaan jarak perjalanan, trip, jam, suhu enjin dan bahan api. Di sebelah kiri terdapatnya lampu-lampu penunjuk untuk pemberi isyarat, sistem pancitan bahan api dan minyak enjin.

Kymco memilih untuk tidak meletakkan cermin sisi di bahagian fairing hadapan (agak menyukarkan) sebalik dipasang di bahagian bar hendal – ini memudahkan kita untuk mengubah posisinya tanpa mengganggu tunggangan. Pelana setinggi 768mm pada hakikatnya tidaklah begitu tinggi tetapi bentuknya yang agak lebar sedikit menyukarkan untuk dipanjat bagi penunggang yang agak rendah. Saiz ruang yang luas di bawah pelana boleh memuatkan sebuah topi keledar atau barangan lain seperti jaket, sarung tangan, tuala, komputer riba, beg tangan dan banyak lagi. Pendek kata… semua barangan keperluan untuk menunggang boleh disumbat!

Ruang barang ini mengingatkan kami dengan trend skuter suatu masa dulu yang dipasangkan dengan sistem audio yang cukup kuat dan berkualiti. Hampir setiap skuter memasang sistem ini sehingga diadakan pertandingan bunyi skuter siapa paling kuat dan sedap didengar. Kalau Xciting masuk bertanding…. agaknya harapan bergelar juara mungkin 100% kerana sistem elektriknya stabil, tahan lama manakala ruang untuk mengisi speaker memang dah luas!

Cara menghidupkan enjin Xciting sama seperti mana-mana skuter yang lain. Naikkan tongkat, tarik tuas brek dan tekan ‘on’.., mudah! Sebaik dihidupkan, enjin empat lejang, satu silinder berputar dengan lancar sekali manakala bunyi yang terhasil melalui corong ekzos juga cukup segar dan perlahan – hampir tidak kedengaran. Sebaik sahaja kita menarik pendikit sehingga kelajuan melebihi 120km/j, barulah Xciting ini menghasilkan bunyi yang semakin nyaring dan kuat.

Dengan sistem pancitan bahan api dan kuasa sekuat 26.5kW pada 7,500rpm, kita mudah meninggalkan kenderaan lain sewaktu berada di lampu isyarat. Kelajuan mesin sekarang ini amat diperlukan agar kita dapat melarikan diri daripada kesibukan kota. Kuasa torknya pula 37Nm pada 6,000rpm yang kita rasai dengan mudah ketika bermain dalam kelajuan 80-120km/j. Tiada rasa enjutan, kita pulas pendikit… Xciting meluncur hebat.

Prestasi mesin yang menggunakan sistem talisawat CVT ini memang mengagumkan apabila kita berada di lebuhraya – hampir menyamai jentera yang menggunakan pacuan akhir jenis rantai. Meter digital Xciting berjaya mencatatkan kelajuan maksimum iaitu sekitar 166km/j (berseorang) dan 145km/j ketika bersama pembonceng.

Dengan tubuh badan yang besar, mesin ini tidak bergoyang ketika menunggang dalam kelajuan tinggi dan juga apabila dipintas oleh kenderaan yang lebih besar. Apa yang mengganggu ialah di bahagian hadapan yang bergoyang sedikit ketika meluncur dalam kelajuan tinggi terutamanya ketika di jalanan berselekoh sama ada menunggang berseorangan mahu pun bersama pembonceng.

Sampai sahaja di stesen petrol, Xciting ini sekali lagi menunjukkan keprihatinannya kepada kepuasan penunggang. Jika menggunakan kad, penunggang langsung tidak perlu turun kerana tempat mengisi petrol hanya berada di bahagian hadapan – mudah! Dengan adanya ruang barang di bahagian sisi hadapan, bolehlah kita menyimpan barangan bersaiz sederhana dan turut disediakan ialah tempat menyangkut barang.

Apabila menunggang di dalam bandaraya yang sesak terutamanya di hari minggu, kita harus banyak bersabar kerana akan berdepan dengan berbagai ragam manusia. Ada yang menukar laluan dan memasuki simpang sesuka hati, ada juga yang terburu-buru dan ada juga yang terlalu bersantai. Jika kita leka, tidak mustahil boleh berlakunya kemalangan. Penunggang motosikal perlu sentiasa bersedia, peka dan pantas berfikir dalam semua keadaan – barulah ‘terer’!

Gabungan fork hadapan jenis teleskopik dan saspensi belakang jenis lengan ayun banyak membantu kita mengendalikan Xciting ini dengan mudah walaupun dalam kelajuan rendah. Dengan berat 189kg, kita mungkin rasa Xciting ini agak susah untuk diberhentikan di jalan-jalan berbukit – anda silap! Selepas 40 tahun memberikan produk-produk kepada pelanggan, pengalaman mereka jelas sudah cukup matang. Skuter maksi ini dilengkapi dengan brek parkir yang terletak di sisi hadapan sebelah kanan. Tolak tuas itu jika ingin memakir atau menstabilkannya ketika kita ingin berhenti.

Kelebihan skuter ini terserlah ketika menunggangnya di dalam hujan gerimis kerana rekabentuk hadapannya ‘menolak’ air jauh daripada penunggang manakala kaki kita yang tersorok di sebalik fairing yang besar itu mengelakkan seluar dan kasut kita daripada basah. Benar… itu yang berlaku! Tetapi hanya jika kita berhadapan dengan hujan gerimis dan tidak terlalu lebat. Kalau lebat…. basah jugalah.

Tayar hadapan bersaiz 120/70-15 dan belakang 150/70-14 memang cukup besar untuk menampung saiz skuter ini dan berjaya menggigit permukaan jalan dengan kemas tidak kira kering atau basah. Untuk menawarkan kesan brek dengan baik, Xciting dilengkapkan dengan brek hadapan dan belakang jenis cakera.

Ia memang cukup praktikal untuk pelbagai tujuan. Sesuai untuk mengembara, ke tempat kerja dan juga untuk melaram. Dengan tangki sebesar 12 liter, Xciting boleh membawa kita menjelajah lebih daripada 200 kilometer. Xciting boleh dimiliki pada harga asas RM26,888 dengan tiga warna pilihan iaitu Kuning Cerah, Putih Matt dan Coklat Deep. Kunjungi cawangan pengedar Kymco di lokasi berhampiran anda untuk melihat skuter ini dengan lebih dekat. RR

Isu Pada

April 2014

Spesifikasi

Enjin4 lejang OHC, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair
Isipadu399cc
Gerek & Lejang
Nisbah Mampatan
Kuasa Maksimum26.5Kw pada 7,000rpm
Tork Maksimum37Nm pada 6,000rpm
Tinggi Pelana805mm
Isi Tangki12 liter
Berat189kg
PengeluarNippon Motor (M) Sdn Bhd

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.