CFMOTO 650GT Miliki Identiti Yang Mengagumkan
Suatu ketika dulu, motosikal keluaran China ternyata mendapat permintaan yang cukup tinggi dek kerana harganya yang rendah dan mampu milik. Selepas itu, kualiti pembuatan produk dari negara tersebut mula dipertikai dan diragui. Antara masalah yang menghantui para pemilik motosikal China ketika itu ialah tidak tahan lama, mudah pecah dan ketiadaan sokongan alat ganti.
Tahun demi tahun, beberapa syarikat dari negara itu mula melahirkan model-model baru yang mengagumkan. Ternyata mereka semakin mahir dan teliti khususnya dalam bidang kejuruteraan. Ada di antaranya sudah mampu untuk menandingi produk-produk keluaran negara Barat. Antara syarikat yang terus mendapat kepercayaan para pencinta motosikal di seluruh dunia ialah Benelli QJ yang dimiliki oleh Qianjiang – mereka adalah di antara pelopor pengeluar motosikal dari China yang sentiasa berusaha untuk memberikan produk-produk yang berkualiti tinggi.
Benelli QJ adalah satu nama besar tetapi ini tidak bermakna syarikat yang lebih kecil tidak melihat ke aras yang sama. Itulah pegangan dan usaha hebat CFMoto menerusi modelmodel yang sudah mencipta nama di serata dunia. CFMoto diasaskan pada tahun 1989 oleh seorang usahawan yang berusia 24 tahun bernama Lai Guogui. Pada tahun 2007, dia membuka sebuah kilang di HangZhou sebesar 150,000m² yang terletak 200 kilometer dari Shanghai. Kilang ini mempunyai 1,500 orang pekerja dan 240 daripadanya memiliki kelayakan dalam bidang kejuruteraan yang amat penting dalam bahagian R&D.
Dengan kapasiti pekerja dan teknologi yang dimiliki, CFMoto memperkukuhkan kedudukannya dengan pengeluaran motosikal, skuter dan ATV. Pada tahun 2009, syarikat ini telah mengeluarkan enjin sendiri berkapasiti 650cc kembarparallel untuk dipakai pada beberapa model berbeza. Jentera versi naked, 650NK merupakan model pertama yang diperkenalkan iaitu pada tahun 2011 diikuti 650TK Bagger pada 2014 dan 650MT (Kembara) tiga tahun selepas itu yang berjaya menembusi pasaran dunia.
Kini tibalah masanya CFMoto menampilkan 650GT, model yang menggunakan kerangka berlian dari tiub – sama seperti dua lagi saudaranya. Model ini juga didatangkan dengan enjin sama 650cc kembar-parallel yang telah terbukti berprestasi tinggi.
Ketika dilancarkan di pameran EICMA tahun lalu, CFMoto mendapat pelbagai riaksi terhadap model-model yang telah berada di pasaran dan salah satu daripadanya ialah 650MT Adventure. Model ini berfairing penuh seperti 650TK tetapi kini menawarkan cermin hadapan boleh laras, pelana lebih rendah berbanding 650MT dan sistem saspensi yang ditala semula.
Untuk model GT, ia menggunakan fork teleskopik Yuan bersaiz 43mm yang boleh dilaras manakala penyerapan di belakang pula dimantapkan oleh penyerap hentak mono yang berfungsi cukup cemerlang. Pergerakan dikawal oleh tayar Metzeler RoadTec 01 bersaiz 120/70ZR 17 (depan) dan 160/60ZR 17 di belakang yang saya memang puji daya cengkamannya. Rekaan ruang hadapan yang lengkap dengan lampu LED moden memang cukup menarik. Ianya adalah hasil rekaan dan ciptaan Kiska Design yang beroperasi di Austria. Model ini juga dilengkapkan dengan panel meter TFT yang mempunyai warna latar berbeza (siang dan malam). Model ini juga dilengkapi dengan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Touring dan Rain.
Peluang untuk menguji model ini hadir ketika saya membuat lawatan ke pengimpot CFMoto di Australia iaitu Mojo Motorcycles yang berpengkalan di Melbourne. Apa yang lebih membanggakan tentulah dipilih menjadi wartawan pertama yang berpeluang untuk menunggang jentera baru ini. Australia juga merupakan negara eksport penting buat CFMoto. Bagi saya pula, kenangan menunggang model jalanan 650NK pada tahun 2002 lalu membawa keinginan untuk ke kilangnya di Hangzhou agar dapat melihat sendiri progress yang dicapai oleh syarikat ini terutamanya dari segi platform pembinaan enjin silinder-kembar.
CFMoto 650MT merupakan model pertama yang memenuhi piawaian Euro 4 dan begitu juga dengan model baru ini, 650GT yang dipertingkatkan dengan penggunaan sistem ABS. Apa yang menarik ialah harganya yang cukup mampu milik. Mojo menyasarkan penjualan model ini sebagai jentera Down Under untuk harga asas AUS$8,490 termasuk 10% cukai, cas penghantaran, duti stem dan pendaftaran selama 12 bulan. Dengan pembayaran tersebut, pemilik GT berhak mendapat waranti selama dua tahun tanpa had batuan. Walaupun begitu, harga itu tidak termasuk kotak barang sisi yang bersaiz 32 liter. Itu kena beli asinglah! Persoalan paling kerap dibincangkan. Adakah tahap kualiti akan terjejas apabila sebuah jentera kembara ditawarkan pada harga yang murah?
Saya mencari jawapan dengan menunggang di Victorian Goldfields yang terletak di barat daya Melbourne. Ia adalah satu pilihan jalan luar bandar yang cukup tenang, seronok dan cukup berbaloi. Selain pemandangan alamnya yang cantik, laluan ini amat menenangkan hati lebih-lebih lagi apabila melihat pembangunannya – era Art Deco.
Pengembaraan sejauh 502 kilometer di bawah cuaca panas (34oC) tentunya memberi keresahan kerana ia benar-benar cukup panas. GT ini menawarkan kadar perlindungan mantap untuk 650GT kerana telah dilengkapkan dengan cermin hadapan boleh laras – kena gunakan tangan. Posisi menunggangnya selesa, banyak ruang pergerakan walaupun pelananya agak rendah. Saya dapat melihat keadaan di belakang dengan mudah kerana cermin sisinya diletakkan di posisi yang sempurna. Walaupun menunggang seharian, saya tidak berasa sakit pinggang atau lenguh di sana sini dan tahniah buat CFMoto kerana merekacipta pelana yang empuk.
Selepas menunggang melalui Ballarat, saya membuat keputusan untuk menguji kelincahan jentera ini di jalan-jalan berliku dan cantik untuk menuju ke beberapa buah bandar kecil di Victoria seperti Daylesford dan Castlemaine, Maldon dan Maryborough. Selepas puas dengan jalan-jalan tersebut, saya menggunakan lebuhraya Calder untuk kembali ke Melbourne.
Model ini masih menggunakan enjin sama (83mm x 60mm) bersesaran 649cc DOHC kembar parallel seperti mana yang digunakan pada model 650NK dan 650MT. Ia menawarkan hantaran kuasa maksimum 70bhp/52kW pada 7,000rpm dan talaan enjin baru ini dirasakan lebih lancar dan sedap untuk diperah. Dengan penggunaan sistem counterbalancer untuk pacuan-gear, jentera ini tidak mempunyai sebarang gegaran dalam setiap putaran enjin.
Bahagian tapak kaki juga tidak ada sebarang gegaran yang selalunya kita akan rasa jika menunggang lama. Seperti yang saya katakan, 650GT ini memiliki pakej menarik iaitu tidak meletihkan, selesa untuk memecut dan mempunyai suara ekzos yang cukup merdu.
Untuk menepati piawaian Euro 4, CFMoto telah menukar pakej suntikan bahan apinya kepada ECU Bosch untuk dipadankan dengan badan pendikit UAES dan masih mengekalkan penggunaan injector tunggal di setiap silinder. Selain dapat menjimatkan penggunaan bahan api (amat penting untuk jentera pengembaraan), pakej serba baru ini menawarkan kuasa pecutan menjadi lebih baik. Saya dapat melakukan perjalanan sejauh 355 kilometer dengan isian penuh tangki 19 liter atau 5.33 liter untuk 100 kilometer. Model ini juga mempunyai lampu amaran yang akan menyala apabila kadar bahan api berkurangan – jika itu berlaku, kita masih mempunyai kira-kira 30 kilometer perjalanan lagi.
Ketika berada di laluan luar bandar, saya dapat melihat banyak bangunan cantik yang dibina pada era Victorian dan antara yang paling hebat ialah stesen keretapinya yang dibina pada tahun 1892 (telah dipulihkan sepenuhnya). Ketika Mark Twain melakukan pengembaraan di sini pada 1895 lalu, beliau telah menggambarkan Maryborough sebagai “Sebuah stesen keretapi yang bersambung dengan bandarnya.” Betul.... ia tepat sekali dan kini siap bersambung pula dengan McDonalds.
Terdapat tiga mod tunggangan yang boleh dinikmati dengan GT ini. Mod Rain menjadikan hantaran kuasa cukup lembut dan ianya amat berguna apabila kita sedang menunggang di permukaan yang basah dan licin. Perjalanan juga lebih meyakinkan dengan adanya sistem ABS cuma apa yang agak mengecewakan ialah kurangnya perbezaan dalam konteks penghantaran kuasa di antara mod Sport dan mod Touring. Jujurnya, 650GT memiliki kuasa dan prestasi yang fleksibel dalam mana-mana mod pilihan kita.
Tekan sahaja suis penghidup, enjinnya berputar dengan galak sekali manakala seperti yang dikatakan tadi, bunyi sistem ekzosnya memang cukup menawan hati. Saya merentap kuasanya dari 2,000rpm tanpa berasa sebarang gangguan atau sentapan pada sistem transmisi dan apabila mencecah 3,000rpm, hamburan kuasanya terus meningkat dengan mantap sehingga mencecah tahap maksimum 10,500rpm. Dengan kadar pecutan yang cepat untuk kita fahami, jentera ini mudah dikawal dan saya katakan ia memang user-friendly.
Sistem transmisi enam kelajuan cukup lancar dan ia datang dari klac jenis basah yang dibangunkan oleh FCC dari Jepun. Dengan klac yang lembut dan proses kemasukan gear cukup lancar, setiap pergerakan di laluan berliku dengan pantas dan meyakinkan. Tangan kita juga tidak akan kejang mengawal klac setiap kali berdepan dengan kesesakan lalulintas. Dengan sudut putaran yang luas dan keseimbangan tubuh badan jentera ini walaupun seberat 226kg, membuat pusingan ‘U’ atau mengendalikannya di ruang yang sempit tidak langsung merisaukan. CFMoto 650GT ini adalah pilihan sesuai buat para penunggang baru termasuklah rider wanita.
Itu cerita mengawalnya ketika berkelajuan rendah. Bagaimana prestasi GT ini bila ditunggang laju? Jawapannya ia memang sangat menyeronokkan walaupun 13kg lebih berat berbanding 650MT dan 23kg lebih daripada 650NK. Itulah kemantapan model baru ini… ia dapat dipacu dengan selesa pada kelajuan 120km/j pada putaran 5,900rpm dan apabila mencecah kepada 160km/j, jentera ini tetap sedap dan selesa sekali. Tiada rasa bergoyang pada bar hendal walaupun di sisi kiri dan kanannya dipasang kotak barang yang penuh muatan. Cermin hadapan juga mampu menahan saya yang setinggi 1.8m ini daripada ditampar angin kuat.
Walaupun mampu dipecut ke tahap maksimum iaitu 200km/j, enjin dirasakan mula mengerang dan tertekan. Model 650GT ini direka untuk mengembara, jadi tidak perlulah untuk kita memecut sepantas itu. Cukup sekadar sederhana! Apa yang kita mahukan ialah keselesaan, kan? Menerusi rekabentuknya ciptaan Kiska, 650GT ini cukup selesa dan saya sendiri langsung tidak berasa letih walaupun telah menungganag lebih daripada 500 kilometer bersamanya.
Kedudukan penunggang dan pembonceng direka cukup bijak. Kaki kedua-dua penunggang dan pembonceng pastinya tidak akan lenguh kerana ia cukup luas. Saiz panjang bar hendal juga banyak membantu menjadikan posisi menunggang cukup natural – tidak membongkok sama sekali. Cuma suis hon terlalu dekat dengan suis-suia lain di bar hendal yang kadang kalanya agak menjengkelkan. Saya sukakan tongkat sisinya yang cukup mudah untuk dinaikkan/diturunkan. Kita tidak perlu bersusah payah mencarinya setiap kali berhenti untuk parkir.
Dari segi pengendalian, saya sukakan sistem saspensi yang dipadankan - ia menyerap hentakan dengan baik ketika menyusuri jalan-jalan berselekoh yang ada ketikanya tidak berada dalam keadaan sempurna. Untuk memberhentikan atau memperlahankan kelajuan CFMoto ini dengan pantas, ia didatangkan dengan sistem brek J.Juan. Cakera 300mm di depan dan 240mm di belakang yang terbukti cukup efektif. Itulah yang kita inginkan! Tayar Metzeler berprestasi tinggi + ECU Bosch + sistem ABS + brek J.Juan adalah pakej menarik yang pastinya disukai oleh semua pelanggan.
Dengan kualiti pembinaan yang tinggi dan kekuatan identiti hasil ciptaan Kiska Design, CFMoto 650GT kini mampu berlari sama pantas, sama hebat dengan jenama lain di seluruh dunia. Menurut KTNS Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi CFMoto di Malaysia, model 650GT ini akan memasuki pasaran negara pada tahun 2020. Tunggu ya... RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Stephen Piper
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 8 injap, DOHC, kembar-parallel, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 649.30 cc |
Gerek x Lejang | 83 x 60 mm |
Kuasa maksimum | 70hp/52kW pada 8,750 rpm |
Tork maksimum | 62Nm pada 7,000 rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
Tinggi pelana | 795 mm |
Isi Tangki | 19 liter |
Berat | 226 kg (tanpa kotak sisi) |
Pengedar | CFMOTO Power Co. Ltd |
Popular