Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 4 Jun 2022

Yamaha 135LC Fi - Tampak lebih Garang, Lebih Berkuasa

Generasi pertama Yamaha 135LC mula diperkenalkan di negara kita sekitar tahun 2006 iaitu selepas perkenalan model tersebut di pasaran Thailand dan Indonesia pada tahun 2005. Jentera tersebut telah direka oleh Yamaha Motor Company di Jepun dan ditawarkan untuk pasaran ASEAN.

Selain Malaysia yang dikenali sebagai 135LC, model ini juga diberikan nama-nama yang berlainan mengikut negara. Untuk pasaran Thailand, jentera tersebut dikenali sebagai Yamaha Spark 135. Manakala bagi negara Indonesia, Vietnam dan Filipina, masing-masing digelar dengan nama Yamaha Jupiter MX, Yamaha Sniper 135 dan Yamaha Exciter 135.

Kemunculan model tersebut buat pertama kali di Malaysia pada awalnya tidaklah sebegitu popular seperti yang kita lihat sekarang. Namun lama kelamaan selepas pelancarannya, jentera itu mula mendapat tempat di hati warga negara terutama buat para pecinta dua roda. Yamaha 135LC merupakan satu fenomena dengan permintaan yang cukup tinggi hingga ke hari ini walaupun HLYM telah menawarkan dua model moped cukup berkuasa iaitu Y15ZR dan Y16ZR. Jentera tersebut sememangnya terus diminati tidak kira golongan mahupun peringkat umur.

Selama 16 tahun sudah berada di pasaran negara, Boleh kami katakan Yamaha 135LC kini sudah mempunyai lapan generasi termasukan versi yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama oleh para pecinta dua roda terutama penggemar LC iaitu Yamaha 135LC Fi. Apa yang membezakan 135LC Fi 2022 dan 135LC yang telah berada di pasaran sebelum-sebelum ini?

Perbezaan yang kita dapat lihat dari mata kasar sudah tentu la rupabentuk keseluruhannya. Apa yang lebih menarik lagi, 135LC versi terbaru ini tidak lagi menggunakan sistem bahan api jenis karburetor, ia mengunakan sistem suntikan bahan api atau dalam bahasa orang putih Fuel Injection (FI).

Yamaha 135LC Fi telah diperkenalkan pada bulan Mac 2022 oleh HLYM. Menurut pihak Hong Leong Yamaha Motor, model generasi terbaru ini dibina eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja. Jentera ini didatangkan dalam dua varian iaitu versi Standard dan Special Edition (SE).

Perbezaan di antara versi Standard dan SE adalah dari segi warna beserta beberapa aksesori tambahan. Untuk versi Standard terdapat tiga pilihan warna iaitu Ruby Red, Midnight Star dan Crystal Cyan. Manakala bagi versi SE hadir dalam satu warna sahaja iaitu Desert Storm. Selain warna, varian SE juga diberikan Bakul Premium Yamaha 2-dalam-1 yang direka secara eksklusif untuk penyimpanan tambahan. Bakul ini juga turut terdapat ruangan kecil yang boleh dibuka dan tutup untuk menyimpan barangan peribadi serta soket pengecas USB bertutup. Untuk unit pandu uji, kami diberikan 135LC Fi versi Standard.

Yamaha 135LC Fi ini merupakan generasi ke-8 dengan pembaharuan serta perubahan yang drastik. Orang kata jentera ini adalah kacukan daripada tiga model kapcai Yamaha yang cukup popular iaitu Y15ZR, Y16ZR dan 125ZR. Jika kita lihat, rekaan kepala jentera ini sama seperti Y15ZR V2 yang memiliki rekabentuk lampu utama jenis LED yang agresif. Paparan meter LCD dan lampu belakang LED pula seakan model Y16ZR. Manakala sport rim 6 batangnya mempunyai rekaan yang sama seperti jentera dua lejang Yamaha 125ZR. Walaupun rupabentuknya berlainan daripada model-model sebelum ini, 135LC Fi masih mengekalkan identiti sebuah jentera LC menerusi bahagian fairing hadapan dan panel sisinya.

Sebaik berada di atasnya, kunci utama mula diputar. Mata kami terus tertumpu pada paparan meternya yang serba baru jenis digital. Segala informasi yang terpapar pada meter itu disusun dengan kemas dan mudah dilihat tidak kira cuaca, siang mahupun malam. Pelana yang setinggi 775mm bukan sahaja mudah dipanjat, malah dirasa cukup sedap dan empuk sekali. Posisi menunggang amat selesa, natural dan dirasa sama seperti model-modelnya sebelum ini. Tempat kunci pelana sebelum ini terletak di bahagian belakang tetapi untuk model baru ini, ia sudah digabungkan/diletakkan di bahagian kunci utama seperti unit-unit moped baru Yamaha yang lain.

Sebelum ini kami sudah pun menguji jentera Yamaha 135LC Fi di litar Sepang pada hari pelancarannya. Walaupun sekejap, kami dapat menikmati prestasi yang ditawarkan pada jentera itu. Pada kali ini kami diberi peluang sekali lagi untuk menguji jentara ini dengan lebih lama lagi. Dari segi kebolehannya kami amat berpuas hati pada mesin tersebut. Prestasi enjinnya memang cukup mantap sekali. Model ini dijana dengan enjin bersesaran 135cc, 4 lejang, silinder tunggal, SOHC dan sistem penyejuk cecair.

Apa yang paling best sekali sudah tentu la sistem suntikan bahan api EU4 serba barunya yang lebih efisyen. Sistem pembakaran dapat dilakukan dengan baik sehingga menawarkan tindak balas di antara pendikit dan enjin menjadi lebih pantas. Pada masa yang sama, penggunaan petrol pada jentera ini juga amat menjimatkan. Perjalanan dapat dilakukan sekitar 150 kilometer dengan isian penuh tangki bahan api yang turut dipertingkatkan menjadi 4.6 liter (model lama 4.0 liter).

Yamaha 135LC Fi hadir dengan sistem transmisi 4 kelajuan dengan klac jenis automatik yang baik. Proses penukaran gear dapat dilakukan dengan penuh yakin tanpa terasa seperti tersangkut-sangkut. Perjalanan dapat dibuat dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Untuk menguji tahap kelajuan jentera ini kami memacunya di kawasan lebuhraya. Yamaha 135LC Fi berkuasa 9.3kW (12.5hp) pada 8,000rpm dan tork 12.2Nm pada 6,000rpm. Dalam kelajuan yang tinggi iaitu pada kedudukan gear keempat kami dapat capai kelajuan sekitar 125 km/j. Tahap kelajuan maksimum juga bergantung kepada gaya tunggangan dan berat badan penunggang. Walaupun berada dalam kelajuan yang tinggi, kami langsung tidak terasa apa-apa gegaran pada jentera ini.

Yamaha 135LC baru disempurnakan dengan kerangka jenis Backbone yang lebih ringan dan kukuh. Ia direka sepenuhnya untuk model generasi baru ini agar lebih dinamik dan ergonomik untuk tunggangan harian. Kita dapat mengawal jentera ini dengan mudah sekali walaupun terpaksa menarik jentera ini ke kiri dan ke kanan ketika berada di kawasan tengah bandar. Rekaan ‘Cowling’ yang baru meningkatkan lagi tahap aerodinamik pada Yamaha 135LC Fi. Ianya dapat mengurangkan tekanan angin di bahagian lutut ketika membawa secara santai mahupun memecut untuk tunggangan yang selesa dan lancar.

Apabila berada di jalan-jalan berselekoh, kestabilan pada 135LC Fi meyakinkan kami untuk memiringkan jentera ini. Dengan adanya penunjuk gear, dapatlah kita menggunakan gear yang sesuai untuk mengambil mana-mana selekoh. Model ini menggunakan tayar-tayar bersaiz 70/90 – 17M/C (38P) di bahagian hadapan dan 80/90 – 17M/C (50P) belakang yang menjadikan tunggang lebih menyeronokkan kerana menggigit permukaan jalan dengan cemerlang. Pengambilan selekoh yang tepat juga turut disumbangkan oleh sistem saspensi hadapan jenis fork teleskopik dan belakang jenis penyerap hentak tunggal yang telah bekerja keras untuk menyerap segala hentakan dengan baik.

Kali terakhir Yamaha menawarkan model LC menggunakan brek cakera belakang adalah pada model generasi ketiga varian Extreme Spirit yang menggunakan sistem klac jenis manual dan bertransmisi 5 kelajuan. Untuk generasi yang baru ini (V8), Yamaha telah melengkapkan ciri-ciri keselamatan dengan menawarkan brek-brek jenis cakera di bahagian hadapan dan belakang. Penggunaan brek-brek cakera di depan dan belakang sememangnya amat dialu-alukan untuk memberhentikan jentera dengan lebih selamat dan tepat. Tidak kira ketika memecut dengan laju atau untuk mengambil selekoh, kami dapat memperlahankan mesin ini dengan tepat.

Secara keseluruhannya, motosikal merupakan pilihan yang bijak buat mereka yang ingin berada di tengah-tengah kota atau luar bandar sebagai kenderaan kegunaan harian. Ini kerana, jentera dua roda dapat memudahkan pergerakan daripada terlibat dengan kesesakan lalu lintas yang melampau. Bagi mereka yang ingin mencari sebuah jentera jalanan yang berkuasa, selesa, mudah dan jimat minyak, Yamaha 135LC Fi antara salah satu pilihannya. Model ini ditawarkan pada harga yang disyorkan RM7,798 (standard) dan RM8,198 (SE) dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdaluhu). RR

Isu Pada

Jun 2022

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, 4 lejang, SOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu135cc
Kuasa maksimum9.3kW (12.5hp) pada 8,000rpm
Tork maksimum12.2Nm pada 6,000rpm
Tayar70/90-17M/C (depan) & 80/90-17M/C (belakang)
Saspensifork teleskopik (depan) & penyerap hentak tunggal (belakang)
Brekcakera tunggal (depan & belakang)
P x L x T1,945mm x 690mm x 1,095mm
Isi tangki4.6 liter
PengeluarHong Leong Yamaha Motor

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Model Baru

Triumph Trident 660 Baru Diperkenalkan. Harga asas RM46,900

Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia telah melancarkan model terbaru Trident 660 yang akan tersedia dalam pasaran negara tidak lama lagi.

Model Baru

Yamaha Europe Perkenalkan Tracer 9, Tracer 9 GT & Tracer 9 GT+ 2025

Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan rangkaian Sport Touring mereka bagi tahun 2025 iaitu Yamaha Tracer 9, Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+ Y-AMT.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.