Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Mac 2014

Kawasaki Ninja 1000ABS

Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) dengan bangganya melancarkan dua model terbaru sekaligus iaitu model Ninja 1000 dan Z1000 di satu majlis pelancaran yang gilang gemilang di Pulau Langkawi, Kedah pada 16 dan 17 Januari lalu. Tahniah atas kejayaan pelancaran dan terima kasih kepada pihak Kawasaki Malaysia kerana sudi menjemput RR sekali lagi.

Pada hari pertama diadakan majlis pelancaran dan sesi taklimat keselamatan untuk para media dan jurugambar. Pandu uji kali ini lebih menumpukan kepada model terbaru Ninja 1000 kerana wakil RR sudahpun menunggang uji Z1000 yang terbaru ini di Sepanyol pada bulan November lalu. (Anda boleh dapatkan pandu ujinya di dalam keluaran Januari 2014 lalu.) Para media dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B untuk memudahkan sessi bergambar dan keselamatan para peserta.

“Tujuan kami di KMSB melancarkan kedua-dua model ini di Langkawi ialah agar kehebatan kedua-dua model yang dilancarkan ini dapat kita rasai di semua jenis perjalanan seterusnya membuktikan kemampuan sebenarnya. Perjalanan yang telah kami pilih merangkumi pendakian kawasan tinggi, jalan berselekoh, lebuhraya dan di dalam kesibukan bandar. Tahun ini juga amat istimewa buat Kawasaki kerana 2014 merupakan ulang tahun kami yang ke 25 dan sudah tentu program-program hebat akan diadakan khusus untuk para peminat dan penyokong Kawasaki,” kata En. Jeffrey Lim, di majlis pelancaran MPI (Malaysia Press Introduction) yang turut dimeriahkan dengan kehadiran En. Ahmad Faez (Pengarah KMSB) dan En. Satoru Akitsu (Bahagian Teknikal dan Kawalan Kilang KMSB).

Pada hari kedua, kesemua peserta bersemangat untuk memulakan sesi pandu uji. Satu kumpulan bermula dengan menguji Ninja1000 manakala kumpulan seterusnya menunggang Z1000, setiap kumpulan dengan lapan orang penunggang. Sebaik sahaja ‘memanjat’ ke atas model Ninja 1000 ini, terus sahaja dirasakan rekaan keseluruhan model ini memang dicipta untuk sesiapa sahaja yang menggemari motosikal jenis touring.

Jarak antara bar hendal dan pelana sesuai dengan kedudukan tempat pemijaknya yang tepat menjadikan posisi tunggangannya bagus dan selesa untuk perjalanan jauh mahu pun dekat. Kita juga mudah mengendalikan mesin ini dalam semua kelajuan… best! Kami meninggalkan hotel dan menggunakan jalan persisiran pantai melalui Kampung Padang Mat Sirat. Terima kasih buat pegawai polis dan para marshal yang bertugas menjadikan laluan kami pada pagi itu cukup selamat.

Dari segi rekabentuk model ini, ianya tidak banyak berbeza dengan model yang terdahulu iaitu model Z1000SX. Kebanyakan ciri-ciri fizikalnya seperti penghadang angin hadapan, lampu utama dan rekaan panel sisi juga sama. Walaupun begitu, rekaan ekzosnya nyata berbeza hanya dengan sekali pandang. Ekzos model terbaru ini lebih kincup dan lebih dinamik rekaannya malah bunyi yang dihasilkan juga tidak membingitkan telinga.

Ninja 1000 juga dilengkapkan dengan kotak barangan sisi yang cantik dan amat berguna kepada penunggang yang suka menjelajah mahupun untuk mengisi barangan. Ia bersaiz 28 liter (boleh memuatkan topi keledar penuh muka) dengan berat maksimum setiap satu kotak sekitar lima kilogram. Kalau nak borong barangan di Langkawi ni memang no hal punya. Namun, kotak barangan ini adalah optional kerana Kawasaki juga memperkenalkan model Ninja 1000 yang tidak mempunyai kotak sisi.

Enjin empat lejang bersesaran 1,043cc dengan sistem penyejuk cecair, empat silinder sebaris ini turut dilengkapi dengan sistem kotak penapis angin dan badan pendikit yang baru, memberikan hantaran kuasa yang segar dan amat lancar. Ia menghamburkan kuasa maksimum setinggi 142 PS pada putaran 10,000rpm memudahkan kita memecut dalam semua kedudukan gear tanpa sebarang gangguan mahu pun sentapan. Turunkan kelajuan ke 30km/j dalam gear keenam kemudian tarik pendikit… Nah! Ninja 1000 ini ‘terbang’ bagaikan helang-helang di pulau ini.

Sebelum sampai di hentian pertama, kami sudah dapat melihat kebiruan air laut di sini. Teringin juga nak terjun berenang tetapi masing-masing pakai racing suit yang berat lebih daripada tujuh kilo… takut tenggelam pula. Jalan berselekoh mudah ditangani dengan menggunakan Ninja 1000. Walaupun dilengkapi dengan kotak barangan di sisi kiri dan kanan, kita tidak terasa sebarang bebanan malah kelincahannya tetap sama dengan model yang tidak dilengkapi dengan kotak barang itu.

Kami melintasi kawasan sawah padi menghijau dan lambaian kanak-kanak di tepi jalan mengingatkan sejenak dengan kisah lagenda Mahsuri yang menimpa pulau ini suatu ketika dahulu. Bagaimana seorang wanita baik dituduh berlaku curang kemudiannya dihukum tanpa dibicarakan seadil-adilnya dan bagaimana masyarakat setempat menjalani kehidupan seharian selepas mendapat sumpahan wanita teraniaya ini. Info-info ini boleh kita dapati jika berkunjung ke Makam Mahsuri yang terletak di Kampung Mawat, 12 km dari bandar Kuah.

Terdapat dua jenis mod kuasa (power mode) yang boleh kita pilih iaitu Full atau Low. Bagi mereka yang berpengalaman, pastinya mod penuh adalah pilihan utama tetapi nikmat menunggang hanya terjejas sedikit sahaja apabila kita bertukar kepada mod rendah yang memberikan kuasa 70% daripada kuasa sebenar. Ini pun sudah cukup hebat tambahan pula ketika menunggang di jalan-jalan luar bandar.

En. Jeffrey Lim, Pengurus Besar KMSB menguji kehebatan mesin Z1000 di Pulau Langkawi.
En. Jeffrey Lim, Pengurus Besar KMSB menguji kehebatan mesin Z1000 di Pulau Langkawi.

Ciri luaran enjin Ninja 1000 adalah sama dengan Z1000 namun sedikit berbeza dari segi hantaran kuasanya. Kuasanya lebih mendatar dan lebih mudah dikendalikan ketika kita bersama motosikal di atas jalanraya namun, kuasanya bertambah garang jika kita mengajaknya untuk bermain di jalanan yang berselekoh. Jangan ingat motosikal jenis touring seperti ini tidak mampu beraksi seperti motosikal jenis ‘sports’, anda silap! Sistem ekzos 4-2-2 yang dilengkapi pada model ini memberikan tindakbalas terbaik pada semua peringkat pusingan RPM. Ianya turut dibantu dengan tindakan pendikit minyak yang begitu responsif.

Model ini dilengkapi KTRC (Kawasaki Traction Control) dengan tiga mod pilihan mengikut kesesuaian tunggangan dalam keadaan jalan raya yang tidak menentu. Ianya juga membantu para penunggang baru untuk mengendalikan mesin yang berkuasa tinggi. Kita boleh memilih mana-mana tahap yang diinginkan untuk disesuaikan dengan cara tunggangan dan keadaan jalan yang berselekoh seperti jalan di pulau Langkawi ini. Mod satu dan dua lebih digemari oleh penunggang berpengalaman kerana ia membenarkan sedikit golekan tayar belakang khususnya ketika membuat pecutan.

Mod ketiga pula mengawal putaran tayar dengan tepat agar keadaan tunggangan lebih selamat dengan menurunkan kadar nyalaan, penghantaran bahan api dan pergerakan udara. Penggunaan mod ini adalah lebih sesuai untuk kegunaan ketika meredah hujan atau jalan licin tetapi RR tidak sempat mengujinya kerana cuaca pada hari pandu uji itu amat baik sekali.

Motor dah sedap, saspensinya juga mantap memberikan tunggangan yang diharapkan! Para jurutera Kawasaki tidak mengabaikan sistem saspensi yang dimiliki oleh model ini. Sistem ini direka semula terutama sekali pada saspensi belakang. Kini penyerap hentak belakang diletakkan dengan mendatar berbanding reka letak yang terdahulu.

Ini memberikan lebih ruang untuk pergerakan lengan ayun dan memberikan lebih ‘rasa’ dan cengkaman pada bahagian belakang. Ianya turut dilengkapi dengan rebound damping untuk memudahkan penunggang melaras tahap kekerasan saspensi. Saspensi hadapan juga dilengkapi dengan fork jenis terbalik boleh laras 41mm.

Perjalanan dari Kelibang, Taman Sri Aman menuju ke Ayer Hangat memang cantik manakala selekoh-selekohnya juga mantap. Nasib baik kuasa membrek mesin hebat ini tidak mengecewakan langsung. Kini, Ninja 1000 dilengkapi sistem brek hadapan yang terbaru dari jenama Tokico dan cakera 300mm berkelopak jenis monoblock yang menjanjikan cengkaman optimum dalam semua keadaan. Kita hanya perlu menggunakan satu jari sahaja untuk menarik tuas brek hadapan dan serta-merta ia bertindak dengan cemerlang.

Untuk disesuaikan dengan konsep motosikal pengembaraan, sistem ABS turut dilengkapkan. Dengan adanya sistem ini, kita dapat membrek dengan keras walaupun di atas permukaan jalan yang licin tanpa ragu-ragu. Tayar tidak akan terkunci yang boleh menyebabkan berlakunya kegelinciran yang mungkin mengundang padah.

Dengan sistem pancitan bahan api yang menjimatkan, keindahan Pulau Langkawi ini mudah kami terokai dengan sebuah mesin yang mempunyai tangki sebesar 19 liter ini. Harga yang ditawarkan untuk sebuah mesin hebat ini ialah sekitar RM85,000.00 dan ianya ditawarkan dalam dua warna iaitu Hijau dan Kelabu. Hijau itu memang menawan… betul! RR

Isu Pada

Mac 2014

Spesifikasi

Enjin4 silinder sebaris, DOHC 16 injap, sistem penyejuk cecair
Isipadu1043cc
Gerek & Lejang77.0 x 56.0mm
Nisbah Mampatan11.8:1
Kuasa Maksimum104.5kW pada 10,000rpm
Tork Maksimum111Nm pada 7,300rpm
Tinggi Pelana820mm
Isi Tangki19 liter
Berat231kg
PengeluarKawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.