Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Februari 2014

MOMOS Regal Raptor Spyder 350 : Terus Bergaya!

Tiada yang lebih sempurna daripada bergaya di dalam bandar dan kota dengan menunggang sebuah mesin chopper yang mempunyai fork hadapan yang panjang siap lengkap dengan bahagian-bahagian berkrom yang berkilat dan berkilau. Sinaran yang terpancar daripada mesin ini ternyata menggamit setiap jiwa peminat motosikal untuk lebih ‘mengenalinya’.

Itulah keistimewaan yang ditawarkan oleh ‘senjata’ terbaru daripada Chear Global Sdn Bhd iaitu Momos Regal Raptor Spyder 350. Sememangnya mesin ini terus menjadi sebutan di kalangan para penunggang motosikal sejak dilancarkan pada bulan Oktober tahun lalu. Ketika itu, terdapat dua model yang diperkenalkan iaitu model yang sedang diuji ini, Spyder 350 dan Daytona. Walaupun kedua-dua model ini menggunakan enjin 320cc dari jenis yang sama, dibezakan cuma dengan rekabentuk iaitu model Daytona lebih cenderung kepada jenis sportster, manakala model Spyder ini lebih mirip kepada mesin-mesin chopper klasik.

Belum sempat menguji, kami diuji terlebih dahulu dengan sistem kunci utamanya. Kuncinya terletak di atas tangki tetapi ‘ditutup’ dengan tombol pemutar yang saiz dan bentuknya seperti pembuka gas memasak di rumah. Satu anak kunci digunakan untuk membenarkan tombol tadi berputar ke arah ‘on’. Selepas itu barulah kita dapat menghidupkan enjin dengan menggunakan suis.

Wah… bunyi yang terhasil menerusi sistem ekzos Spyder cukup segar dan senyap. Panel meternya yang terletak di atas tangki terlalu ringkas. Ia hanya menawarkan satu meter analog untuk bacaan kelajuan, penunjuk jarak, kelajuan dengan lima lampu penunjuk iaitu penunjuk isyarat membelok ke kanan dan ke kiri, gear neutral, suhu enjin dan lampu tinggi. Pengeluar patut melengkapkan motosikal ini sekurang-kurang dengan dua lagi info penting seperti bacaan rpm dan penunjuk tahap bahan api.

Angkat tongkat, masuk gear dan pulas pendikit. Sememangnya menunggang motosikal sebegini sering dikaitkan dengan pelakon dan penyanyi terkenal, Awie kerana hanya dialah antara selebriti yang benar-benar cinta dengan motosikal cruiser. Betul… saban tahun pasti akan ada sessi menunggang bersama Awie sempena beberapa program yang berkaitan dengan mesin-mesin cruiser contohnya KL Bike Week.

Balik kepada model ini. Mesin ini menggunakan enjin dua silinder dengan kuasa maksimum 17Kw (22.7hp) pada 8,000rpm dan tork 22Nm pada 6,500rpm yang dirasakan sudah cukup hebat buat sebuah motosikal bersaiz sedemikian. Kita dapat memecut dengan mudah bermula di gear ketiga hinggalah ke gear tertinggi dengan kelajuan maksimum sekitar 140-145km/j.

Menunggang laju dengan Spyder juga tidak membebankan. Panel meter hadapan juga berfungsi seperti fairing yang memberikan udara hadapan melalui motosikal dan penunggang dengan lancar sekali menjadikan bahu kita tidak sakit atau lenguh akibat tamparan angin dari hadapan itu. Kita bebas bergerak dengan semua kelajuan manakala bunyi dari sistem ekzos juga kini semakin garang! Rekaan bar hendal jenis lurus nampak lebih sporty dan menjanjikan tunggangan yang lebih selesa kepada pemiliknya.

Apabila berada di satu kawasan yang kurang kenderaan, hati ini berdetik untuk merasai kekuatan tork motosikal cruiser yang menggunakan gerek bersaiz 62mm dan lejang 53mm. Ternyata Spyder tidak mengecewakan! Dalam gear pertama, kita sudah mampu memecut sepantas 60km/j. Gear kedua 80km/j, kita pulas lagi dalam gear ketiga sehingga 120km/j dan lebih daripada 130km/j di gear keempat seterusnya di gear kelima dengan kelajuan maksimum 145km/j.

Tiada rasa sebarang gangguan/gegaran pada bahagian kaki dalam kelajuan ini cuma ada sedikit gegaran pada bahagian hendal tetapi ia bukanlah masalah besar. Tempat pemijaknya yang jauh ke hadapan memberikan kita keselesaan untuk satu-satu perjalanan jauh.

Memang banyak bahagian model ini yang dikromkan. Kita tengok dari sisi, enjin, sistem ekzos, pelindung kotak angin, pendikit, tuas gear dan rangka tempat bersandar… semuanya berkilat-kilat belaka. Patutlah ramai antara pemilik motosikal sebegini sering mengenakan cermin mata gelap… bersilau! Kalau tengok filem Terminator, sampai ke malam Arnold Schwarzenegger masih bergaya menunggang dengan bercermin mata gelap!

Dari lebuhraya yang lurus dan luas, kami memberi isyarat untuk menyusuri jalanan bandaran yang lebih mencabar. Cabaran utama ialah untuk mengendalikan sebuah motosikal bertapak roda sepanjang 1,850mm dan seberat 184 kg. Dalam kelajuan 15-20km/j – masih selesa, tiada sebarang masalah tetapi apabila kelajuan diturunkan, Spyder ini agak sukar untuk dikendalikan terutamanya di kawasan yang sempit. Kita memerlukan lebih masa untuk memparkir atau membuat pusingan ‘U’.

Sebaik sahaja Spyder ditinggalkan sendirian, beberapa peminat mula merapatkan diri sambil menyeluk-nyeluk poket. Ya, seperti yang dijangka, masing-masing mengeluarkan telefon pintar untuk mengambil gambar. Silakan… ia memang motor yang cantik, berkilau dan ranggi. Pendikit dipulas semula, menuju ke jalan berselekoh. Dengan casis dan saspensi yang mantap menjadikan setiap jenis selekoh dapat diratah dengan cemerlang sekali.

Nasib baik tempat meletak kakinya agak tinggi kalau tidak, ia mudah terseret di permukaan jalan apabila kita memasuki selekoh lebih dalam. Keseronokan berada di jalanan sebegini sedikit terganggu apabila tayar hadapan (90/90 21) dan belakang (160/80 16) tidak begitu mencengkam. Kami hanya dapat menikmatinya apabila suhu tayar sudah panas tetapi ia memakan masa yang agak lama.

Perasaan sedikit terubat apabila sistem brek hadapannya bersaiz 300mm bertindak dengan bagus sekali. Dalam apa jua kelajuan, penggunaan dua batang jari sudah mencukupi untuk memperlahankan Spyder ini dengan pantas. Dengan adanya cermin sisi yang besar, kita mudah melihat keadaan trafik di belakang.

Ini penting buat semua pengeluar motosikal untuk melengkapkan mesin-mesin mereka dengan cermin sisi yang bersaiz besar kerana memang sering kali berlaku penunggang motosikal memintas tanpa melihat kenderaan yang datang dari belakang. ‘Silap haribulan,’ disapunya kita dalam sekelip mata!

Nak dijadikan cerita, ada sebuah moped cuba menguji kelincahan mesin ini. Kepantasan moped itu di jalan berselekoh memang mengagumkan tetapi apabila melihat akan kelincahan mesin 350cc ini ‘mencilok’ di dalam bandar, dia bagaikan tidak percaya. Sampai sahaja di laluan lurus, kami ‘koyak’ pendikit… tinggalkannya jauh ke belakang.

Perjalanan sudah sejauh 200 km tetapi sayangnya kita tidak dapat mengagak tahap bahan api yang berbaki kerana ia tidak mempunyai meter penunjuk. Motor sudah selesa, jalan raya sudah cantik tetapi ketiadaan penunjuk bahan api menyebabkan kita agak was-was untuk meneruskan perjalanan. Di akhirnya sessi pandu uji, kami dapati tangki bersaiz 13.5 liter ini mampu membawa penunggangnya menyusuri perjalanan sejauh 250 kilometer.

Spyder juga cukup sesuai untuk tunggangan malam. Ia mempunyai lampu utama yang cukup terang dan panel meternya juga mudah untuk dilihat. Sememangnya pemilik motosikal cruiser atau easyrider sering menambah bilangan lampu di bahagian hadapan motosikal dengan tujuan untuk menjadikan mereka lebih mudah dilihat.

Memang ia satu langkah yang bijak, ramai di antara pengguna jalan raya yang masih tidak faham akan nisbah kelajuan dengan jarak sesebuah motosikal itu. Bagi mereka yang kurang faham, sudah tentu mereka sewenang-wenangnya akan keluar dari laluan tanpa memikirkan kita sedang memecut dalam kelajuan tinggi. Kalau ada banyak lampu tu… mungkin mereka lebih memberi perhatian.

Sememangnya Spyder ini amat sesuai untuk dimiliki kerana menawarkan bentuk yang ranggi di samping penjimatan bahan api yang boleh dipuji. Model baru ini ditawarkan dalam dua warna pilihan iaitu hitam dan putih dan dijual pada harga atas jalan RM17,901. RR

Isu Pada

Februari 2014

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 2 silinder, sistem sejukan cecair
Gerek & Lejang62mm x 53mm
Isipadu320cc
Nisbah Mampatan
Kuasa Maksimum17kW pada 8,000rpm
Tork Maksimum22Nm pada 6,500rpm
Tinggi Pelana
Isi Tangki13.5 liter
Berat184 kg
PengeluarChear Global Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Warta Roda

SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900

Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900.