KAWASAKI NINJA H2 SX SE Jentera Pengembaraan Super-Charged Pertama
Ini bukan motor... ini roket!” Begitulah perasaan kami ketika menunggangnya buat pertama kali empat tahun yang lalu. Betul tu! Tak akan kami lupa kenangan bersama Kawasaki Ninja H2 ketika ia mula-mula diperkenalkan dulu. Kali pertama ketika model superfast ini dilancarkan di pameran Intermot 2014 dan kemudiannya tentulah ketika menunggang sendiri di litar SIC serta di lebuhraya, sesungguhnya menunggang jentera tersebut amat mengujakan kerana ia telah benar-benar membuatkan kami amat menghargai erti pecutan dan teknologi enjin yang luar biasa. Amat mudah sekali jarum meternya bergerak dari kelajuan 100km/j mencecah 290km/j... kuasa yang dimilikinya memang menggerunkan!
Sejak dari itu, model H2 telah diperbaiki dari pelbagai sudut agar ia kurang menakutkan dan memberi peluang agar lebih ramai peminat motosikal dapat menikmatinya. Terima kasih buat Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd yang telah menyediakan sebuah model terbaru iaitu Kawasaki Ninja H2 SX SE yang sememangnya sebuah inovasi terkini yang lain daripada yang lain. Model kami uji ini disempurnakan dengan skima warna hijau hitam yang benar-benar menarik hati, terpukau dibuatnya!
Jentera ini adalah satu ciptaan yang menggabungkan kepantasan sebuah mesin hypersport yang kini dilengkapi dengan ciri-ciri pengembaraan sebuah jentera sport-tourer. Apapun, rekabentuknya tidak banyak berubah... masih mantap... masih menggiurkan... masih menggerunkan. Bahagian hadapan terus garang dengan rekaan lampu utama dan ruang udara yang merupakan identiti H2 yang digeruni para pesaingnya. Rekabentuk fairing sisi yang berjalur pula benar-benar mencerminkan kelajuan. Tulisan 'SUPERCHARGED' yang dikemaskan pada enjin H2 SX ini juga daya penarik utama. Kalau tak percaya, snap gambarnya berserta lampu utama dan kongsikan di FB, pasti ramai yang teruja.
Untuk model ini juga (SE), Kawasaki memperkenalkan LED Cornering Lights yang direka untuk menambah kualiti pencerahan di laluan sewaktu berada di selekoh. Terdapat tiga buah 'mentol' LED di bahagian fairing ini yang akan menyala setiap kali kita memiringkan jentera ini. Perubahan paling ketara ialah pada bahagian panel meternya yang kini turut dikemaskan dengan paparan TFT. Model H2 SX SE sahaja yang dilengkapkan dengan paparan TFT ini manakala model H2 SX biasa menggunakan panel meter digital.
Apa yang menarik sangat dengan TFT ini? Ia disusun kemas dan amat mudah untuk dibaca. Itu paling utama dan paling penting! Terdapat beberapa paparan rekacorak layout berbeza yang boleh kita pilih seperti Touring, Sport 1, Sport 2 dan Sport 3. Selain itu, penunggang juga boleh memilih warna latar belakang hitam atau putih. Panel TFT ini memaparkan pelbagai info penting seperti tahap kelajuan, pilihan pelbagai sistem elektronik, G-Force, suhu, jam, tahap bahan api, jarak perjalanan, trip dan posisi gear yang amat mudah untuk dilihat.
Wow... mengagumkan sekali! Posisi menunggangnya yang natural serta merta membuatkan kami berasa sangat selesa dan yakin sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas pelana.
Pelananya yang luas dan rata memang direka untuk memberi keselesaan bagi penunggang dan pembonceng. Tidak lagi merisaukan seperti mula-mula menunggang model H2 suatu ketika dulu. Walaupun dilengkapkan dengan beg sisi di kiri dan kanan bersaiz 28 liter, H2 SX ini amat mudah untuk ditunggangi. Benar... pengendaliannya cukup mudah.
Memang puas melihat kokpit H2 SX yang luas dan canggih. Suis talaan yang terdapat pada bar hendal sebelah kiri juga mudah digunakan. Tanpa membuang masa, suis penghidup ditekan dan... bunyi enjin SX SE ini memang cukup garang. Bagi mereka yang baru pertama kali mendengar 'suaranya', anda pasti teruja sekali. Pulas sahaja pendikit, bunyi bagaikan guruh, merentap jiwa kita.
Model Ninja H2 dulu mendapat riaksi positif kerana ia telah dicipta untuk mereka yang mengidamkan jentera berprestasi tinggi dengan sistem enjin yang unik, lain daripada yang lain. Ia terbukti sebagai salah sebuah motosikal paling laju di dunia dan tahniah buat Kawasaki – anda berjaya!
Untuk model H2 SX, penghasilannya adalah untuk membawa seseorang penunggang itu masuk ke alam baru yang belum pernah lagi dirasakan dengan jenama motosikal yang lain. Sebuah jentera pengembaraan super-charged yang mempunyai kuasa enjin yang lebih versatil untuk kesesuaian tunggangan di mana sahaja termasuklah bersantai dalam kelajuan sederhana. H2 ini tidak lagi semata-mata untuk mereka yang kaki pecut.
Dari luar, enjin model ini nampak sama berbanding model sebelum ini. Ye lah... perubahan dilakukan di dalam enjin, mana nak nampak kan? Sistem kemasukan udara dalam enjin telah direka semula, omboh, kepala silinder, aci engkol, aci sesondol dan badan pendikit semuanya baru belaka. Tambah sikit lagi, sistem ekzos dan kerangkanya juga baru!
Tubuhnya besar, gagah dan seberat 260kg (lebih 18kg berbanding Ninja H2) tetapi jujur kami kata, ia amat seronok dikendalikan! Model ini juga mempunyai nisbahkuasa di antara model H2 dan ZX-14. Kami memilih untuk bermula dengan talaan kuasa di tahap M (medium) dengan KTRC 2. Aduhai... sekali pulas ia memecut dengan sangat pantas tetapi tidak lagi menakutkan. Corak hamburan kuasanya lebih mudah dijangka dan dikawal – ini betul-betul nikmat.
Perasaan menunggang H2 SX ini jauh berbeza dibandingkan dengan model GTR 1400. GTR1400 memang motosikal mengembara tetapi H2 SX, ia DNA dari dunia lain.... Ia 'juadah' istimewa gabungan tiga bahan-bahan luar biasa iaitu hyperbike, sportbike dan jentera pengembaraan. Kerangka jenis trellis model H2 telah direka semula untuk menampung penumpang dan bebanan. Untuk itu, tahap ketegaran ditingkatkan manakala saiz tapak roda kini lebih panjang. Ini menjadikan jentera ini cukup stabil kerana memecut laju bersama pembonceng dan penunggang di laluan atau jalan yang luas.
Di atas lebuhraya, H2 SX ini menyempurnakan janjinya. Dengan mod kuasa ditukar kepada F (Full), kemampuannya mempamerkan sifat sebenar jentera sport memang menakjubkan! Bagaikan tiada kenderaan lain yang mampu menyainginya. Hanya perlu sekali rentap, meter kelajuan digital bergerak pantas daripada 110km/j hingga 265km/j. Walaupun ia telah ditala agar lebih lembut, H2 SX bukan 'mainan' penunggang baru! Anda perlu memiliki pengalaman dan kemampuan untuk memacu motosikal ini.
Nikmatnya apabila dapat menggunakan sistem gear dengan lancar dan mudah. Thank you Kawasaki kerana melengkapkan jentera ini dengan Kawasaki Quick Shifter ( KQS) yang amat penting sewaktu kita bermain selekoh-selekoh kecil janji putaran enjin harus berada di atas 2,500rpm. Bawah daripada tu sistem ini tidak berfungsi.
Dalam kelajuan yang tinggi, usah risau dengan kestabilannya kerana ia langsung tidak bergoyang. Cermin hadapan yang cukup lebar dan luas pula melindungi kita daripada ditampar angin kuat. Sememangnya banyak lagi jentera yang boleh memecut lebih laju tetapi persoalannya... adakah ia boleh dilakukan dengan santai dan selesa? Jawapannya ada pada H2 SX ini. Ia adalah sasaran dan misi para jurutera Kawasaki untuk merekacipta H2 SX ini menjadi sebuah model baru dengan kombinasi prestasi + keselesaan + mudah tunggang.
Dengan adanya sistem Kawasaki Launch Control Mode (KLCM), kita mampu memecut tanpa menyebabkan berlakunya wheelspin dan pada masa yang sama tayar depan juga tidak mudah terangkat. Enjin 998cc, sistem sejukan cecair, empat lejang sebaris, DOHC menawarkan kuasa maksimum setinggi 147.1kW pada 11,000rpm dan tork 137.3Nm pada 9,500rpm. Benar... ia amat bertenaga tetapi mudah dikawal sepenuhnya. Kami turut memecut dengan kelajuan yang tinggi bersama pembonceng untuk memastikan adakah Kawasaki ini mampu ditunggang jauh. Jawapannya ya! Ruang pembonceng cukup luas, kaki juga tidak lenguh dan pelananya empuk cuma sesiapa yang ingin membonceng H2 SX ini, pastikan memakai pakaian yang lengkap berserta topi keledar penuh muka kerana ia memang cukup laju.
Ini adalah satu pujian yang jujur. Keyakinan untuk terus menunggang di laluan licin datangnya dari sistem KTRC tiga tahap yang cemerlang. Penunggang boleh memilih dalam tiga jenis mod. Mode 1 sesuai untuk tunggangan pantas, Mode 2 sesuai untuk tunggangan yang lebih santai dan tidak terlalu laju manakala Mode 3 pula dipilih untuk mengharungi jalan-jalan yang licin (basah) atau berpasir.
Apa pun yang kita nikmati, 'tajuk' paling utama yang pasti dibincangkan setiap kali bercerita mengenai model ini ialah pada jantung H2 SX ini. Bagaimana enjin SuperCharged boleh digunapakai untuk sebuah jentera pengembaraan? Memang benar... jentera ini dapat dibawa terus ke tengahtengah bandar tanpa ragu-ragu – ia jauh lebih jinak berbanding dahulu tetapi untuk bergerak lebih pantas, bukalah dahulu kotak barang sisi ye sebelum bermula perjalanan. Baru senang nak mencelah!
Ketika menunggang H2 di litar dulu, kelincahannya meratah 15 buah selekoh SIC memperjelaskan sifatnya yang sebenar dan H2 SX ini tidak terkecuali. Ciri-ciri sporty dirasakan sebaik sahaja kami tiba di laluan berselekoh. Fork hadapan jenis terbalik 43mm dan penyerap hentak mono KYB di belakang (boleh laras sepenuhnya) membenarkan kita membuat talaan mengikut keadaan jalan dan gaya tunggangan. Kami dah cuba menunggang solo dan berpasangan, kedua-duanya amat cemerlang.
Dari segi praktikalitinya, model ini telah dilengkapkan dengan sistem ABS – sistem ini sudah tidak asing lagi buat model-model pengembaraan khususnya walaupun bagi enjin bersesaran lebih rendah. Kawasaki H2 SX tambah satu lagi iaitu dengan penggunaan Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KISB) yang direka untuk mengawal pergerakan karaktor tunggangan atau corak pengendalian seseorang penunggang itu. Sistem ini bertindak agar proses membrek dapat dilakukan dengan efisien dalam semua keadaan terutama sekali ketika tunggangan pantas. Itulah yang Kawasaki tawarkan buat pencinta motosikal yang memiliki jentera ini pada harga RM136,900.
Dengan isian penuh tangki 19 liter, kami dah jelajah beberapa tempat menarik pada jarak sekitar 300 kilometer bersama Kawasaki ini dan tubuh badan tidak terasa penat. Kita boleh pergi ke mana sahaja dan bila tiba acara track day, buka kotak barang sisi dan H2 ready untuk dipecut dan dibaringkan dengan pantas. Bagi mereka yang rasakan H2 dulu sangat berkuasa, anda benar tetapi H2 SX adalah satu ciptaan 3 buah jentera yang disumbatkan ke dalam 1. Hasilnya? Kami dah rasa... Kami dah nikmati dan kami tahu apa yang dikatakan! RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 16 injap, DOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 998 cc |
Gerek x Lejang | 76.0mm x 55.0mm |
Nisbah mampatan | 11.2:1 |
Kuasa maksimum | 147.1kW pada 11,000 rpm |
Tork maksimum | 137.3Nm pada 9,500 rpm |
Tinggi pelana | 835mm |
Isi Tangki | 19 liter |
Berat | 260 kg (256kg SX) |
Pengedar | Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd |
Popular