Yamaha TMAX 560 Tech Max - Eksklusif & Mewah
Tahun demi tahun, para peminat skuter maksi pastinya akan menunggu apakah pembaharuan atau peningkatan yang dilakukan oleh pihak Yamaha pada skuter terulung mereka iaitu TMAX. Secara peribadi, kali pertama saya melihat skuter ini ialah ketika dalam perjalanan dari Frankfurt menuju ke Cologne untuk menghadiri Pameran Motosikal Antarabangsa INTERMOT pada tahun 2005 lalu.
Melihat buat pertama kalinya sekumpulan pengembara motosikal yang menunggang skuter maksi pelbagai model berehat di 'R&R' sangat mengagumkan. Kalau di Malaysia, saya selalu nampak model-model dual-purpose yang penuh dengan barangan kembara tapi tak sangka, naik skuter pun boleh? Itulah persoalan 'si anak muda' dari kampung yang mentah... baru jejakkan kakinya di Eropah.
Rupa-rupanya kembara dengan skuter maksi memang sudah menjadi kebiasaan orang-orang sana dan Yamaha TMAX merupakan antara model paling laris hingga ke hari ini. Tahun lalu (2022), Hong Leong Yamaha Motor telah melancarkan model TMAX 560 Tech Max yang kini memiliki pakej lengkap menjadikannya skuter terulung masa kini.
Bercerita mengenai skuter, ya... TMAX ini adalah sebuah skuter sejati! Ertinya... Ia tetap menggunakan sistem transmisi CVT seperti skuter-skuter lain. Harganya memang tinggi, RM74,988 tetapi jangan terkejut ya, kesemua kumpulan pertama skuter ini sebanyak 35 unit telah pun habis dijual manakala 40 lagi unit untuk kumpulan kedua juga telah habis ditempah. Laku macam pisang goreng.
Nasib baik sempat juga RR menunggang uji model ini sebelum ia 'dipinang' orang. Dari segi pilihan warna, pasaran Malaysia hanya ada versi Tech Max sahaja dengan dua pilihan warna iaitu Dark Petrol dan Power Grey. Kalau perasan, memang sekarang ini warna kelabu popular sungguh! Dari motosikal, kereta, topi keledar.... hingga bahagian dalam ruang bangunan/rumah dihiasi menggunakan warna ini. Ya, warna kelabu memang trend untuk tahun 2021 dan 2022.
Bahagian luaran skuter ini direka baru dengan lebih kompak, berinspirasikan jentera sport. Hanya dengan melihatnya, kita selaku pencinta dua roda sudah dapat merasakan TMAX baru ini merupakan kombinasi di antara prestasi yang tinggi + pengendalian mantap + mudah dikawal + mewah.
Lampu-lampu LED berkembar berbentuk tajam menghiasi bahagian hadapan. Apa yang sedikit pelik ialah pada ruang rekaan bawah lampu utama itu? Nak kata untuk saluran udara pun bukan, tapi okaylah. Pasti ia dihasilkan untuk kelainan yang menjurus kepada sifat sport. Bahagian hadapan turut dikemaskan dengan cermin pengadang angin yang boleh dilaras secara automatik, satu jari je!
Rekabentuk 'T-Shape' lampu belakangnya kami beri markah penuh 100%! Kalau ada dua pasukan pereka, satu buat bahagian depan dan satu lagi di belakang, sudah pasti pasukan rekacipta bahagian belakang jadi pemenang! Memang cantik, moden dan canggih. Pandanglah dari arah mana sekali pun, TMAX nampak eksklusif! Cermin sisi model ini juga boleh dilipat – berguna ketika kita cuba masuk parkir di kawasan yang agak terhad.
Apabila melihatnya beberapa kali, skuter maksi Yamaha baru ini memang pendek sedikit dan agak kecil. Hilang sifat asalnya yang besar, tegap dan gah yang selama ini menjadi 'trademark' utama TMAX. Sekali imbas, tak jauh bezanya dengan XMAX.
Duduk sahaja di pelananya yang empuk, kita akan mengagumi ruang kokpit model ini yang disusun dengan kemas dan menarik. Panel meter TFT bersaiz 7 inci memaparkan pelbagai maklumat yang dahulunya mungkin kita fikir mustahil untuk dihasilkan. Terdapat beberapa paparan berbeza iaitu Sporty, Intelligent dan Authentic yang memberikan paparan berlainan susunan tetapi penuh dengan maklumat penting.
Menerusi panel meter ini juga kita dapat membuat penyambungan “MyRide-Link” yang memberi akses kepada alunan muzik di sepanjang perjalanan serta sistem Navigasi Garmin. Penyambungan boleh dilakukan menerusi sistem Bluetooth, Wifi atau pot USB. Suis-suis yang terletak di kiri dan kanan bar hendal rekaan baru ini mudah untuk kita gunakan tapi paling best TMAX ada 'joystick' yang kita boleh gunakan untuk memilih pelbagai talaan!
Bar hendal sebelah kiri turut dilengkap dengan tuas 'Rear Brake Lock' yang fungsinya mirip seperti 'handbrake' kereta. Pengunci brek belakang ini amat berguna ketika kita ingin berhenti atau parkir di tempat yang curam. Cara gunanya juga sangat mudah... tarik dan tolak semula untuk lepaskannya.
Berdekatan dengan lutut penunggang terletaknya penutup bahan api 'aero-style' pintar yang boleh dibuka dalam masa dua minit selepas suis utama dimatikan. Terdapat dua suis empat segi kecil (satu untuk buka bahagian tangki, satu lagi untuk buka pelana) yang kita tekan terlebih dahulu. Penutup tangki moden ini juga boleh diakses pada bila-bila masa selagi pemiliknya mempunyai Kunci Pintar bersama kaedah yang betul. Terdapat juga penggera yang berbunyi jika penutup bahan api ini tidak ditutup dengan baik.
Wajiblah TMAX baru ini menggunakan kunci pintar kan! Suis utama yang mengawal kesemua fungsi 'jantung' skuter itu direka cukup teliti. Kadar jarak untuk sistem ini beroperasi ialah sekitar 80cm daripada bahagian tengah bar hendal. Ya, hanya dengan sekali sentuh, TMAX 'bernyawa' dan bersedia untuk digerakkan. Suis utama ini juga kita perlukan untuk membuka pelana dan mengunci hendal setiap kali parkir.
TMAX Tech Max disempurnakan dengan enjin Euro 5, 562cc, sistem penyejuk cecair yang memiliki hantaran kuasa maksimum setinggi 47.6hp pada 7,500rpm dengan tork maksimum 55.7Nm pada 5,250rpm. Tenaganya dapat kita rasakan sebaik sahaja pendikit dipulas. Aduh, nikmat sekali menunggang Yamaha ini! Kelajuan meningkat dengan sangat lancar, tanpa sebarang gangguan. Cepat betul kelajuannya mencecah 150km/j!
Dengan adanya Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT) dan Accelerator Position Sensor Grip (APSG), pergerakan jentera ini sangat licin dan memuaskan hati. D-Mode memberi pilihan bagi kita memilih untuk tunggangan lebih mantap menerusi Mode S dan tunggangan santai, Mode T. Apabila tidak ada sebarang gegaran sewaktu kita menunggang laju, kita lebih yakin, tidak stress dan memberikan keseronokan untuk ke mana sahaja. Betul, skuter ini mahal tapi inilah habuan buat mereka yang memiliki sebuah skuter bernama TMAX.
Untuk keselesaan perjalanan jauh atau ketika berada di lebuhraya, kita boleh gunakan sistem Cruise Control pada kelajuan yang dipilih. Sistem ini akan dimatikan apabila kita menarik tuas brek atau memperlahankan kelajuan. Berat TMAX baru ini hanya 220kg (dikatakan paling ringan dalam kelasnya). Kita mudah untuk kendalikan skuter ini baik ketika memecut laju mahupun menunggang santai di tengah-tengah kota.
Rasa sejuk dalam perjalanan? Jangan risau, Yamaha telah melengkapkannya dengan pemanas pendikit (tiga tahap) dan pelana juga dengan tiga tahap kepanasan. Best kan!! Untuk menambah keyakinan ketika memacu jentera ini, Traction Control dan sistem ABS memang sangat membantu.
Skuter ini didatangkan dengan tayar-tayar bersaiz 120/70R15M/C 56H (depan) dan 160/60R15M/C 67H (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan baik sekali. Tidak ada sesaat pun kami khuatiri sewaktu berada di pelbagai laluan berselekoh dan cuaca ketika jentera ini diuji. Sistem brek jenis cakera yang dipadankan pada skuter ini juga tidak menghampakan kami. Dua jari pun dah cukup untuk memperlahankan kelajuan.
Sepanjang perjalanan, kami hanya tersenyum puas dengan keseluruhan prestasinya walaupun ada ketikanya terpaksa menyorok daripada pertukaran alam yang kurang menyebelahi kami. Tangki sebesar 15 liter itu mampu menawarkan satu perjalanan yang lebih daripada 250 kilometer. Walaupun banyak faktor yang membezakan tahap penggunaan api, hakikatnya Yamaha ini tetap menjimatkan.
Ya...TMAX 560 Tech Max bukan skuter murah tetapi bagi mereka yang berkemampuan, skuter ini bukan sekadar jentera tunggangan biasa. Ia mampu memberikan kepuasan untuk tunggangan harian, tunggangan santai bersama rakan-rakan di hujung minggu dan juga untuk mengembara di luar negara. TMAX mampu untuk lakukan semuanya itu. Jika TMAX tidak sehebat namanya, tidak mungkin ia menjadi pilihan pencinta skuter dan kembara di Eropah dari saat mula-mula saya melihatnya dulu hingga ke tahun 2023 ini. RR
Spesifikasi
Enjin | 2 silinder, sistem penyejuk cecair, 4 lejang, DOHC |
Isipadu | 562cc |
Kuasa maksimum | 47.6hp pada 7,500rpm |
Tork maksimum | 55.7Nm pada 5,250rpm |
Tayar | 120/70R15M/C 56H (depan) & 160/60R15M/C 67H (belakang) |
Saspensi | fork USD (depan) & lengan ayu (belakang) |
Brek | brek cakera hidraulik (depan & belakang) |
P x L x T | 2,195mm x 780mm x 1,525mm |
Isi tangki | 15 liter |
Tinggi pelana | 800mm |
Popular