Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 26 Mac 2023

Suzuki GSX-S1000GT - Jentera Kembara Baru Dari Suzuki

Puas benar kembara kali ini! RR berpeluang untuk menikmati jentera kembara terbaru, Suzuki GSX-S1000GT ke pelbagai destinasi dengan jarak perjalanan sekitar 1,000 kilometer. Kami ke Putrajaya, penghujung Selangor, Temerloh, Jerantut hinggalah ke Kuala Tahan.

Pengalaman bersama S1000GT kali ini memang jauh dan sesuai benarlah dengan peribahasa “Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan.” Ketika melihat model ini diperkenalkan buat pertama kalinya dulu, terdetik dalam hati adakah ia mudah untuk ditunggang atau sebaliknya. GSX-S1000GT ini mengingatkan kami dengan model jenama lain yang pernah diuji dan kedua-duanya memiliki beberapa persamaan.

Pengeluar motosikal kini lebih cenderung untuk mengeluarkan model kembara (dual-purpose) berbanding sport-tourer seperti GSX-S1000GT ini. Ini kerana model-model kembara lebih berkemampuan untuk berada di kawasan atau destinasi yang lasak, kasar dan tidak sempurna. Kalau di Asia, memang keadaan jalan rayanya tidaklah 100% sempurna – ya, masih banyak laluan yang lebih sesuai untuk jentera kembara.

Namun begitu, ramai 'je' pengembara motosikal yang ingin menikmati ribuan kilometer dengan jentera yang lebih aerodinamik, laju dan bertubuh cantik. Ditawarkan pada harga sekitar RM86,000, Suzuki S1000GT ini memang cantik, ergonomik dan mewah – tidak menawarkan ciri-ciri lasak ye!

Rekacipta luaran GT berbentuk tajam, bersudut, dengan fairing hadapan unik menempatkan lampu utama LED berbentuk V (siap dengan 'mata' bulat lagi) yang menawarkan suluhan cukup tajam dan terang. Bahagian atas fairing ialah cermin pengadang angin yang dikemaskan pula dengan cermin sisi.

Ruang laluan udara di sisi fairing menarik udara panas keluar menjauhi kokpit dan penunggang. Memang selesa kalau ditunggang di dalam bandar dengan syarat, kotak barang sisi 36 liter itu kena buka. Kalau tak, susah juga nak mencelah.

Keselesaan adalah faktor penting yang menjadi tumpuan sewaktu proses pembangunan GT. Dapat kita nikmati kini dari segi posisi untuk penunggang, pembonceng, ruang kaki dan tinggi bar hendal direka cukup sempurna. Ketinggian krew RR yang sempat menunggang uji model ini di antara 167mm hingga 178mm – semuanya memberi komen yang positif.

Pelananya hanya setinggi 810mm, saya dapat meletakkan tapak kaki ke permukaan jalan tanpa masalah, tak perlu menjengket. Ruang lutut yang cukup luas membolehkan kita mengubah posisi dengan mudah sewaktu mencari keselesaan dalam perjalanan jarak jauh.

Akhirnya.... inilah model pertama dari Suzuki yang didatangkan dengan panel meter TFT – ia bersaiz 6.5 inci dan memaparkan pelbagai maklumat terperinci. Antara info-info tersebut ialah tahap kelajuan, tahap putaran rpm bentuk analog, posisi gear, Traction Control, Quick Shifter, Mod Tunggangan, tahap bahan api, jam, jarak perjalanan, trip dan lain-lain. Terdapat suis kawalan di bar hendal sebelah kiri yang mudah untuk kita gunakan.

Panel meter ini juga mempunyai sensor yang menukar warna latar belakang secara automatik daripada putih dalam cahaya terang kepada hitam apabila keadaan sekitar mula malap (dalam terowong, senja dan malam).

Walaupun seberat 226kg, GT bukan motosikal yang susah untuk digerakkan. Kalau tambah lagi dengan barang-barang dalam kotak sisi pun masih okay. Kerangka jenis trellis menjadikan model ini tegap gagah perkasa – sesuai benar untuk menanggung beban penunggang dan barangan yang dibawa. Kotak sisi 36 liter ini boleh memuatkan banyak barangan. Sewaktu menunggang uji jentera ini ke Kuala Tahan, penuh diisi tetapi disarankan oleh Suzuki agar berat muatan tidak lebih daripada 5 kilogram. Ia juga mudah ditutup, dikunci, ditanggal dan dipasang semula hanya dengan menggunakan satu kunci sahaja.

Memiringkan jentera ini di laluan berselekoh di sepanjang lebuhraya Karak menuju ke Pantai Timur cukup menyeronokkan. Dengan adanya sistem Throttle-by-Wire, kita diberikan tiga pilihan mod tunggangan iaitu A (Active), B (Basic) dan C (Comfort) yang memberikan respon pendikit serta hantaran kuasa yang berbeza, Traction Control 5 tahap, ada Cruise Control lagi, Quick Shifter (QS) 2-hala, Low RPM Assist yang membantu sewaktu menunggang perlahan dan semestinya ciri wajib untuk semua model Suzuki iaitu Easy Start System.

Kemantapan pecutan GT ini muncul pada setiap kali kita memulas pendikit – best betul! Kelancaran enjin 999cc Euro 5 yang digabungkan pula dengan sistem QS, membolehkan kita maju ke hadapan dengan sangat pantas, tau-tau dah lebih 200km/j. Ada gegaran? Jawapannya tidak! Kami tutup pendikit agar turun semula ke 110km/j – lagi pun memang tak sesuai menunggang laju dengan adanya kotak barang sisi. Sayang sekali cermin pengadang anginnya tidak boleh dilaras, kalau tak mesti lagi selesa.

Tidak dinafikan pergerakan kita di dalam bandar tidak begitu lancar jika jentera ini lengkap dengan kotak barang sisi. Namun begitu, tidak ada terasa haba panas lampau dari bahagian enjin dan sistem Low RPM Assist banyak membantu agar putaran enjin terus stabil. Ketika di Kuala Lumpur (selepas pulang dari 'trip' Kuala Tahan), GT ini ditunggang tanpa membawa sebarang muatan. Ia lebih ramping, lebih lincah dan semestinya lebih 'syok' untuk mencilok!

Dari Jerantut, kami membelok menuju Kuala Tahan. Jalannya masih cantik, redup dan tidak panas – bukti betapa pentingnya kita menjaga alam semulajadi. Selekoh-selekoh pendek diratah tanpa segan silu. Terima kasih buat fork hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak tunggal di belakang yang dapat kekalkan Suzuki ini di laluan dengan baik.

Model ini didatangkan dengan tayar-tayar bersaiz 120/70ZR17M/C (depan) dan 190/50ZR17M/C (belakang) dikawal oleh brek cakera jenis Brembo dan Nissin yang sudah terbukti cukup cemerlang. Tuas klac dan brek bukan sahaja lembut malah ia boleh dilaras untuk memudahkan kita mencapainya.

Saiz tangkinya ialah 19 liter – cukup untuk perjalanan lebih daripada 250 kilometer (mengikut corak tunggangan). Paling penting ialah tahap keselesaannya yang cukup baik.

Kualiti keseluruhannya benar-benar mengagumkan kami khususnya dari segi tahap kelancaran kuasa, pengendalian yang boleh diramal, kestabilan yang meyakinkan dan rekabentuk yang berlainan dari 'ahli keluarga' Suzuki sebelum ini. Begitu juga, pakej mantap sistem brek dan saspensi serta bantuan elektroniknya menjadikan Suzuki ini pesaing baru yang 'garang' dalam segmen motosikal sport-tourer. RR

Isu Pada

Disember 2022

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 4 silinder, sistem penyejuk cecair, DOHC
Isipadu999cc
Gerek x Lejang73.4mm x 59.0mm
Nisbah mampatan12.2:1
Tayar120/70ZR M/C (depan) & 190/50ZR17 M/C (belakang)
Saspensifork teleskopik (depan) & lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal (belakang)
Brekbrek brembo, ABS (depan) & brek Nissin, ABS (belakang)
Tinggi pelana810mm
Isi tangki19 liter
PengeluarSuzuki Malaysia Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Lagi kes bengkel terbakar. Kali ini 7 buah motosikal hangus dijilat api!

  • Dari Litar

    Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

Artikel berkaitan

Suzuki V-Strom 800DE: Sesuai Untuk Perjalanan Jauh & Dekat

Santai Bersama Yamaha: MT-09 Syok Ke Mana Sahaja!

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Bajaj Freedom 125 CNG: Bukti Bahan Api 'Gas' Lebih Praktikal

MODENAS Z250 ABS – Senang, Selesa, Sempoi!

Honda NX500: Lebih Padu... Lebih Syok...

Kemunculan Semula Moto Morini Cukup Mantap Dengan Calibro & Calibro Bagger 700

KYMCO AK550: Mewah, Elegan & Praktikal

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

Hasrat pelumba pasukan Ducati Lenovo, Marc Marquez untuk mencipta kemenangan sermpurna di Litar Americas tidak kesampaian apabila terbabas pada lap ke-9 walaupun ketika itu sedang mendahului perlumbaan dengan agak selesa. Terdahulu, Marc telah membuktikan dominasinya apabila meraih kemenangan dalam saingan Sprint tanpa sebarang masalah.

Model Baru

JEDI K333: Direka Untuk Kesesuaian Penunggang Baru & Wanita

Sejak kemunculan sebagai model konsep, pihak syarikat telah menghabiskan lebih daripada 800 hari dengan melakukan penambahbaikan tanpa henti untuk model sport, JEDI K333.

Model Baru

Produksi Ducati XDiavel V4 bermula. Akan dipasarkan ke Eropah terlebih dahulu bermula Mei ini.

Ducati memaklumkan bahawa pengeluaran untuk jentera 'Sport Cruiser' XDiavel V4 baru telah pun bermula.

Model Baru

BMW Motorrad Malaysia Umum Harga Rasmi R 12 Baru - RM119,500

BMW Motorrad secara rasminya mengumumkan harga untuk model Heritage mereka iaitu BMW R 12.