Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 25 Mac 2023

Honda X-ADV 750 - Skuter Maksi Serba Boleh

Selepas beberapa tahun menunggu, akhirnya Honda X-ADV 750 versi baru tiba di Malaysia dan ditawarkan pada harga sekitar RM68,000. X-ADV merupakan sebuah skuter yang digabungkan dengan jentera kembara yang membolehkannya ditunggang hampir ke mana sahaja – termasuklah di laluan-laluan yang agak lasak. Karaktor dan penciptaannya sangat berbeza jika kita nak bandingkan dengan skuter-skuter maksi yang lain. Hakikatnya, X-ADV berdiri ‘seorang diri’ tanpa ada pencabarnya.

Mengapa model ini diminati ramai. Sempat kami meminta pandangan seorang 'otai' motosikal dan pemilik X-ADV mengenai model ini. En. Shariffudin atau lebih mesra dengan panggilan Abang Din menyatakan bahawa antara ciri-ciri unik yang menarik minat ramai ialah menerusi tahap praktikaliti, harga, kestabilan dan pengendaliannya. Sistem DCT (Dual-Clutch Transmission), pacuan akhir jenis rantai adalah satu kelebihan berbanding skuter maksi lain. Dengan kelajuan maksima sekitar 180 km/j, ia sudah memadai buat peminat adventure touring ride dan light offroad seperti jalan-jalan kawasan kebun.

Benar apa yang beliau katakan. X-ADV 750 ini memang 'spesis' skuter yang sangat berbeza berbanding yang lain. Dah macam level SUV dunia motosikal. Ia melangkau tradisi penciptaan sebuah skuter. Dari segi luaran, memang sekali imbas nampak sama sahaja dengan model lama tetapi sebenarnya ia berbeza. Lampu utama jenis LED telah direka semula – lebih cantik dan turut disepadukan dengan Daytime Running Lights (DRL) yang memberi pencahayaan secara automatik mengikut suasana kecerahan persekitaran.

Panel meter LCD asal juga ditukar kepada jenis TFT 5 inci berwarna penuh yang memberi paparan cukup kemas dan moden. Antara informasi yang dipaparkan dengan sangat jelas ialah tahap kelajuan, mod tunggangan, putaran rpm, posisi gear, jam, suhu, laju maksimum dan lain-lain. Rekacorak background panel meter ini juga boleh ditukar mengikut pilihan penunggang. Anda cuma perlu pergi ke paparan 'Display' dan pilih salah satu daripada empat jenis corak yang ditawarkan.

Untuk membuat talaan, terdapat suis moden di bar hendal sebelah kiri yang mudah untuk kita gunakan. Turut dikemaskan pada panel suis sebelah kiri ini ialah suis penukaran gear,
suis pemberi isyarat dan pemilihan mod tunggangan.

Suis bar hendal sebelah kanan pula memberi akses proses penukaran sistem transmisi dari Automatik (A) kepada Manual (M), Gear Neutral (N) dan Drive (D). Menerusi sistem DTC ini, kita boleh memilih untuk menunggang menggunakan sistem penukaran gear secara automatik (posisi gear akan berubah mengikut tahap kelajuan/rpm) atau secara manual seperti motosikal biasa. Dengan X-ADV, kita hanya perlu menekan suis tambah gear atau turun gear dengan jari sahaja. Untuk tujuan keselamatan, kita tetap dapat menurunkan gear secara manual walaupun ketika berada dalam mod Automatik.

Antara pembaharuan terbaru ialah menerusi Honda’s Voice Control System yang membolehkan kita membuat arahan atau permintaan melalui percakapan dengan adanya sistem Bluetooth. Anda terlebih dahulu perlu memuat turun aplikasi Honda RoadSync untuk mengaktifkan sistem ini.

Model ini 'hidup' dengan menggunakan sistem kunci pintar (keyless). Pada jarak tertentu, sistem ini akan beroperasi. Untuk menghidupkan enjin, tekan suis 'PUSH' berbentuk bulat di tengah-tengah bahagian bar hendal dan apabila paparan TFT sudah menyala, barulah enjin dapat dihidupkan. Untuk menggerakkannya pula, kita kena tekan suis 'D' terlebih dahulu ya! Suis bulat itu juga digunakan untuk mengunci bar hendal. Letakkan hendal pada kedudukan yang betul, pusing suis tadi sehingga berbunyi 'peeep' sekali. Untuk buka 'lock' tadi, tekan sahaja suis 'PUSH' itu. Mudah!

Pelananya setinggi 820mm, sesuai untuk semua jenis penunggang tidak kira penunggang rendah atau pun yang tinggi lampai. Sebaik sahaja enjin dihidupkan, bunyi yang terhasil daripada X-ADV 750 ini memang dah buktikan ia bukan skuter maksi biasa. Bunyi seakan-akan model touring Africa Twin pun ada... cuma lebih lembut.

Ketika mula-mula memacu jentera ini di jalanan, bahagian hadapan dirasakan sukar dikawal apatah lagi untuk masuk ke selekoh. Terdetik di hati, mengapa ia tidak semudah model V1 dulu? Dari 10 kilometer... perjalanan diteruskan lagi sehingga 50 kilometer, kami masih tidak dapat menikmati kemantapan jentera ini – respon bahagian hadapan tidak memuaskan.

Rupa-rupanya motor “tak dak angin!” Nak tergelak juga dibuatkan sedangkan baru keluar dari BigWing (sepatutnya diperiksa terlebih dahulu). Lepas isi angin mengikut panduan yang diberikan (250kPa depan, 280kPa belakang), barulah padu!

Ketangkasan X-ADV ini mula dihargai setiap kali pendikit dipulas. Hantaran kuasanya cukup jelas, hadir dengan sangat cepat, memang cukup menyeronokkan. Jentera istimewa ini dilengkapkan dengan enjin berpiawaian Euro 5, bersesaran 745cc, empat lejang, sistem penyejuk cecair, dua silinder parallel dengan kuasa hantaran maksimum setinggi 43kW pada 6,750rpm (lebih 3kW berbanding model sebelumnya) dan tork 69Nm pada 4,750rpm (lebih 1Nm).

Sistem elektronik Throttle-by-Wire memberikan kita 'nikmat' empat mod tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain dan Gravel, ditambah dengan mod User yang boleh dikustom/ditala mengikut pilihan pemiliknya termasuk tahap kuasa, brek enjin dan lain-lain. Setiap mod pilihan kita dapat beza menerusi tenaga kuasa enjinnya. Dalam mod Sport, penukaran gear lebih lambat berlaku (pada putaran rpm yang lebih tinggi) berbanding ketika kita memilih Mod Standard. Begitu juga dengan Mod Rain yang sudah tentu memberikan tindak balas lebih lembut bagi memastikan pergerakan enjin terkawal.

Setiap mod tunggangan ini juga berinteraksi dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang kini didatangkan dalam tiga tahap berbeza. Menerusi panel meter, kita dapat melihat perbezaan sistem 'keselamatan' elektronik ini yang ditala secara automatik mengikut mod tunggangan yang telah kita pilih. Dalam Mod User, kita boleh membuat talaan-talaan ini mengikut pilihan masing-masing kecuali sistem ABS yang tidak boleh nak 'off'.

Enjin 750cc ini cukup 'torqy,' lancar, galak dan mantap. Dengan kedudukan gear yang sesuai, setiap miringan dirasa sangat stabil dan mudah keluar dari selekoh dengan pantas. Yup... betul-betul memberikan ketagihan. Tamparan angin dari depan pun boleh kita kurangkan dengan menurunkan cermin pengadang angin dengan mudah. Patut la kami lihat beberapa model X-ADV masuk selekoh-selekoh di jalan Kuala Tahan dengan 'selamber' je.

Laju maksimum yang dapat kami rasa untuk model ini ialah sekitar 170km/j dan penukaran gear sistem DTC model ini memang cukup lancar dan lembut sekali. Cermin pengadang angin boleh dilaras ke tahap tinggi maksimum yang sudah cukup baik untuk membantu tahap rintangan angin. Kelajuan paling ideal buat kami ialah sekitar 110-115 sahaja (kami ikut kelajuan yang ditetapkan ye!)

X-ADV ini bukan untuk mereka yang benar-benar cintakan kelajuan. Ia lebih cenderung kepada tunggangan kembara yang santai tetapi mencabar. Tahap pecutan (kuasa tork) yang kuat membantu kita dapat memintas kenderaan dengan cepat, mendapatkan momentum di laluan lasak dan berada di selekoh dengan selesa.

Ruang kaki yang luas dan posisi bar hendal yang natural membuatkan perjalanan jarak jauh cukup selesa. Terdapat 'Glovebox' bersaiz 1.2 liter di depan bahagian lutut, ruang bawah pelana 22  liter lengkap dengan pot pengecas USB. Sayangnya ruang bawah pelana itu agak kecil buat mereka yang suka mengembara. Kena letak bok GIVI untuk atasi masalah itu.

Honda juga telah melakukan penambahbaikan pada sistem brek depan/belakang, sistem ABS, fork USD di depan termasuklah lengan ayun jenis Pro-link. Namun begitu, kalau menunggang berdua, kena berhati-hati bila melalui jalan berbonggol – bahagian bawah memang mudah tergesel. Kelegaan tanahnya agak pendek. Mungkin bahagian itu akan dinaik taraf oleh pemiliknya kelak.

X-ADV 750 disempurnakan dengan tayar hadapan bersaiz 120/70R-17MC 58H dan belakang 160/60R-15MC 67H yang mengigit permukaan jalan dengan baik. Ada orang tanyakan kenapa tayar belakang lebih kecil berbanding di depan. Jawapannya ialah ia bersesuaian dengan karaktor penggunaan seperti motosikal adventure. Ia juga lebih tangkas dan lebih lincah.

Kecekapan sistem brek jenis cakera hidraulik di depan dan belakang tidak perlu dipertikaikan lagi. Mudah dan selamat untuk kita gunakan sewaktu memperlahankan kelajuan dengan cepat. X-ADV ini juga dipasangkan dengan sistem brek parkir yang berada di atas hendal sebelah kanan. Sesuai untuk tunggangan urban? Jawapannya memang ya! Tidak ada masalah langsung untuk X-ADV ini nak mencelah-celah dan tidak juga terasa sebarang gangguan dari haba panas.

Apa yang boleh menjadi satu hajat ialah agar model V3 (jika ada) dapatlah dilengkapi dengan sistem Cruise Control dan mungkin tangki yang lebih besar sedikit. Honda X-ADV 2021 boleh dimiliki pada harga RM67,799 dan ia hadir dalam tiga warna iaitu Pearl Deep Mud Gray, Grand Prix Red dan Graphite Black. RR

Oleh: Khairil Azuan

Isu Pada

Disember 2022

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 2 silinder, 8 injap, kembar parallel OHC
Isipadu745cc
Kuasa maksimum43.1kW pada 6,750rpm
Tork maksimum69Nm pada 4,750rpm
Tayar120/70R - 17MC 58H (depan) & 160/60R - 15MC 67H (belakang)
Saspensifork telesopik USD (depan) & lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal (belakang)
Brekbrek cakera hidraulik 296mm, ABS (depan) & brek cakera hidraulik 240mm (belakang)
Tinggi pelana830mm
P x L x T2,215mm x 940mm x 1,370mm
PengeluarBoon Siew Honda (BSH)

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.