MV AGUSTA RIVALE 800, Rekabentuk Sehebat Kuasanya!
Ia dipilih sebagai motosikal tercantik ketika dilancarkan di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA di Milan 2012, mengalahkan beberapa model lain dengan jumlah 36% undian daripada 15,000 pengunjung di pameran tersebut. Begitulah reaksi awal bagaimana para pencinta motosikal begitu tertarik dengan model MV Agusta Rivale 800 yang menawarkan rekabentuk yang anggun dan unik.
Ucapan terima kasih haruslah diberikan kepada Adrian Morton, pereka MV berasal dari Britain yang mempunyai visi dan idea dalam penciptaan hebat seperti ini. Peluang untuk menikmati keunggulan Rivale 800 akhirnya tiba setahun selepas ianya dilancarkan. Destinasi yang dipilih untuk program ini juga menarik iaitu di kawasan pergunungan Perancis yang indah dan mendamaikan.
Rivale menggunakan enjin 800cc versi sama yang digunakan pada model F3 tetapi telah diperhalusi untuk hantaran kuasa yang lebih lancar dan linear. Jika dibandingkan dengan enjin-enjin 800cc dari tahun 2010, sememangnya jelas kelihatan prestij motosikal keluaran syarikat Itali ini memang meningkat dengan drastik dalam masa yang cukup singkat.
Presiden MV Agusta turut mengakui keyakinan syarikat terhadap produknya menjadikan mereka berani menyasarkan penjualan pada tahun 2013 sebanyak 7,500 unit iaitu peningkatan sebanyak 1,000 unit berbanding 2012. Memang hebat, bayangkan tahun 2010 menunjukkan hanya sebanyak 3,274 unit sahaja berjaya dijual. Tahun ini (2014), mereka ternyata lebih yakin dengan meletakkan sasaran sebanyak 10,000 unit yang membuktikan mesin-mesin MV Agusta bukan lagi sekadar motosikal butik yang hanya gah di bilik-bilik pameran sahaja.
Hakikatnya, penjualan mereka tahun lepas telah berjaya mengatasi Moto Guzzi dan Aprilia. Hebat bukan? Para peminat motosikal kini juga lebih bijak, harga bukan perkara utama tetapi prestasi dan kepuasan adalah lebih penting. Adakah Rivale yang berharga tinggi berbaloi untuk dimiliki? Mari kita cuba…
Memang hebat! Rivale ini menunjukkan betapa tekunnya MV Agusta dalam usaha menjadikan ia sebuah mesin jalanan terbaik. Ya! Ia memang terbaik dari MV Agusta setakat ini. Terdapat banyak sebab mengapa saya berkata sedemikian, antaranya ialah sistem enjin yang direka sempurna menawarkan kuasa tork yang lebih tinggi, lebih umpphh! Penalaan baru sistem Ride By Wire (RBW) yang kini lebih lancar, tiada lagi gangguan pada bahagian enjin sewaktu kita merentap pendikit dengan keras untuk memecut.
Enjin Rivale menggunakan versi sama dengan Brutale 800, mempunyai kuasa 120bhp pada 12,000 dan tork 84Nm pada 8,600rpm. Tetapi kini, kita jelas dapat merasakan peningkatan kuasa bermula dari 7,000rpm dengan bacaan tork setinggi 77Nm. Inilah dia hasil daripada rekaan semula paip header, ECU Eldor talaan baru dan kotak gear baru yang lebih kecil dengan stail yang lebih agresif.
“Kami menyasarkan untuk pembangunan prestasi enjin agar lebih dinamik walaupun terpaksa bekerja lebih keras. Kami berjaya mencapai sasaran untuk mendapatkan kuasa 120bhp dengan mudah tetapi untuk mengagihkan kuasa tork ke semua peringkat gear dan rpm itulah yang cukup-cukup sukar. Walaupun sukar, kami telah berjaya melakukannya,” kata Pengarah Platform MV Agusta, En. Brian Gillen.
Hasilnya, enjin lebih lancar membolehkan kita menggunakan dua atau satu gear lebih tinggi daripada biasa ketika memasuki selekoh. Ini juga bermakna kita dapat menyusuri ratusan kilometer di jalanan pergunungan hanya dengan menggunakan gear keempat - kurangkan kelajuan apabila tiba di selekoh dan menarik pendikit semula untuk meningkatkan kelajuan. Kita dapat membuat pecutan dengan mudah dan lancar walaupun putaran enjin serendah 2,000 rpm.
Kuasa yang lembut ini bertukar menjadi garang apabila putaran enjin mencecah 6,000 rpm, fuh… ketika ini bermain kuasa tork di gear-gear pertengahan memang sangat mengujakan. Saya meningkatkan kelajuan ke kedudukan 12,000 rpm – memang sangat-sangat berkuasa. Rivale baru sudah mula menunjukkan belangnya!
Enjin Rivale ini juga membolehkan kita menukar gear-gear sama ada ketika berada di puncak tork yang tinggi iaitu 8,500rpm atau pun dengan cara santai sekitar 6,000 rpm. Mesin ini memberi tindak balas seperti mana yang kita kehendaki dan sememangnya ia sesuai untuk semua jenis musim dan jalanan. Ia bagaikan seekor chameleon yang boleh ‘hidup’ di mana sahaja untuk memberi kejutan kepada setiap para pencabarnya.
Mesin tiga silinder ini dilengkapi dengan mod Ride By Wire (RBW). Saya bermula dengan menggunakan mod Rain dengan sistem Traction Control (TC) berada di tahap kelapan (anda boleh menukar talaan ini pada suis yang terletak di bar hendal tetapi agak sukar dilakukan ketika mesin sedang bergerak). Saya lebih banyak menggunakan mod Normal dan sekali-sekala Sport untuk merasakan kepantasannya membelah angin.
“Kami mengadakan sessi perbincangan untuk menghasilkan ECU baru yang mampu bertindak dengan tepat mengikut segala informasi yang didapati. Kami amat berbangga dengan prestasinya setakat ini malah mendapat perhatian dan pujian daripada para pelanggan. Dengan adanya unit ECU ini, pemetaan baru akan dapat dibuat untuk semua model sedia ada. Pihak syarikat juga sedang membuat perancangan untuk membolehkan para pemilik MV memuat turun pemetaan enjin terus kepada ECU melalui aplikasi khas di dalam telefon pintar,” tambah Brian lagi.
Keanggunan reka bentuk luaran MV ini memang sukar ditewaskan oleh para pencabarnya. Ia menarik minat setiap mata yang melihat dan berada di kelasnya yang tersendiri. Pelananya cukup tinggi iaitu 881mm berbanding model Brutale yang hanya 810mm. Agak sukar untuk dipanjat oleh mereka yang agak rendah. Tetapi tempat pemijak kaki rendah dan tidak terlalu ke belakang memberi keselesaan sebaik sahaja kita melabuhkan punggung.
Bar hendal yang lebar menawarkan pengendalian yang mudah walaupun ketika bersiar-siar di dalam bandar tambahan dengan ketinggian pelana, kita mudah melihat keadaan trafik di hadapan melepasi bumbung-bumbung kereta. Saya mencubit pipi beberapa kali untuk mengingati bahawa saya sedang menunggang kerana Rivale bukan sahaja selesa tetapi bunyi mesin tiga silinder ini cukup senyap. Posisi tunggangan yang 100mm ke hadapan berbanding Brutale turut menyebabkan penunggang kurang mendengar bunyi yang terhasil daripada sistem ekzosnya. Keadaan ini hampir sama dengan apa yang saya pernah alami ketika menunggang Ducati Monster generasi pertama.
Pada mulanya, saya sedikit risau melihat rekaan pelananya yang agak ke dalam yang boleh menyebabkan kecederaan jika membrek dengan keras tetapi apa yang berlegar di dalam fikiran meleset sama sekali. Posisi tempat meletak kaki yang sempurna membuatkan kita duduk dengan kemas, bagaikan bersatu dengan mesin. Inilah cara terbaik untuk menghasilkan sebuah motosikal serbaguna kerana bebanan dan tekanan di bahagian lengan akan berkurangan – saya masih segar dan bersemangat walaupun sudah menunggang di jalanan mendaki berselekoh dengan jarak 110 kilometer.
“Saya sudah menunggang jauh hingga ke selatan Itali dengan Rivale ini. Anda boleh menunggang pada kelajuan 130km/j sepanjang hari tanpa rasa letih, memang menakjubkan dan sangat sesuai walaupun untuk tujuan pengembaraan,” kata Andrea Vespucci, salah seorang daripada penunggang uji yang bertanggung jawab membuat ujian jarak yang menjangkau perjalanan sejauh 230,000 km.
“Apa yang kurang menyeronokkan ialah saiz tangkinya yang kecil iaitu 12.9 liter menyebabkan kita terpaksa berhenti cukup kerap untuk mengisi petrol. Dalam kelajuan purata 130km/j, Rivale hanya mampu ditunggang sejauh 140 km sahaja,” tambah Andrea.
Para jurutera MV akhirnya berjaya memberikan respon yang cukup baik di atas segala kritikan yang diberikan mengenai rekaan panel meter model-model lain. Saksikan sendiri perubahan rekaan meter digital LCD yang dilengkapkan pada model ini. Ia lebih besar, lebih jelas dilihat, info-info seperti meter kelajuan, rpm, mod tunggangan, kedudukan gear, sistem TC yang disusun kemas.
Sayangnya, tiada penunjuk tahap petrol. Ini adalah masalah yang perlu ditangani segera kerana tangki Rivale pula kecil. Baru sahaja perjalanan sekitar 110 km, penanda amaran petrol sudah berkelip dan lampu yang berkelip ini juga sangat sukar dilihat ketika menunggang di waktu siang. Dalam banyak-banyak lampu penunjuk yang berada di panel meter, lampu amaran petrol lah yang paling tidak seronok untuk dilihat. Cukup menjengkelkan terutamanya untuk perjalanan jauh.
Cermin sisi Rivale memaparkan keadaan trafik di belakang dengan baik sekali dan ianya juga mudah dilipat jika melalui situasi jalan yang sempit dengan kenderaan lain. Cukup cantik melihat akan lampu sisi dan lampu isyarat yang dipasang bersepadu dengan pelindung tangan manakala lampu belakang juga direka dengan bijak sekali.
Salah satu jalan yang kami tempuhi agak basah dan memang benar-benar menguji pengendalian mesin ini. Keadaan kembali cerah menjelang ke tengahari – masa untuk saya menguji kualiti casis baru ‘pejuang jalanan’ ini. Saya duduk ke hadapan sedikit untuk lebih senang mengendali dan bar hendal yang lebar bukan sahaja memudahkan kita bergerak tetapi menenangkan penunggang dengan pandangan yang lebih luas.
Fork hadapan jenis Marzocchi 43mm berjaya mengimbangi pergerakan motosikal ini dengan cantik sekali walaupun apabila kita cuba mengubah laluan dengan cepat. Memperlahankan kelajuan memang cukup seronok apabila sesebuah motosikal dilengkapi dengan brek Brembo jenis cakera bersaiz 320mm dan sistem slipper clutch. Saspensi model ini memang cukup hebat dan apabila digabungkan dengan sistem TC, langsung tiada rasa membuang atau mengambil selekoh melebar di setiap jenis selekoh dalam semua tahap kelajuan.
Saya memulas pendikit sehingga ke tahap 10,500rpm dengan kelajuan 200km/j dan apa yang mengagumkan saya ialah bentuk tubuh Rivale ini yang membenarkan udara melaluinya dengan tepat sekali. Masalah yang sering menimpa penunggang motosikal jalanan apabila memecut dengan laju ialah terasa kebas atau sakit di bahagian bahu – saya tidak mengalaminya dengan Rivale ini! Walaupun begitu, kelajuan paling ideal buat saya ialah sekitar 160kmj.
Kehadiran Rivale ternyata memberi ‘ancaman’ kepada para pengeluar motosikal lain termasuk yang sudah terkenal dengan mesin-mesin jalanan. Rivale menawarkan keanggunan bentuknya, kepesatan teknologi dan keselesaan tunggangan. Mesin hebat ini sudah pun diperkenalkan dan dijual di Malaysia menerusi pengedar rasminya, Chear Motor Sdn Bhd pada harga lebih daripada RM90 ribu. RR
Laporan: Alan Cathcart
Foto: Milagro
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang, 3 silinder, 12 injap, DOHC |
Isipadu | 798cc |
Gerek & Lejang | 79mm x 54.3mm |
Nisbah Mampatan | 13.3:1 |
Kuasa Maksimum | 125hp pada 12,000rpm |
Tork Maksimum | 84Nm pada 8,600rpm |
Isi Tangki | 12.9 liter |
Tinggi Pelana | 881mm |
Berat | - |
Pengeluar | Chear Motor Sdn Bhd |
Popular