RCS Austin Four - Satu Ciptaan Yang Luar Biasa
Tahun ini menyaksikan perayaan 100 tahun penciptaan kereta Austin Seven - digelar "Baby Austin" - itulah yang telah diumumkan pada November 1922 di Pameran Motor London di Olympia. Kenderaan empat roda ini kemudiannya dihasilkan pada tahun 1923 hingga 1939 di UK dan pada masa itu, tidak kurang daripada 290,000 unit telah berjaya dikeluarkan. Ia adalah kereta terlaris untuk pasaran British dan juga dijual dengan baik di luar negara, dan kesannya di Britain sama seperti apa yang berlaku di US menerusi model T Ford.
Ia juga dilesenkan oleh syarikat ini di seluruh dunia, contohnya seperti kereta bermotor BMW pertama, Dixi, adalah Austin Seven berlesen. Manakala di Perancis ia dibuat dan dijual sebagai Rosengarts, dan di Amerika Syarikat dibina oleh Syarikat Kereta Austin Amerika.
Di Jepun, Nissan juga menggunakan reka bentuk model Seven sebagai asas untuk kereta pertama mereka, walaupun pada mulanya tidak berlesen dan hanya salinan. Hal ini kemudiannya membawa kepada perjanjian 1952 yang memberi kebenaran untuk Nissan membina dan menjual kereta di Jepun di bawah nama Austin.
Banyak model Austin Sevens telah diubahsuai menjadi 'Specials' selepas Perang Dunia Kedua, termasuk kereta lumba pertama yang dibina di NZ oleh Bruce McLaren, dan Lotus pertama Colin Chapman, Mark I. Dalam dunia dua roda, beberapa pembina khas menggunakan enjin empat silinder Austin sebagai asas untuk ciptaan mereka sendiri. Seorang jurutera motosikal di Birmingham iaitu Bob Collier, telah menghasilkan enam jentera sedemikian dalam tempoh 20 tahun.
Britain sentiasa mempunyai tradisi membina Bitzas atau lebih juga dikenali sebagai ‘Specials’ dan ini sangat popular selepas perang. Apabila sudah tidak ada model-model baru lagi di pasaran UK, ia memberikan peluang penciptaan yang lebih bijak untuk menghasilkan kenderaan pengangkutan asas dengan penggunaan sedikit petrol yang sememangnya sangat terhad.
Jadi, 'penciptaan-istimewa' benar-benar berjaya ketika itu. Terima kasih kepada stok peralatan dan komponen di bekas pejabat/bangunan/bengkel Jabatan Perang (War Department). Macam-macam ada, daripada alat ganti hingga sebuah motosikal lengkap yang boleh dibeli pada harga rendah tetapi selalunya dalam keadaan yang agak teruk.
Sejak dorongan eksport tahun 1940-an menentukan bahawa sumber logam dan plastik yang berharga perlu dikembangkan untuk mendapatkan wang di luar negara - terutamanya dari Amerika. Ini adalah untuk menguatkan semula tahap kewangan di UK yang rendah ketika cuba membantu menyingkirkan Eropah daripada cengkaman Hitler. Ini bermakna mesin baru yang jarang dijual di pasaran akan menjadi barangan premium pada harga yang tinggi. Oleh itu, lebih ramai perekacipta terus menghasilkan ciptaan yang lebih esoterik sebagai cara untuk mendapatkan wang.
Antara beberapa pembina khas yang mahir dalam rekacipta ialah Bob Collier. Beliau telah membina satu demi satu jentera dalam tempoh 30 tahun, dan keistimewaan yang dimilikinya ialah kebolehan luar biasa untuk meramalkan arah aliran gaya masa depan.
Bob juga berjaya memikirkan penyelesaian inovatif dari segi teknikal yang selama ini menjadi avantgarde untuk menyelesaikan teka-teki buat para pengeluar motosikal. Tiada siapa hari ini yang boleh menghargai dengan lebih baik mengenai jentera-jentera bersejarah selain lagenda perlumbaan iaitu Sammy Miller. Segalanya boleh dinikmati di muzium yang berdiri megah di New Milton, Hampshire, England dan ya... termasuklah beberapa jentera ciptaan Bob Collier. Kunjungi laman web: www.sammymiller.co.uk untuk melihat betapa cantiknya motosikal-motosikal dulu.
"Saya mengenali Bob dengan baik semasa saya berada di Ariel pada tahun 50-an, dan dia berada di Norton. Saya amat menghormatinya di atas kebolehannya menghasilkan sesuatu ciptaan yang baru (tidak pernah difikirkan oleh orang lain) dan hakikat bahawa dia juga mampu membina ciptaannya itu dengan tangan sendiri,” kata Sammy.
“Dia akan menggunakan apa juga sumber yang mungkin ada untuk mencipta sesuatu yang baru dan berbeza walaupun pada hakikatnya ia agak mustahil. Antara yang istimewa yang dia lakukan ialah pada sebuah model Norton dengan meletakkan enjin kira-kira 60 darjah condong, meletakkan kotak gear di bawah silinder, bukannya di belakang kotak engkol. Ia adalah sebuah motosikal yang sangat bijak,” tambah Sammy.
Dilahirkan pada tahun 1913, Bob Collier bekerja selama empat tahun sebagai pelukis di kilang tayar Fort Dunlop, sebelum bertukar tugas menggunakan gergaji besi dan fail dengan menyertai jabatan eksperimen Dunlop. Ini adalah tugas yang dilindungi sepanjang berlangsungnya peperangan (WW2) dan ia juga bermaksud Bob tidak dibenarkan menyertai angkatan tentera. Dia hanya bertugas di ‘Home Guard’ sebagai penunggang penghantaran selepas waktu kerja dengan menaiki model 18 Norton 500cc 1920.
Bob kemudiannya menghasilkan jentera kapasiti besar dengan enjin OHV Norton berkembar. Lima tahun sebelum bos (akan datangnya) iaitu Bert Hopwood mencipta Dominator pada tahun 1948 yang membawa kepada penghasilan model Commando.
Walau bagaimanapun, Bob Collier melakukan ini dengan menggabungkan dua enjin tunggal Model 18 1930-an, yang dipasang bersebelahan dalam rangka 1930 Matchless V4 Silver Hawk dan menggunakan piston Levis untuk mencipta Norton Superbike 1,056cc yang mampu memecut lebih daripada 160km/j.
Apabila dia menyiapkan ciptaannya itu pada tahun 1943. jentera milik Bob mempunyai tahap prestasi yang menyeluruh, walaupun ketika menggunakan petrol oktana rendah. Ciptaan sebegini tidak pernah dihasilkan di kilang Norton di Bracebridge Street. Syarikat ini kemudiannya berpindah ke selatan dan mencipta Commando. Sammy Miller menyatakan dengan nada yang agak pedas tentang perkara itu: “Collier ingin menunjukkan kepada Norton cara melakukannya, dan seperti biasa mereka telah mengabaikannya.”
Kemudian, selepas perang tamat, Bob Collier menyertai Feridax, pengeluar aksesori dan pakaian motosikal yang berpangkalan di Birmingham di mana beliau bekerja sebagai jurutera pembangunan. Pada tahun 1949, beliau berpindah lagi untuk bekerja di Jabatan Eksperimen Norton di bawah penyeliaan Bert Hopwood. Di sini beliau bekerjasama dengan Cyril Smith untuk menghasilkan 'Side Car' yang membolehkan Smith memenangi Kejuaraan Dunia GP Sidecar pada tahun 1952.
Pada tahun yang sama Collier menghasilkan satu lagi jentera lumba jalan raya yang lebih avantgarde di bawah naungannya sendiri, dipanggil RGC (inisialnya). Ini ialah sebuah jentera GP tunggal 350cc dengan enjin AJS 7R 1949 sama seperti jentera 1970-an buatan Perancis iaitu HO 500 dan BUT 250 GP Racer.
Tetapi Bob Collier kemudiannya mengeluarkan siri motosikal empat silinder yang dikuasakan oleh enjin kereta Austin Seven itulah Bob Collier cukup terkenal. Ciptaannya itu juga bagaikan penunjuk jalan buat Honda dalam mencipta CB750R kira-kira dua dekad kemudian. “Bob juga merupakan penunggang Sidecar semula jadi yang mahir dan berani sehinggakan beberapa pengeluar bersedia memberi sokongan kepadanya. Namun begitu, dia tetap mahu menunggang motosikal ciptaannya sendiri, dengan enjin Austin Seven,” jelas Sammy Miller.
Ada dua buah jentera istimewa Bob di sini, salah seorang daripada cucunya iaitu Matt dan Mike Collier yang menderma jentera itu kepada Museum Trust pada tahun 2012, bersama-sama dengan model enjin kembar Norton milik Bob dan casis percubaan. Kami sudah mempunyai jentera empat silinder awal ciptaan Bob di Muzium, dan bolehlah mencipta ruang khas untuk jentera-jentera ciptaan Bob Collier sebagai penghormatan padanya.
Collier memiliki salah satu daripada sepuluh model Brough Superior Four yang dikuasakan oleh enjin panjang Austin Seven yang diperkenalkan pada tahun 1932. Enjin ini pada dasarnya adalah untuk kegunaan 'side car', dengan roda belakang berkembarnya.
Menurut karya yang ditulis Bob untuk “The Motor Cycle” (dia menulis beberapa artikel yang bersifat falsafah dan praktikal jentera buatannya sendiri), Collier mula mencipta jentera 4 silinder pertamanya pada tahun 1945. Model ini menggunakan enjin austin steven jenis ‘sidevalve’, yang dipasangkan pada casis New Hudson 550 1932.
Ini bukanlah yang pertama sesuatu projek dibina khas dengan enjin kereta. Pembina Bitza yang lain telah meletakkan enjin secara memanjang dalam rangka, seperti di Brough. Collier sebaliknya memasang enjin secara melintang, sama seperti dia mungkin pernah melihat Gilera lakukan pada pelumba GP 500cc superchargednya yang memenangi Kejohanan Eropah terakhir sebelum tercetusnya permusuhan.
Walau bagaimanapun, Collier tidak pernah dapat menyiapkan keenam-enam jentera empat silinder yang diciptanya pada era selepas perang dunia kedua. Ketika menceritakan pada “The Motor Cycle”, dia telah menjual Sunbeam 600cc untuk mengumpul dana bagi menyempurnakan model 'Special'. Seseorang telah datang untuk melihat motosikal itu tetapi akhirnya berkeras untuk membeli pula model RGC Four yang belum lagi siap sepenuhnya.
Ini menambah dana Bob untuk memulakan proses pembinaan model versi kedua yang dipertingkatkan. Bob menggunakan segala ilmu yang dia pelajari ketika mencipta motosikal pertama. Model ini didatangkan dengan enjin Austin – sistem sejukan cecair seperti model asal, dan dimasukkan ke dalam kerangka New Hudson. Ini berjalan lancar, tetapi rangka tegar itu tidak memuaskan hati Collier.
Jadi untuk jentera empat silinder ketiganya kali ini, Bob telah memasukkan enjin Austin ke dalam kerangka HRD-Vincent V-twin 1935, lengkap dengan saspensi belakang jenis cantilever yang memuaskan hatinya ketika berada di jalan raya. Pada penghujung 1940-an, dia membina sebuah lagi motosikal jalanan iaitu RGC Four, kali ini dengan saspensi hadapan alternatif seperti mana yang digunakan oleh Joe Wright ketika membuat Land Speed Record.
Bitza empat silindernya dicipta untuk digunakan dalam sesi Trail, selalunya lengkap dengan sidecar yang dipasang. Model lebih tua daripada dua buah Collier Four yang berada di Muzium Sammy Miller. Untuk membinanya, Bob menggunakan rangka WD Norton tegar yang diperoleh daripada Government Surplus pada harga lima paun sterling.
Collier mula menunggang Bitza ini di jalan raya sebagai solo untuk menyelesaikan sebarang masalah, tetapi kemudian mula bersaing dalam Sidecar Trail memenangi Perlumbaan Trail D.K.Mansell. Terdapat masalahnya pada radiator air terus tersumbat dengan lumpur pada bahagian kotoran dalam saingan jarak jauh yang Bob begitu ingin menang. Ia telah mengakibatkan enjin terlalu panas terutamanya pada bahagian bawah gear.
Memandangkan kebanyakan haba dijana dalam kepala silinder besi tetuang, Collier menanggalkan jaket air dan mematerikan pada susunan kepingan sirip keluli bersaiz ⅛ inci sebagai gantinya. Radiator telah dibuang dan tangki minyak setengah galon dipasang, dengan pemacu pam lori lama digunakan pada pemacu dinamo sedia ada - untuk mengedarkan minyak dengan baik. Dengan ketiadaan radiator, jentera ciptaan Collier ini bukan sahaja lebih ringan tetapi juga lebih sejuk.
Ketiadaan radiator meninggalkan banyak ruang di hadapan, Collier mengurangkan jarak roda dengan mengambil empat inci/101mm daripada tiub atas rangka Norton, memendekkan rel sokongan bawah dan membuat plat enjin hadapan baru. Ini menghasilkan jarak roda 53inci/1,346mm, seterusnya menjadikan jentera ini lebih pantas dibelokkan dan lebih responsif.
Tetapi faktor utama kejayaan Bob dalam saingan Trials ialah tork yang lancar dan penghantaran kuasa enjin empat silinder, dan nisbah kuasa kepada berat yang sangat baik bagi ‘Collier Bitza’. Ciptaan ini memberinya peluang besar untuk dinobatkan sebagai juara dalam dua atau tiga tahun berturut-turut.
Enjin ini padat, ringan dan boleh diakses. Prestasinya tidak boleh diremehkan, kerana ia sama baik dengan enjin 500cc OHV, ditambah dengan fakta bahawa kedua-duanya senyap. Unit ini agak kecil jika dibandingkan dengan Levis 350cc atau BSA 500cc.
Lawatan ke mesin penimbang awam terbukti paling mengejutkan, dengan enjin Levis berskala 87lb, BSA 105lb, salah satu enjin asal 500cc Ariel Square Four 115lb, dan Austin hanya 110lb. Apabila membandingkannya, jangan lupa bahawa Austin adalah separuh lagi besar dari segi kapasiti dan fakta ini mungkin mengejutkan mereka yang menyatakan “mesin Bitza yang berenjin kereta semestinya berat.”
Bob Collier menghasilkan motosikal jalanan dengan enjin Austin yang keenam dan terakhir pada tahun 1950-an. Model ini menggunakan kotak engkol aluminium 1933 dan enjin penyalaan koil yang sekali lagi diubahsuai untuk penyejukan udara. Collier menghasilkan kepala silinder aluminium tuangan bersirip tebal yang dibuatnya dengan tangan sendiri.
Bob Collier memasangkan motor Austin ini ke dalam rangka bekas-WD iaitu BSA M20, mengekalkan fork jenis galang BSA dan kotak gear M20 empat kelajuan. Ini adalah jentera yang didermakan kepada Miller Museum Trust oleh keluarga Collier dalam keadaan yang tidak sempurna tetapi hampir lengkap. Itu pun setelah berada di bangsal dan tidak digunakan sejak 50 tahun yang lalu. Motosikal ini kemudiannya dipulihkan oleh Sammy dan rakan sekerjanya, Bob Stanley menjadi sebuah jentera yang lebih baik berbanding ketika Collier menunggangnya!
Jadi peluang saya untuk mencuba kemahiran kejuruteraan Bob Collier adalah menerusi model Bitza binaan sendiri terakhirnya. Model ini dinamakan sejak RCS (Robert Collier Special) oleh Sammy – nah, itulah yang tertulis pada tangki bahan api! – bukannya RGC (huruf awalnya) ciptaan Bob. Tetapi, ada apa dengan nama? Kualiti dan keberkesanan kerja tangan Bob Collier itu yang penting.
Terima kasih kepada injap sisi enjin kereta mampatan rendah yang memudah enjin ini dihidupkan. Menghidupkannya semula memberikan rasa kehalusan yang sangat canggih – agak bertentangan dengan sejarah ketika ia dibina.
Jika anda belum tahu bahawa seorang individu yang bijak telah mencipta semua ini di garaj rumahnya sendiri, anda tidak akan pernah meneka perkara itu boleh berlaku. Anda pasti memuji jurutera yang berpandangan jauh mampu mencipta sebuah motosikal mewah ini lebih sedekad sebelum Honda mengikutinya menerusi model-model Superbike empat silinder era moden pertama di dunia.
RCS Austin Four yang terakhir ini bergerak secara senyap dan sangat fleksibel dengan keluasan hantaran kuasa tork. Ia memang sangat santai untuk ditunggangi. Sayang sekali tiada 'rev-counter', hanya meter speedo Smiths. Saya ingin melihat betapa hebat putaran yang diperlukan oleh enjin Austin ini untuk menarik dirinya pergi dengan lancar daripada keadaan melahu.
Tuas klac ringan dan positif, manakala anjakan gear empat kelajuan satu ke bawah kaki kanan cukup segar dan pendek dalam perjalanan. Kita sebenarnya tidak perlu menggunakan gear dengan banyak kerana enjinnya sangat fleksibel.
Walaupun tiada suspensi belakang – agak pelik, memandangkan Bob Collier begitu bersemangat untuk bereksperimen pada motosikalnya yang lain tetapi kualiti tunggangannya cukup baik. Terima kasih kepada pelana yang selesa dan luas, dan fork hadapan yang menyerap dengan baik apabila berdepan dengan jalan berbonggol yang ditemui di jalan masuk laluan (jalan persendirian milik Sammy). Jalan ini masih belum didaftarkan untuk dijadikan jalan raya umum.
Jika dan apabila itu berlaku, saya berharap dapat memujuk Sammy untuk membenarkan saya menunggang uji barisan Collier Fours di jalan-jalan New Forest yang cantik di Muziumnya. Saya rasa saya yang akan kembali tersenyum - dengan gembira, selepas berbuat demikian!
Adalah sesuatu yang luar biasa melihat bakat dan kreativiti seorang jurutera berbakat dapat belajar sendiri untuk menghasilkan pelbagai jenis ciptaan yang hebat.
Walaupun ketika dia menyertai Norton, tugasnya adalah untuk memperhalusi ciptaan orang lain dan menunjukkan kepada mereka bagaimana untuk menggerakkan kejuruteraan motosikal British ke hadapan. Saya tidak suka mengatakannya, tetapi jika Bob Collier adalah orang Itali, dia pasti telah diambil oleh satu syarikat sedemikian selepas membina motosikal kedua atau ketiganya.
Sudah tentu masa ini kita akan bercakap tentang dia dalam istilah yang sama seperti Carcano dari Guzzi atau Taglioni dari Ducati. Bayangkan jika dia diberi sumber yang dinikmati oleh lelaki sedemikian, dan membenarkan imaginasi ciptaannya menjadi lebih luar biasa.
Apa pun, terima kasih kepada Sammy Miller dan cucu-cucunya. Bob Collier kini diiktiraf - tetapi sayangnya dia tidak mendapat tahap penghargaan ini semasa dia masih hidup. Namun, saya rasa lebih baik lewat daripada tidak sama sekali! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge
Spesifikasi
Enjin | sejukan udara, 4 silinder, 4 lejang |
Isipadu | 747cc |
Kuasa maksimum | 17bhp pada 3,800rpm |
Kotak gear | 4 kelajuan, BSA |
Tayar | 3.25 x 19 Avon Speedmaster MK. II (depan) & 3.50 x 19 Avon Speedmaster MK. II (depan) & |
Saspensi | Fork girder BSA (depan) & tiada (belakang) |
Brek | jenis drum |
Laju maksimum | 112km/j |
Tahun pembuatan | 1957 |
Pemilik | Sammy Miller Museum Trust |
Popular