Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 21 Januari 2023

Honda CBR650R - Supersport Pilihan Semua Keadaan

Sebut saja Honda CBR, ia bukanlah nama yang asing buat para pencinta motosikal. Ia adalah sebuah model yang sudah pun berada di jalanan seluruh dunia lebih 30 tahun yang lalu. CBR600 menambat hati ribuan penunggang motosikal menerusi rekabentuknya yang mantap, pengendalian yang mudah dan cukup tahan lasak.

Pernah kami kongsikan apakah yang dimaksudkan dengan huruf C...B...R itu? CBR iaitu 'Cross Beam Racer' yang merujuk kepada posisi enjin yang melintang/merentasi bahagian rasuk kerangka motosikal itu. Itulah penjelasan daripada salah seorang pasukan R&D Honda iaitu Dan Hancock.

Bagi kami sendiri, daripada model CBR600F, F2, F3, F4i hinggalah masuknya RR kesemuanya masih boleh dan sesuai ditunggang hingga ke hari ini. CBR600F2 yang diperkenalkan pada tahun 1991 memang cukup memukau. CBR600 F2 menggantikan CBF600F yang dilancarkan pada tahun 1987. Lima tahun kemudian, Honda menampilkan model F3 yang bagi kami antara keluaran Honda paling berjaya.

Selepas itu lahirlah F4, F4i, RR dan yang paling 'latest' kami tunggangi ialah CBR650R. Dari segi rekabentuk, hantaran kuasa, karaktor memang jauh berbeza dengan model CBR600RR. Ye lah, model 650 ini lebih fokus kepada tunggangan yang santai, relaks dan sesuai untuk penunggang baru. Harganya juga jauh beza dengan model RR. CBR650R boleh dimiliki pada harga RM45,499 manakala harga untuk CBR600RR ialah hampir mencecah RM100k.

CBR650R disempurnakan dengan enjin 649cc, 4 silinder sebaris yang memiliki hantaran kuasa maksimum setinggi 70kw pada 12,000rpm dan tork 64Nm pada 8,500rpm. Sekali tekan sahaja suis penghidupnya, enjin Honda ini berderum dengan padu tetapi cukup senyap.

Seperti yang dikatakan tadi, posisi menunggangnya tidak membongkok. Kita dapat memaut bar hendal dengan selesa manakala bahagian kaki juga tidak memenatkan. Dengan pelana yang hanya setinggi 810mm dan berat sekitar 200kg, CBR ini mudah untuk kita kendalikan dalam kelajuan tinggi mahu pun rendah. Nak parkir pun senang. Oleh itu, nak kata motor ini sebuah model sport pun tak berapa tepat, ia mungkin lebih hampir kepada jentera street.

Ada beberapa perkara yang timbul di fikiran apabila melihat rekabentuk keseluruhan jentera ini. Jika kita amati dan menilai CBR650R ini, bahagian hadapan dan bahagian belakang bagaikan tidak serasi, tidak seimbang atau tidak sepadan. Terdetik di fikiran, ada dua 'designer' ke yang tak sehaluan? Kelakar juga tetapi memang begitulah yang dirasa.

Pihak Honda mengatakan model ini juga direka dengan DNA jentera perlumbaan. Kalau kita lihat pada rekaan bahagian hadapan (dari tangki ke lampu utama), CBR650R ini memang garang dan cukup mantap.

Nampak betul-betul kesinambungan daripada model 'abang'nya iaitu CBR1000RR Fireblade. Lampu utama jenis LED, fairing hadapan 'tajam', dikemaskan dengan ruang kemasukan udara yang cantik. Hampir sempurna! Fairing sisi juga menarik. Kita dapat melihat sebahagian daripada rekabentuk enjin yang dicipta cukup kemas, sesuai dengan rekabentuk tangki.

Kemudian 'mood' bertukar apabila melihat ekor belakang CBR ini yang terlalu pendek. Dari pelana hingga lampu belakang hampir sama dengan rekabentuk CB650R. Mungkin bukan hampir tetapi sama. Nanti anda nilaikanlah! Kalau tengok dari tepi, pelana pembonceng (bahagian belakang) berada di posisi separuh dari tayar belakang manakala 'fender' belakang dirasakan terlalu panjang. Apa pun, 'fender' ini bukan lagi jenis plastik, tetapi besi ringan yang lebih kukuh.

Kalau bahagian ini direka semula seperti 'ekor’ CBR600RR, CBR500R atau CBR250RR pun boleh rasanya. Tetapi mungkinlah pihak Honda yang meletakkan CBR650R dan CB650R dalam satu 'kumpulan’ perlu mempunyai ciri-ciri persamaan di antara satu sama lain. Untuk mengimbangi celoteh kami tentang bahagian belakang, kami akui bahawa posisi pembonceng agak selesa (tidak membongkok) berbanding model RR.

Kelancaran sistem transmisi 6 kelajuan membuatkan kita ingin terus berada di jalanan. Tidak ada sebarang gegaran walaupun kelajuan melebihi 180km/j. Bunyi daripada ekzos CBR ini juga mengujakan walaupun saiznya pendek. Dari segi rekaan, kami 'okay' je dengan ekzos macam ini. CBR650R tidak mempunyai mod tunggangan tetapi tak mengapa, sedikit pun tidak mengganggu tunggangan. 'Otai-otai' dulu pun naik motor tanpa sebarang bantuan sistem elektronik.

Menerusi panel meter Honda yang berlatar belakang warna biru gelap, kita dapat melihat pelbagai info penting yang terpapar dengan jelas sekali terutamanya di waktu malam tetapi agak tidak begitu baik ketika di siang hari. Antaranya ialah tahap kelajuan, posisi gear, tahap putaran rpm, trip, purata bahan api, tahap bahan api, jam, jarak perjalanan.

Keselesaan ketika menunggang bukan hanya terletak pada posisi menunggang sahaja tetapi turut bergantung kepada betapa mantapnya sistem saspensi sesebuah jentera itu. CBR650R didatangkan dengan fork hadapan Showa Separate Fork Function Big Piston (SSF-BP) 41mm jenis terbalik yang membantu pengendalian bahagian hadapan menjadi lebih responsif.

Keberkesanan fork depan ini dapat kami rasakan ketika membrek waktu menuruni laluan cerun yang agak curam dan sewaktu masuk ke selekoh dengan pantas. Bahagian belakang pula menggunakan lengan ayun tetuang aluminium yang menyerap segala hentakan dengan baik. Ada dua lagi ciri-ciri menarik yang menambah kecekapan dan tahap keselamatan jentera ini.

Ia adalah sistem ABS (dua saluran) dan Honda Selectable Torque Control (HSTC). Kedua-dua sistem ini membantu perjalanan menjadi lebih lancar dalam kondisi basah atau kering.
Kami tidak pasti sama ada model jenama lain memilikinya tetapi pujian harus diberikan buat pasukan yang melengkapkan CBR ini dengan 'Emergency Stop Signal'. Sistem ini akan mengesan penggunaan brek secara mengejut dan menghidupkan lampu kecemasan (hazard light) di depan serta belakang untuk memberi amaran kepada kenderaan lain.

Sedap betul menunggang CBR ini di laluan berselekoh. Tayar-tayarnya yang bersaiz 120/70ZR17M/C 58W (depan) dan 180/55ZR17M/C 73W di belakang mengigit permukaan jalan dengan sempurna sekali. Kita juga bertambah yakin untuk kekal di laluan dengan adanya brek-brek cakera yang 'bekerja' dengan cemerlang. Sistem Assist/Slipper Clutch adalah satu kemestian khususnya untuk model street seperti ini agar jentera terus lancar walaupun kita menurunkan gear dengan pantas.

CBR baru ini dah bawa kami lebih daripada 200 kilometer dengan sekali isian penuh tangki petrol yang bersaiz 15.4 liter. Pada sebuah jentera yang berharga sekitar RM45,000, ia cukup berbaloi untuk dimiliki. Kunjungi Honda Big Wing berdekatan dengan anda untuk melihat dan membuat tempahan terus! Jangan buang masa, serius... best motor ni! RR

Isu Pada

Oktober 2022

Spesifikasi

Enjin4 silinder sebaris, DOHC, 4 lejang, sistem penyejuk cecair
Isipadu649cc
Kuasa maksimum70kW pada 12,000rpm
Tork maksimum64Nm pada 8,500rpm
Tayar120/70ZR17M/C (depan) & 180/55ZR17M/C (belakang)
SaspensiShowa Separate Fork Function Big piston (SSF-BP) 41mm USD (depan) & penyerap hentak tunggal (belakang)
Brekcakera 310mm (depan) & cakera 240 (belakang), ABS
P x L x T2,120mm x 750mm x 1,150mm
Isi tangki15.4 liter
PengeluarBoon Siew Honda (BSH)

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Model Baru

MODENAS Eliminator dilancarkan di MotoGP Sepang 2024. Harga asas dari RM30,100

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS) memilih hari cukup sempurna bersempena 'pesta' MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang untuk melancarkan model terbaru, MODENAS Eliminator.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.