Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Januari 2014

Indian Motorcycles CHIEF & CHIEFTAN 2014: Terus Kekal Mantap

Sejak Polaris Industries telah bekerjasama dengan Indian Motorcycles, kami semua sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat – model apakah yang akan diperkenalkan? Jenama Indian ini mula beroperasi pada tahun 1901 tetapi diuji dengan masalah pada tahun 1962 menyebabkan struktur perniagaan syarikat ini hampir merudum teruk. Dengan bantuan kepakaran syarikat Polaris, mereka berjaya kembali ke landasan – kali ini lebih baik.

Hasil daripada penelitian dan pembangunan selama dua tahun, Bahagian R&D Polaris yang diketuai oleh Gary Gray, Pengarah Produk Motosikal telah berjaya menghasilkan bukan satu tetapi dua buah mesin baru yang tertulis nama ‘Indian’ di sisi tangkinya. Sekali lihat kita sudah dapat tahu bahawa model ini dibuat berasaskan model-model Indian Chief terdahulu. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Klasik dan Vintage.

Satu lagi model yang akan berada di bawah ‘Wigwam’ (khemah orang Red Indian) iaitu model Chieftain yang pembinaannya dirahsiakan dengan cukup teliti. Model ini menawarkan rekabentuk mewah yang lengkap dengan kotak barang keras di sisi kiri dan kanan. Itulah cerita terbaru yang menawarkan dua mesin hebat, satu jenis model ala klasik dan satu lagi model pengembaraan.

Peluang saya untuk menguji kedua-dua model ini hadir beberapa bulan sebelum ianya dilancarkan di pameran Sturgis. Saya bersama Nick Schafer (Jurutera Projek) menunggang kedua-dua model ini dari Wyoming merentasi Mississippi ke kawasan berbukit Wisconsin Barat. Ya… ia adalah tempat lahir motosikal Harley Davidson dan kami bagaikan sebuah kapal terbang yang sedang merentasi ruang udara tentera musuh.

Untuk merahsiakan model apa yang kami tunggang memang sukar kerana rekaannya mudah untuk dikenal pasti walaupun pada mulanya ada juga saranan daripada Pengurus Hubungan Luar, Robert Pandya untuk menutup logo dan tulisan ‘Indian’ dengan menggunakan pita lekat.


Sememangnya rekabentuk model-model Indian ini cukup anggun dengan beberapa bahagian besi yang berkilat dan menyinar. Ketua Bahagian Rekaan, Micheal Song dan pasukannya telah menjalankan tugas dengan cemerlang sekali. Mereka berjaya menyambung legasi pembuatan model-model dengan mengekalkan bentuk mesin cruiser klasik pada model 2014 ini. Antara jenama lain yang berjaya membuat rekaan secantik ini ialah Triumph dengan model Bonnevillenya.

Sudahlah bentuknya menawan hati, menunggangnya juga memberikan kepuasan dan ini telah membuktikan Gray dan pasukannya telah menumpukan seluruh perhatian untuk mencipta model ini dalam jangka masa yang cukup singkat. Ia mengambil hanya 23 bulan untuk menyiapkan sebuah motosikal daripada rekaan asal CAD hinggalah menjadi sebuah produk yang siap untuk diguna pakai. Mengagumkan!

Saya akui selepas beberapa lama menunggang kedua-dua model ini, ia memberikan segala apa yang diinginkan. Saya juga risau kerana perasaan ini membuatkan saya menjadi seperti salah seorang daripada wakil PR untuk Indian. Apa boleh buat kerana kedua-duanya benar-benar hebat. Sebaik sahaja melabuhkan punggung ke atas pelana Chief Vintage, saya dapati ia super selesa – hasil buatan syarikat Milsco di Milwaukee dan mereka jugalah yang telah mengeluarkan pelana untuk motosikal Indian 75 tahun yang lalu.

Pelana mewah ini bukan sahaja memberikan keselesaan semata-mata tetapi juga dibuat untuk memudahkan mereka yang agak rendah untuk menunggang Chief Vintage ini dengan keyakinan. Bak kata orang putih…“One size fits all.” Satu lagi, motosikal Indian ini juga adalah pilihan terbaik buat mereka yang inginkan sebuah motosikal yang mempunyai semangat Amerika.

Papan meletakkan kaki merupakan aksesori standard untuk kedua-dua model ini. Chief Classic dilengkapi dengan cermin pengadang angin jenis Sans yang boleh dipasang dan ditanggal pada bila-bila masa. Vintage pula direka siap dengan fairing hadapan yang sudah lengkap dengan cermin pengadang angin. Ia sesuai untuk ketinggian saya, 5’11”/ 1.80 meter terutamanya ketika memerah pendikit pada kelajuan sekitar 160km/j.

Ketinggian cermin pengadang angin model Chieftain boleh diubah menggunakan talaan elektrik dengan ketinggian 4.0 inci. Sudut cermin ini juga berubah ketika kita membuat talaan itu, membenarkan udara melalui motosikal dan penunggang dengan lebih lancar menjadikannya pilihan yang ideal untuk dibawa ke Lebuhraya Autobahn.

Berbicara mengenai aksesori elektronik, kedua-dua model ini dilengkapi dengan teknologi cruise control yang bagi saya amat-amat mudah untuk digunakan. Apa yang sedikit mengecewakan ialah sistem breknya yang kurang efisyen walaupun dilengkapi dengan sistem ABS. Ok, ia bukanlah brek yang direka untuk sebuah sportbike tetapi dengan saiz 300mm, prestasinya patut lebih baik daripada sekarang ini. Saya tidak merasakan sebarang cengkaman dan terpaksa menggunakan brek belakang dengan keras untuk memperlahankannya. Kalau dalam kelajuan tinggi… terpaksa pula kita menggunakan brek enjin untuk keputusan yang lebih sempurna.

Itulah sahaja saya rasa kekurangan pada model ini selepas seharian bersamanya. Enjin 1,811cc ini menawarkan kuasa yang kuat tetapi memuaskan hati. Kita dapat merasakan kekuatan enjinnya walaupun ketika ia melahu pada putaran sekitar 800rpm. Penukaran gear-gear Indian ini memang lancar dan tepat dilakukan dalam semua kelajuan, dalam semua kedudukan gear.

Kotak gear yang dihasilkan pada model ini boleh dikatakan lebih baik jika dibandingkan dengan motosikal lain keluaran Polaris. Ia ringan dan tidak memberikan bunyi clunky yang kuat ketika kita menggunakannya. Klac motosikal besar ini cukup lembut manakala sistem ECU Bosch menawarkan talaan yang sempurna dalam pemetaan enjin dan pembukaan pendikit.

Ia dapat dirasakan dengan jelas terutamanya ketika menunggang perlahan seperti di tempat membuat pusingan ‘U’ – kawal pendikit, main tuas klac untuk mendapatkan keseimbangan dan rasakan motosikal yang besar ini cukup mudah untuk dikawal pada semua kelajuan. Pulas sahaja pendikit, ia memecut dengan pantas meninggalkan kenderaan lain jauh di belakang.

Menunggang dalam kelajuan tinggi memang suatu yang menarik dan kehebatan perasaan ini juga dipengaruhi oleh bahagian-bahagian luaran yang mantap dan cantik. Rekabentuk ala Art Deco pelindung tayar contohnya dibuat menggunakan besi, bukan plastik. Model ini juga merupakan motosikal cruiser pertama yang menggunakan kerangka jenis aluminium. Memang hebat!

Kedua-dua mesin ini menggunakan panel meter yang berbeza di posisi yang juga berlainan. Panel meter Chieftain dilengkapkan dengan dua meter analog (rpm dan kelajuan) dan satu paparan digital yang memaparkan jarak perjalanan, suhu, jam dan paling bagus ialah penunjuk kedudukan gear. Ini adalah kunci utama yang penting bagi sesebuah motosikal yang mempunyai kuasa tork yang tinggi seperti ini. Model Chief Classic juga turut menggunakan panel meter yang penuh informasi, cuma panel meter ini diletakkan di atas bahagian tangki seperti kebanyakan motosikal cruiser.

Kuasa tork model ini terhad hingga bacaan 5,400 rpm tetapi ia adalah sesuatu yang cukup seronok jika kita dapat meletakkan jarum meter rpm di situ. Tanpa disangka, mesin ini meluncur bagaikan kilat ketika putaran enjin dibaca pada tahap rpm dan saya rasa ini adalah antara yang terpantas untuk sebuah motosikal cruiser. Kita dapat merasakan pecutan yang kuat ketika enjin berputar serendah 1,200rpm – pulas dan pecut tanpa rasakan gangguan pada enjin, sistem transmisi dan keselesaan penunggang.

Bersantai pada kelajuan 70b/sj atau 112km/j dengan bacaan rpm sekitar 2,550rpm cukup-cukup lancar dan menenangkan, ini adalah sebuah mesin terbaik jika dibandingkan model generasi sebelum ini iaitu Indian Chief Boneshaker yang dibuat oleh syarikat Stellican. Terima kasih kepada counterbalancer yang menyebabkan model ini terus lancar dan stabil dalam semua kelajuan.

Kalau kita seorang yang peka, kita tetap dapat rasakan getaran kecil pada motosikal ini. Menurut Gary Gray, ia sememangnya dibuat begitu kerana ingin mengingatkan penunggangnya bahawa ia adalah sebuah cruiser bukannya sebuah mesin elektrik.

Tidak lengkap jika sebuah motosikal cruiser ditunggang tanpa menghasilkan bunyi yang menggetarkan jiwa. Sistem ekzos kedua-dua Indian ini mengeluarkan bunyi ‘bass’ yang sedap untuk didengar walaupun ketika kita memulas pendikit dengan garangnya. Itu baru satu, sistem ekzos ini juga tidak panas walaupun ketika kita membiarkan melahu agak lama. Memang Indian berjaya menghasilkan motosikal yang lain dari yang lain.

Sempurna! Itulah yang saya rasakan terutamanya dari segi rekaan kerangkanya yang memudahkan pengendalian. Walaupun ia besar, tapak rodanya bersaiz 1,730mm (Chief Klasik) dan 1,668mm (Chieftain), kita dapat menggunakan motosikal besar ini untuk ke mana sahaja. Nak mengembara boleh, bersantai boleh dan nak menikmati jalanan berselekoh pun tidak bermasalah. Kestabilan motosikal baru Indian ini juga disebabkan kombinasi kemantapan penyerap hentak dan kebijaksanaan rekaan pelana. Ia adalah sebuah motosikal besar yang mewah, berkualiti dan pada masa yang sama ia lancar dan mudah dipacu oleh semua penunggang.

Pujian harus diberikan kepada semua di Polaris yang terlibat dalam pembikinan motosikal ini walaupun dalam masa yang singkat. Tuan-tuan dan puan-puan, model Indian telah lama tidak dibangunkan sehebat ini dan sememangnya penantian selama ini berbaloi. Saya amat berpuas hati… anda bagaimana? RR

Laporan: Alan Cathcart
Foto: Kevin Wing

Isu Pada

Januari 2014

Spesifikasi

EnjinThunder Stroke 111, sistem penyejuk udara
Isipadu1,811cc
Gerek & Lejang101mm x 113mm
Nisbah Mampatan9.5:1
Kuasa Maksimum-
Tork Maksimum161.6Nm
Isi Tangki20.8 liter
Tinggi Pelana660mm
Berat-
PengeluarIndian Motorcycles

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.