YAMAHA LAGENDA 115Z FI : Jimat & Menyeronokkan
Yamaha maju setapak lagi. Kali ini dengan memperkenalkan mesin moped terbaru Lagenda 115Z lengkap dengan sistem pancitan bahan api. Ini bagus sekali… terutamanya ketika hampir semua warga negara sedang mencari jalan alternatif untuk menjimatkan kos sara hidup.
Motosikal adalah pilihan bijak bagi mereka yang berada di tengah-tengah kota tidak kiralah yang bekerja mahu pun mereka yang masih belajar. Mengapa? Jawapannya amat mudah – kita mahukan yang pantas, tidak terlibat dalam kesesakan jalan, kita tidak ingin terlewat dalam temujanji dan pastilah kita mahu sampai awal di rumah agar dapat lebih masa bersama keluarga.
Selepas berjaya dengan model FZ150i yang diperkenalkan ke pasaran negara di awal tahun 2008, inilah model kedua keluaran Yamaha yang dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api. Model baru Yamaha ini diperkenalkan tepat pada masanya iaitu ketika pengguna sedang sibuk mencari produk jalanan yang sesuai untuk dimiliki.
Lagenda 115Z mempunyai pakej-pakej hebat yang merangkumi kemantapan enjin dan keanggunan rekabentuk. Walaupun ia adalah sebuah model baru, rekabentuk mesin ini masih mempunyai ciri-ciri model Lagenda sebelum ini yang dapat kita saksikan melalui rupabentuk bahagian hadapannya.
Dua buah lampu utamanya menggunakan mentol HS1 yang menawarkan suluhan yang terang dalam semua keadaan cuaca. Dua buah lampu kecil yang dipasang di fairing hadapan tampak mantap apabila ia disepadukan dengan lampu isyarat yang berbentuk shooting star. Panel meter Lagenda baru hampir menyamai mesin 135LC….. Susunannya cantik tetapi paling penting ialah ia dapat dilihat dengan mudah sekali walaupun ketika sedang memecut.
Tipulah kalau kami katakan lampu belakang model ini tidak cantik. Bukan terlalu memuji tetapi terus terang kami nyatakan, rekaan lampu belakang ini adalah antara yang paling cantik pernah dihasilkan pada sebuah mesin moped. Paling membanggakan ialah lampu ini turut mendapat kelulusan piawaian United Nations Economic Commission for Europe (UNECE).
Sebaik sahaja enjin dihidupkan (sama ada melalui sistem elektrik atau tendang), akan kedengaran kesegaran enjin 115cc berputar dengan lancar di samping bunyi-bunyi yang terhasil di corong ekzos cukup lembut. Seperti mana-mana model moped, Lagenda 115Z juga lengkap dengan tuas pencekik tetapi sepanjang pengalaman kami dengan enjin-enjin Yamaha – memang mudah dihidupkan walaupun setelah ditinggalkan semalaman.
Satu lagi pujian yang boleh diberikan ialah pada rekaan ruang barang di bawah pelana. Ia bukan sahaja luas tetapi juga siap berpenutup yang boleh melindungi barangan kita daripada dimasuki air khususnya di musim hujan monsun yang seringkali turun dengan lebatnya. Bagi para penunggang wanita yang ingin menyimpan beg tangan dengan selamat, inilah pilihannya.
Entah mengapa… kami tersenyum apabila memutar suis penghidup ke kedudukan ‘ON’ kerana kini moped Yamaha yang ditunggang sudah ada penunjuk sistem pancitan bahan api. Sudah lama rasanya kami menunggu saat ini. Nah! Terbukti… enjin 115 FI, SOHC, empat lejang dengan sistem sejukan cecair menawarkan putaran enjin yang lancar dengan bunyi yang cukup senyap. Best! Kami tidak berfikir lama, isi petrol dan terus memulas pendikit. Makin dipulas makin laju. Keringanan dan kesempurnaan tindak balas antara pendikit dan enjin dapat dirasakan pada semua kedudukan gear. Gear kedua dan ketiga paling sesuai untuk kita membuat pintasan.
Dengan kadar kemasukan bahan api yang lebih efisyen menggunakan sistem FI, maka pembakaran dapat dilakukan dengan baik menjadikan tindak balas antara pendikit dengan enjin menjadi lebih pantas. Pada masa yang sama, penggunaan sistem FI dengan pembakaran lebih sempurna menawarkan kadar penggunaan petrol yang lebih menjimatkan.
Jarak antara bar hendal dan lutut cukup luas, menawarkan pengendalian yang mudah untuk semua jenis penunggang. Ruang yang luas ini banyak membantu kita untuk mengubah kedudukan terutamanya ketika masuk – keluar selekoh atau pun ketika menyusuri perjalanan jauh. Mengendalikan motor ini dalam mana-mana kelajuan cukup senang kerana bar hendal model baru ini agak lebar.
Dengan kuasa maksimum 7.4kW pada 7,750rpm dan tork 9.9Nm pada 6,500rpm, ia menarik dengan pantas mesin dan penunggang tidak kira kecil atau besar. Kelajuan maksimum boleh didapati ialah sekitar 115km/j tanpa sebarang sentapan berlaku di bahagian enjin. Dengan casis yang tegar dan mantap, Lagenda ini terus tegap membelah angin. Memang mudah untuk kita memecut tetapi persoalannya adakah kita tahu untuk memberhentikan motosikal itu?
Kalau kita amati betul-betul, kemalangan tidak berlaku ketika kita sedang memecut tetapi sewaktu kita cuba memberhenti atau cuba memperlahankan kelajuan di saat-saat cemas. Seperti kebanyakan moped lain, Yamaha ini dilengkapi dengan brek hadapan jenis cakera dan brek belakang jenis gelendong yang mempunyai daya tahan optimum.
Walaupun berada di tengah-tengah kota, masih terdapat beberapa lokasi yang mempunyai jalan yang tidak berapa baik. Fork hadapan jenis teleskopik berjaya menyerap segala hentakan dengan baik sekali. Pergelangan tangan kita tidak rasa kebas atau sakit setelah menyusuri di jalan ‘berombak’ ini. Khabarnya, Lagenda baru ini mungkin akan digunakan dalam perlumbaan cub prix tanahair dan sememangnya ia cukup sesuai kerana pengendalian yang mantap dan kelancaran enjinnya.
Apabila tiba di jalan-jalan berselekoh, kestabilan Lagenda ini menyebabkan kita yakin untuk membaringkan mesin ini tambahan pula dengan adanya penunjuk kedudukan gear, kita mudah memilih gear yang sesuai sebelum memasuki selekoh. Tak adalah sekadar ‘hentam kromo’ saja, itu banyak berlaku – motor terus menghentam pembahagi jalan di hadapan akibat tersalah gear! Ini bukan sahaja berlaku di kalangan penunggang motosikal moped tetapi juga turut dialami oleh motosikal-motosikal berkuasa tinggi. Berhati-hati dan bersabarlah ketika menunggang motosikal… kita semuanya sama tidak kira kecil atau besar.
Memandang ke panel meter model ini sudah pasti mengingatkan kita dengan model 135LC kerana susun letakkan lebih kurang sama. Ia cukup terang dan mudah dilihat – memaparkan tahap kelajuan, kedudukan gear, tahap bahan api, isyarat membelok dan logo pancitan bahan api.
Model 115Z ini dilengkapkan dengan tayar hadapan bersaiz 70/90 17MC dan belakang 80/90 17MC turut menjadikan tunggangan lebih menyeronokkan kerana ia menggigit permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Tayar yang mencengkam, saspensi yang mantap dan jenteranya yang ringan (100kg) memang satu gabungan penting untuk kita terus berada di jalan raya dengan selamat.
Berbanding dengan motosikal biasa, Lagenda FI baru ini sememangnya jimat petrol. Kita dapat menunggang lebih daripada 200 km hanya dengan sekali isi. Perlu juga diingat, penggunaan bahan api ini juga bergantung kepada cara kita menunggangnya. Lagenda baru ini didatangkan dalam tiga variasi iaitu model 115ZR (ala perlumbaan) berharga asas RM5,410, 115Z (sportrim, penghidup elektrik dan tendang) RM5,168 dan 115Z dengan rim biasa yang berharga RM4,792 (rim biasa dan penghidup tendang). RR
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang, SOHC, sistem penyejuk cecair |
Isipadu | 113.7cc |
Gerek & Lejang | 50 x 57.9mm |
Nisbah Mampatan | 9.3:1 |
Kuasa Maksimum | 7.4kW pada 7,750rpm |
Tork Maksimum | 9.9Nm pada 6,500rpm |
Isi Tangki | 4.05 liter |
Tinggi Pelana | 765mm |
Berat | 100kg |
Pengeluar | Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd |
Popular