Kawasaki Z1000 Ciptaan Yang Bijaksana!
Segmen mesin-mesin jalanan atau streetbike di seluruh dunia ternyata semakin mendapat permintaan yang tinggi dan ini bererti para jurutera dari setiap pengeluar motosikal harus bertungkus lumus untuk menghasilkan sebuah produk baru yang segar, anggun, unik dan berprestasi tinggi. Kawasaki ternyata berjaya menyahut cabaran ini dengan memperkenalkan model lagendanya Z1000 di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA, di Milan pada awal November lalu.
Terima kasih diucapkan kepada Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd yang telah memberi kepercayaan kepada RR untuk menghadiri sessi pelancaran dan tunggang uji model Z1000 baru ini di Carmona, Seville, Sepanyol pada November lalu sambil diikut serta oleh Pengurus Bahagian Jualan, En. Micheal Yeoh. Sessi tunggang uji ini diadakan khusus untuk para media dengan tujuan membuktikan segala kehebatan model ini di pelbagai jenis jalanan dan muka bumi.
Seville merupakan sebuah bandar yang terletak di tepian Sungai Guadalquivir dengan populasi perbandaran seramai 703,000 orang (catatan pada tahun 2011) dan populasi metropolitan seramai 1.5 juta penduduk. Pertumbuhan ekonomi Seville datangnya dari sektor pertanian seperti tanaman pokok zaitun, wain, tembakau, persenjataan, alat ganti kapal terbang, ternakan dan pelancongan.
Terdapat tiga daerah lama yang diiktiraf sebagai lokasi Warisan Dunia iaitu Royal Alcazar of Seville (sebuah istana paling tua di Eropah yang masih digunakan hingga ke hari ini), Seville Cathedral (Gereja ketiga terbesar di dunia) dan General Archive of the Indies (bangunan yang menjadi lokasi simpanan khazanah Empayar Sepanyol).
Sememangnya Kawasaki memilih tempat yang cukup cantik untuk melancarkan produk baru mereka. Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, rekaan Z1000 baru jelas jauh berbeza. En. Yu Shibuta, Ketua Bahagian Pereka, Kawasaki Heavy Industri mengatakan model ini dihasilkan dengan konsep Sugomi. Dalam bahasa Jepun, Sugomi digambarkan sebagai aura atau kuasa hebat terhasil daripada seseorang atau objek yang dapat dirasakan oleh sesiapa yang melihatnya. Untuk Z1000, rekaan Sugomi adalah berdasarkan kehebatan seekor harimau bintang yang bukan sahaja menawarkan bentuk yang cukup garang tetapi mempunyai prestasi yang mantap.
Kemantapan rekabentuknya bermula dari bahagian hadapan yang ‘berwajah’ bagaikan seekor pemangsa. Kawasaki mencipta sejarah baru apabila memperkenalkan lampu jenis LED pertama yang dipasang pada model ini. Lampu ini memberikan suluhan yang terang, tepat dan pada masa yang sama ianya menjimatkan. Jika dilihat dengan teliti, lampu utama Z ini sebiji seperti mata seekor harimau. Untuk tampak lebih sporty bahagian panel meter turut dilengkapkan dengan lampu posisi jenis LED.
Untuk diselarikan dengan rekabentuk hadapan, bahagian belakang Z1000 turut diubah sepenuhnya. Rekabentuk ‘ekor’ yang tajam memberikan tanggapan awal kita terhadap prestasinya yang mantap dan pantas. Lampu belakangnya juga direka semula – lebih cantik dan mudah dilihat. Dari sisi pastinya kita akan mengagumi rekaan sistem ekzos 4-2 yang mantap dan muncung ekzos baru ini juga telah ditukar bentuknya dari bulat kepada bujur. Seperti Z800 dan ZX6R, pelana Z baru ini juga dilengkapi dengan huruf ‘Z’ agar tampak lebih cantik.
Seramai 16 orang penunggang dibahagikan kepada dua kumpulan. RR bersama kumpulan 1 yang disertai oleh wartawan dari Sweden, Denmark, Poland dan Norway. Sessi ujian diadakan selama dua hari dengan jarak dan lokasi perjalanan yang berbeza. Perjalanan hari pertama bermula di Parador de Carmona, sebuah istana lama yang kini dijadikan hotel mewah menuju ke kawasan lembah di Cantillana, di mana pemandangannya cukup mengagumkan.
Carmona merupakan sebuah daerah di Seville dan terkenal kerana di sini terdapat beberapa istana, gereja dan kubu kota yang dibina seawal abad ke-13. Pastinya sesiapa yang datang ke sini akan terpegun dengan kawasan bandar purbanya yang dipelihara dengan baik dan masih utuh hingga kini. Antara pusat pelancongan yang sering menjadi pilihan ialah Fortress of the Gate of Seville yang dijangka dibina pada abad ke-12 atau ke-14.
Kubu ini menjadi pusat pertahanan yang paling penting kerana ianya terletak di tanah tinggi – siap dengan menara pemerhati yang cukup efisyen. Selain menjadi nadi pertahanan bandar Carmona, kubu ini juga merupakan sebuah rumah ibadat dan penjara buat golongan atasan suatu ketika dulu. Selepas dibaik pulih pada tahun 1975, kubu ini menjadi tempat paling popular buat sekolah-sekolah berhampiran untuk mengadakan aktiviti berkaitan dengan sejarah.
Sessi ujian hari pertama merangkumi berbagai jenis pengalaman seperti lebuh raya, jalanan berselekoh, jalan bandaran dan pendakian kawasan pergunungan dengan jarak perjalanan sekitar 200 km. Sebaik sahaja meninggalkan Carmona, kami memasuki daerah Brenes yang mempunyai lebuh raya yang cukup luas dan berkualiti tinggi. Pemandangan di kiri dan kanan lebuh raya cukup indah. Ladang-ladang terbentang luas bagaikan tiada penghujung, mengingatkan kita dengan filem ‘Lords of the Ring’ arahan Peter Jackson.
Rekabentuk bahagian hadapan Z1000 yang rendah memberikan laluan angin cukup sempurna. Walaupun kita memecut dalam kelajuan yang tinggi, tamparan udara dari hadapan tidak terlalu kuat dirasa. Enjin serba baru berkuasa 104.5kW (142Ps) pada 10,000rpm menawarkan kuasa bagai tanpa batasan. Kita boleh memecut dengan pantas dan segar dalam semua gear. Pulas sahaja pendikit… Z1000 ini meluncur dengan lancar walaupun dari serendah 2,000rpm. Ketika ini sememangnya bunyi yang terhasil menerusi corong ekzos cukup-cukup mantap membuatkan kita ingin terus meningkatkan kelajuan.
Kelancaran enjin Ninja ini berputar adalah kerana beberapa perubahan telah dilakukan untuk memuaskan hati para pemiliknya kelak. Sistem pancitan bahan api (FI), Unit Kawalan Enjin (ECU) dan kedudukan penapis udara telah direka semula agar respons antara enjin dan pendikit lebih tepat dan cepat. Bahagian aci sesondol juga direka baru agar penyampaian kuasa di peringkat pertengahan lebih mantap. Dalam kedudukan gear ketiga, keempat dan kelima, kita dapat memecut bukan sahaja dengan mudah tetapi lancar tanpa sebarang sentapan pada mana-mana putaran rpm.
Bar hendal rekaan baru juga membantu menjadikan model ini lebih baik daripada sebelumnya. Penunggang bukan sahaja tampak lebih agresif tetapi rekaan ini memberikan ruang tambahan agar tangki dapat dibuat dengan lebih cantik dan ergonomik. Tangki Z1000 2014 bersaiz 17 liter manakala model terdahulu didapati dalam 15 liter sahaja. Kita mudah mengubah posisi ketika membuat pintasan atau pun ketika membuat ‘serangan’ pada selekoh-selekoh tajam.
Kami diminta berkumpul di Empangan Cazalla de la Sierra untuk sessi fotografi tetapi untuk ke sana, kami terlebih dahulu disajikan dengan selekoh-selekoh lebar di Cantillana. Jalannya memang cukup baik dan menunggang di dalam suhu sekitar 14-15 darjah adalah nikmat yang sukar dilupakan. Info: Daerah Cantillana ini terkenal dengan tanaman buah limau, buah zaitun dan jagung.
Hampir kesemua masakan di sini menggunakan minyak zaitun yang terbukti lebih sihat. Selain makanan ala barat seperti stik, pizza dan pasta, antara makanan lain yang popular di Seville ialah Huevos a la Flamenca (Telur goreng yang dimasak dengan sayur dan sosej dalam minyak zaitun), Gazpacho (Sup sayur campuran tomato, timun, bawang, lada dan halia), Pescaito Frito (snek ikan kecil yang digoreng dengan minyak zaitun) dan sup ikan tuna yang cukup lazat.
Menunggang di Eropah agak merisaukan kerana kita berada di sebelah kanan jalan. Jika di atas lebuh raya mungkin tiada masalah tetapi apabila berada di persimpangan atau di bulatan, kita mungkin tersilap laluan. Mujurlah kestabilan dan pengendalian yang stabil menjadikan tunggangan mudah dalam semua kelajuan.
Ini adalah kerana kerangka Z ini dibuat menggunakan aluminium yang bertegaran tinggi dengan pusat kestabilan optimum. Bentuk kerangka baru ini juga memudahkan penunggang mengepit bahagian sisi menggunakan lutut dengan sudut yang lebih baik. Kita dapat merasakan kuasa enjin 1,043cc, sistem sejukan cecair dengan saiz gerek yang besar (77mm x 56mm) bergerak cemerlang di bawah kerangka ini. Memang cukup mengujakan.
Tidak dinafikan panel meter Z ini kecil tetapi ia mudah untuk dibaca. Terdapat dua bahagian dalam meter ini. Paling atas ialah penunjuk rpm dan lampu-lampu penunjuk manakala meter digital (LCD) di bawah menunjukkan kadar kelajuan, jam, suhu enjin, tahap bahan api dan…. satu ciptaan baru yang menarik iaitu dalam meter digital ini juga dilengkapi dengan penunjuk rpm dari bacaan 1,000 – 3,000rpm sahaja. Apabila putaran enjin melebihi 3,000rpm barulah bacaan itu diubah ke bahagian panel atas (takometer) dengan warna yang berbeza.
Apa yang sedikit mengecewakan ialah ketiadaan penunjuk gear. Walaupun nampak seperti hal kecil, ia amat penting dan berguna terutama sekali bagi penunggang muda.
Tak lengkap jika Z ini tidak ditunggang di jalan-jalan berselekoh kerana ingin benar merasai kemantapan sistem fork hadapannya. Untuk itu kami meninggalkan Cazalla de la Sierra untuk ke San Nicolas Del Puerto – selekohnya lebih tajam. Antara tarikan menarik di sepanjang jalanan ini ialah ternakan lembu-lembunya yang bersaiz mega! Lembu-lembu yang diternak di sini bukan sahaja untuk proses daging atau tenusu tetapi termasuk spesis lembu jantan yang digunakan dalam acara Bullfighting.
Bullfighting merupakan acara ‘sukan’ tradisional yang telah bertapak di Sepanyol sejak kurun ke-8. Kisahnya bermula apabila dua orang pahlawan yang pada asalnya ingin berlawan akhirnya memilih untuk menghilangkan kebosanan dengan memburu. Rusa, khinzir dan binatang-binatang lain tidak mengujakan mereka sehinggalah ketika berdepan dengan lembu jantan Iberian yang ganas, berani dan mampu berlawan dengan hebat.
Selepas itu ia sudah menjadi ‘sukan’ kegemaran ramai khususnya yang ingin membuktikan keberanian. Terdapat beberapa negara dan tempat perlawanan antara manusia dan binatang ini diadakan iaitu di Semenanjung Iberian, Perancis, Plaza Mexico dan yang tertua ialah di La Maestranza, Seville. Nota: Acara ini kini sedang mendapat tentangan daripada para pencinta haiwan yang mendakwa ia adalah satu jenayah terhadap binatang yang tidak berdosa.
Fork hadapan Z1000 ini menggunakan sistem yang sama dengan model supersport ZX6R iaitu Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) yang sangat sesuai untuk tunggangan agresif. Tiub fork sebelah kiri berfungsi untuk menala pra-beban manakala peredam hentakan dilakukan di dalam tiub fork sebelah kanan. Dengan saiz omboh penyerap yang besar, kadar pelincir juga bertambah menjadikan tekanan peredam dapat diminimumkan. Hasilnya ialah pengendalian menjadi lebih ringan, mudah, stabil dan kita tidak akan terasa seperti ingin tercampak ke hadapan walaupun membrek dengan keras.
Model ini juga menyambung legasi keunggulan saspensi belakang model juara SBK Sedunia iaitu ZX10R. Dengan menggunakan penyerap hentak jenis melintang, ia menjadikan pusat tengah mesin ini lebih jitu – stabil ketika masuk/keluar selekoh atau menunggang pantas dengan membawa bebanan (pembonceng). Di Constantina, semua penunggang memuji Z ini. “Ia cukup mudah ditunggang. Saya tidak sangka Kawasaki berjaya menjadikan tunggangan mesin 1000cc begitu menyeronokkan. Kuasa ada di mana-mana peringkat rpm… saya cukup gembira,” komen En. Kristian, penunggang uji dari Poland.
Dari Constantina, program diteruskan ke Del Rio di dalam suhu yang lebih rendah disebabkan hujan. Ada baiknya juga apabila kita menunggang dalam keadaan begini kerana kita dapat menguji sejauh mana hebatnya model ini. Walaupun selekoh-selekohnya di sini tidak setajam di Constantina tetapi menuruni bukit di jalan-jalan basah memerlukan sistem brek yang baik. Terima kasih kepada sistem brek Z ini yang telah diperbaiki prestasinya demi keselamatan dan keseronokan menunggang.
Z1000 dilengkapi dengan brek cakera hadapan lebih besar. Kini bersaiz 310mm berbanding 300mm pada model sebelum ini dan rekaan jenis berkelopak diteruskan seperti yang diterangkan oleh En. Tsuyoshi Shibata bahawa brek baru ini memang cukup-cukup efisyen. Hanya satu jari diperlukan untuk memperlahankan kelajuan, memang mengagumkan.
Sistem brek ABS dilengkapkan pada model ini sebagai alatan standard dan adalah ‘hadiah’ terbaik buat pemilik Z yang inginkan tunggangan yang selamat dan meyakinkan. Ramai antara kami sependapat dan teruja dengan ciptaan jenama hijau ini dengan satu ucapan mudah ‘perfect!’
Dalam perjalanan pulang ke Carmona, kami menyusuri perjalanan di antara dua buah bukit yang terdapat tasik di tengah-tengahnya. Alangkah indahnya pemandangan ini. Dengan langit membiru, air yang jernih dan rumput-rumput yang sudah bertukar warna kekuningan, hati ini bagai direntap untuk memberhentikan motosikal agar dapat merakam kenangan menerusi lensa kamera tetapi semua penunggang terus memecut bagaikan tidak teruja. Mungkin mereka sudah biasa dengan bentuk muka bumi sebegini.
Ujian hari kedua dijalankan di laluan yang sama tetapi dengan jarak yang lebih pendek. Kami sekali lagi ke Del Rio kerana masalah cuaca pada hari sebelumnya, kami ingin membuat sessi fotografi sekali lagi. Ketika sedang mendaki, kami terpaksa menempuhi kawasan kabus yang terlalu tebal menyebabkan En. Tobias Schading (marsyal bertugas) memperlahankan tunggangan. Walaupun disertai oleh wartawan antarabangsa yang rata-rata berpengalaman, keselamatan adalah perkara paling utama yang ditekankan oleh pihak Kawasaki.
Suhu yang menurun ke 5 Darjah Celcius tiba-tiba memberi dugaan kepada semua penunggang. Kami hanya berpandukan lampu belakang Z1000 (terbukti cukup terang) untuk meneruskan tunggangan di kawasan berbukit ini. Lebih kurang 3 km selepas itu barulah keadaan kembali seperti biasa dan Z1000 ini diperah meratah setiap selekoh dengan kemas sekali. Oleh kerana suhu yang semakin sejuk, kami hanya sempat mengadakan sessi fotografi sahaja tanpa rakaman video.
Dengan saiz tangki yang besar, sistem pancitan bahan api yang efisyen menjadikan Z1000 ini mesin yang cukup sesuai untuk kegunaan hampir di mana sahaja. Bagi kami yang dapat mengujinya di sebuah kawasan indah, Z1000 telah menjadikannya lebih daripada satu pengalaman hebat. Ia cemerlang di jalan-jalan berselekoh, stabil ketika memecut pantas di lebuh raya dan pengendalian mudah ketika memacu di dalam bandar. Model ini akan mula berada di pasaran negara tidak lama lagi. Harap bersabar sebelum kita mengucapkan…. Selamat datang Z1000! RR
Khairil Azuan.
Spesifikasi
Enjin | 4-lejang, - silinder sebaris, DOHC, sistem sejukan cecair |
Isipadu | 1043cc |
Gerek & Lejang | 77 x 56mm |
Nisbah Mampatan | 11.8:1 |
Kuasa Maksimum | 104.5kW pada 10,000rpm |
Tork Maksimum | 111Nm pada 7,300rpm |
Isi Tangki | 17 liter |
Tinggi Pelana | 815mm |
Berat | 221kg |
Pengeluar | Kawasaki Motor (Malaysia) Sdn Bhd |
Popular