CFMOTO 700CL-X - Berbaloi Untuk Dimiliki
Selepas menunggu untuk sekian lama, akhirnya CFMOTO Malaysia membawa masuk model 700CL-X ke pasaran negara pada Januari 2022 yang lalu. Harga untuk sebuah 700CL-X ialah RM28,800, sangat berpatutan. Dengan modal bawah RM30K, kita dapat menunggang jentera yang cantik, jimat petrol, selamat dan berprestasi tinggi.
Jenama yang diedarkan oleh KTNS Holdings Sdn Bhd ini sudah mula menambat hati pengguna motosikal di Malaysia. Antara model-model yang telah pun kami uji ialah 250SR, 250NK, 400NK, 650MT, 650GT dan terkini tentulah CL-X.
Bagi mereka yang pernah menghadiri pameran motosikal di Eropah, anda akan dapati nama CFMOTO di sana memang besar. Ruang pameran mereka gah dengan susun atur moden serta barisan jentera-jentera yang saban tahun akan nampak pelbagai perubahan moden demi menepati citarasa serta kehendak para peminat dua roda.
CFMOTO meletakkan model 700CL-X ini sebagai jentera ‘Power Cruise’ dan hampir semua peminat motosikal yang kami temui sepanjang seminggu menunggang uji jentera ini memberikan respon yang positif. Rata-ratanya memuji pada rekabentuknya – kejayaan para jurutera dan pereka CFMOTO yang mempamerkan evolusi pemikiran dan daya rekaan ke arah kemodenan peringkat global.
Lampu utama CL-X ini jenis LED + DRL, berbentuk bulat yang dimantapkan dengan huruf ‘X’ untuk kelihatan lebih eksklusif. Rekabentuk bulat ini ‘diteruskan’ pada rekaan cermin sisi serta panel meter digital yang cerah dan sangat jelas. Ia memaparkan tahap kelajuan, putaran rpm, posisi gear, jarak perjalanan, trip, mod tunggangan dan macam-macam lagi.
Posisi menunggang menegak jadikan kita selesa, tidak cepat letih dan mudah untuk mengendalikan jentera seberat 196kg. Lampu belakang CL-X ini cukup cantik! Bentuknya ‘mahal’ dan memberikan sinaran yang jelas walaupun pada waktu siang. Lampu isyaratnya dipasang pada bahagian madgad + panel nombor pendaftaran. Cantik….!!! Lampu isyaratnya pula akan padam secara automatik mengikut sudut belokan. Ini bermakna selepas kita masuk/keluar simpang, lampu isyarat ini akan terpadam dengan sendirinya.
Kami kagumi rekaan tangki CL-X ini yang disepadukan pada bahagian rangka – nampak moden. Ia sebesar 13 liter dan dengan kecekapan sistem pembakarannya, kami dapat menjelajah ke pelbagai destinasi tanpa rasa risau akan kehabisan minyak. Bahagian tangki ini juga dipadankan dengan panel sisi aluminium yang memiliki ruangan kemasukan udara. Dari bahagian tangki, kita turun sikit…. bahagian enjin. Rekabentuk enjin kompak, kemas dan mata kita pastinya akan terus focus pada kecantikan sistem ekzos pendeknya ‘stainless steel‘ yang berkilat dan nampak classy.
Tinggi pelana hanya 800mm, mudah untuk ditunggang tak kiralah tinggi atau rendah. Apa yang kurang ‘best’ ialah pelana ini agak kecil – sukar untuk ditunggang berdua melainkan pemiliknya kurus ramping. Segala suis yang terdapat pada CL-X ini mudah kita guna untuk membuat talaan. Terdapat beberapa ciri-ciri moden pada CFMOTO ini, antaranya ialah sistem ABS, mod tunggangan, sistem Slipper Clutch, Cruise Control, Rollover Sensor dan Limp Mod.
Enjin 693cc, 2 silinder berputar dengan lancar dan senyap sebaik saja suis penghidup ditekan. Ia menawarkan hantaran kuasa setinggi 59kW (74.8hp) pada 8,500rpm dan tork 68Nm pada 6,500rpm. Memang cukup padu! Bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos juga garang tetapi tidak bingit.
Terdapat dua mod tunggangan iaitu Economy dan Sport yang menawarkan hantaran yang cukup berbeza. Kami menggunakan mod Economy ketika menunggang di dalam
hujan manakala selebihnya mod Sport yang memberikan tindak balas pendikit lebih galak, pantas dan padu.
Sistem kemasukan udara baru rekaan CFMOTO ini memastikan pengaliran udara lebih efisien dengan tujuan untuk dapatkan hantaran kuasa lebih lancar serta respon pendikit yang tepat. Model ini juga didatangkan dengan sistem Slipper Clutch yang membantu melancarkan proses penukaran gear.
Walaupun sistem transmisi jentera yang diuji sedikit keras, namun begitu setiap gear dapat digunakan dengan baik. Apabila putaran enjin makin tinggi, barulah bunyi sistem ekzosnya lebih garang! Pada masa ini, tangan kita memang asyik nak pulas pendikit sahaja untuk menikmati kelajuan maksima yang mampu dicapainya. Paparan panel meter menunjukkan 182km/j dan rasanya ia boleh pergi lebih laju memandangkan pendikit masih belum habis diperah lagi.
Kerangka yang tegar memberikan kestabilan yang amat meyakinkan sewaktu dalam laju maksimum mahupun ketika kita mengajak jentera ini menikmati laluan-laluan berselekoh. Dengan posisi menunggang yang natural, kita tidak perlukan banyak tenaga untuk membaringkan jentera ini ke kiri dan ke kanan. Walaupun pelananya tidak begitu tinggi, ini tidak bermakna CL-X merupakan jentera kerdil yang hanya sesuai untuk penunggang biasa. Tubuh badan jentera ini ramping disamping memberikan banyak ruang pada bahagian lutut untuk si tinggi lampai bergerak atau menukar posisi tunggangan.
Memang pada mulanya sukar untuk dipercayai bahawa CFMOTO ini dilengkapi dengan Cruise Control yang sangat membantu tunggangan lebih lancar dan tidak memenatkan. Kaedah ia berfungsi sama seperti yang digunakan oleh model-model dari jenama yang berbeza. Sebagai jentera kembara/tunggangan harian, CL-X baru ini turut dilengkapi dengan sistem USB yang memudahkan kita mengecas semula telefon pintar pada bila-bila masa.
Bagaimana prestasi jentera ini di dalam bandar? Jawapannya mudah sekali – memang best. Pada saiz yang kompak, CL-X bergerak dalam kesibukan kota dengan pantas dan menyenangkan. Bila ada ruang kosong, rentap saja kekuatan enjinnya, nah… dengan pantas kita tinggalkan kenderaan lain.
Bagi jentera 700cc, kami cukup seronok dapat mengendalikannya dengan mudah kerana ia ringan. Walaupun enjinnya ‘bogel’ tanpa fairing, kami tidak merasakan tanda-tanda panas lampau pada bahagian peha/kaki yang mengganggu tunggangan. Cermin sisi model ini tidak menghampakan, kami dapat melihat trafik di belakang dengan mudah dan jelas sekali walaupun semasa menunggang laju.
Untuk menyerap bebanan (jentera + penunggang), CFMOTO ini dilengkapkan dengan penyerap hentak tunggal di hadapan jenis USD manakala pergerakan belakang dikawal oleh lengan ayun aluminium dengan penyerap hentak boleh laras. CL-X disempurnakan dengan tayar-tayar bersaiz 110/80-R18 dan 180/55-R17 yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang.
Sebagai peminat motosikal, anda mesti kenal dengan brek keluaran syarikat Sepanyol berjenama J.Juan. CL-X ini dilengkapi dengan brek cakera depan dan belakang dari jenama tersebut. Brek depan dirasakan cukup cemerlang, kita dapat menurunkan kelajuan hanya menggunakan dua jari sahaja tetapi brek belakang unit yang diuji ini tidak begitu mencengkam. Brek-brek ini juga disempurnakan dengan sistem ABS yang sangat membantu ketika menunggang di dalam hujan atau di atas permukaan jalan yang licin.
Antara ciri-ciri menarik lain yang kami rasa amat berbaloi untuk sebuah jentera berharga RM28,800 ialah Rollover Sensor yang bertindak mematikan enjin secara automatik apabila jentera ini terbalik dan Limp Mode yang akan menghadkan kelajuan jentera ini jika berlakunya kerosakan sensor.
Tiga ratus kilometer dengan 700 CL-X telah memberi 1001 pengalaman manis. Selain beberapa isu kecil yang boleh dibaiki oleh pihak CFMOTO, kami benar-benar berpuas hati dengan keseluruhan prestasi jentera ini. RR
Spesifikasi
Enjin | 2 silinder sebaris, sistem sejukaan cecair |
Isipadu | 693cc |
Kuasa maksimum | 59kW pada 8,500rpm |
Tork maksimum | 68Nm pada 6,500rpm |
Tayar | 110/80-R18 (depan) & 180/55-R17 (belakang) |
Saspensi | fork USD (depan) & lengan ayun aluminium (belakang) |
Brek | cakera dengan brek angkup J,Juan beserta ABS |
P x L x T | 2,107mm x 887mm x 1,200mm |
Isi tangki | 13 liter |
Pengeluar | KTNS Holdings Sdn bhd |
Popular