Bimota KB4: Super Tourer
Pada November 2019, Kawasaki telah meraih nilai saham sebanyak 49.9% dalam jalinan bersama Bimota yang telah membantu jenama ini kembali bernafas. Walaupun masalah kelembapan isu bekalan komponen yang dihadapi, Bimota kini dengan penuh bangga membina kesemua 250 model edisi terhad yang diperkenalkan di pameran motosikal EICMA 2020.
Model Tesi H2 juga sekarang ini telah dihantar kepada setiap para pengedarnya di seluruh dunia lebih-lebih lagi di Jepun. Dengan kemunculan semula model-model ini, barulah ia sesuai dengan pegangan mereka iaitu ‘The Revolution Continues!’
Tesi H2 kini akan disertai oleh KB4, sebuah model yang kurang radikal tetapi tetap inovatif. Ia dipertontonkan di EICMA 2020 sebagai model konsep. KB4 mula memasuki fasa pengeluaran pada bulan November 2021 yang sebelum ini telah ditunjukkan sebagai motosikal konsep di EICMA 2020 kemudian dipaparkan pula sebagai model yang sedia untuk fasa penjualan pada November 2021. Untuk pasaran Jepun, KB4 ditawarkan pada harga 4,378,000 yen termasuk cukai 10% (3,980,000 + cukai 10%: 398,000) atau sekitar Euro31,200 atau Euro28,400 (harga tanpa cukai).
Sayangnya, masih tiada sebarang kenyataan rasmi tentang harga sebenar model ini di pasaran Eropah. Ia perlu disegerakan kerana pengeluaran untuk model ini sedang dijalankan dengan giat. Pengeluaran KB4 berpusat di kilang baru Bimota yang bersaiz 2,500m² bersama 13 orang kakitangan.
Dalam lawatan saya baru-baru ini, kira-kira 105 unit telah siap sepenuhnya dan 30 buah lagi telah pun dihantar ke Jepun. Saya amat berbangga apabila menjadi salah seorang yang dipilih untuk menunggang uji model ini. Sehingga kini, saya telah menunggang dan berlumba hampir setiap model Bimota yang diperkenalkan dan tahniah buat mereka yang akan menyambut ulang tahun ke-50 pada tahun hadapan.
Untuk merasai model ini, saya berkesempatan untuk menikmati perjalanan yang sejauh 215 kilometer di pelbagai jenis jalan termasuklah laluan berbukit di belakang kilang Bimota, Rimini yang agak mencabar. Apa yang mengejutkan, model yang diuji ini amat berbeza dengan apa yang saya tengok di Milan tahun lalu.
Itu kerana gaya langsing KB4 yang direka oleh Enrico Borghesan menjadikannya kelihatan baru dan segar berbanding rekabentuk kebanyakan model-model Bimota dulu yang dihasilkan oleh COO & CTO Bimota, Pierluigi Marconi, 62 tahun.
"Jika kita mahu mencipta generasi baharu sebuah superbike dari Bimota, kami perlu menggunakan enjin ZX-10RR Kawasaki untuk berbuat demikian,” kata Marconi. “Kami juga akan berdepan dengan kesukaran khususnya untuk mempertingkatkan kemampuan sebuah motosikal yang telah memenangi tujuh gelaran Superbike Dunia.
“Oleh itu, kami membuat keputusan untuk menggunakan motor 1043cc daripada Ninja Z1000SX, kerana objektif kami adalah untuk menawarkan sesuatu yang terbaik buat para pelanggan iaitu sebuah Sport Tourer... bukan, Super Tourer lebih tepat! - yang merupakan motosikal yang memiliki pengendalian terbaik untuk kegunaan harian,” Pierluigi Marconi.
“Konsep mencipta KB4 ialah untuk memberikan sebuah jentera yang mudah dikendalikan seperti 600cc tetapi dengan enjin 1000cc. Model ini pendek, hanya 1,390mm (tapak roda) dan mempunyai kelebihan berat di bahagian hadapan – ini kerana kedudukan enjin di hadapan. Posisi itu membolehkan kami meletak radiator ke belakang, bawah pelana” tambah beliau.
Format sebegini sememangnya sudah biasa buat Marconi sejak 20 tahun yang lalu – ketika Adrian Morton merekacipta Tornado dan TnT 900 Triple.
Ia adalah satu format yang telah pun dipelopori oleh Britten V-1000 Twin, serta Saxon Triumph 900 Triple yang saya pernah gunakan untuk berlumba dalam Siri Dunia BEARS. Saya berjaya menewaskan Britten untuk memberi kemenangan buat jentera 'triple' dari British. Faedahnya adalah sama seperti layout untuk KB4 – berat yang lebih ke hadapan terbukti sangat baik untuk mengekalkan kelajuan walaupun tanpa kipas radiator. Ini bermakna bahawa saya dan para pelumba Britten perlu memastikan untuk berada di belakang petak grid. Ini untuk mengelakkan enjin terlalu panas semasa menunggu perlumbaan dimulakan.
Bimota KB4 dipermantapkan dengan pemasangan kipas 'pengekstrakan' kuat yang bermula apabila suhu penyejuk mencapai 100°C, dan akan menurunkannya kepada 95°C. Penggayaan Borghesan menggabungkan dua saluran penyejuk yang sepanjang jentera ini, dengan dua lagi saluran di bawah lampu bulat tunggal.
Sememangnya, keseluruhan stok pakej mekanikal dan elektronik Z1000SX telah dipindahkan ke Bimota, justeru bukan sahaja mengurangkan masa dan kos yang sepatutnya dibelanjakan tetapi juga memiliki sistem keselamatan dan prestasi enjin yang tidak perlu lagi dipertikaikan.
Enjin KB4 Euro5 ini mempunyai nisbah 11.8:1 yang memberikan hantaran kuasa setinggi 142bhp pada 10,000rpm – sama seperti Ninja SX. Hantaran kuasanya yang licin dan lancar memperlihatkan kuasa enjin ini dihantar menerusi dua mod kuasa iaitu Full dan Low. Kekuatan enjin ini dikawal oleh 4 mod tunggangan seperti Sport, Road, Rain dan Mod Pilihan Penunggang.
KB4 turut dilengkapkan dengan sistem Traction Control (3 tahap). Turut dipindahkan dari Kawasaki ke Bimota ialah panel meter TFT, sistem Quick-Shifter dan Cruise Control.
Dari segi pembinaan model ini, kerangka jenis trellis dibuat menggunakan keluli tiub chrome-moly yang bertegaran tinggi. Turut menjadi penyumbang kepada tunggangan yang cemerlang ialah fork hadapan 43mm jenis terbalik Ohlins FG R&T NIX30. Bahagian belakang pula dikawal oleh lengan ayun aluminium tunggal dengan penyerap hentak Ohlins TTX36.
Bagi memahami keperluan menunggang dengan selamat dan menyeronokkan, Bimota ini dilengkapi dengan brek cakera bersaiz 320mm di depan dan 220mm beserta sistem ABS. Posisi menunggang tidaklah begitu selesa tetapi masih menegak menawarkan keselesaan khususnya untuk mereka yang ingin melakukan perjalanan jauh. Motosikal ini juga direka untuk memudahkan rakan-rakan yang tinggi lampai memanjat ke atasnya.
Apabila putaran enjin mencecah 6,500rpm dan ke atas, kita akan dapat rasakan tenaga enjin ini hadir dengan tenang – dengan kuasa yang selembut ini, saya tidak perlu menggunakan sistem QS. Selalunya saya akan menggunakan tuas gear setiap kali panel meter mencecah 7,500rpm tetapi dengan Bimota ini, hantaran kuasa tetap bertenaga dalam apa juga keadaan. Tenaga enjin ini dapat kita 'perah' sehingga 11,800rpm sehingga mencecah 'Rev Limiter.
Ketika berada di laluan berselekoh, saya kekal berada dalam gear ketiga dengan agak lama dan ketika itu kelajuannya hanya sekitar 40km/j dan apabila tiba di laluan lurus, saya menambah kelajuan dan posisi gear untuk memecut ke tahap 160kmj.
Tahap pengendaliannya adalah kunci utama dan Bimota ini sangat yakin untuk berada di selekoh dalam kelajuan tinggi mahu pun rendah. Inilah tradisi penciptaan jentera Bimota – kestabilan dan ketangkasan sentiasa di utamakan dari dulu hingga kini. Tidak dinafikan ia adalah model Bimota antara yang terbaik pernah saya tunggang dan datangnya dengan penggunaan sistem saspensi jenis Ohlins yang saya jamin lebih cemerlang berbanding model sebelum ini.
Tayar-tayar yang dilengkapkan pada KB4 mencengkam dengan cemerlang sekali walaupun ketika berada di jalan-jalan yang berbonggol dan tidak rata. Saya kemudiannya mengekori Gianluca untuk menguji sistem saspensi litar yang diadakan di jalan belakang Republic of San Marino yang mempamerkan kelincahan serta ketangkasan jentera ini.
Jujurnya kerjasama di antara Kawasaki dan Bimota adalah satu rancangan serta keputusan yang sangat bijak. Kita tidak menyangka jentera unik ini dapat memberikan nikmat tunggangan yang benar-benar hebat. Lihat sahaja pada rekabentuk keseluruhan KB4 ini.... Ia adalah gabungan model-model hebat pada era 1970-80an yang kini dipadatkan dengan pelbagai elemen moden masa kini.
Apabila melihat Bimota ini berulang kali, kita dapat bayangkan betapa bangganya para pemilik jentera ini yang memiliki sebuah motosikal yang sangat sukar dimiliki. “Ada orang kata, kita naik motor kerana terpaksa.... tetapi dengan Bimota ini, kita naik motor kerana ia satu nikmat yang sukar untuk dilepaskan! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, 4 silinder, DOHC |
Isipadu | 1,043cc |
Kuasa maksimum | 105kW (142hp) pada 10,000rpm |
Tork maksimum | 111Nm pada 8,000rpm |
Transmisi | 6-kelajuan |
Tayar | 120/70ZR17 (depan) & 190/50ZR17 (belakang) |
Saspensi | fork USD (depan) & lengan ayun aluminium (belakang) |
Brek | cakera 320mm (depan) & cakera 220mm (belakang) |
P x L x T | 2,050mm x 774mm x 1,150mm |
Tinggi pelana | 810mm (+/-8mm) |
Popular