Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 4 November 2022

Benelli Leoncino 800 trail 2022: Tawar Prestasi Mengagumkan

Benelli merupakan pengeluar motosikal Itali yang tertua, bakal meraikan ulang tahun ke-111 tahun ini. Syarikat penuh sejarah ini diasaskan oleh seorang ibu bernama Teresa Boni Benelli pada tahun 1911 dengan hasrat untuk memberikan pekerjaan yang stabil buat enam orang anaknya. Beliau meletakkan anak-anaknya untuk menjalankan bengkel membaik pulih barangan mekanikal yang termasuk urusan berkaitan motosikal dan kereta. Perniagaan mereka membuahkan hasil yang baik sehinggalah insiden gempa bumi berlaku pada tahun 1916 yang telah memusnahkan perniagaan tersebut.

Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, mereka (adik beradik) membangunkan semula syarikat dari asas dengan memberi tumpuan untuk pengeluaran enjin. Mereka telah merekacipta dan membangunkan enjin dua lejang 75cc untuk dipasangkan secara clip-on untuk basikal.

Usaha dari skala kecil itu akhirnya berkembang sehingga dapat mengeluarkan sebuah motosikal yang siap sepenuhnya. Sebuah jentera berenjin 98cc dua kelajuan, dua lejang telah diperkenalkan pada tahun 1921. Ini bererti, Benelli sememangnya sebuah pengeluar motosikal tertua di Itali yang memiliki pengalaman cukup luas dalam bidang permotoran.

yang mengagumkan, sejak mempunyai hubungan dengan Qiangjiang Motor, jumlah penjualan jentera-jentera dari Benelli semakin meningkat. Pelbagai model terus diperkenalkan untuk menepati citarasa para peminat motosikal khususnya di Itali dan ini terbukti apabila lebih daripada 13,000 unit jentera Benelli berjaya dijual di Itali sahaja pada tahun 2021.

Itulah hasil daripada kilang pembuatan milik QJ di Wenling sebesar 670,000 meter persegi yang mampu mengeluarkan pelbagai model menarik dalam kapasiti yang besar. Walaupun pengeluarannya di China, proses untuk rekaan dan penggayaan dilakukan di Pesaro, Itali. Benelli TRK502 merupakan antara model kembara yang terlaris sejak dua tahun di pasaran Itali dan ia melebihi hampir semua jenama termasuk nama yang besar-besar seperti BMW R1250GS yang berada di tempat kedua.

Dalam masa lima tahun, Benelli telah menjual sebanyak 39,000 unit model ini di Eropah sejak dilancarkan pada tahun 2017 yang lalu. Model jalanan biasa terjual sebanyak 14,000 manakala selebihnya 25,000 unit lagi adalah model TRK 502 X yang memiliki spesifikasi lebih lasak.

Kejayaan itu membawa kepada pengenalan model baru Leoncino 800 yang turut menyumbang kepada populariti jentera-jentera dari Benelli. Leoncino diperkenalkan di EICMA pada tahun lalu tetapi mula berada di pusat pengedar mereka baru-baru ini. Kelewatan ini berpunca daripada kekurangan barangan asas, semikonduktor dan masalah perkapalan yang memberi impak kepada semua pengeluar motosikal – walaupun dari China.

Leoncino Trail didatangkan dalam dua versi iaitu Road untuk jalanan biasa dan varian Trail yang sesuai buat para peminat perjalanan yang lasak/offroad. Langkah untuk membuat dua versi ini sama seperti mana yang mereka lakukan pada TRK502 dan TRK502 versi X.

Kemantapan model Trail ini dibuktikan menerusi sesi tunggangan uji yang diadakan pada acara Pelancaran Media Global. Sesi tunggangan uji ini berjarak 180km yang merangkumi perjalanan di laluan luar bandar di Pesaro termasuk 30km jalanan sukar/offroad di laluan terkenal ‘strade bianche’ – jalan lasak berpasir putih serta jalanan berselekoh di laluan berbukit Appennines.

Leoncino - secara literal bererti 'Singa Kecil' yang diambil bersempena lambang kota Pesaro. Ia juga nama yang diambil bersempena model terbaik Benelli sepanjang zaman yang terjual sebanyak 50,000 unit di antara tahun 1951 hingga 1972.

“Versi terbaru ini merupakan versi terakhir jentera berenjin kembar-parallel selepas BN302 yang merupakan ahli keluarga paling awal masuk ke produksi diikuti 500cc pada tahun 2018 dan tentulah yang terkini 750cc atau 800cc yang dikeluarkan untuk mencabar model jalanan lain seperti Yamaha MT-07 dan Ducati Scrambler,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Benelli, En. Yan Haimei.

Penggayaan rekabentuk model ini dilakukan di Pesaro oleh Ketua Bahagian Rekabentuk, Stefano Casanova dan disempurnakan dalam dua warna satin Hijau dan Silver Grey. Secara kebetulan warna ini juga merupakan warna jentera perlumbaan yang digunakan oleh Kel Carruthers ketika memenangi World 250GP pada tahun 1969 yang lalu.

Untuk pasaran Itali, model ini ditawarkan pada harga €7,990 termasuk cukai 22%, harga ini €500 berbanding model Road. Namun begitu, kedua-dua versi menggunakan enjin kembar-parallel 754cc yang sebelum ini telah digunakan pada model 752S. Menurut Benelli Malaysia, model ini dirancang untuk dipasarkan dalam negara pada penghujung tahun ini.

Seperti yang terdapat pada model TRK502, Leoncino 800 turut menggunakan sistem kabel pendikit berbanding sistem Ride By Wire, jadi… tak adalah mod tunggangan, traction control atau bantuan elektronik selain sistem ABS yang sememangnya diwajibkan untuk piawaian Euro5. Mantra syarikat QJ, “Simple is the best.”

Model ini dilengkapi dengan penderia atau sensor oksigen berkembar yang dipasang pada sistem ekzos berpiawaian Euro 5 yang lengkap dengan pemangkin untuk mengoptimumkan bahan api yang dikawal oleh ECU Delphi beserta penyuntik jenis tunggal. Enjin kembar-parallel Benelli ini adalah seberat 68kg tanpa mengira badan pendikit dan ‘counterbalance’ yang diletakkan di hadapan aci engkol.

Enjin yang kompak ini mempunyai nisbah mampatan 11.5:1 dengan dimensi 88 x 62 mm seperti mana yang digunakan pada enjin Benelli Triple 1131 kira-kira 25 tahun yang lalu.

Dari segi spesifikasi enjin, apa yang digunakan oleh Leoncino ini tidaklah seperti yang terdapat pada model 752S dulu dan menurut Pengurus R&D, Stefano Michelotti, perbezaan di antara enjin baru ini dengan yang lama adalah sebanyak 45% termasuklah dengan kepala silinder baru, penutup camchain, penutup generator dan lain-lain lagi. Apa yang masih kekal ialah kotak gear enam-kelajuannya manakala gigi sproket Benelli ini telah dinaikkan daripada 43T kepada 46T.

“Ketika memikirkan konfigurasi enjin Leoncino 800 ini, kami menguji versi 360° dan 270°. Bahagian pembangunan di China dan Itali juga mempunyai pandangan yang berbeza tentang yang manakan paling bagus. Itali suka dengan sudut 270° atas sebab karaktor hantaran tenaga dan torknya manakala pihak sebelah sana lebih cenderung untuk mengulangi rekaan yang telah mereka lakukan pada model 300cc dan 500cc yang bersudut 360°,” kata Stefano Michelotti.

“Apabila kami di Pesaro membuat keputusan untuk memperkenalkan model baru 750cc, kami tidak mahu sekadar menghasilkan sebuah jentera yang hanya bersesaran lebih besar tetapi berhasrat ingin menawarkan sesuatu yang baru dan lebih mantap untuk para pelanggan.”

Dalam ujian dyno, kami tidak melihat sebarang bacaan kuasa yang berbeza antara dua konfigurasi tersebut, tetapi dari segi geseran dan cengkaman memang berbeza. Ini termasuk sudut lengkungan kuasa tork. Anda boleh merasakan tindak balas yang lebih baik ketika putaran enjin berada pada kedudukan 4,500rpm hingga 6,500 rpm, dan ini ialah tahap putaran yang biasa dimiliki oleh motosikal di jalan raya. Jadi, kami berjaya meyakinkan rakan-rakan China kami bahawa 270° adalah yang terbaik, dan itulah yang akan dimiliki oleh semua model kapasiti kami yang lebih besar mulai sekarang!" Tambahnya.

Model ini menghasilkan kuasa maksimum 75 bhp pada putaran 8,500rpm dan tork 67 Nm pada 6,500rpm. Saiz enjin dinaikkan dan ia adalah enjin motosikal terbesar yang kini berjaya dihasilkan oleh pengeluar China. Model ini dilengkapi dengan lengan ayun jenis keluli dengan penyerap hentak cantilever - lengkap dengan pelaras spring prabeban yang mudah untuk kita gunakan khususnya untuk menambah kekerasan jika penunggang ingin membawa kotak barangan atau penumpang.

Leoncino versi Trail ini menggunakan rim jenis aloi berjejari yang dibuat sepenuhnya di China yang dipasangkan dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR bersaiz 120/70-19 di depan dan 170/60-17 di belakang. Untuk mengawal pergerakan tayar dan jentera ini, Trail hadir dengan sepasang brek cakera bersaiz 320mm di depan dan 260mm di belakang beserta sistem ABS dua saluran. Untuk sesetengah pasaran, Benelli menawarkan sistem saspensi jenis Marzocchi dan brek jenis Brembo sebagai aksesori pilihan.

Pelana setinggi 834mm milik Trail ini cukup empuk dan selesa – sepadan dengan posisi menunggangnya yang ideal. Dengan pelana yang tinggi dan tempat pemijak agak ke bawah, saya dapati ruang untuk kaki luas dan mudah untuk kita bergerak. Para penunggang akan dapati model ini cukup mudah untuk dikendalikan.

Tangki juga direka begitu rapi manakala rekabentuk tangki yang sempurna, saya dapat mengepit tangki menggunakan lutut dengan mudah sekali. Terima kasih buat bar hendalnya yang lebar, kita cepat serasi untuk membaringkan ke kiri dan ke kanan dengan mudah serta tangkas.

Cermin sisi model ini direka untuk membolehkan kita melihat keadaan trafik dengan mudah cuma apa yang agak mengecewakan ialah pada panel meter TFTnya. Walaupun bersaiz 5”, tetapi ia agak sukar untuk dibaca terutamanya di bawah sinaran matahari. Sayang sekali kerana segala info yang dipaparkan itu cukup lengkap dengan penunjuk kelajuan, penunjuk takometer, jam, jarak perjalanan, trip, tahap bahan api, suhu air dan penunjuk kedudukan gear yang besar.

Lampu posisi depan, lampu belakang dan lampu isyarat semuanya jenis LED dan apabila melihat pada kemasan pada di semua bahagian, kualiti pembikinan model ini memang cukup tinggi. Ini termasuk wayar dan kabel yang terdapat pada bahagian bawah pelana, semuanya tersusun rapi.

Enjin model ini bergerak dengan sangat lancar sebaik sahaja kita menekan suis penghidup dan apabila pendikit dikoyak dengan agak galak, kita dapat mendengar enjin v-kembarnya menderum serta menghasilkan bunyi sistem ekzosnya yang cukup mantap.

Dengan adanya Balance Shaft, tidak ada sebarang gegaran terasa pada pelana, bar hendal atau tempat pemijak Benelli Leoncino ini. Tapi Trail bukanlah sebuah jentera yang manja, ia perlu garang dan oleh itu, saya menambah/mengurangkan dengan kaedah short-lifting pada setiap 7,000rpm dan ia memang memberi ketagihan. Mantap!

Kotak gear 6 kelajuan milik Benelli ini cukup senyap dan lancar sekali tetapi klacnya masih tidak begitu lembut. Selepas 20 minit menunggang jentera ini di kawasan yang agak sesak di Pesaro, tangan saya terasa lenguh, menyebabkan saya teringat masalah yang sama dihadapi satu lagi jenama besar dari Itali 20 tahun dulu yang akhirnya dapat juga diatasi. Sayang juga apabila mengenangkan pelaburan yang dilakukan untuk memantapkan sistem klac ini tidak membuahkan hasil.

Saya benar-benar kagum dengan keupayaan sistem saspensi yang dicipta sepenuhnya oleh QJ ini – memang tidak saya jangka ia sebaik yang dirasakan sepanjang sesi tunggang uji. Ia menyerap segala hentakan dengan baik ketika saya menyusuri laluan-laluan yang kurang sempurna. Stefano Cardellini, penunggang uji Benelli mengajar saya cara-cara untuk menala saspensi belakang dan saya dapat rasakan kadar penyerapannya yang memang sangat wajar diberi pujian. Bagi para pelanggan Benelli, anda tidak perlu memilih untuk menukar sistem saspensi lain kerana unit asalnya dari QJ ini sudah cukup mantap!

Sistem brek juga berada di tahap yang sepatutnya. Ia mencengkam dengan sempurna tidak kiralah sewaktu di laluan biasa mahupun di jalan-jalan offroad tetapi kena tarik keras sikit apabila berdepan dengan laluan yang curam. Tidak lupa juga, sistem slipper clutch sangat membantu menjadikan pergerakan kita lebih stabil dan meyakinkan.

Sememangnya ia bukanlah sebuah motosikal yang sempurna lebih-lebih lagi jika kita bincangkan dari segi enjin yang sepatutnya sudah menggunakan sistem ride by wire, tetapi hakikatnya ia adalah antara pilihan terbaik sesuai dengan kos pembelian.

Leoncino terbukti memiliki hantaran kuasa yang lebih baik berbanding TRK502 walaupun memiliki gaya nisbah gear ‘rapat’ yang hampir serupa di antara kedua-duanya. Dengan pecutan yang mantap, kita hanya perlu 5,500rpm untuk mencapai kelajuan 100km/j dan pada 6,500rpm, Trail ini dapat ditunggang dengan sangat selesa pada kelajuan ideal iaitu sekitar 120km/j.

Faktor utama mengapa model ini cukup sedap dibawa ke mana sahaja ialah menerusi kestabilan dan kadar penyerapan sistem saspensi yang memang cukup mengagumkan. Ia adalah satu peningkatan yang sangat ketara berbanding TRK dulu. Tapak roda Trail lebih pendek daripada TRK502 (1460mm berbanding 1525mm) yang menyumbang kepada pengendalian yang lebih tepat.

Sekali lagi dikatakan, cubaan dan kesungguhan QJ untuk mempelajari, membangunkan dan menghasilkan sistem brek dan sistem saspensi tanpa bantuan ‘orang luar’ memang patut dicontohi oleh pengeluar motosikal yang lain – jangan terlalu harapkan orang lain, percaya dengan kemampuan diri sendiri.

Benelli menghasilkan sebuah produk yang mampu dimiliki oleh semua peminat motosikal kerana harganya yang berpatutan dan model ini juga mudah ditunggang oleh semua golongan penunggang tidak kira lelaki mahu pun wanita malah sesuai untuk rakan-rakan yang baru ingin mendekati dunia motosikal berkuasa tinggi.

Dari segi casis, sistem saspensi, kekuatan enjin, kualiti pembikinan dan pengendaliannya yang mudah membolehkan Benelli Trail ini ditunggang ke destinasi-destinasi pilihan. Beberapa kelemahan yang terdapat pada model ini pastinya akan diatasi oleh pihak QJ dari masa ke semasa. Benelli semakin positif dalam penghasilan motosikal yang kini berdiri sama tinggi dengan model-model dari Jepun, Eropah, India dan Thailand. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Benelli QJ/Fabio Polimeni

Isu Pada

Julai 2022

Spesifikasi

Enjin2 silider, 4 lejang, sisntem penyejuk cecair, DOHC
Isipadu754cc
Kuasa maksimum56kW pada 8,500rpm
Tork maksimum67Nm pada 6,500rpm
Tayar120/70 R 19 M/C 60V (depan) & 170/60 R17 M.C 72V (belakang)
Saspensifork USD 50mm (depan) & lenga ayun dengan penyerap hentak tengah (belakang)
Tinggi pelana834mm
P x L x T2,200mm x 870mm x 1,210mm
Isi tangki15 liter, simpanan 3 liter
Berat234kg

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Model Baru

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA, Fantic Caballero 700 baru telah diiperkenalkan dalam dua edisi khas iaitu Deluxe dan Travel.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.

Model Baru

Triumph Trident 660 Baru Diperkenalkan. Harga asas RM46,900

Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia telah melancarkan model terbaru Trident 660 yang akan tersedia dalam pasaran negara tidak lama lagi.