Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Disember 2015

PGM V8 : Jentera Berprestasi Tinggi!

Sedang saya melihat mesej-mesej menarik di hadapan saya, tulisan 'PGM V8, 334HP, 2.0 liter dengan enjin V8' cukup menarik perhatian! Turut dilampirkan bersama ialah tiga keping gambar jentera jalanan V8 yang mantap dan sangat hebat bersama satu pesanan 'indah' iaitu “Kami ingin menjemput anda sebagai orang luar pertama untuk menguji jentera PGM V8 ini jika berada di Australia nanti,” ditandatangani oleh seorang lelaki bernama Paul Maloney.

Di mana ya saya dengar nama itu? Oh ya! Dia merupakan seorang jurutera perlumbaan yang bekerja untuk pasukan Harald Eckl kira-kira 10 tahun yang lalu – termasuk menghasilkan jentera perlumbaan Kawasaki Superbike dan beberapa enjin jentera MotoGP. Rasanya kami pernah bertemu ketika di sesi tunggang uji motosikal di Zeltweg tetapi betul ke dia orang yang sama? Apa pun... dunia ni memang kecil, mungkin juga orang yang sama, siapa tahu.

Dua bulan kemudian saya terbang ke ibu pejabat Maltec Performance Engineering’s yang terletak di Victorian Goldfields. Selepas menunggang jentera ini seharian, saya tersenyum kepuasan kerana ia benar-benar sebuah motosikal yang mengagumkan! Menerusi mesin dyno, PGM V8 mampu menawarkan kuasa setinggi 334 bhp di tayar belakang pada 12,800rpm dengan tork 214Nm pada 9,500rpm.

Walaupun jentera ini besar dan tegap, klacnya cukup lembut – guna satu jari sudah cukup. Dalam kelajuan rendah, ia umpama seekor kucing comel yang sedang merayau-rayau di dalam bandar tetapi segera ia menjelma seumpama seekor Raja Rimba apabila pendikit dipulas dengan keras. Dengan adanya sistem ride by wire (RbW), proses pecutan lancar dan mengujakan. Ketika ini perlu kita memegangnya dengan erat kerana jentera seberat 242kg dengan tangki sebesar 16.5 liter ini 'berlari' bagaikan jentera perlumbaan drag. Ia mengingatkan saya pada mesin kesayangan saya Vee Two Super Squalo berenjin v-kembar yang tidak kurang hebatnya. Aneh.... mesin milik saya itu juga keluaran Australia.

Australia terkenal sebagai sebuah negara yang mampu menghasilkan apa sahaja. Ia sebuah negara yang menjadikan masalah itu sebagai peluang, kesukaran itu sebagai cabaran dan sentiasa membayangkan segelas itu separuh penuh daripada mengatakan ia separuh kosong. Masyarakat di sini kebanyakannya tidak gemar menggunakan perkataan 'KALAU' untuk menyelesaikan suatu masalah tetapi lebih suka 'BAGAIMANA' masalah itu dapat diatasi. Positif adalah sifat mereka yang patut semua insan contohi.

Paul Maloney merupakan seorang ekspatriat, meninggalkan kampung halaman demi mengejar cita-citanya sebagai jurutera MotoGP. Selepas 20 tahun bertugas di Eropah, menghabiskan banyak masa di paddock MotoGP dan perlumbaan Superbike, Paul akhirnya mempunyai satu idea hebat untuk mencipta jentera jalanan atau streetfighter yang semestinya lain daripada yang lain.

“Ketika di Eropah dulu, saya menghabiskan masa dengan merentasi benua dalam trak pasukan terutama sekali semasa bertugas dengan Juara Superbike dari Sweden, Christian Lindholm. Perjalanan dari Stockholm ke Sepanyol mengambil masa sekitar 45 jam dan kami hanya berhenti untuk mengisi diesel, itu saja. Oleh itu, saya mempunyai banyak masa untuk berfikir dan ketika inilah idea untuk mencipta jentera ini menggunakan kepala dan silinder Yamaha R1,” kata Paul.

“Lakaran pertama saya menggunakan alat ganti Kawasaki ZX-7RR kerana silinder model ini berasingan dan ia menjadikan bahagian aci engkol lebih ringkas – Yamaha R1 model lama agar rumit sedikit kerana bahagian silindernya terlalu rapat. Saya lukis enjin 1500cc berasaskan dua buah enjin 750cc Kawasaki, saya juga mempunyai kebenaran untuk menggunakan alat-alat ganti di Harald Eckl,” cerita Paul.

“Sebaik sahaja ingin memulakan proses pembikinan, Yamaha R1 2004 diperkenalkan dengan silinder yang berasingan. Saya terus memeriksa ukuran sehinggalah pada saiz enjin 2,000cc dan hasilnya amat memuaskan. Dari saat itu saya sentiasa menggunakan barang-barang Yamaha kerana sudah arif dengan selok belok jentera mereka. Hasilnya memang cukup hebat!” tambahnya lagi.

Saya setuju kerana mesin ini benar-benar hebat. Walaupun ia nampak besar dan tegap, ia adalah sebuah motosikal yang sangat praktikal dan mudah ditunggang. Memang sukar dipercayai tetapi itulah hakikatnya! Sebaik sahaja memanjat jentera ini, kita pastinya tidak perlu membuat firasat tentang bagaimanakah prestasinya? Naik dan terus memulas pendikit ke atas jalan – sangat hebat! Bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos Akrapovic pula sangat mengagumkan.

Kemantapan bunyi jentera ini turut dapat kita rasai apabila kelajuan direndahkan dan saya rasakan sangat bertuah kerana dapat berada di atas sebuah rekaan yang wajar dikagumi oleh sesiapa sahaja. Saya telah menunggang dan mendengar bunyi yang terhasil daripada pelbagai jenis jentera termasuklah model Drysdale V8 yang bersesaran lebih kecil iaitu 750cc dan 1000cc serta mesin perlumbaan 750cc tahun 90an yang mempunyai bunyi cukup mantap tetapi kesemua telah ditewaskan oleh PGM V8 ini.

Posisi menunggang mesin V8 membuktikan ianya direka dengan baik sekali. Dirasakan pelana yang setinggi 840mm itu tidaklah menyukarkan walaupun ia lebar sedikit memandangkan di bawah kita terletaknya banyak silinder Yamaha R1. Gentian karbon yang diletakkan di belakang kepala silinder menghalang penunggang daripada haba panas – pakaian kulit saya langsung tidak terjejas.

Dengan badan yang besar, ia bagaikan kaku apabila dipacu dalam kelajuan rendah dan penunggang juga perlu lebih berhati-hati apabila membuat pusingan-U. Dengan ketinggian 1.80m, saya dapat menjejakkan keseluruhan tapak kaki ke tanah pada bila-bila masa. Di sini penunggang yang tinggi mempunyai sedikit kelebihan.

Satu-satunya kritikan daripada saya ialah kuasanya yang hadir secara tiba-tiba apabila pendikit dipulas. Ini masalah pemetaan enjin yang sepatutnya dapat diatasi dengan segera. Saya yakin Paul Maloney dan pasukannya mampu menyelesaikan masalah tersebut suatu hari nanti. Selain daripada itu, ia tetap hebat!

Untuk disesuaikan dengan kemantapan enjinnya, rekabentuk luaran juga perlu gah dan hebat. Inilah masanya perekacipta, Seans Chhean (jangan terkejut, ini ejaan betul) menggunakan kreativiti untuk menjadikan PGM V8 sebuah motosikal yang canggih, bijak dan tiada seumpamanya. Hasilnya dapat kita lihat menerusi keanggunan rekaan dari bahagian pelana hinggalah tangki yang menggunakan gentian karbon. Rekaan sebegini memberikan aura yang cukup tinggi sepertimana yang kita rasakan setiap kali melihat model-model baru dari pengeluar motosikal utama.

Kualiti yang dipertonton menerusi rekaan ini memberitahu kita tentang betapa kaliber penciptanya. Jika anda tertanya-tanya, ya... PGM V8 ini sudah bersedia untuk menerima tempahan pada harga bermula US180,000 bergantung pada spesifikasinya. Hubungi Paul Maloney di www.pgmv8.com.au jika ingin keterangan lebih lanjut.

Dalam kelajuan sekitar 60km/j dengan menggunakan gear ketiga, PGM V8 meluncur dengan tenang sekali tetapi apabila pendikit dipulas lebih keras, kuasa enjin yang besar itu jelas cukup kuat terutamanya apabila putaran enjin lebih daripada 5,000rpm. Saya mudah melihat apa saja info yang tertera pada panel meternya – cukup terang dan jelas. Perkataan yang layak diberikan pada kuasa enjin PGM V8 ini ialah phenomenal! Tidak pernah saya merasai pengalaman menunggang seperti ini pada motosikal yang lengkap dengan plat pendaftaran. Saya rasa kini terdapat beberapa jentera MotoGP yang mampu menyaingi kepantasannya di laluan lurus.

Walaupun ia memecut bagaikan kilat, pengendalian yang cukup mudah sekali lagi perlu dihebohkan kerana ia menjadikan tunggangan lebih meyakinkan. Kita langsung tidak terasa seperti ingin tercampak ke hadapan ketika cuba menggerakkan tubuh badannya. Paul Maloney telah menala sistem RbW agar tahap tertinggi putaran rpm buat saya ialah pada 10,500rpm. Ia adalah sebuah jentera baru manakala tahap putaran tertinggi ialah pada 14,500rpm. Percayalah... walaupun pada tahap yang ditetapkan, hamburan kuasanya cukup luas sekali.

Bar hendal yang dilengkapkan pada PGM V8 ini bukan sahaja tegap tetapi juga memudahkan kita memegang dengan selesa sekali. Kita akan rasa senang mengarahkannya meratah setiap selekoh dengan kemas. Saya akui, hati ini berkata bar hendalnya akan meletihkan tetapi PGM V8 telah menafikan tuduhan itu. Ok, ia tidaklah beraksi seperti mesin Supersport 600cc tetapi jelasnya mudah untuk sebuah motosikal sebesar, seberat dan sekuat ini.

Gabungan keberkesanan sistem saspensi jenis Ohlins dan brek jenis Brembo menjadikan jentera 330bhp ini dapat 'dijinakkan' dengan mudah sekali. Prestasi sebeginilah mengiktirafkan pengalaman luas Paul Maloney dalam dunia perlumbaan MotoGP dan Superbike. PGM V8 adalah hasil kerja seorang jurutera berani dan mengagumkan. Siapa sangka tetapi ianya kini sudah bersedia untuk menemui anda. RR

Oleh: Alan Cathcart, Kredit Foto: Stephen Piper

Isu Pada

Disember 2015

Spesifikasi

Enjin4-lejang V8, sistem penyejuk cecair
Isipadu1,996cc
Gerek & Lejang77 x 54mm
Nisbah Mampatan13:1
Kuasa Maksimum334hp pada 12,800rpm
Tork Maksimum214Nm pada 9,500rpm
Isi Tangki-
Tinggi Pelana840mm
Berat242kg
PengeluarMaltec Perfomance Engineering, Barkers Greek

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.